Takdir Yang Mengikat
Bab 19
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
96

Bacaan






“Aslan!” Abu Usman memanggil di hadapan sahabatnya. Pipi Abu Bakar digoncang perlahan. “Aslan, awak dengar tak?” panggil Abu Usman lagi.
    
Abu Bakar tidak menjawab.    
    
Abu Usman diselimuti cemas. Lampu suluh yang dililit pada kep dihalakan ke bahagian tubuh rakan baiknya. Bahagian bawah kiri jaket camo yang dipakai Abu Bakar dibasahi darah. Abu Usman segera menurunkan beg galasnya. Kemudian, dia menggerakkan tubuh Abu Bakar perlahan-lahan lalu membaringkannya di atas tanah. Kit kecemasan dikeluarkan dari dalam beg galas. Dia perlu menghentikan pendarahan Abu Bakar. Jika tidak, sahabatnya itu akan mati akibat kekurangan darah.
    
Abu Yasmin berdiri membelakangi Abu Usman. Dia mengacukan muncung senapangnya ke hadapan, mahu melindungi Abu Usman dan Abu Bakar. Bagaikan helang yang memburu mangsa, matanya  tajam memerhati pokok-pokok di situ, cuba mencari kelibat si penembak yang telah menjatuhkan ahli pasukannya.
    
Tatkala terpandang kelibat manusia tidak jauh dari situ, Abu Yasmin cepat-cepat menghalakan senapang ke arah kelibat tersebut.
    
“Jangan tembak!” laung satu suara. Beberapa saat selepas itu, Abu Safiya muncul sambil menyeret satu tubuh manusia. Abu Yasmin berlari mendapatkan Abu Safiya.    
    
“Askar Assad?” Abu Yasmin menyoal sebaik melihat jasad tidak bernyawa yang diseret lelaki itu.
    
“Saya pun tak pasti.” jawab Abu Safiya. “Mana Abu Bakar?” Dia menyoal. Jasad tidak bernyawa tersebut dilepaskan.
    
“Abu Usman sedang merawat dia,” jawab Abu Yasmin.
    
“Saya nak lihat keadaan dia…”
    
Belum sempat Abu Safiya melangkah, Abu Yasmin terlebih dahulu menggenggam lengannya dengan kuat. Mata biru Abu Yasmin tepat memandang wajah Abu Safiya.
    
“Dengar sini, saya tak tahu apa yang awak rancangkan,” bisik Abu Yasmin. Dia menyambung lagi. “Yang saya tahu, jika Abu Bakar tak selamat, saya akan pastikan awak takkan hidup untuk lihat hari esok.” Abu Yasmin mengugut.
    
Abu Safiya tersenyum sinis. Nampaknya lelaki itu sudah tahu rahsianya. Pastinya dia pernah melihat Abu Safiya melakukan ‘sesuatu’. Tiada guna dia bermain tarik tali dengan Abu Yasmin lagi. Kali ini, gilirannya pula menutup mulut Abu Yasmin.
    
“Bagaimana pula dengan awak, Usman Aushev?” soal Abu Safiya.
    
Terbeliak mata Abu Yasmin.
    
“Nama Aushev tu, agak terkenal di Ingushetia, kan?” Abu Safiya menyoal lagi. Senyumannya melebar.
    
Abu Yasmin menelan liur, terkedu. Jantungnya berdegup pantas. Bagaimana Abu Safiya tahu berkenaan dirinya? Siapa lelaki itu sebenarnya?

*****
Skudai, Johor, Malaysia
    
“Kita dah kenal lama, Zafirah. Saya dah anggap awak macam adik saya sendiri. Untuk pergi lebih jauh daripada itu, saya tak dapat lakukannya.”
    
Zafirah Dayana termenung di jendela kamar. Kata-kata Mikhail minggu lalu terngiang-ngiang di telinga. Lelaki yang dia sayangi selama 12 tahun, telah menolak cintanya. Mikhail melayannya dengan baik selama ini kerana mereka berdua bersahabat sejak kecil. Mikhail tidak pernah menyimpan hati kepadanya.
    
Biarpun begitu, Zafirah tidak mahu mengalah. Rasa cintanya pada Mikhail Zhuravlev tidak akan berkubur begitu sahaja.  

Tiga hari yang lalu…
    
“Mikhail Zhuravlev. 1 Oktober 1992…” Zafirah mengucap perlahan. Jari-jemarinya pantas menaip nama tersebut di ruang pencarian VKontakte. Satu akaun dengan nama Mikhail Zhuravlev muncul. Zafirah membuka profil si pemilik.
    
Dah jumpa. Inilah dia akaun Mikhail.
    
Wajah Mikhail, jirannya, terpampang di ruangan profil. Zafirah senyum sendiri. Walaupun hanya di dalam gambar, Mikhail tetap nampak kacak. Wajah kacukan Slavic-Melayu miliknya jauh berbeza dengan lelaki Melayu lain. Mungkin itu yang menjadi daya penarik Mikhail di mata gadis.
    
Nak hantar friend request tak?’ Zafirah bermonolog sendiri. Tujuannya membuat akaun VKontakte ialah untuk mengetahui perkembangan terkini Mikhail, rakan-rakan Mikhail, ahli keluarganya di Malaysia dan Rusia, luahan rasa hatinya, dan interaksi Mikhail dengan gadis-gadis lain. Walaupun berjiran dan bersahabat rapat sejak kecil, Mikhail tidak banyak bercerita perihal dirinya, berlainan dengan adiknya, Azrael. Mikhail juga tidak memiliki akaun Facebook. Akaun VKontakte itu dibuka atas desakan sepupu dari Rusia. Mereka semua memiliki akaun VKontakte dan menggunakan akaun masing-masing untuk bertanya khabar.
    
Zafirah menggigit bibir. Jika dia hantar friend request, pasti lelaki itu rasa sangsi. Terutama sekali apabila melihat jumlah rakan yang dimiliki Zafirah.
    
Kosong.
    
Malah Zafirah turut tidak menggunakan nama sendiri di VKontakte agar rancangannya untuk melihat kehidupan online Mikhail tidak diketahui lelaki itu.
    
Satu keluhan dilepaskan. Gadis 22 tahun itu menutup profil Mikhail.
    
Dia patut menambah beberapa orang rakan dahulu sebelum menghantar friend request kepada Mikhail Zhuravlev.
    
Satu soalan muncul di minda si gadis licik.
    
Siapa yang harus dia tambah sebagai rakan? Selain Azrael dan Mikhail, dia tidak mengenali sesiapa yang mempunyai akaun VKontakte. Barangkali dia boleh hantar friend request kepada sesiapa secara rawak. Jika mereka menerimanya sebagai rakan, itu satu keuntungan buatnya. Jika tidak, dia juga tidak rugi apa-apa.
    
Zafirah mendapat idea. Memandangkan tarikh lahir Mikhail ialah 1 Oktober 1992, dia boleh cuba mencari orang yang memiliki tarikh lahir 1 Oktober yang sama dengan lelaki itu. Seseorang yang baru membuat akaun dan tidak memiliki ramai rakan.
    
Hampir 30 minit menatal satu-persatu profil, mata Zafirah tertarik pada satu nama.
    
Abu Bakar Shishani.
    
Zafirah hampir tergelak. Nama itu mengingatkannya pada jiran neneknya di kampung. Pak Abu Bakar yang tinggal selang 3 rumah dari rumah neneknya terkenal kerana suka menghisap shisha. Menurut cerita, ketika Pak Abu Bakar melawat anaknya di Qatar, Pak Abu Bakar telah jatuh cinta pada shisha yang diberikan kepadanya oleh majikan anaknya. Terus sahaja shisha menggantikan rokok daun yang sudah dihisapnya lebih 30 tahun.
    
Profil Abu Bakar Shishani dibuka. Abu Bakar Shishani belum ada rakan di VKontakte. Zafirah tersenyum lebar. Butang ‘Add to friends’ ditekan.
    
10 minit kemudian, Abu Bakar Shishani menerimanya sebagai rakan di VKontakte.

*****
Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia
Hospital Ufa
 
Ruslan melangkah keluar dari wad kanak-kanak. Ketika dalam perjalanan ke bilik rehat doktor pelatih, dia terserempak dengan Tatyana, salah seorang doktor yang bertanggungjawab menyelia doktor-doktor pelatih. Ruslan memaksa diri untuk senyum.
    
“Ruslan, ada berita tentang Aslan?” Tatyana menyoal.
    
“Tak ada lagi,” bohong Ruslan.
    
“Awak dah cuba letakkan poster Aslan di sekitar bandar?”
    
“Belum. Saya takut ada orang yang cuba ambil kesempatan atas kehilangan abang.” Sekali lagi Ruslan berbohong.
    
“Harap-harap Aslan kembali secepat mungkin.” Tatyana menyatakan simpati. Dia menepuk-nepuk bahu Ruslan. “Saya pergi dulu. Kalau kamu dan yang lain-lain ada masalah, jangan malu untuk datang jumpa saya.”
    
“Baik, doktor.”
    
Tatyana melangkah meninggalkan Ruslan. Kelibat wanita itu hilang sebaik membelok ke koridor kanan. Ruslan menarik nafas lega. Hampir semua doktor di hospital itu tahu akan kehilangan ‘misteri’ Aslan. Ramai yang bersimpati kepada Ruslan dan keluarganya. Namun adakah rasa simpati itu masih wujud dalam hati mereka sebaik mendapat tahu Aslan kini di Syria dan sedang mengangkat senjata seperti pengganas di pergunungan Kaukasus?   

*****
Kot putih digantung ke rak penyangkut. Ruslan merebahkan tubuh di atas katil single bed. Bersebelahan dengan katilnya, Viktor sedang tidur. Wajah lelaki itu nampak penat setelah 19 jam bertugas tanpa rehat. Ruslan mengeluarkan telefon pintar untuk mengunci jam. Dia perlu memeriksa keadaan pesakit kanak-kanak yang berada dalam pantauannya tiga jam lagi.
    
Ketika hendak mengunci jam, Ruslan perasan ada satu mesej WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali. Mesej tersebut dibuka.
--
+963535577692: Assalamualaikum, Ruslan. Ini Akhshiyat.
--
Dahi Ruslan berkerut. ‘Akhshiyat tukar nombor telefon ke?
  
Ruslan menaip balasan mesej.
--
Ruslan: Waalaikumsalam. Apa khabar Akhshiyat?

+963535577692: Khabar baik. Awak dan keluarga sihat?

Ruslan: Kami sekeluarga sihat.

+963535577692: Alhamdulillah. Ruslan, ada sesuatu yang saya ingin beritahu awak. Saya harap awak bertenang.
--
Ruslan mula tidak sedap hati. Apa yang ingin Akhshiyat khabarkan kepadanya? Adakah Akhshiyat tahu yang Aslan sudah hilang? Kenapa baru sekarang Akhshiyat menghubunginya?
--
+963535577692: Ruslan, Aslan ditembak. Tapi jangan risau, peluru dah dikeluarkan. Dia dalam keadaan yang stabil, cuma belum sedarkan diri.
--
Ruslan bingkas bangun. Mesej Akhshiyat benar-benar mengejutkannya. Abangnya ditembak? Akhshiyat ada bersama abangnya?
--
Ruslan: Akhshiyat, awak di Syria? Awak pergi ke Syria bersama abang?

+963535577692: Ya, Ruslan. Saya dan Aslan sama-sama ke Syria.
--
Ruslan meraup wajah. Rupanya Akhshiyat tidak dapat dihubungi selama ini kerana lelaki itu sudah ke Syria. Bukan Aslan sahaja yang meninggalkannya. Akhshiyat turut pergi bersama. Adakah Akhshiyat yang mendorong Aslan berhijrah ke Syria?
--
Ruslan: Abang ditembak di bahagian mana?

+963535577692: Jarak jauh, bawah rusuk kiri.

Ruslan: Akhshiyat, saya nak penjelasan yang menyeluruh.
--
*****
Hospital Al-Azzam, Qastal Ma’af
Latakia, Syria


Abu Usman menghela nafas panjang. Mesej Ruslan yang memintanya menjelaskan dengan lebih terperinci akan kecederaan Abu Bakar direnung lama. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjawab mesej tersebut tanpa membuat Ruslan susah hati. Seketika kemudian, Abu Usman mematikan telefon pintar. Kepala ditoleh ke kiri. Abu Basir sedang tidur sambil memeluk tubuh. Duduk di sebelah kanannya pula ialah naib amir jamaat mereka, Abu Hamza. Lelaki 36 tahun itu sedang menghantar mesej kepada seseorang. ‘Barangkali kepada amir’, fikir Abu Usman.
    
Abu Usman bangun dari bangku panjang yang diletakkan di luar bilik pesakit. Kaki dilangkah ke hadapan. Bilik yang menempatkan Abu Bakar dan beberapa orang pesakit lain dimasuki. Cahaya terang di bilik segera menerjah ke mata. Ia langsung berbeza dengan koridor hospital yang malap. Seorang petugas hospital berjalan melintasinya lalu keluar dari bilik tersebut.
    
Abu Usman merapati katil Abu Bakar.
    
Mata Abu Bakar terpejam rapat. Tiub endotrakeal (Endotracheal (ET) tube) yang diletakkan di trakea melalui mulutnya disambung pada mesin pernafasan. Tiub itu dipasang kepadanya memandangkan Abu Bakar mengalami kesukaran untuk bernafas sendiri. Tembakan yang dilepaskan pengintip Assad mematahkan false rib kiri Abu Bakar dan mengenai buah pinggang kirinya. Mujurlah tiada tanda-tanda kecederaan pada toraks. Percutaneous nephrostomy, penempatan tiub getah fleksibel (kateter) melalui kulit ke dalam buah pinggang dilakukan untuk mengeluarkan air kencing bagi memudahkan proses penyembuhan buah pinggang. Antibiotik prophylaxis turut diberikan untuk mengelakkan jangkitan.
    
Wajah Abu Bakar ditatap lama. Perasaannya berkecamuk. Walaupun peluru telah berjaya dikeluarkan daripada tubuh Abu Bakar, Abu Usman tetap risau. Mereka ialah mujahidin asing di bumi Syria. Kehadiran mereka di Syria bukannya disambut baik oleh semua penduduk. Jika penduduk yang pro-Assad tahu akan kehadiran mereka di hospital ini, sudah pasti keselamatan Abu Bakar akan terancam. Dia perlu sentiasa melindungi Abu Bakar.
    
Insiden yang menjurus kepada penembakan Abu Bakar juga satu masalah. Bagaimana pengintip rejim tahu ada mujahidin sedang membuat rondaan di bukit tersebut? Mungkinkah terdapat kebocoran maklumat? Tapi siapa? Siapa yang sanggup mengkhianati jamaat mereka?
    
Abu Usman melangkah keluar. Dia menghidupkan semula telefon pintar. Mesej daripada Ruslan dibalas. Kali ini, dia tidak mahu berselindung lagi.





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku