Takdir Yang Mengikat
Bab 16
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
69

Bacaan






Perjalanan dari markas Dzhamaat Halifat ke bandar Qastal Ma’af mengambil masa sejam setengah menaiki kereta pacuan empat roda. Qastal Ma’af yang berada di barat laut Syria, merupakan salah satu bandar di Latakia. Ia terletak di utara Latakia; berhampiran dengan Kesab, Mashqita, Ayn al-Bayda, dan Rabia. Penduduk bandar ini kebanyakannya Sunni daripada keturunan Turkmen manakala penduduk-penduduk kampung dan daerah kecil di sekitarnya terdiri daripada Syiah Alawi.  
    
Rawwad memarkir kereta yang dipandu berhampiran kawasan hutan di pinggir bandar Qastal Ma’af. Sebaik sahaja enjin dimatikan, pintu kereta dibuka lalu dia bersama-sama Abu Bakar, Abu Usman, dan Abu Muhammad, keluar menjejakkan kaki ke atas tanah. Untuk tidak menarik perhatian, ketiga-tiga pemuda tersebut termasuk Rawwad tidak memakai jaket atau seluar celoreng yang biasa dipakai ketika di markas. Sebaliknya, kesemua mereka memakai jaket tebal warna hitam dan seluar jeans warna biru. Abu Usman dan Abu Muhammad turut memakai topi sejuk manakala Abu Bakar pula memakai kep warna biru. Kalashnikov yang dibawa ditinggalkan di dalam kereta.  
    
Di seberang jalan, kelihatan beberapa buah bangunan rumah pangsa yang menjadi tempat tinggal penduduk berdiri megah walaupun sudah dimamah usia. Abu Bakar melihat beberapa orang kanak-kanak sedang bermain di taman permainan di hadapan bangunan rumah pangsa. Sebahagian alat-alat permainan di taman itu berlubang akibat tembusan peluru tentera rejim dan pemberontak.
    
Abu Bakar dijentik rasa bersalah.
    
Benarkah kehadiran pemuda-pemuda sepertinya mampu mengubah kehidupan warga Syria yang ditindas? Atau kewujudan mereka hanya memburukkan lagi situasi sebahagian rakyat Syria yang sudah sememangnya malang?
    
“Awak okey?”
    
Suara Abu Usman mematikan persoalan di minda Abu Bakar.
    
“Saya okey.”
    
Setelah yakin kawasan di situ selamat, Rawwad mengajak mereka bertiga mengikutinya. Mereka bertiga menurut langkah Rawwad tanpa banyak soal.
    
Bandar itu tidak ramai penduduk seperti bandar-bandar lain di Latakia. Sepanjang perjalanan, cuma ada beberapa buah kedai sahaja yang dibuka. Orang ramai tidak banyak yang lalu-lalang. Mungkin juga faktor cuaca yang sejuk membataskan pergerakan mereka. Atau mungkin juga mereka takutkan bom barel yang bisa dijatuhkan oleh askar Assad bila-bila masa sahaja seperti di Aleppo dan kawasan-kawasan lain.
    
Abu Bakar memandang kiri dan kanan jalan. Di sebelah kiri ada kedai roti, kedai gunting rambut, kedai buah-buahan dan beberapa kedai lain yang Abu Bakar sendiri tidak tahu memandangkan papan tanda kedai ditulis dalam bahasa Arab. Di sebelah kanannya pula ada kedai sayur-sayuran, kedai kain, dan kedai alatan elektrik. Sesekali terdengar jeritan pemilik kedai yang mengajak pelanggan masuk ke dalam kedai mereka. Ada juga beberapa orang kanak-kanak sedang leka bermain bola di jalan tersebut.
    
“Jauh lagi ke kedai senjata tu?” Abu Usman menyoal Rawwad dalam bahasa Rusia.
    
“Dalam beberapa minit lagi. Kedai tu agak tersorok sedikit.” Rawwad menjawab. Lelaki 32 tahun itu mengusap-usap janggut yang sederhana panjang.
    
“Tak nampak pelik ke nanti bila kita keluar dari bandar membawa senjata?” Abu Muhammad menzahirkan kebimbangannya.
    
“Jangan risau. Malik ada caranya sendiri,” balas Rawwad. Petang itu, dia akan membawa Abu Bakar, Abu Usman, dan Abu Muhammad ke kedai senjata.
    
Abu Usman dan Abu Muhammad agak teruja memandangkan ini pengalaman pertama mereka membeli senjata sendiri. Lain pula halnya dengan Abu Bakar yang kurang menyenangi rancangan dua orang sahabatnya itu. Bagi Abu Bakar, senjata yang dibekalkan oleh jamaat mereka sudah memadai. Walaupun Kalashnikov yang diberikan kepada mereka pernah digunakan oleh orang lain, namun ia tetap berfungsi dengan baik.
    
Ketika Rawwad, Abu Usman, dan Abu Muhammad sedang rancak berbual, Abu Bakar terpandang seorang budak lelaki berpakaian lusuh sedang duduk di hadapan sebuah kedai yang kelihatan seperti sudah lama ditinggalkan.
    
Hati Abu Bakar jadi sayu. Apatah lagi apabila dia perasan yang budak lelaki itu hanya duduk berlapikkan kotak. Abu Bakar segera menghampiri budak lelaki itu.
    
“Roti,” ujar budak tersebut dalam bahasa Arab sebaik Abu Bakar berada di hadapannya.
    
Abu Bakar terpinga-pinga. Matanya kemudian terarah pada roti- roti bulat yang diletak di atas plastik besar di hadapan budak itu.
    
“Err…berapa?” Abu Bakar menyoal dalam bahasa Arab. Budak itu tidak terus menjawab. Lama dia memerhatikan wajah Abu Bakar.
    
“Shishani?” soal budak itu.
    
Abu Bakar mengangguk. Shishani bermaksud Chechen dalam bahasa Arab. Abu Bakar meneka budak itu mungkin dalam 10 atau 11 tahun berdasarkan saiz badannya.
    
Budak itu kemudian mengambil sebiji roti. “100,” ujarnya. Dia menunjukkan jari telunjuknya yang bermaksud 1, kemudian mengepal penumbuk lalu menggoyangkan penumbuknya dua kali yang memberi maksud 0. Abu Bakar mengangguk faham.
    
“Empat.” Abu Bakar memberitahu  dalam bahasa Arab. Tangannya mengeluarkan dompet daripada poket seluar sementara budak itu membungkus keempat-empat roti tadi dengan surat khabar.
    
Bungkusan roti diberikan kepada Abu Bakar. Abu Bakar menghulurkan sekeping wang kertas yang tertera nombor 500.  Budak itu tidak mengambil wang yang diberi. Dia menggeleng-geleng kepala. Empat jari dinaikkan untuk memberitahu Abu Bakar yang harga kesemua roti tersebut ialah 400 pound Syria.
    
Abu Bakar pula terus mendesak budak itu agar menerima wangnya. Dia ikhlas mahu memberi lebihan baki kepada si budak penjual roti, yang kini sedang berusaha menyampaikan sesuatu kepada Abu Bakar menggunakan isyarat tangan.
    
“Saya tiada wang baki,” ujar budak itu dalam bahasa Arab.
    
“Saya tak perlukan wang baki. Ambillah,” ujar Abu Bakar dalam bahasa Rusia.
    
Tidak jauh dari situ, Rawwad, Abu Usman, dan Abu Muhammad yang memerhatikan gelagat mereka berdua mengerutkan dahi masing-masing.
    
“Kenapa tu?” soal Rawwad.
    
“Entahlah…” jawab Abu Usman.
    
“Mari tengok.” Rawwad mengajak.
    
Mereka bertiga menghampiri Abu Bakar dan budak lelaki penjual roti.
    
Rawwad menyoal Abu Bakar, “Kenapa ni?”
    
“Saya mahu memberikan dia 500 pound tapi dia tidak mahu menerimanya,” jawab Abu Bakar.
    
“Mungkin dia tiada wang baki,” teka Abu Usman. “Berapa semuanya?”
    
“400 pound.”
    
Abu Usman mengeluarkan dompetnya lalu mengeluarkan empat keping wang kertas 100.
    
“Jangan.” Abu Bakar menegah Abu Usman daripada membayar roti-roti yang dibelinya. “Saya mahu memberikan dia 100 pound baki itu sebagai sedekah…”
    
“Abu Bakar, cara kamu salah.” Rawwad memberitahu.
    
“Salah?”
    
“Ya. Berikan dia wang untuk roti itu dahulu. Kemudian barulah kamu berikan dia wang yang kamu mahu beri sebagai sedekah itu.”
    
“Oh, begitu.” Abu Bakar mengeluarkan 4 keping wang kertas 100 dan memberikan wang-wang tersebut kepada budak lelaki di hadapannya.
    
Budak lelaki itu mengambil wang yang dihulurkan.
    
“Terima kasih,” ucapnya.
    
Abu Bakar memegang tangan budak itu lalu menyelitkan sekeping wang 100 ke tapak tangannya. Budak penjual roti itu menggeleng-gelengkan kepala.
    
“Saya tak boleh terima, abang,” ujar budak itu berkali-kali.
    
“Ikhlas. Sedekah. Rezeki.” Abu Bakar mengucapkan perkataan-perkataan itu dalam bahasa Arab. Akhirnya budak itu mengambil wang pemberian Abu Bakar.
    
“Semoga Allah merahmatimu, abang,” ujarnya terharu. Air matanya bergenang.
    
Abu Usman, Abu Muhammad, dan Rawwad hanya tersenyum.
    
“Jangan menangis. Budak lelaki tak menangis,” pujuk Abu Bakar.
    
Budak itu mengesat air matanya dengan tapak tangan. Dia menganggukkan kepala, seolah-olah memahami apa yang dikatakan Abu Bakar.
    
“Terima kasih…” ucapnya lagi.
    
“Kami pergi dulu.” Abu Bakar memberitahu.
    
“Siapa namamu, abang?” soal budak itu sebaik melihat Abu Bakar bangun.
    
“Abu Bakar. Kamu?”
    
“Haydar.”
    
“Haydar ya… Jumpa lagi, Haydar.”
    
“Jumpa lagi, abang.”
    
Abu Bakar, Abu Usman, Abu Muhammad, dan Rawwad melangkah ke atas jalan semula.
    
“Jumpa lagi!” laung Haydar. Mereka berempat menoleh ke belakang. Haydar sedang melambai-lambaikan tangan ke arah mereka. Mereka berempat melambai kembali.
    
“Jumpa lagi Haydar!” laung Abu Bakar kembali.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku