Takdir Yang Mengikat
Bab 18
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
72

Bacaan






Markas Dzhamaat Halifat
Latakia, Syria
  
    
Abu Bakar memasukkan satu-persatu barang keperluan ke dalam beg galas. Malam itu, dia diberi tugasan ribat* bersama-sama Abu Usman dan tujuh orang rakan yang lain. Lokasi mereka ialah salah sebuah bukit di sekitar Qastal Ma’af. Kedudukan tepat bukit tersebut hanya akan diberitahu dua jam sebelum ribat bermula untuk mengelakkan kebocoran maklumat.
    
Abu Bakar menutup beg galas lalu mengikat gulungan tikar khemah kecil di atasnya. Sebaik terasa bahunya disentuh seseorang, dia berpaling ke belakang.
    
“Abu Bakar, kan? Saya Abu Safiya. Selamat berkenalan.” Abu Safiya menghulurkan tangan untuk bersalam. Abu Bakar menyambutnya.
    
“Saya Abu Bakar. Dari Grozny.”
    
“Saya dari Vladikavkaz.” Abu Safiya menyambung lagi. “Saya ribat bersama awak dan yang lain malam ni.”
    
“Oh…maafkan saya. Selain Abu Usman, Abu Basir, Hassan dan Abu Ismail, saya langsung tidak mengenali rakan-rakan ribat yang lain.” Abu Bakar jadi segan dengan Abu Safiya. Lelaki itu sampai sanggup mencarinya di bilik hanya untuk berkenalan.
    
“Tak apa. Awak baru sampai di markas dua minggu. Dah tentulah awak belum kenal semua orang. Saya sendiri pun baru kenal awak hari ini.” Pemuda dengan rambut coklat muda itu memberitahu. Senyumannya yang ramah sedikit sebanyak mengurangkan segan di hati Abu Bakar.
    
“Awak dah lama di markas?” Abu Bakar menyoal.
    
“Dua bulan. Oh ya, awak tahu tak di mana Abu Usman Shishani? Saya mahu berkenalan dengan dia.”
    
“Abu Usman? Mungkin di ruang tamu bersama saudara-saudara yang lain.”
    
“Kalau begitu, saya ke sana dahulu. Jumpa lagi nanti.”
    
Abu Safiya bergerak ke pintu.
    
“Jumpa nanti,” kata Abu Bakar. Dia menyambung kerja mengikat tikar selepas Abu Safiya keluar.
                        
*****
    
Dua lori pikap model Toyota berhenti di salah satu kaki bukit yang terletak di Qastal Ma’af. Abu Bakar, Abu Usman, Abu Ismail, Abu Safiya, Abu Yasmin, Abu Basir, Hassan, Abu Anas dan Abdul Malik turun daripada lori pikap yang dinaiki mereka lalu menghidupkan lampu suluh masing-masing. Gelap malam membuat suasana sekitar kelihatan berbalam-balam. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada pemandu-pemandu yang membawa mereka ke situ, mereka memulakan pendakian menuju ke puncak bukit.
    
Mereka bergerak dalam satu barisan panjang dengan Abu Basir berada paling hadapan. Pendakian dilakukan dengan berhati-hati berikutan lereng bukit yang agak curam. Ranting-ranting dan akar-akar pokok yang menyelirat di sana-sini dipijak dengan perlahan agar tidak mengeluarkan bunyi yang bisa menarik perhatian sesiapa.
    
Puncak bukit tersebut dipenuhi dengan pokok dan batu-batu besar. Abu Basir mengarahkan mereka mengumpul ranting-ranting di sekitar untuk membuat unggun api. Dia memilih satu tempat yang agak tersorok daripada pandangan bukit sebelah untuk dijadikan tempat berkawal mereka. Menggunakan ranting-ranting yang dikumpul tadi, Hassan mula membuat unggun api. Abu Bakar dan yang lain-lain membentangkan tikar yang dibawa sebagai alas duduk. Masing-masing duduk mengelilingi unggun api.
    
Abu Basir seterusnya memberi penerangan berkenaan tugas.
    
“Kita akan berpecah kepada dua kumpulan. 5 orang mengawal pos di sini, 4 orang lagi meronda kawasan sekitar. Tugas ini akan dilakukan secara bergilir-gilir sehingga malam esok. Sekarang, cuba lihat bukit yang ada di depan tu.” Abu Basir menunjuk ke arah bukit yang berhadapan dengan bukit tempat mereka berada.
    
“Laluan di lereng bukit sebelah tu ialah jalan berturap yang merupakan salah satu jalan masuk dan keluar ke Qastal Ma’af. Kita dapat maklumat daripada kumpulan lain yang tentera rejim akan menghampiri Bukit No.45 di Latakia melalui Qastal Ma’af. Kita maklum yang di kawasan ini sudah ada yang menjadi mata-mata pihak rejim. Dan dua hari yang lalu, kita dapat berita pembunuhan beberapa orang penduduk yang anti-rejim. Cuma menunggu masa sahaja sebelum askar-askar rejim memasuki kawasan Qastal Ma’af sepenuhnya.
    
Sebab itulah kita akan berkawal di sini malam ini dan esok untuk melihat kemaraan mereka. Apa-apa maklumat atau pergerakan mencurigakan harus kamu maklumkan segera kepada saya.” Panjang lebar Abu Basir menerangkan.
    
Abu Bakar mengangkat tangan.
    
“Ya Abu Bakar?” soal Abu Basir.
    
“Kalau tentera rejim sedang memasuki Qastal Ma’af, bukankah itu bermaksud kedudukan jamaat kita dalam bahaya?” Abu Bakar menyoal.
    
“Kita dapat bantuan daripada kumpulan lain. Kamu silap jika menyangka cuma jamaat kita sahaja yang ada di Qastal Ma’af. Amir kita dan amir jamaat lain di sini saling tolong-menolong. Dalam pertempuran yang lepas, jamaat kita bergabung dengan dua buah jamaat di sini. Kita tanam periuk api di beberapa bukit di kawasan sini untuk menyekat kemaraan tentera rejim.” Abu Basir menjelaskan. Dia kemudian melihat jam digitalnya.
    
“Dah masuk pukul 10 malam. Saya, Hassan, Abu Anas, dan Abdul Malik akan meronda selama sejam di sekitar sini. Yang lain akan duduk dan memerhatikan bukit sebelah tu. Sejam kemudian kami akan kembali dan bertukar tugas dengan kamu.”
    
Abu Basir, Hassan, Abu Anas, dan Abdul Malik mengambil senjata masing-masing.
    
“Pastikan walkie-talkie kamu hidup sentiasa. Apa-apa benda yang mencurigakan, beritahu segera kepada saya. Faham?” Abu Basir mengingatkan anak-anak buahnya.
    
“Faham!” sahut Abu Bakar, Abu Usman, Abu Yasmin, Abu Safiya, dan Abu Ismail.
                        
*****
    
Dingin kini mencucuk hingga ke tulang-temulang. Tanpa cahaya bulan, gelap malam tampak sungguh pekat walaupun dengan unggun api yang menemani. Abu Usman memeluk tubuh. Sesekali dia terbatuk. Dingin musim sejuk Syria tidak sesejuk Rusia, namun duduk di atas bukit bersama pokok-pokok yang sudah gugur daunnya pada musim dingin tidak menjanjikan kehangatan buat sesiapa. Dia melontar beberapa ranting kayu pada unggun api.
    
Abu Bakar mengeluarkan termos air dari dalam beg galas. Termos air itu diberikan kepada Abu Usman.
    
“Tak apa.” Abu Usman menolaknya.
    
“Awak sejuk, kan? Minum ni,” ujar Abu Bakar.
    
“Macamlah awak pun tak sejuk…” kata Abu Usman. Dia mengeluarkan ubat asma dari dalam poket seluar dan menayangkannya pada Abu Bakar. “Saya cuma perlukan ini,” katanya lagi.
    
Abu Bakar cuma mampu tersenyum. Termos air tadi diletakkan kembali di dalam beg galas.
    
“Abang berdua dah lama kenal ke?” Abu Ismail menyoal.
    
“Enam tahun lebih.” Abu Bakar menjawab.
    
“Wow, lamanya! Bagus! Bagus!” Abu Ismail memuji.
    
“Bila kita dah dewasa, 6 tahun cuma satu jangka masa yang pendek.” Abu Usman mengatakan. Dia menyedut ubat asma.
    
“Saya rasa lain kali awak kena beritahu amir yang awak menghidap asma. Jadi tak perlulah awak buat ribat ketika musim sejuk,” cadang Abu Safiya.
    
Abu Usman gelak kecil. “Kalau macam tu saya hanya akan jadi ahli yang membebankan pasukannya. Wujud, tapi sebenarnya tidak wujud.”
    
“Hidup, tapi sebenarnya tidak hidup.” Abu Bakar sengaja menambah untuk menghiburkan suasana.
    
“Mati, tapi sebenarnya tidak mati. Samalah macam orang yang syahid, mereka tidak pernah mati di sisi Allah.” Abu Safiya tidak mahu melepaskan peluang untuk memberi idea pada apa yang difikirkannya sebagai permainan ‘kata’ mereka.
    
“Hipokrit, dan sebenarnya memang hipokrit.” Abu Yasmin yang diam sejak tadi, mencelah. Nada pemuda rambut perang itu kedengaran sedang menyindir. Empat pasang mata kini tertumpu padanya.
    
“Apa maksud awak?” Abu Safiya menyoal tidak puas hati.
    
“Saya cuma bergurau.” Abu Yasmin menjawab.
    
“Gurau, tapi sebenarnya tidak bergurau,” tokok Abu Ismail sambil tersenyum sinis. Abu Yasmin mengerling ke arahnya.
    
Abu Usman dan Abu Bakar dapat merasa ketegangan yang sedang berlaku.     
    
Abu Yasmin mahu membalas kata-kata Abu Ismail, namun Abu Usman terlebih dahulu memintasnya.
    
“Sudah-sudahlah tu. Semua ni cuma gurauan sahaja, kan?” Dia memandang Abu Bakar. Abu Bakar mengangguk kekok.
    
Perbualan mereka terhenti tatkala mendengar bunyi tapak kaki yang menghampiri. Abu Basir, Hassan, Abdul Malik, dan Abu Anas yang baru balik dari meronda, mendekati mereka semua.
    
“Tak nampak apa-apa yang aneh di sekitar sini. Kamu semua pula?” soal Abu Basir.
    
Abu Usman menunjuk ke lereng bukit sebelah. “Tadi nampak satu keluarga keluar dari kawasan Qastal Ma’af.”
    
“Kamu pasti mereka orang awam dan bukannya tentera?” Hassan menyoal.
    
“Ada 3 lelaki dewasa, 2 perempuan dewasa, dan 3 kanak-kanak,” jawab Abu Bakar.
    
Abu Basir mengangguk. “Baik, tukar tugas. Giliran kamu meronda.”
    
Kelima-lima mereka bangun.
    
“Abu Ismail kamu tunggu di sini,” arah Abu Basir.
    
“Kenapa? Saya sepatutnya ikut sama meronda.”
    
“Tunggu di sini,” tegas Abu Basir. Lelaki itu memandang Abu Bakar, Abu Usman, Abu Yasmin, dan Abu Safiya. “Pecah dua kumpulan. Jangan terlalu jauh buat rondaan.” Dia memberi arahan.
    
Mereka berempat mengangguk. Masing-masing mengangkat senjata dan menggalas beg. Abu Usman membuat isyarat kepada Abu Bakar. Matanya  bersilih ganti ke arah Abu Safiya dan Abu Yasmin. Abu Bakar mengangguk faham.
    
“Mari Abu Yasmin. Kita meronda bersama,” ajak Abu Usman lalu menghidupkan lampu suluh.
    
“Ya.” Abu Yasmin menjawab tanpa menoleh.
                        
*****
    
Suasana sekeliling yang gelap menyukarkan pergerakan mereka. Pokok-pokok yang tumbuh berhampiran satu sama lain pula samar-samar terlihat. Biarpun ditemani cahaya lampu suluh, mereka harus sentiasa berhati-hati ketika melangkah agar tidak tersadung akar serta ranting-ranting pokok yang bertaburan di lantai bukit.
    
Abu Usman menguap lama.
    
Rondaan sudah memasuki minit kedua puluh. Namun tiada sepatah ayat pun keluar dari mulut mereka berdua. Abu Usman mula merasa kurang selesa. Dia tahu Abu Yasmin seorang yang pendiam. Cuma dia tidak sangka yang keadaan akan jadi kekok seperti ini. Lebih-lebih lagi selepas mendengar kata-kata sindiran Abu Yasmin sewaktu di pos kawalan.
    
Abu Usman mengeluh perlahan.
    
Abu Yasmin memerhatikan Abu Usman melalui ekor matanya, kemudian dia memandang hadapan kembali.
    
“Awak tak perlu paksa diri awak,” ujar Abu Yasmin.
    
“Apa maksud awak?”
    
“Awak nak meronda dengan Abu Bakar, bukan?”
    
“Itu cuma kesimpulan awak sahaja.”
    
“Kesimpulan saya tepat.”
    
“Kalau ia tepat pun, apa salahnya saya meronda bersama awak?”
    
“Awak semua hipokrit.” Abu Yasmin menuduh.
    
“Sebab kami semua cuba menyembunyikan sisi yang buruk ke?” Abu Usman menyoal.
    
“Ya.”
    
Abu Usman mengukir senyum.
    
“Ada orang yang sedang cuba merubah dirinya agar jadi lebih baik, cuba memulakan hidup sebagai orang baru di sini.”
    
“Kebaikan yang ada di sini adalah satu penipuan.”
    
“Apa yang awak cuba sampaikan?”
    
“Sifat baik tak dapat dipupuk dengan mudah. Begitu juga dengan sifat pentingkan diri. Ia tak dapat dihilangkan dalam jangka masa yang singkat. Kerana manusia ialah makhluk yang kompleks.”
    
“Itu cuma fikiran negatif awak sahaja. Manusia boleh berubah dalam masa sehari,” bidas Abu Usman.
    
“Awak seorang yang naif.”
    
“Dan awak pula seorang yang sunyi dan menyedihkan.” Abu Usman menyindir.
    
“Awak tak faham.”
    
Abu Yasmin berhenti berjalan.
    
“Maksud awak?” Abu Usman menyoal. Dia turut menghentikan langkahnya.
    
“Sifat hipokrit manusia sedang mengaburkan mata awak semua.”
    
Abu Yasmin tertunduk.
    
“Abu Yasmin, awak ada perkara penting nak diberitahu, bukan?”
    
Abu Yasmin membisu.
    
“Awak belum pasti tentangnya, tapi awak nak beritahu juga, betul tak?” Abu Usman meneka.
    
Abu Yasmin mengangkat wajah. “Kalau betul Abu Bakar seorang yang penting buat awak, awak kena bersama dengan dia selalu.”
    
“Apa maksud awak?”
    
Belum sempat Abu Yasmin menjawab, terdengar bunyi tembakan di udara. Abu Usman berpaling ke arah bunyi tembakan tadi. Matanya membesar.     
    
“Abu Bakar!” Abu Usman berlari mengikuti arah bunyi tersebut. Beberapa tembakan susulan dapat didengari dengan jelas. Abu Yasmin mengikuti Abu Usman.
    
“Abu Bakar!” Abu Usman melaung. Dia sudah tidak menghiraukan apa-apa lagi. Malah Abu Yasmin juga sudah dilupakan. Kakinya kencang berlari. Kepala pula dipusing ke kiri dan ke kanan, cuba mencari kelibat rakan baiknya dalam kegelapan malam.
    
“Abu Bakar! Abu Bakar! Awak dengar tak?” Abu Yasmin menyoal melalui walkie-talkie.
    
Tiada jawapan.
    
Bang! Bang! Bang! Tiga das tembakan kedengaran.
    
Disusuli dengan laungan Allahu Akbar yang kuat.
    
Larian Abu Usman terhenti. Dia cukup mengenali suara yang melaungkan takbir Allahu Akbar itu.
    
“Aslan! Aslan!” jerit Abu Usman, panik. Dia meredah pokok-pokok sederhana tinggi dengan pantas. Wajah sahabat baiknya itu bermain di minda.
    
Tidak! Tidak! Jangan tinggalkan aku, Aslan!

*****
    
Abu Bakar tersandar pada pokok. Matanya tepat memandang beg galas yang tersadai tidak jauh dari situ. Dia menganjur tubuh ke hadapan, cuba mendapatkan beg tersebut. Namun kesakitan yang menggigit tubuh membataskan usahanya. Dia kembali menyandarkan tubuhnya pada batang pokok. Tapak tangan ditekap pada rusuk kiri, cuba menghentikan darah yang mengalir melalui luka tembakan. Nafasnya putus-putus menahan sakit.
    
“Allah…” dia mengucap perlahan. Peluh sejuk menitik membasahi dahi. Matanya berair. Kesakitan yang ditanggung tidak tertahan lagi.
    
“Aslan!”
    
Suara Abu Usman menjengah telinga. Abu Bakar menoleh. Abu Usman dilihat sedang berlari ke arahnya.
    
“Baha…ya…shiyat…” ucap Abu Bakar, perlahan. Dia tidak tahu berapa orang yang melepaskan tembakan ke arahnya dan Abu Safiya tadi. Kawasan itu tidak selamat.
    
Jangan rapat, Akhshiyat…
    
Pandangan Abu Bakar berpinar. Jeritan Abu Usman yang memanggil namanya juga sudah tidak kedengaran lagi. Kesedarannya beransur pergi. Akhirnya, Abu Bakar menutup mata.
_____________________________________________________


Glosari

Ribat: Ribat ialah perkataan Arab yang merujuk kepada binaan benteng kecil di sepanjang sempadan ketika tahun pertama penaklukan Muslim ke atas Afrika Utara. Ia berfungsi menempatkan sukarelawan tentera. Namun dalam kalangan pasukan mujahidin, istilah ribat merujuk kepada tugasan mengawal pos sempadan untuk mempertahankan Dar al-Islam.





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku