Takdir Yang Mengikat
Bab 17
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
56

Bacaan






Rawwad membawa mereka bertiga berjalan melintasi rumah-rumah penduduk. Seterusnya dia memasuki satu lorong kecil. Timbunan batu-bata yang bersepahan di lorong itu membuat Abu Bakar dan rakan-rakannya melangkah dengan lebih berhati-hati. Selepas keluar dari lorong, mereka akhirnya tiba di satu kawasan yang menempatkan beberapa buah rumah batu sederhana besar yang dibina bersebelahan satu sama lain. Rawwad terus merapati salah sebuah rumah.
    
Sambil mengetuk pintu, Rawwad memberi salam.
    
“Assalamualaikum.”    
    
“Waalaikumsalam,” jawab satu suara dari dalam rumah. Pintu kayu dibuka. Seorang lelaki berjanggut putih dan berbadan besar muncul di muka pintu. Kedutan yang banyak pada wajahnya menandakan usianya yang sudah menginjak senja.
    
“Apa khabar, saudaraku?” Rawwad menyoal ramah.
    
“Alhamdulillah, baik,” jawab Malik. Mereka berdua berpelukan seketika. Lelaki tua itu menepuk-nepuk tubuh Rawwad.
    
Setelah pelukan terlerai, Malik mengalih pandangan pada tiga orang lelaki di belakang Rawwad. Melihat mereka, Malik cepat-cepat mempersilakan Rawwad masuk.
    
“Masuklah, Rawwad.” Dia mempelawa. “Kamu bertiga juga,” arahnya pada Abu Bakar dan yang lain.
    
Mereka berempat melangkah masuk ke rumah Malik. Selepas menanggalkan kasut, mereka bergerak ke ruang tamu.
    
Lantai ruang tamu Malik dilapik dengan permaidani biru. Televisyen diletak di penjuru ruang tamu, berhampiran dengan rak buku. Tiga buah sofa warna coklat bersama meja kecil melengkapkan lagi ruang tamunya.
    
“Duduklah dulu.”
    
“Maaflah menyusahkan saudara pula,” ujar Rawwad. Keempat-empat mereka mengambil tempat duduk di atas sofa. Malik meminta diri lalu menuju ke dapur.
    
Anak mata Abu Bakar mengamati bingkai gambar sederhana besar yang tergantung di dinding. Malik, seorang wanita dalam lingkungan 60-an, dan empat orang lelaki sedang tersenyum di dalam salah satu bingkai gambar tersebut. Senyuman mereka membuat dia tiba-tiba merindui keluarganya di Ufa. Pada saat itu, dia benar-benar mahu mendengar suara ibu bapanya dan Ruslan.
    
Abu Muhammad menguis lengan Abu Bakar.
     
Dengan suara yang hampir berbisik, anak muda itu menyoal. “Agaknya dia pergi ke mana?”
    
“Entahlah. Mungkin dia nak hidangkan kita sesuatu agaknya.” Abu Bakar menjawab, juga dalam nada yang perlahan.
    
“Waktu-waktu macam ni saya rasa laparlah pula. Boleh tak beri saya sebiji roti yang abang beli tadi?”
    
“Kamu ni... apa pula kata Encik Malik nanti bila dia nampak kamu makan makanan lain di rumahnya?” Abu Bakar menyoal. Abu Muhammad mengeluh perlahan. Perutnya mula membuat bunyi.
    
Beberapa minit kemudian, Malik kembali ke ruang tamu sambil membawa dulang berisi biskut dan lima cawan berisi kopi panas. Dulang tersebut diletakkan di atas meja.
    
“Silakan makan. Jangan malu-malu.” Malik mempelawa sebelum melabuhkan punggung di atas sofa.
    
“Saya pasti saudara tahu kenapa kami datang ke sini.” Rawwad membuka bicara.
    
“Ya.”
    
Pemilik tubuh tua itu diam seketika.
    
“Mereka semua ni dari jamaat Abdul Hakim ke?” soal Malik. Dia maklum benar yang Rawwad ialah orang yang bertanggungjawab mengajar bahasa Arab kepada beberapa kumpulan mujahidin yang berasal dari luar Syria.
    
“Ya, mereka dari Dzhamaat Halifat. Rekrut baru.” Tenang Rawwad menjawab.
    
Malik memerhatikan Abu Muhammad yang sedang makan biskut. Tatkala terpandangkan mata lelaki tua itu, Abu Muhammad cepat-cepat menundukkan kepala. Malu dia dipandang ketika sedang makan. Pandangan mata Malik beralih kepada Abu Bakar. Mata mereka bertautan. Abu Bakar menundukkan kepala sedikit sebagai tanda hormat. Malik seterusnya memandang Abu Usman. Pemuda tersebut mengukir senyum kepadanya.
    
Lelaki tua itu menyandarkan tubuh pada sofa.
    
Fikirannya menerawang.
    
Perang saudara di Syria ini sudah pun mengorbankan ramai nyawa warga Syria. Haruskah ia mengorbankan nyawa anak-anak muda dari luar Syria juga? Berbaloikah mati di tanah asing ini, jauh daripada keluarga tercinta? Apa sebenarnya yang anak-anak muda ini cari di Syria? Syahid? Benarkah mereka akan mati sebagai seorang syuhada?
    
Satu keluhan berat dilepaskan dalam hati.
    
Hidup atau mati anak-anak muda ini tiada kaitan dengannya. Mereka yang memilih jalan ini, jadi sudah pasti mereka tahu apa yang menanti mereka di kemudian hari, bukan?
    
Mata tua Malik melirik pada bingkai gambar yang tergantung pada dinding. Senyuman isteri dan anak-anaknya di dalam gambar bagaikan satu lambaian yang memanggilnya untuk segera menyertai mereka.
    
Ya, hal anak-anak muda ini bukan urusannya. Sebaik sahaja dia berjaya menjual stok senjata yang masih berbaki, dia akan berpindah ke Turki dan bersatu kembali dengan isteri dan anak-anaknya. Tiada apa-apa di dalam dunia ini yang lebih penting daripada mereka semua. Lagi pula, tanah Syria ini bukannya milik dia dan warga Syria lagi. Ia sudah pun bertukar menjadi medan pertempuran tentera Assad, tentera pemberontak, dan pasukan mujahidin asing.
    
Jujur kata, Malik sudah penat dengan semua ini. Dia ingin meninggalkan Syria secepat mungkin dan kembali ke pangkuan ahli keluarga tercinta.

*****
    
Sudah 20 minit berlalu namun mereka berlima masih lagi berada di ruang tamu. Rawwad dan Malik sedang rancak bercerita. Abu Bakar tidak tahu apa yang mereka bualkan. Pengetahuan bahasa Arabnya hampir sifar.
    
Abu Bakar berpaling memandang Abu Muhammad. Mata Abu Muhammad sedang tertumpu pada biskut- biskut di atas pinggan. Anak muda itu sudah pun makan 2 daripada 10 biskut yang dihidangkan. Jadi secara teorinya, bahagian Abu Muhammad sudah habis. Yang tinggal cuma bahagian Abu Usman dan Abu Bakar sahaja.
    
“Ambillah lagi dua tu.” Abu Bakar menyuruh.
    
“Tapi itu abang punya”
    
“Abang tak makan. Ambillah.”
    
“Serius?”
    
“Ya, serius.”
    
Dengan senyuman, Abu Muhammad mengambil biskut-biskut tersebut.
    
“Terima kasih.”
    
“Sama-sama. Makan cepat.”  Abu Muhammad mengangguk lalu memasukkan biskut ke dalam mulut.
    
Abu Usman yang melihat mereka berdua hanya tersenyum. Mungkin inilah yang diperlukan oleh sahabat karibnya itu di sini – seseorang untuk dijaga. Seperti mana dia selalu menjaga Ruslan di Ufa.
    
Sejak kejadian Abu Bakar menembak mati askar Assad seminggu lalu, dan juga sejak Abu Bakar menghubungi keluarganya di Ufa, rakannya itu sudah kurang bercakap. Dia selalu sahaja duduk bersendirian. Nasib baiklah ada Abu Muhammad yang sentiasa ceria. Sekurang-kurangnya, anak muda itu boleh menghilangkan duka di hati Abu Bakar. Dan sekurang-kurangnya, Abu Muhammad bisa menemani Abu Bakar andai Abu Usman ditakdirkan mati di medan perang satu hari nanti.

*****
    
Setelah hampir sejam berbual, Malik bangun dari sofa yang diduduki.
    
“Jom, Malik nak bawa kita lihat senjata,” beritahu Rawwad kepada tiga orang pemuda yang menanti sejak tadi. Mereka berempat mengikuti langkah Malik dari belakang.
    
Malik masuk ke salah satu bilik tidur. Abu Bakar, Abu Usman, dan Abu Muhammad tercengang seketika. Mengapa Malik membawa mereka ke dalam bilik yang cuma dihuni oleh sebidang permaidani, sebuah katil, dan sebuah almari?
    
Tanpa membuang masa, Malik mengangkat salah satu bucu permaidani. Bucu tersebut ditarik hingga bahagian tengah. Mata Abu Muhammad membesar tatkala melihat apa yang tersembunyi di bawah permaidani.
    
Lelaki tua itu menarik gelang besi pada papan kayu yang menutupi lantai bersimen. Sebaik sahaja papan kayu ditarik ke atas, mereka melihat barisan anak-anak tangga yang menuju ke bilik rahsia di bawah.
    
“Mari turun,” ujar Malik. Dia menuruni anak-anak tangga dengan perlahan. Di belakangnya, Abu Muhammad, Abu Usman, Abu Bakar, dan Rawwad, mengikuti dengan berhati-hati memandangkan anak-anak tangga tersebut agak curam.
    
Di tingat bawah tanah, Malik menghampiri sebuah peti besar yang diletak di tengah-tengah. Mereka yang lain mendekati Malik dari belakang. Lelaki tua itu mengeluarkan sebentuk kunci dari dalam kocek seluar. Setelah meleraikan ibu kunci, peti besar tersebut dibuka.
    
“Cuma beberapa laras AK-74 sahaja yang tinggal, bersama dengan dua pucuk pistol.” Malik memberitahu.
    
“Malik cakap tinggal beberapa AK-74 sahaja yang masih ada, dengan 2 pucuk pistol.” Rawwad menterjemahkan.  
    
“Kalash ni buatan Bulgaria dan harganya 1300 dolar. Pistol ni pula berharga 1000 dolar,” ujar Malik.
    
“Kalash 1300 dolar dan pistol 1000 dolar,” terang Rawwad.
    
“Saya ingat paling mahal pun dalam lingkungan 800 ke 900 dolar…” komen Abu Usman.
    
“Kalash buatan Bulgaria lebih mahal harganya berbanding Romania dan yang lain. Kualitinya antara yang terbaik.” Rawwad memberitahu.
    
“Tapi 1300  tu terlalu tinggi.” Abu Muhammad memprotes.
    
“Sebelum revolusi, harganya taklah mahal seperti ini. Dalam 1000 dolar sahaja. Oleh kerana permintaan yang tinggi ketika dan selepas revolusi, harganya meningkat secara mendadak. 1300 ini dikira agak murah di sini kerana kedai lain biasanya jual dalam 1400 dolar untuk AK-74 buatan Bulgaria macam ni. Kiranya, Malik jual murah ni sebab dia nak habiskan stok senjatanya secepat mungkin dan mengikut anak dan isterinya yang ada di Turki sekarang.” Panjang lebar Rawwad menerangkan.    
    
“Boleh tak tolong minta diskaun ke 1100 dolar?” pinta Abu Usman.
    
“Sekejap saya tanyakan.” Rawwad kini membincangkan harga dengan Malik.
    
“Bila peperangan terjadi, yang paling untung ialah kilang yang menghasilkan senjata dan orang yang menjualnya…” ucap Abu Bakar dalam nada yang perlahan. Dia rasa terganggu apabila memikirkan ada manusia yang cuba mengaut keuntungan daripada pertelingkahan manusia lain.
    
Abu Muhammad tertunduk. Memang benar kata Abu Bakar. Bila peperangan tercetus, perniagaan yang paling menguntungkan sekali ialah perniagaan senjata.
    
“Tapi, awak tahu tak, dengan senjata ini juga, awak boleh menyelamatkan hidup ramai manusia yang lain,” kata Abu Usman. Dia menambah lagi, “bila seseorang manusia yang tidak ada apa-apa ditindas oleh manusia lain yang memiliki senjata, senjata yang ini, boleh membantu manusia yang ditindas tadi. Semuanya bergantung kepada siapa yang memiliki senjata ini.”
    
Abu Bakar mengambil selaras Kalashnikov dari dalam peti.
    
Kalash ni…mampu membunuh dan menyelamatkan nyawa manusia. Yang mana satu yang akan aku pilih?
    
“Malik kata dia boleh kurangkan ke 1100 dolar kalau beli 3.” Rawwad memberitahu.
    
“Saya nak yang ini.” Abu Usman menunjukkan AK-74 yang dipilihnya kepada Rawwad selepas dia selesai meneliti senapang tersebut.
    
“Yang dua orang lagi ni?” soal Malik, merujuk pada Abu Bakar dan Abu Muhammad.
    
Abu Bakar mengangguk kepada Rawwad.
    
“Saya ambil yang ini.” Abu Muhammad menunjukkan Kalashnikov yang dipilihnya.
    
“Mereka bertiga jadi ambil Kalash tu.” Rawwad memberitahu Malik.
    
Lelaki tua itu mengangguk. Dia mendekati almari yang terletak di sudut. Tiga buah beg tenis yang panjang dikeluarkan dari dalam almari. Kemudian, dia mengeluarkan pula tiga buah kotak panjang.
    
“Bawa sini ketiga-tiga Kalash tu.” Malik mengarahkan.
    
“Berikan Kalash tu pada Malik.” Rawwad memberitahu.
    
Mereka bertiga memberikan Kalashnikov yang dipilih kepada Malik. Malik seterusnya memasukkan senapang-senapang tersebut ke dalam tiga buah kotak hitam sebelum memasukkan satu-persatu kotak hitam di dalam beg tenis.
    
“Biarpun dia letak dalam beg tenis, saya pasti orang tahu yang kita bawa senjata di dalamnya. Mana ada orang main tenis lagi waktu-waktu macam ni,” komen Abu Muhammad.
    
“Tapi sekurang-kurangnya taklah menampakkan yang kita ni bawa senjata di tempat umum,” balas Abu Usman.
                        
*****
    
Hari kini menginjak senja. Malik memasukkan dua buah beg bagasi ke dalam bonet kereta. Selepas menutup bonet, Malik menarik nafas lega. Cuma tiga laras Kalashnikov lagi yang masih tinggal, bersama dengan dua pucuk pistol. Namun begitu dia tidak mahu menunggu sehingga dia habis menjual kesemua senjata api tersebut. Dia tidak sanggup lagi hidup berjauhan dengan anak dan isterinya. Biarlah dia rugi, asalkan dia dapat bersama dengan anak-anak dan isteri tercinta. Dia sudah menelefon rakannya sebentar tadi untuk mengambil senjata-senjata yang masih tinggal di dalam rumah. Rakannya itu merupakan salah seorang komander pasukan pemberontak yang menentang rejim Bashar Assad.
    
Tiga laras Kalashnikov dan dua pucuk pistol, itulah hadiah daripadanya untuk pasukan pemberontak yang ingin membebaskan Syria daripada cengkaman rejim Assad.
    
Malik tidak mampu mengubah apa-apa. Malik tidak seberani mereka yang sanggup mati untuk membebaskan tanah kelahiran mereka daripada Assad dan sekutunya. Biarlah dia menghabiskan sisa hidupnya di tanah lain. Biarpun ada rasa kesal di hati, namun kecintaan Malik pada anak dan isteri jauh lebih mendalam. Mungkin, suatu hari nanti bila perang di Syria sudah berakhir, dia akan kembali ke tanah kelahirannya ini.
    
Malik menatap langit yang bertukar merah. Dia mengukir senyuman sedih. Inilah langit petang terakhir yang dilihatnya di Syria.
    
Ya, kali terakhir. Selamat tinggal, tanah airku.
    
Dalam hening senja yang sedang melabuhkan tirainya, dua das tembakan dilepaskan.
    
Serta-merta, tubuh Malik rebah. Darah membuak-buak keluar dari luka tembakan di dada. Tubuh tuanya menggeletar menahan kesakitan. Mulutnya mahu menjerit, namun apa yang keluar cumalah darah berwarna merah pekat.
    
“Sha…Shayma…” Nama itu terbit di bibirnya.
    
Selamat kembali, sayang.
    
Wajah Shayma muncul di kolam ingatan Malik. Isteri yang sudah melalui susah senang kehidupan dengannya itu tersenyum manis.
    
“Shayma…” Perlahan Malik memanggil.
    
“Selamat kembali, ayah...” Saad, anak bongsu Malik mengucapkan. Keempat-empat anak lelakinya sedang duduk di meja makan. Di atas meja terhidang pelbagai jenis lauk. Shayma muncul dari dapur. Dia membawa periuk berisi sup kambing kegemaran Malik.
    
“Baguslah ayah dah ada di sini bersama kita semua,” ujar Shayma.

    
Air mata Malik mengalir deras. Rindunya pada keluarga yang sudah setahun tidak ketemu membuak-buak di dada. Biarpun begitu, Malik sedar, senyuman mereka hanyalah satu mimpi indah. Dia tidak bisa melihat mereka lagi.
    
“Ashhadu alla ilaha illallah, wa ashhadu anna Muhammadar Rasulullah…”
    
Malik memejam mata. Bersama senyuman di bibir, lelaki tua itu pergi jauh, meninggalkan dunia yang fana selama-lamanya.
                        
*****

Markas Dzhamaat Halifat

    
Berita kematian Malik yang diterima menerusi pesanan ringkas mengejutkan Rawwad. Dia yang ketika itu sedang mengajar bahasa Arab kepada para mujahidin di markas, menghentikan pengajarannya sebentar lalu meminta diri untuk keluar dari bilik kelas. Jari-jemarinya mendail nombor seseorang.
    
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu,” ucapnya sebaik panggilannya disambut. Salamnya dibalas. “Saudara, apa benar Malik sudah tiada?” soal Rawwad.
    
“Benar, dia ditemui mati kelmarin. Dua das tembakan di bahagian dada, jarak jauh.” Jawab suara di hujung talian.
    
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Penembak tepat?”
    
“Kami juga rasa penembak tepat.”
    
“Malik tidak menyertai mana-mana kumpulan. Apa motif mereka membunuhnya?” Rawwad menyoal tidak puas hati.
    
“Mungkin kerana dia menjual senjata kepada kumpulan anti-rejim.”
    
“Malik sudah menjual senjata sebelum mulanya revolusi lagi. Tidak pernah ada apa-apa masalah pun.”
    
Terdengar keluhan di hujung talian.
    
“Itu dahulu. Setelah revolusi bermula, Malik menjual senjata kepada orang persendirian dan juga kumpulan yang menentang Assad. Mungkin dia dibunuh kerana itu.”
    
“Ya Allah…apa sudah jadi dengan tanah lahir kita ini, Tariq?” Rawwad memicit-micit kepalanya yang tiba-tiba sahaja sakit.
    
“Saya juga tidak tahu. Cuma, saya minta agar saudara berhati-hati.”
    
“Kenapa?”
    
“Saya tahu saudara mengajar bahasa Arab kepada mujahidin luar. Maksudnya, saudara punya kaitan dengan mereka. Jika perkara ini diketahui oleh rejim Assad, saya khuatir saudara akan ditimpa masalah. Jika saudara ingin teruskan juga, saya sarankan saudara pindahkan keluarga saudara dari Aleppo. Hantar mereka ke Turki.” Tariq memberi saranan.
    
“Saudaraku, itulah yang saya sedang usahakan. Tapi untuk melakukan itu, saya memerlukan wang yang banyak. Sebab itu saya menerima pekerjaan ini. Walaupun gajinya agak rendah daripada ketika saya menjadi guru sekolah, ia lebih baik daripada terpaksa hidup tanpa sebarang pekerjaan di Aleppo.”
    
Sekali lagi Tariq melepaskan keluhan.
    
“Saya sudah tidak kisah siapa yang akan memerintah negara kita. Saya cuma mahu keadaan kembali seperti sediakala,” ujar Tariq. Ada nada putus asa dalam ayatnya.
    
“Saya harap Assad dikalahkan, dan kuasa pemerintahan diberikan kepada Sunni.” Rawwad menyuarakan keinginannya.
    
“Pada masa itu pasti akan berlaku perang lagi. Kali ini di antara Sunni yang mahukan demokrasi, dan Sunni yang mahukan sistem Khilafah.”
    
Rawwad terdiam. Dia memusing kepala, memandang ke arah pintu bilik yang menempatkan 30 orang pemuda yang sedang belajar bahasa Arab.
    
Kata-kata Tariq memang benar. Rata-rata kumpulan yang berjuang di bawah panji Islam menolak sistem demokrasi. Mereka mahu mewujudkan sebuah negara Islam di Syria. Mungkin sekarang mereka bisa bekerjasama dengan kumpulan pemberontak, namun pada masa depan, boleh sahaja mereka saling berbunuhan. Walaupun musuh mereka ketika ini sama, namun ideologi dan masa depan yang mereka impikan, jauh berbeza.
    
Rawwad menarik nafas panjang. Tidak pernah terlintas di fikirannya yang pemuda-pemuda ini akan mengacukan senapang mereka pada pasukan pemberontak yang terdiri daripada warga Syria sendiri. Apatah lagi kepada orang awam sepertinya. Adakah dia patut meneruskan mengajar bahasa Arab kepada mereka? Rawwad kini keliru.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku