Takdir Yang Mengikat
Bab 12
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
152

Bacaan






Kalashnikov di tangan digenggam erat dan kemas. Saat ini nyawanya terasa bagaikan telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja musuh bisa keluar dari tempat persembunyian dan menyerbu kem latihan mereka.
    
Abu Bakar memandang ke arah bumbung rumah. Dia cukup yakin Abu Amin dan Abu Ibrahim sudah berada di situ, bersedia untuk menembak kepala musuh yang sedang bersembunyi. Pandangan Abu Bakar kemudian beralih tatkala Abu Usman menyentuh bahunya. Lega hati Abu Bakar melihat Abu Usman.
    
Abu Usman berbisik, “Hassan beritahu untuk tunggu di sini. Mereka akan tembak dari atas.”
    
Abu Bakar mengangguk faham.
    
Di atas bumbung, Abu Amin, Abu Ibrahim, Hassan, dan Abdul Karim sedang mengacukan muncung senapang mereka melalui rekahan-rekahan tembok. Masing-masing mempunyai sasaran mereka sendiri. Melalui night optic sights yang dipasang pada senapang, keempat-empat tentera Assad itu dilihat sedang berbual-bual, barangkali membincangkan sama ada mahu menyerbu atau kembali ke tempat asal. Mereka tidak menggunakan apa-apa alat komunikasi seperti telefon bimbit. Hal ini mungkin kerana kawasan ini tidak termasuk dalam kawasan yang mendapat liputan talian. Tapi, mereka pasti memiliki walkie-talkie. Sekiranya mereka memaklumkan akan kewujudan kem latihan ini kepada rakan-rakan mereka, sudah pasti kem latihan ini akan diserbu. Kemungkinan kedudukan markas Dzhamaat Halifat yang tidak jauh daripada situ juga akan dapat dikesan. Hassan tidak sanggup mengambil risiko. Sebelum mereka berbuat apa-apa, Hassan membuat keputusan untuk menghapuskan mereka.
    
Hassan sudah bersedia. Dia memetik jarinya perlahan, namun cukup untuk didengari dengan jelas oleh anak-anak buah yang sedang membidik sasaran bersamanya.
    
Dengan lafaz bismillah, mereka melepaskan tembakan. Tiga orang tentera Assad jatuh ke atas tanah. Tembakan Abu Amin pula tersasar memandangkan sasarannya tiba-tiba sahaja bergerak. Tentera Assad yang sepatutnya menjadi sasaran Abu Amin kelam-kabut melarikan diri sebaik melihat rakan-rakannya rebah menyembah bumi. Dia memecut dengan sekuat hati merentasi semak-samun.
    
“Satu terlepas! Kejar dia!” arah Hassan melalui walkie-talkie. Abu Bakar dan Abu Usman bergegas keluar dari tempat persembunyian lalu meluru ke kawasan semak-samun. Lampu kecil yang dililitkan di topi kep dipasang sebagai penyuluh. Sementara itu Abu Ibrahim dan Abdul Karim diarahkan membantu mengejar tentera Assad yang terlepas. Abu Amin dan Hassan pula cuba mencari kedudukan tentera Assad tersebut dari atas. Namun kegelapan malam membataskan penglihatan. Tambahan pula, sasaran mereka kini menggunakan pokok-pokok liar sebagai pelindung.
    
Abu Bakar dan Abu Usman berlari kencang meredah pokok-pokok di kiri dan kanan mereka. Sasaran berlari dengan pantas. Abu Usman mengacukan muncung Kalashnikov ke hadapan lalu melepaskan beberapa das tembakan. Salah satu tembakan Abu Usman mengenai bahu kanan si tentera Assad. Lelaki itu menjerit kesakitan namun tetap meneruskan larian.
    
“Serah diri!” Abu Bakar memberi amaran dalam bahasa Arab yang pelat.
    
Lelaki itu tidak mempedulikan amaran Abu Bakar. Daripada menyerah diri dan dihantar kepada majlis Syura pemberontak untuk dihakimi (yang biasanya berakhir dengan kematian), lebih baik dia mencuba nasib dengan melarikan diri.
    
Dalam penat berlari, dia kelam-kabut menekan butang pada walkie-talkie. Kewujudan rumah yang menjadi markas pengganas itu harus dimaklumkan segera kepada platunnya.
    
“0..0..79 di sini!” Suara si tentera Assad putus-putus. Ternyata penat larian membataskan si tentera dalam melakukan dua perkara sekaligus; menyedut oksigen dan bercakap.
    
“0079?” Suara yang menyambutnya menyoal.
    
“Celaka! 079!” Dia menyumpah lalu mengulang nombor kod.
    
“Ada…ada pengganas di sini!” Dia menjerit.
    
“Kedudukan?” soal suara di hujung talian.
    
“Ba...” Belum sempat dia meneruskan kata-kata, dia menjerit nyaring. Kesakitan yang dirasakan membuatnya tidak mampu meneruskan larian. Dia akhirnya rebah, sama seperti ketiga-tiga rakannya beberapa minit tadi.
    
“Ya Ali!” Nama itu dilaung dalam kesakitan. Darah membuak-buak keluar daripada perut yang ditembusi peluru.
    
Abu Bakar dan Abu Usman merapati lelaki yang kini tertiarap. Menggunakan kaki, Abu Usman menterbalikkan lelaki tersebut. Abu Usman mengeluarkan walkie-talkie daripada genggaman lelaki itu lalu memijaknya. Tidak cukup dengan itu, Abu Usman menembak pula ia sehingga berkecai.
    
“Ya Ali! Ya habibi Bashar!” Lelaki itu meraung. Nafasnya turun-naik menahan sakit. Tidak! Dia tidak mahu mati di sini!
    
Terkedu Abu Bakar dan Abu Usman mendengar ayat yang dilafazkan lelaki itu. Bagaimana orang seperti ini mengaku dirinya Islam? Sedangkan hendak menghadap sakaratul maut pun dia melaungkan nama selain daripada Allah Azza wa Jalla?
    
Mendengar raungan kesakitan lelaki yang di ambang maut itu membuat Abu Bakar berasa simpati. Lalu, dia duduk berlutut di tepi kepala lelaki tersebut. Abu Usman hairan dengan tindakan sahabatnya namun memilih untuk tidak berkata apa-apa.
    
Abu Bakar merapatkan wajah ke telinga si askar Assad. Dibisik kalimah syahadah kepadanya, agar lelaki itu bisa mengikuti, agar lelaki itu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.
    
“Ashadu an la ilaha illallah wa ashadu anna Muhammadan Rasulullah.”  
    
Dengan suara terputus-putus, lelaki itu mengikuti. “Ashadu an la ilaha illallah wa ashadu anna Muhammadan Rasulullah, wa Ashadu an Aliyan wali Allah.” Beberapa saat selepas itu, dia menghembuskan nafas terakhir. Kepalanya jatuh terkulai ke sisi.
    
Abu Bakar terkedu.
    
“Aslan…” Abu Usman memanggil. Abu Bakar tidak menyahut. Dia hanya merenung wajah si tentera Assad yang tewas. Mata lelaki itu terbuka manakala mulutnya ternganga sedikit.
    
Ya Allah, dia telah gagal!
    
Hingga ke saat akhir, lelaki itu masih dengan kepercayaannya. Di dalam kalimah syahadah yang disebut lelaki Syiah itu, terkandung nama Saidina Ali.
    
Abu Bakar turut mencintai Saidina Ali. Namun dia tidak taasub sehingga mengagungkan Saidina Ali melebihi Allah SWT dan Rasulullah SAW. Mengapa golongan Syiah ini begitu taasub dengan ajaran yang menyimpang daripada Islam? Mengapa mereka tidak dapat membezakan di antara hak dan batil? Mengapa mereka menzalimi diri mereka sendiri?
    
Abu Bakar tertunduk. Hatinya tidak keruan apabila teringat dialah yang menembak mati lelaki itu sebentar tadi. Dan kerana dia, lelaki itu mati bukan dalam iman. Mungkin jika lelaki itu ditangkap, mereka bisa mengembalikan kepercayaan lelaki itu kepada kepercayaan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Lelaki itu akan bisa bertaubat. Namun, dia telah merosakkan segala-galanya. Bagaimana jika lelaki itu menuntutnya di akhirat nanti? Bagaimana jika lelaki itu menyalahkan Abu Bakar kerana membunuhnya sebelum dia sempat bertaubat? Apa yang harus dia lakukan?
    
Seluruh tubuh Abu Bakar menggeletar. Hari ini dia telah menjadi seorang pembunuh. Dia sudah membunuh seorang manusia yang mungkin juga seorang bapa dan suami, seseorang yang ada tanggungjawab terhadap keluarganya. Bagaimana dia harus berdepan dengan kenyataan ini? Bagaimana dia, seorang doktor yang bertanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa manusia, menjadi orang yang menamatkan riwayat manusia lain? Bagaimana dengan ikrar yang dia lafazkan ketika tamat belajar beberapa bulan yang lalu?
    
“Aslan…” Abu Usman memanggil lalu berlutut di sebelah Abu Bakar. Dengan air mata yang berlinangan ke pipi, Abu Bakar memandang wajah Abu Usman.
    
“Saya dah bunuh orang, Akhshiyat…Saya dah bunuh orang…” ujarnya terketar-ketar. Terpancar ketakutan pada raut wajahnya. Abu Usman terdiam. Rasa bersalah menjalar di seluruh tubuh. Abu Usman menatap sayu wajah Abu Bakar.
    
Hatimu terlalu lembut, sahabatku!
    
Tanpa berkata sepatah pun, Abu Usman terus merangkul tubuh Abu Bakar yang sedang menggeletar, membawa sahabatnya itu ke dalam dakapan. Abu Bakar yang menangis dipeluk erat.
    
Saat itu baru Abu Usman tersedar, dia sudah melakukan kesilapan.
    
Kesilapan terbesar dalam hayatnya.
    
Dia silap apabila memberitahu Abu Bakar yang dia mahu berjihad di Syria. Dia seharusnya pergi sahaja tanpa mengucapkan apa-apa. Tetapi tidak. Keputusannya membuatkan sahabat karibnya itu turut terjerumus sama. Walhal dia tahu yang sahabatnya itu berjiwa lembut. Hati Abu Bakar mudah tersentuh. Sebab itulah selama ini Abu Usman berusaha melindungi jiwa itu daripada terluka.
    
Masih jelas di ingatannya, ketika doktor di hospital menugaskan kumpulan praktikal Abu Bakar untuk memantau keadaan seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik setengah tahun lalu, Abu Usman cepat-cepat menawarkan diri untuk meletakkan pesakit tersebut dalam pantauannya dan rakan yang lain. Itu kerana dia tahu, peluang untuk kanak-kanak itu hidup amat tipis.
    
Pemergian kanak-kanak itu kepada Tuhan Yang Maha Esa hanya akan membuat Abu Bakar sedih dan menyalahkan diri sendiri. Abu Usman sendiri pernah melihat keadaan itu apabila seorang anak kecil yang dikenali mereka sewaktu latihan klinikal, tewas kepada penyakitnya. Abu Bakar ketika itu enggan makan dan keluar dari bilik selama 3 hari sehingga merisaukan semua orang, termasuklah doktor di hospital mereka menjalani latihan klinikal. Selepas pulih sedikit daripada kesedihan dan kembali ke hospital, Abu Bakar diberikan kaunseling berterusan selama sebulan.
    
Tetapi kini, Abu Usman pasti yang jiwa Abu Bakar lebih terluka. Sepatutnya dia yang melepaskan tembakan dan membunuh tentera Assad tadi. Sepatutnya dia yang harus berlari lebih pantas daripada Abu Bakar agar sasarannya kena dengan tepat. Sungguh, hati Abu Usman diulit penyesalan. Dia gagal melindungi sahabat baiknya!
    
“Aslan…Aslan…Semua ini takdir. Jika awak tak tembak dia, dia akan kembali ke tempatnya dan memaklumkan pada rakannya yang lain tentang kem latihan kita. Awak dah selamatkan nyawa kami semua, Aslan. Bukan nyawa saya sahaja, tetapi juga nyawa rakan-rakan kita yang sedang tidur di kem.”
    
Tangisan Abu Bakar belum juga reda.
    
Maafkan aku, Aslan. Kau tak akan lalui semua ni kalau bukan kerana aku. Maafkan aku.
    
“Me..menembak dia, ialah ke…keputusan yang tepat, kan?” soal Abu Bakar. Suaranya tenggelam timbul dalam sedu-sedan. “Sa…saya tak sa..salah, kan?” Abu Bakar menyoal lagi.
    
Dada Abu Usman sebak. Hatinya diruntun hiba yang kian menusuk. Gigi diketap kuat. Air mata cuba ditahan agar tidak mengalir. Dia tidak mahu Abu Bakar melihatnya menangis. Dia mahu menjadi sumber kekuatan buat sahabatnya.
    
Dengan senyuman sedih di bibir, Abu Usman menjawab. “Ya, Aslan. Awak tak salah. Keputusan awak tepat. Awak dah selamatkan kami semua di sini. Terima kasih.”  




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku