Takdir Yang Mengikat
Bab 14
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
100

Bacaan






Grozny, Republik Chechen, Rusia

Buaian dihayun perlahan. Angin musim sejuk yang menghembus dingin seakan-akan membantu hayunannya. Ashura mendongak ke atas, menatap langit biru. Angin pagi yang bertiup menerbangkan rambut coklat mudanya sehingga menutupi wajah. Segera dia menyelak rambutnya ke belakang telinga. Sepasang anak mata hijaunya kini memerhati kawanan burung yang berterbangan di dada langit. Semakin lama, kawanan burung tersebut semakin jauh daripada pandangan.
    
Ashura mengalihkan tumpuan, matanya memerhatikan beberapa alat permainan yang kini diliputi salji di taman tersebut. Hanya dia yang berada di taman permainan ketika ini.
    
Terasa seperti baru semalam dia datang ke sini bersama Akhshiyat. Walhal, sudah lebih tiga minggu Akhshiyat pergi meninggalkan mereka. Dahulu dia ke sini untuk bermain bersama abangnya, sekarang dia ke sini untuk mengimbau memori indah yang telah lama berlalu.
    
Buaian dan gelongsor sentiasa menjadi permainan kegemaran dia dan Akhshiyat di taman ini. Dia akan duduk di atas buaian dan Akhshiyat akan menghayunkan buaian dengan kuat untuk menggembirakannya. Bosan dengan buaian, mereka akan bermain gelongsor bersama.    
    
Kegembiraan mereka bagaimanapun tidak berpanjangan.     
    
Ketika perang Chechen kedua, taman permainan ini dimusnahkan oleh bedilan bom askar-askar Rusia.
    
Dia dan Akhshiyat kehilangan tempat bermain mereka. Tempat yang melihat mereka berdua membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain.
    
Taman permainan ini dibina semula pada tahun 2010.
    
Namun mereka berdua tidak pernah kembali ke taman ini lagi.
    
Ashura mengeluh lalu bangun daripada buaian. Alat-alat permainan yang terkubur oleh salji diperhatikan.
    
Kali terakhir. Ini kali terakhir dia datang ke sini, tekadnya.
    
Dia menapak langkah ke hadapan dengan berhati-hati.
    
Kala itu, bukan dirinya sahaja yang melangkah pergi dari taman permainan yang menyimpan 1001 memori bersama Akhshiyat. Ashura turut melepaskan taman permainan itu pergi jauh daripada hati. Sudah tiba masanya dia menerima kenyataan yang dia harus hidup tanpa Akhshiyat di sisi. Abang yang disayangi tidak akan kembali lagi. Dan dia, harus melepaskan Akhshiyat kerana itu jalan yang dipilih Akhshiyat. Akhshiyat berhak menentukan hidupnya sendiri.
    
Ashura menguntum senyum.
    
Pelik.
    
Tiba-tiba sahaja hatinya rasa lapang. Seolah-olah terlepas daripada bebanan yang berat.
    
Ya.
    
Inilah yang terbaik. Untuk dia, dan juga Akhshiyat.

*****
    
Zaur mundar-mandir di ruang tamu rumahnya, resah menantikan khabar yang sedang ditunggu. Minggu ini, Zaur pasti dia akan dapat berkahwin dengan Ashura. Persediaan sudah dibuat. Tidak ada apa-apa yang bisa menggagalkan rancangannya. Sama ada gadis itu bersetuju atau tidak, gadis itu tetap akan menjadi miliknya. Dia akan mendapatkan gadis itu dengan apa cara sekalipun.
    
Mata Zaur melirik pada jam di dinding. Menurut rakan-rakannya, Ashura keluar dari rumah awal-awal pagi lagi. Mereka kini sedang mengekori gadis itu dan cuma menunggu peluang untuk mendapatkannya, atau lebih tepat lagi, menculiknya.
    
Zaur senyum sinis sambil membayangkan perkahwinannya dengan Ashura.
    
Kau tak suka bila aku tanya dengan baik, sekarang aku buat cara kasar pula. Padan muka kau, Ashura!

*****
    
Ashura mempercepatkan langkah. Sejak beberapa minit tadi dia sudah perasan akan kehadiran kereta yang mengekori. Semakin lama hatinya semakin tidak keruan. Dia menyeluk tangan ke dalam beg sandang, mencari sesuatu. Setelah menemukan benda yang dicari, barulah Ashura rasa tenang sedikit.
    
Ashura berhenti berjalan. Dia berpusing ke belakang. Matanya memerhati sebuah kereta berwarna merah. Bagaikan mengikuti langkahnya, kereta itu turut berhenti. Ashura memandang ke kiri dan kanan. Tidak ada orang lain di kawasan itu. Yang ada cuma deretan pangsapuri tidak berpenghuni. Sesal mulai timbul di hati. Dia silap kerana mengikuti jalan ini tadi. Walaupun laluan ini jalan pintas, dia tetap memerlukan beberapa minit untuk sampai ke rumah.
    
Kedua-dua pintu bahagian penumpang kereta merah tersebut dibuka. Dua orang lelaki yang memakai jaket hitam melangkah keluar. Hanya Tuhan yang tahu betapa takutnya Ashura ketika itu. Jari-jemarinya menggenggam erat benda yang disimpan di dalam beg sandang.
    
“Assalamualaikum,” sapa salah seorang lelaki yang kini berjalan ke arahnya.
    
“Wa…waalaikumsalam.” Ashura membalas gugup. Hatinya curiga melihat mereka berdua.
    
“Kami nak tanya soalan ni…” ujar seorang lagi lelaki.
    
Ashura tidak menjawab apa-apa. Dia pasti itu taktik mereka untuk rapat dengannya agar dia tidak berlari pergi dari situ.
    
Detakan jantung Ashura makin pantas. Dia berundur ke belakang. Matanya memandang kedua-dua lelaki tadi dengan penuh waspada.
    
Tiba-tiba, Ashura teringatkan Akhshiyat. Apa yang abangnya akan lakukan dalam keadaan seperti ini?
    
Jangan takut, Ashura! Jadilah berani.” Kata-kata Akhshiyat suatu ketika dahulu terngiang-ngiang di ingatan.
    
Ashura menguatkan semangatnya.
    
Sebaik sahaja kedua-dua lelaki tersebut berada selang dua langkah dari Ashura, mereka segera meluru ke arah gadis itu. Dengan pantas, Ashura mengeluarkan perenjat elektrik lalu menghalakannya ke leher lelaki yang mula-mula menyapanya tadi. Lelaki tersebut terkena renjatan elektrik lalu hilang keseimbangan badan sekaligus membuatnya terduduk kebingungan di atas salji.
    
Rakannya mengambil peluang kelalaian Ashura lalu mengunci kedua-dua lengan gadis itu dari belakang. Perenjat elektriknya terlepas dan jatuh di atas lantai salji. Ashura meronta-ronta untuk melepaskan diri namun usahanya gagal kerana lelaki tersebut jauh lebih kuat.
    
“Lepaskan saya!” jerit Ashura. “Tolong!” Dia menjerit lagi. “Tolong!” Jeritannya semakin kuat.
    
“Jangan bergerak! Berdiri diam-diam!” ancam lelaki tersebut.
    
Menggunakan lengan lelaki itu sebagai pautan, Ashura menaikkan dirinya ke atas lalu menghayunkan kaki ke hadapan.  Ketika tubuhnya berayun ke belakang, Ashura menendang kedua-dua peha lelaki tersebut sekuat hatinya. Akibat terperanjat, tangan lelaki tersebut spontan melepaskan kedua-dua lengan Ashura. Ashura cepat-cepat mengambil perenjat elektriknya dari atas salji lalu meluru ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu cuba mengelaknya namun Ashura lebih pantas. Akhirnya lelaki itu menemui nasib yang sama seperti rakannya yang kini sedang berusaha untuk berdiri.
    
Tanpa membuang masa, Ashura melarikan diri dari situ.
    
Di dalam kereta, si pemandu melihat segala-gala yang berlaku di antara Ashura dan dua orang rakannya.
    
Ya, begitulah, Ashura. Jangan takut dan jangan tunduk pada mereka.’ Ujarnya dalam hati.
    
Si pemandu keluar dari kereta. Langkah diatur menghampiri rakan-rakannya yang masih berada dalam keadaan terkejut akibat renjatan elektrik. Bibirnya menggaris senyuman mengejek.
    
Padan muka kamu dua!’ Kutuknya dalam hati. Dia kemudian memerhatikan Ashura yang berlari tanpa menoleh ke belakang. Kelibat Ashura kian menjauh dan akhirnya menghilang dalam keputihan salji. Dia tersenyum lega.
    
Akhshiyat, kau pasti bangga. Cara tendangan adik perempuan kau, betul-betul sama macam kau.

*****
    
Ashura masuk ke rumah dalam keadaan tercungap-cungap. Jari-jemarinya mengunci pintu rumah dengan kelam-kabut. Selepas membuka kasut, dia berlari ke dapur.     
    
“Mama!” panggilnya. Fariza yang sedang menguli tepung untuk membuat galnish, menoleh ke arah Ashura. Hairan dia melihat anak perempuannya yang kelihatan penat.
    
“Kenapa ni, Ashura?” soalnya.
    
“Saya hampir kena culik,” jawab Ashura.
    
Terbeliak mata Fariza. Adunan tepung ditinggalkan di atas meja. “Dekat mana? Kamu pergi mana tadi?” Anak perempuan tunggalnya itu dirapati.
    
Dengan rasa letih yang masih belum hilang, Ashura membuka mulut. “Dalam perjalanan balik dari taman, ada kereta ekori saya. Dua orang lelaki keluar dan cuba culik saya. Tapi saya sempat gunakan perenjat elektrik dan kalahkan mereka.” Ashura menunjukkan perenjat elektrik yang digunakan kepada ibunya.
    
“Ya Allah! Ashura!” Tubuh si anak didakap erat. “Nasib baik kamu tak apa-apa… anak mama…” Ya Allah, cukuplah Akhshiyat sahaja pergi meninggalkan mereka. Dia tidak mahu Ashura pula meninggalkan dia dan suaminya.
    
“Mama…” Pelukan ibunya dibalas erat. “Jangan risau. Ashura tak apa-apa. Ashura tak akan tinggalkan mama…” Dia meyakinkan ibunya.
    
Fariza menangis tersedu-sedu. Hati ibu mana yang tidak risau apabila anaknya hampir diculik?
    
“Jangan menangis lagi, mama. Ashura okey. Ashura akan jadi lebih berhati-hati selepas ini.”

*****

+963535577692: Assalamualaikum Ashura. Apa khabar? Ini abang.

---
    
Ashura terpaku. Mesej daripada abang tersayang bisa membuat jantungnya terhenti. Cepat-cepat dia melabuhkan punggung di atas katil. Tangannya menaip balasan mesej dengan pantas.

---

Ashura: Waalaikumsalam. Ashura sihat. Kami semua sihat. Abang macam mana?

+963535577692: Abang sihat. Ashura jangan risau. )) Dah makan?

Ashura: Kami baru habis makan malam. Abang?

+963535577692: Sekejap lagi kami makan. Macam mana keadaan di sana? Semuanya okey?

Ashura: Ashura yang patut tanya soalan tu kepada abang. Abang okey tak di sana? Abang tak buat benda-benda yang bahaya, kan?

+963535577692: Semuanya okey di sini. Abang tak buat benda-benda yang bahaya. Abang cuci tandas, basuh pinggan, dan kupas kentang.

Ashura: Abang kupas kentang? :o Sejak bila abang pandai kupas kentang?

+963535577692: Sejak berada di sini, abang dah jadi rajin. Hahaha )))

Ashura: Hahaha. Abang dah dapat balik telefon abang, maksudnya bolehlah kita berbalas mesej setiap hari, kan?

+963535577692: Insha Allah kalau tak ada apa-apa tugasan, abang akan balas mesej Ashura.

Ashura: Abang dah mesej mama dan papa?

+963535577692: Sedang mesej. ))

Ashura: Ashura rindukan abang.

+963535577692: Abang pun rindukan kamu semua.

Ashura: Seronok tak kehidupan di sana?

+963535577692: Tak banyak beza dengan kehidupan abang di Ufa.

Ashura: Ya ke?

+963535577692: Ya. Makan apa tadi?

Ashura: Kurzunush*. )) Abang makan apa nanti?

+963535577692: Entahlah, abang pun tak pasti. Bukan abang yang masak.

Ashura: Oh… Tadi Ashura buat sesuatu yang hebat!

+963535577692: Apa dia?

Ashura: Pagi tadi ada orang nak culik Ashura. Ashura guna perenjat elektrik dan kalahkan mereka.

+963535577692: Ashura hampir kena culik dekat mana??

Ashura: Haha. Dalam perjalanan balik. Dekat kawasan pangsapuri terbiar tu…

+963535577692: Berapa kali abang cakap jangan lalu situ seorang diri! Kenapa tak dengar cakap abang?!

Ashura: Ashura nak balik rumah cepat…

+963535577692: Lain kali jangan lalu situ lagi. Tak kiralah sendiri atau berteman, jangan lalu situ!

Ashura: Okey…maaf…

Ashura: Jangan risau. Kami dah laporkan pada polis tadi.

+963535577692: Mulai hari ni, Ashura kena lebih berhati-hati. Habis sekolah terus balik rumah. Jangan pergi ke tempat-tempat yang jauh dari rumah kalau sendiri. Pastikan ada papa atau mama temankan Ashura.

---
    
Air mata yang mengalir dikesat. Ashura bagaikan tidak percaya dia sedang bermesej dengan Akhshiyat setelah lebih tiga minggu tidak mendengar khabar daripada abangnya.

---

+963535577692: Ashura? Ashura okey tak ni?

---
    
“Abang…Ashura rindukan abang…”

---    

+963535577692: Ashura?

+963535577692: Ashura okey tak?

Ashura: Ashura nak jadi berani macam abang…

Ashura: Boleh, kan?

+963535577692: Ya. Ashura boleh jadi berani. Tapi jangan buat perkara yang merisikokan diri. Janji?

Ashura: Janji.

+963535577692: )))

Ashura: Ashura boleh lindungi diri sendiri.

+963535577692: Betul ke?

Ashura: Betul. Sebab abang tak ada di sini, Ashura kena jadi lebih kuat untuk lindungi mama dan papa.

+963535577692: Macam tulah adik abang.

Ashura: Abang, jaga diri baik-baik di sana. Buatkan kami bangga.

---

___________________________________________________________

Glosari:   

Kurzunush – Makanan etnik Chechen. Biasa dimakan ketika makan malam.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku