Takdir Yang Mengikat
Bab 15
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
74

Bacaan






Sekolah No. 11
    
Ashura melangkah masuk ke dalam kelas. Zaur yang sedang berbual dengan rakan-rakannya, terpaku melihat penampilan gadis itu yang berlainan daripada biasa. Rambut coklat muda miliknya dipotong pendek bawah telinga.
    
Mata kedua-dua mereka bertautan ketika gadis itu mengangkat muka memandang lelaki tersebut. Zaur lantas memalingkan wajah ke arah lain. Rasa bersalah dan malu masih menebal di hati. Ashura mencebik, lalu meneruskan langkah ke mejanya.
    
Rakan baiknya, Kheda, segera menegur.
    
“Apa dah jadi dengan rambut dan pakaian awak?” soal Kheda. Dia mengalih pandangan pada jaket dan skirt panjang yang dipakai Ashura. “Kenapa dengan baju awak hari ini?” Bucu jaket yang dipakai Ashura, dipegang.
    
“Saja, nak cuba trend baru.” Ashura menjawab.
    
“Ini trend selekeh. Jaket ni terlalu besar. Langsung tak kena dengan badan awak. Dan rambut awak pula ada bahagian yang dipotong panjang dan pendek. Awak potong sendiri ke?”
    
“Ya, saya potong sendiri.”
    
“Tapi kenapa?” Kheda menyoal kehairanan. Penampilan adalah sangat penting bagi seorang gadis Chechen. Mereka sentiasa memastikan pakaian yang dipakai nampak kemas dan mengikut bentuk tubuh yang sesuai, agar kelihatan menarik. Jika tidak, penampilan mereka akan menjadi buah kritikan sahabat handai dan saudara-mara terutamanya mak cik, sepupu perempuan, bahkan nenek mereka sendiri.
    
“Saja.” Ashura menjawab acuh tidak acuh.
    
“Ashura…” ujar Kheda, ada nada merajuk pada suaranya. Dia tidak puas hati dengan jawapan ringkas Ashura. Rakan baiknya itu sedang menyembunyikan sesuatu dan dia, harus mengorek apa yang sedang disembunyikan Ashura.
    
“Oh ya, bagaimana dengan pertandingan Gadis Chechen Kebangsaan tu?” Ashura mengubah topik.
    
“Keputusan untuk pusingan pertama akan diumumkan seminggu lagi. Doakan saya terpilih ya? Pemenang hadiah utama akan mendapat 500,000 ruble.” Kheda menjawab dengan penuh bersemangat. Isu penampilan Ashura sudah dilupakan oleh gadis rambut perang tersebut.  
    
“Baguslah, kan? Awak nak sambung belajar di Moscow, kan?” Ashura menyoal.
    
“Ya. Saya nak jadi arkitek suatu hari nanti. Kalau saya menang, bolehlah saya sambung belajar tanpa perlu kisah hal biasiswa.” Kheda tersenyum manis. Melihat rakan baiknya itu gembira, Ashura turut bahagia. Dia akan sentiasa menjadi penyokong nombor satu Kheda.

*****
    
Sebaik loceng terakhir berbunyi, Zaur cepat-cepat mengemaskan barang-barangnya. Dalam keadaan kelam-kabut, bekas penselnya terjatuh ke atas lantai. Habis bertaburan isi bekas pensel tersebut. Zaur menyumpah seranah dalam hati. Rakan-rakan kelasnya yang lain sudah berpusu-pusu keluar dari kelas, meninggalkan dia mengutip sendiri alat-alat tulis yang jatuh bertaburan. Ada yang bergolek sampai ke meja orang lain.
    
Zaur memasukkan semula alat-alat tulis ke dalam bekas pensel. Ketika dia berpusing ke belakang, dia melihat Ashura berjalan ke arahnya.
    
“Saya tahu pasal kelmarin. Berapa awak upah mereka semua?” soal Ashura, menyindir.
    
“Saya tak faham apa awak maksudkan.” Zaur berdalih.
    
“Mereka ke hospital tak lepas tu?” Ashura sengaja menyakitkan hati Zaur.
    
Zaur hanya diam membisu.
    
“Saya, tak pernah ada apa-apa perasaan pada awak. Sedikit pun tak ada. Saya ingatkan, awak akan faham bila saya cakap. Rupanya tidak.” Ashura berhenti seketika sebelum meneruskan kembali. “Apa yang awak buat kelmarin benar-benar membunuh semua persepsi baik saya kepada awak. Awak tak akan pernah mendapatkan saya, Zaur!” Tegas gadis itu mengucapkan.
    
“Saya tak cintakan awak dan tak akan berkahwin dengan awak. Walaupun semua orang di dunia ini mati dan cuma tinggal awak dan saya yang hidup, saya tetap tak akan memilih awak. Awak cumalah lelaki yang keji. Lelaki keji yang memaksa perempuan lain untuk berkahwin dengannya.”
    
Zaur mengetap gigi, menahan marah yang kini membuak di dada. Urat-urat di lehernya timbul ketika Ashura menunduhnya sebagai lelaki yang keji.
    
“Saya simpati pada bakal isteri awak. Dia pasti hidup merana dengan lelaki macam awak.”
    
Mendengar itu, Zaur mengangkat tangan lalu melayangkannya ke wajah Ashura. Namun belum sempat tangannya hinggap di pipi gadis itu, Ashura terlebih dahulu menangkap tangan Zaur lalu menumbuk perut pemuda itu dengan kuat sehingga dia terundur ke belakang. Ashura kemudian melayangkan satu tumbukan padu ke hidung Zaur.
    
“Argghhh!” Zaur mengerang kesakitan. Hidung diraba. Terkejut dia melihat darah di tapak tangan.
    
Ashura mengeluarkan perenjat elektrik dari dalam beg. Wajah Zaur kini bengis memandangnya.
    
Penghinaan ini harus dibalas. Gadis itu akan menerima akibat di atas perbuatannya!
    
Zaur meluru ke hadapan, ingin menerkam Ashura namun Ashura dengan pantas berjaya mengelak dan terus merenjatnya dengan perenjat elektrik tadi.
    
Zaur jadi hilang arah seketika. Badannya bergetar. Ashura mengambil kesempatan ini lalu menendang perut Zaur sekuat hatinya sehingga lelaki itu tersungkur di atas lantai.
    
Ashura memandang lelaki yang sedang dalam kesakitan itu dengan penuh benci.
    
“Awak tahu kan kalau awak ceritakan pada orang lain tentang apa yang terjadi dalam kelas hari ini, awak sendiri yang akan dapat malu. Saya dah buat laporan polis kelmarin tentang cubaan menculik awak yang gagal, Zaur Alkhanov,” ugut Ashura seraya tersenyum lebar.
    
“Selamat tinggal.”

*****

Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

---

24 Disember 2013

+963535577691: Assalamualaikum Ruslan. Ini abang. Abang minta maaf sebab meninggalkan kamu semua tanpa apa-apa pesan. Abang sekarang ni di Syria. Kamu apa khabar?

+963535577691: Ruslan?

+963535577691: Mesti kamu marah dan kecewa pada abang, kan?

---

28 Disember 2013

+963535577691: Assalamualaikum. Sihat tak? Lama tak dengar khabar kamu.)) Sekarang di Ufa dah malam, kan? Abang rindukan kamu semua di Ufa….
 
---

30 Disember 2013

+963535577691: Assalamualaikum Ruslan. Cuaca hari ini cerah walaupun sejuk. Kamu dah makan? Sihat tak? Mama masak apa pagi ni?

---

2 Januari 2014


+963535577691: Assalamualaikum. Abang tahu kamu masih marah pada abang. Maafkan abang sebab buat keputusan tanpa memberitahu kamu.

+963535577691: Bila kamu tak balas mesej abang macam ni, abang jadi sedih. ((

+963535577691: Cuaca hari ni mendung. Seperti mendungnya hati abang sekarang.

+963535577691: Balaslah mesej abang ni…Susah tau nak dapatkan talian internet di sini. ((
 
---

4 Januari 2014

+963535577691: Assalamualaikum. Walaupun abang tahu kamu tak akan balas mesej abang, tapi, abang masih nak taip juga mesej ni. Kamu dah makan? Jangan tak makan tengah hari pula walaupun sibuk di hospital. ))

+963535577691: Hari ini salji turun dengan lebat. Biarpun begitu, abang rasa musim dingin di Rusia lebih sejuk daripada Syria. Ingat tak dulu kita selalu bertanding buat orang salji di laman rumah? Rasa macam dah lama sangat masa tu berlalu.

+963535577691: Abang sayang dan rindu kamu semua. Balaslah mesej abang ni.

---
    
“Abang tipu, kan? Kalau abang sayang kami, abang takkan buat macam ni…” gumam Ruslan. Kecewa dan marah di hati masih menebal. Dia belum bisa memaafkan perbuatan Aslan.

“Hipokrit!” Dia menuduh sambil memadam satu-persatu mesej yang dikirimkan Aslan.     

*****

Latakia, Syria

Cuaca hari itu cerah seperti biasa. Dalam masa yang sama, suhu rendah bulan Januari di Syria sering sahaja memaksa penduduknya memakai berlapis-lapis pakaian bagi menghangatkan tubuh. Abu Bakar dan Abu Usman turut tidak terkecuali. Mereka berdua memakai tiga lapis baju dengan jaket camo di lapisan paling luar.
         
Abu Bakar memasukkan telefon pintar ke dalam poket seluar. Sebentar tadi, dia baru sahaja menghantar mesej kepada Ruslan. Dalam hati dia berharap Ruslan akan membalas mesejnya.

Dia kemudian menoleh ke arah Abu Usman. Lelaki itu sedang khusyuk menaip sesuatu pada skrin telefon pintar.
         
Lama juga dia ni buka akaun VK...’ getus hati Abu Bakar.
         
Jalan berbatu yang mereka lalui ketika itu tidak terlalu luas. Dua kereta dari arah bertentangan tidak akan dapat melalui jalan tersebut pada masa yang sama. Kiri dan kanan jalan pula dipenuhi dengan semak samun. Biarpun begitu, tiada usaha dilakukan untuk membersihkan kawasan semak samun di sepanjang jalan kerana ia sendiri berfungsi sebagai camouflage untuk menyembunyikan kedudukan markas mereka daripada bidikan senjata tentera rejim.
    
Abu Usman tersenyum lebar. Satu akaun media sosial di VKontakte menggunakan nama Abu Usman Shishani baru sahaja dicipta.
    
“Aslan,” panggil Abu Usman.
    
“Kenapa?”
    
“Saya dah buat akaun. Hantar Friend Request cepat,” arah Abu Usman. Sambil itu, tangannya menaip sesuatu di ruang pencarian VKontakte. “Abu Muhammad guna nama apa di VK?” Paparan pada skrin menunjukkan berpuluh-puluh akaun dengan nama Abu Muhammad sehingga Abu Usman tidak pasti yang mana satu akaun milik anak muda kesayangan mereka semua itu.
    
“Abu Muhammad Shishani…mungkin…” jawab Abu Bakar, juga tidak pasti. Telefon pintar dikeluarkan.
    
Abu Bakar melihat akaun VK yang baru dibuatnya kelmarin dengan nama ‘Abu Bakar Shishani’. Ada satu friend request daripada seseorang yang bernama ‘Khaleed Safar’. Abu Bakar membuka profil pemilik akaun yang bernama Khaleed Safar itu.

Khaleed Safar
Tarikh lahir: 17 Disember 1992
Status: Bujang
Bandar asal: Skudai
Bahasa: Rusia, Inggeris, Melayu
Mengenai saya: Tikhiy i dobryy, pokornyy rab Vsevyshnego!
(Tenang dan baik, hamba kepada Tuhan yang maha Agung!)

  
“Akhshiyat, tengok ni. Tarikh lahir lelaki ni sama dengan awak.” Abu Bakar memberitahu. Telefon pintar diberikan kepada Abu Usman.
    
Abu Usman melihat profil Khaleed Safar.
    
“Tak ada mutual friends. Macam mana dia jumpa akaun awak?” Abu Usman menyoal sangsi. “Dan dari Skudai. Di mana tu? Awak nak terima dia jadi kawan ke?” Dia memulangkan semula telefon pintar tersebut.
    
“Tarikh lahirnya sama dengan awak. Dia pasti seorang lelaki yang baik. Lihatlah ayat-ayat Quran yang dia post di akaunnya.”

_____________________________________________________

Всевышний Аллах сказал: «Я сотворил джиннов и людей не иначе как только для того, чтобы они поклонялись Мне» (Аз-Зарийат, 56).    

(Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu (Az-Zariyat, 56))

_____________________________________________________

«Мы непременно испытаем вас незначительным страхом, голодом, потерей имущества, людей и плодов. Обрадуй же терпеливых которые, когда их постигает беда, говорят: Воистину, мы принадлежим Аллаху и к Нему вернемся. Они удостаиваются благословения своего Господа и милости. Они следуют прямым путем.» (Aль-Бакара, 155-157).

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
(Al-Baqarah, 155-157)

___________________________________________________________________________
    
“Saya nak terima dia sebagai kawan.” Abu Bakar memberitahu.
    
“Suka hati awak,” ujar Abu Usman.
    
Selepas menerima Khaleed Safar sebagai rakan di VK dan menghantar friend request kepada akaun Abu Usman, Abu Bakar memasukkan telefon pintar ke dalam poket seluar semula. Cuaca sejuk membuat dia malas mahu pergi ke mana-mana selepas tugasan meronda walaupun dia tahu petang nanti dia terpaksa pergi ke bandar Qastal Ma’af bersama Abu Usman dan Abu Muhammad. Mereka bertiga akan ditemani oleh Rawwad Ansari, penduduk Latakia yang fasih berbahasa Arab, Rusia, dan Inggeris. Rawwad juga merupakan guru bahasa Arab mereka di markas.
    
“Ada friend request daripada Magomed Muhammad.” Abu Usman memberitahu. “Siapa dia ni?” Sedang dia leka membuka profil Magomed Muhammad, kakinya tersadung batu yang besar. Abu Usman hampir-hampir sahaja terjatuh namun Abu Bakar terlebih dahulu memaut lengannya. Langkah kedua-dua lelaki tersebut terhenti.
    
“Nyaris-nyaris…kalau tak habislah muka kacak saya ni tercalar,” gurau Abu Usman.
    
“Hati-hati sikit,” pesan Abu Bakar.
    
“Terima kasih.” Abu Usman mengucapkan.
    
“Sama-sama.”
    
“Magomed Muhammad ni Abu Muhammad, kan? Nama sebenar dia Magomed ke?” Abu Usman menyoal.
    
Abu Bakar sengaja tidak menjawab soalan sahabatnya. Biarlah Abu Muhammad sendiri yang memberitahu nama sebenarnya kepada Abu Usman. Dia tidak mahu menjadi orang yang membuka cerita berkenaan Abu Muhammad.
    
Melihat sahabatnya itu diam sahaja, Abu Usman memandang kembali akaun dengan nama Magomed Muhammad itu. Beberapa saat kemudian, dia sudah pun menerima Magomed Muhammad sebagai rakan di VKontakte.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku