Takdir Yang Mengikat
Bab 13
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
129

Bacaan






Malam itu, semua pelatih yang sedang tidur di kem latihan dikejut dan diarah untuk datang ke ruangan berkumpul. Wajah serius Hassan dan tenaga pengajar yang lain di tengah-tengah malam membuat mereka tertanya-tanya akan apa yang telah berlaku. Abu Bakar, Abu Usman, serta pelatih yang ditugaskan berkawal malam itu hanya diam tanpa sepatah kata.
    
Hassan memandang satu-persatu wajah pemuda yang berada di hadapannya. Ada yang kelopak matanya masih kuyu, ada yang sedang menggosok-gosok mata, ada juga yang sudah menguap beberapa kali. Lelaki 38 tahun dengan janggut panjang itu berdehem.
    
“Minta perhatian semua!” Suara keras Hassan serta-merta memecahkan kantuk mereka. Mata masing-masing kini tertumpu pada Hassan.
    
“Lebih kurang dua puluh minit tadi, kami mendapati ada tentera Assad yang berlegar-legar di kawasan kem latihan kita.” Hassan mula memaklumkan.
    
Seperti yang diagaknya, pengumuman tersebut mencetuskan riuh-rendah dalam kalangan pemuda.
    
“Saya minta saudara semua bertenang dan dengar apa yang saya mahu sampaikan!” tegas Hassan, mematikan suara riuh-rendah yang bernada cemas.
    
“Saya dan saudara-saudara lain sudah berbincang tentang hal ini. Kita akan tinggalkan kem latihan malam ini juga. Sekarang, kemas barang-barang kamu. Kira-kira 40 minit lagi, saudara-saudara dari markas akan tiba dan bawa kamu semua ke sana.” Hassan memberitahu.
    
Kegelisahan kini terpancar di wajah para pelatih. Dalam keadaan kelam-kabut, mereka mula meninggalkan ruangan berkumpul. Masing-masing bergegas kembali ke bilik untuk mengemas barang.
    
Abu Bakar masih tidak beralih dari tempat dia berdiri. Dia memerhati sahaja mereka semua berlari melintasinya tanpa apa-apa perasaan. Mindanya masih lagi berada di luar sana, di tempat tewasnya si askar Assad.
    
Ya Allah, adakah aku berdosa?’ soalnya berulang-kali dalam hati. Jari-jemarinya masih menggeletar. Dadanya juga masih lagi dipenuhi rasa takut.
    
Melihat rakannya tidak berganjak, Abu Usman yang berdiri di sebelah Abu Bakar, memaut lengan lelaki itu. “Aslan, mari…” ucapnya perlahan. Dia menarik lengan Abu Bakar dan memimpin sahabatnya itu ke bilik. Abu Bakar cuma menuruti.

*****
    
Abu Usman memasukkan satu-persatu pakaian yang baru dilipat ke dalam beg bagasi beroda. Sesudah memasukkan kesemuanya, dia menzipkan beg bagasi tersebut. Dia kemudian memusing kepala ke sebelah, melihat Abu Bakar. Abu Bakar mengalami kesukaran ketika mahu menzipkan beg bagasinya. Zip pada beg bagasi tersangkut bersama baju di dalam beg. Abu Usman perasan jari-jemari Abu Bakar menggeletar. Lantas, dia merapati sahabatnya.
    
Abu Bakar mahu menarik zip beg bagasinya dengan lebih kuat, namun Abu Usman terlebih dahulu menggenggam jari-jemarinya. Abu Bakar terkedu. Muka diangkat, memandang  wajah Abu Usman. Jari-jemarinya yang sedang menggeletar digenggam erat oleh Abu Usman.
    
“Akhshiyat…” ujarnya perlahan.
    
“Jangan takut, Aslan.” Abu Usman memberitahu. “Jangan takut.” Dia mengulang lagi.
    
Lama Abu Bakar menatap wajah ikhlas Abu Usman.
    
Masih jelas di ingatan, kali pertama dia bertemu dengan Abu Usman sewaktu di universiti. Ketika itu dia dan Ruslan sedang makan di kafetaria. Abu Usman datang kepada mereka lalu menghulurkan tangan tanda persahabatan. Dia masih ingat bagaimana Abu Usman merayu pensyarah mereka agar membenarkan dia dan Ruslan menduduki ujian ketika mereka berdua terlewat. Deminya juga, Abu Usman sanggup menawarkan diri untuk menggantikan kumpulan praktikalnya memantau seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik.
    
Tapi, apa yang dia pernah lakukan untuk Abu Usman? Keadaannya sekarang ini sudah cukup membuatkan Abu Usman risau. Dia menyusahkan sahabat karibnya sekali lagi. Bukankah dia seharusnya mengatakan yang dia baik-baik sahaja?
    
“Jangan takut, Aslan.” Ayat Abu Usman tadi terngiang-ngiang di telinganya.
    
Ya. Apa yang aku takutkan sebenarnya? Akhshiyat ada di sini bersamaku. Itu sudah mencukupi.
    
Beberapa ketika, Abu Usman melepaskan genggamannya pada jari-jemari Abu Bakar. Bahu Abu Bakar ditepuk. “Jangan risau Aslan. Semuanya akan jadi baik. Percayalah…” ujarnya. Dia kemudian membetulkan zip beg bagasi Abu Bakar yang tersangkut sebelum menutup beg bagasi tersebut.
    
Abu Bakar hanya memerhatikan gerak-geri sahabatnya. Kata-kata Abu Usman mengurangkan gundah-gulana di hati. Sungguh, dia bersyukur kepada Allah kerana memberikannya sahabat sebaik Abu Usman. Dia tidak tahu apa yang akan terjadi kepadanya sekiranya Abu Usman tidak ada di situ.
    
“Siap! Semua barang dalam beg galas awak dah masuk, kan?” Abu Usman menyoal, mematikan lamunan Abu Bakar.
    
Abu Bakar hanya mampu mengangguk. Matanya berkaca-kaca. Untuk pertama kalinya selepas kejadian dia menembak mati askar Assad, Abu Bakar mengukir senyum. “Terima kasih,” ucapnya. Air matanya mengalir ke pipi.
    
Abu Usman turut mengukir senyum.
    
“Sama-sama, Aslan.”

*****
    
Abu Bakar menatap langit malam yang kosong tanpa cahaya bulan dan bintang. Dalam hati, dia berdoa agar ditetapkan niat untuk membantu warga Syria yang ditindas oleh rejim Assad. Dia juga berdoa agar Allah memberinya kekuatan untuk sabar dan tabah dalam menjalani kehidupannya di Syria pada hari-hari mendatang.
    
Abu Bakar menoleh ke sebelah. Abu Usman sedang tidur nyenyak bersandarkan bahunya. Mungkin kerana terlalu letih, lelaki itu langsung tidak terjaga walaupun ketika kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka bergerak di atas permukaan berbatu yang tidak rata. Abu Bakar menghela nafas. Pandangan mata dihalakan ke hadapan.
    
Berhadapan dengannya, Abu Ibrahim dan Abu Ismail sedang rancak berbual. Sama sepertinya, mereka berdua juga sedang duduk bersila di ruang belakang pacuan empat roda tersebut. Beg galas dan beg bagasi masing-masing pula diletakkan di bahagian tengah. Perjalanan ke markas mengambil masa sejam. Sekarang mereka sudah pun melewati minit ketiga puluh masa perjalanan mereka.
    
Abu Bakar merenung di kejauhan.
    
Benar kata Abu Usman. Semuanya akan jadi baik-baik sahaja. Kematian tentera Assad itu bukan salahnya. Nyawa rakan-rakannya di sini lebih penting. Dia tidak perlu khuatir.
    
Allah ada bersamanya.

*****
    
Abu Usman tidur di sepanjang perjalanan. Dia hanya tersedar ketika Abu Bakar mengejutkannya untuk memberitahu yang mereka sudah sampai di markas jamaat.
    
Para pelatih dari kem latihan turun daripada bahagian belakang pacuan empat roda membawa beg bagasi dan beg galas masing-masing. Mereka berkumpul bersama-sama di perkarangan banglo sederhana besar yang menjadi markas jamaat mereka. Hassan memberitahu, banglo itu terletak tidak terlalu jauh dari bandar Qastal Ma’af. Mostafa Kareem ialah pemilik asal banglo. Selepas berpindah ke Turki bersama keluarganya, Mostafa Kareem memberikan banglo tersebut kepada amir mereka, Abdul Hakim.
    
Ketibaan mereka disambut oleh Abdul Hakim dan beberapa orang mujahidin. Tenaga-tenaga pengajar yang baru tiba bersama mereka kini merapati Abdul Hakim.
    
Cahaya lampu neon yang menerangi perkarangan banglo membolehkan Abu Bakar melihat dengan jelas struktur luaran banglo tersebut. Banglo yang dicat dengan warna putih itu memiliki tiga tingkat. Di tingkat dua banglo itu berdirinya sebuah balkoni panjang yang disokong oleh dua buah tiang besar.
    
Banglo tersebut dipagari dengan tembok batu yang turut dicat dengan warna putih. Perkarangan banglo pula sangat luas. Abu Bakar kira, perkarangan banglo tersebut boleh memuatkan empat gelanggang tenis. Simen yang menutupi perkarangan banglo pula ada yang sudah retak seribu.
    
Abu Bakar menumpahkan pandangan pada tenaga-tenaga pengajar mereka yang sedang berbual-bual dengan Abdul Hakim dan saudara-saudara yang lain. Dia yakin topik perbualan mereka pastinya serius berdasarkan kerutan yang terus-terusan muncul di dahi mereka.
    
Kira-kira 10 minit kemudian, Hassan mengarahkan Abu Bakar dan rakan-rakannya yang lain untuk bersalam dan berkenalan dengan amir dan juga para mujahidin yang menyambut ketibaan mereka.

*****
    
“Abang! Abang!” Abu Muhammad memanggil sambil tangannya menggoyang-goyangkan tubuh Abu Bakar dan Abu Usman yang tidur bersebelahan. Anak muda itu sedang duduk berlutut di ruang antara tilam Abu Bakar dan Abu Usman.
    
“Bangunlah, abang! Solat Subuh!” Dikuatkan suaranya lagi sambil kepalanya menoleh ke Abu Usman dan ke Abu Bakar. Rakan-rakan mereka berdua yang turut berada di dalam bilik sedang sibuk mengemas tempat tidur masing-masing.
    
Abu Muhammad melepas keluhan putus asa.
    
Pintu bilik dikuak dengan luas. Abu Hurairah berdiri tercegat di depan pintu. Abu Muhammad berkerut dahi memandang rakan sebiliknya itu. Sambil berjalan ke arah mereka, Abu Hurairah mengeluarkan sesuatu daripada poket seluar celoreng.
    
“Ambil gambar lagi?” Abu Muhammad menyoal. Bukannya dia tidak tahu yang rakannya itu suka mengambil gambar, terutama gambar dirinya sendiri.
    
“Ya.” Ringkas Abu Hurairah menjawab. Cahaya lampu bilik membuat rambut hitam pekatnya terlihat kontra dengan wajah putih bersih miliknya.
    
Abu Hurairah tersenyum lebar. Dengan menggunakan kamera telefon pintar, dia menangkap gambar Abu Bakar dan Abu Usman yang sedang tidur untuk dijadikan kenang-kenangan. Telefon pintar seterusnya diangkat ke arah Abu Muhammad.
    
“Senyum…” arah Abu Hurairah.
    
Abu Muhammad sengaja menyeringai.
    
Chik! Telefon pintar Abu Hurairah berbunyi. Gambar sudah pun ditangkap.
    
“Bagus!” Abu Hurairah kemudian berjalan menuju ke pintu kembali.
    
“Sekejap! Awak tak nak tolong bangunkan mereka berdua?” Abu Muhammad menyoal.
    
Anak muda kelahiran Kazakhstan itu menoleh ke belakang.
    
“Tak. Saya pergi dulu.” Dia mengangkat tangan mengisyaratkan selamat tinggal.
   
Habis tu buat apa awak datang ke sini?’ gerutu Abu Muhammad dalam hati.

***** 

Abu Bakar berdiri di pintu masuk banglo. Selepas menukar kad sim lama kepada kad sim yang baru diberikan oleh amir mereka tidak lama tadi, Abu Bakar segera menghidupkan telefon pintar.
    
Dia merenung telefon tersebut. Selama ini dia cuma melihat telefon itu sebagai satu alat komunikasi yang bisa menghubungkannya dengan manusia lain. Tapi hari ini perasaannya berbeza. Melihat telefon pintar itu kembali selepas tiga minggu membuatnya rasa nostalgia. Terasa seperti dia telah kembali ke rumah. Seolah-olah dia tidak pernah meninggalkan Ufa dan menjejakkan kaki ke tanah asing ini.
    
Abu Bakar melangkah keluar lalu berjalan-jalan di perkarangan banglo, cuba mencari isyarat 3G. Beberapa orang pemuda yang sedang mengelap senjata di perkarangan banglo mengucap salam kepadanya. Abu Bakar membalas salam mereka bersama senyuman.
    
Abu Usman serta rakan-rakan yang tiba di markas bersamanya semalam masih berada di dalam banglo, beramah mesra dengan mujahidin lain. Namun bukan dia. Abu Bakar mahu memaklumkan keadaannya kepada ahli keluarga tercinta. Pasti mereka risau akan kehilangannya.
    
Abu Bakar berhenti berjalan sebaik berada di kawasan yang mendapat isyarat 3G. Dia cuba mengumpulkan keberanian. Jari-jemarinya mula menekan huruf-huruf Cyrillic pada skrin sesentuh. Selepas beberapa saat, ikon ‘hantar’ pada skrin sesentuh ditekan, dan serta-merta mesejnya dikirimkan kepada si penerima.

*****
Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

---
+963415577691: Assalamualaikum, mama. Ini Aslan.
---
Air mata Raisa mengalir sebaik membaca mesej yang diterima. Bibirnya tidak henti-henti melafazkan kalimah syukur kepada Allah SWT. Dengan hanya dua potong ayat yang ditulis ringkas, resah dan kesedihan yang ditanggung selama tiga minggu hilang begitu sahaja. Raisa mengesat air mata yang membasahi pipi. Dia mula menaip mesej untuk anak sulungnya.
---
Raisa: Waalaikumsalam. Betul ke ini Aslan? Kamu di mana ni? Kamu okey tak? Kamu pergi ke mana, Aslan? Mengapa tak beritahu kami? Mama, papa, dan Ruslan risaukan kamu.

+963415577691: Mama sihat? Papa dan Ruslan?

Raisa: Kami semua sihat. Kamu di mana ni, Aslan?

+963415577691: Mama dah makan? Mama masak apa hari ini?

Raisa: Mama dah makan. Hari ini mama masak galnish*.

+963415577691: Mesti sedap. ))**

Raisa: Kamu di mana ni?

+963415577691: Saya okey. Jangan risau.

Raisa: Macam mana kami tak risau? Kamu hilang tanpa khabar selama tiga minggu.

+963415577691: Jangan risau tentang saya. Saya sihat. Cuma, saya tak boleh kembali ke Ufa lagi.

Raisa: Kenapa, Aslan? Kamu di mana? Kamu ditangkap sesiapa ke? Nanti mama laporkan pada polis. Kamu jangan risau.

+963415577691: Tak perlu laporkan pada polis. Saya tak kena tangkap oleh sesiapa. Saya
sendiri dengan rela hati datang ke sini.

Raisa: Aslan, kamu pergi ke mana??

+963415577691: Syria. Saya jadi mujahid di sini.
---
Hampir gugur jantung Raisa membaca ayat daripada anaknya. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan kebarangkalian Aslan meninggalkan Rusia dan berhijrah ke negara lain. Inikan pula menyertai tentera pemberontak di negara yang sedang bergolak.
---
Raisa: Apa yang kamu buat di sana? Kembali ke sini!

+963415577691: Saya tak boleh balik.

Raisa: Kenapa? Kenapa kamu tiba-tiba pergi ke Syria??

+963415577691: Saya datang ke sini untuk menolong saudara seagama kita. Mereka ditindas oleh pemerintah mereka sendiri.

Raisa: Apa yang berlaku di negara mereka tidak ada kaitan dengan kita! Jangan masuk campur urusan negara lain. Balik ke Rusia sekarang!

+963415577691: Saya tak pernah bercadang untuk balik. Mulai sekarang, sini ialah tempat saya. Tolong jangan paksa saya balik.

Raisa: Apa yang kamu dapat dengan pergi ke sana?

+963415577691: Saya tahu saya takkan dapat ubah apa-apa.

Raisa: Habis tu, buat apa datang ke Syria??

+963415577691: Tanggungjawab.

Raisa: Tanggungjawab?

+963415577691: Saya nak membantu mereka di sini.

Raisa: Biarkan mereka di Syria menguruskan negara mereka. Kamu tiada apa-apa tanggungjawab terhadap mereka.

+963415577691: Tapi mereka saudara seagama. Mereka solat 5 waktu, puasa, mengeluarkan zakat, dan mengucap kalimah syahadah seperti kita. Salahkah saya menolong saudara sendiri?

Raisa: Bagaimana dengan tanggungjawab kamu di sini? Kamu tinggalkan pekerjaan kamu begitu sahaja, kamu tinggalkan ibu bapa kamu. Adakah kamu bertanggungjawab, Aslan?

Raisa: Mama tak kisah, minggu ni mama akan pergi ke Turki untuk bawa kamu balik!
---
Untuk beberapa ketika, tiada balasan mesej daripada Aslan. Dia juga tidak menaip apa-apa. Raisa menanti mesej anaknya dengan sabar. Dia yakin dia dapat membuat Aslan menukar fikiran dan kembali ke Ufa. Namun mesej yang diterimanya selepas itu membuatnya terkedu.
---
+963415577691: Mama dan papa ada dua orang anak lelaki.
---
Jantung Raisa berdebar-debar membaca ayat tersebut. Bibirnya terketar-ketar. Dia bagaikan dapat mengagak ayat apa yang bakal dihantar oleh Aslan.
---
+963535577691: Lepaskan saya pergi. Tolong jangan paksa saya kembali ke Ufa.
 ---
Tubuh Raisa tersandar lemah pada sofa.

Sunggguh dia tidak pernah menyangka anak yang dilahirkan dan dikasihi selama 23 tahun akan menghancurkan hatinya sebegini. Anak yang dia sayangi melebihi nyawanya sendiri. Dia sanggup mengorbankan kariernya sebagai peguam semata-mata mahu menjaga Aslan dan Ruslan ketika mereka lahir. Dia sanggup bersengkang mata untuk membantu Aslan menyiapkan  kerja sekolahnya. Dia sanggup tidak tidur malam kerana menjaga Aslan ketika dia dijangkiti radang paru-paru semasa kecil. Dia korbankan segala-galanya untuk Aslan. Tapi mengapa ini yang dia dapat? Mengapa Aslan tegar menghancurkan perasaannya?
---
+963535577691: Mama, maafkan saya. Saya tak akan kembali ke Rusia lagi. Beritahu papa dan Ruslan, saya sayangkan mereka. Saya sayangkan mama.
 ---
__________________________________________________________

Glosari:

Galnish – Makanan etnik Chechen.

)) – Smiley yang biasa digunakan oleh penutur bahasa Rusia. Boleh juga ditulis seperti ini )  




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku