Takdir Yang Mengikat
Bab 20
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
70

Bacaan






Hospital Ufa,
Republik Bashkortostan, Rusia

    
“Astaghfirullahalazim…” Ruslan beristighfar sebaik membaca mesej daripada Akhshiyat. Dia tidak pernah terfikir abangnya akan melalui kesukaran seperti itu; ditembak dan terpaksa menahan kesakitan sedemikian rupa. Berapa banyak lagi situasi cemas yang harus ditempuh abangnya dan Akhshiyat selepas ini? Sungguh murah nyawa seorang insan di medan perang.
    
Cemas di dada Ruslan bertukar sebak. Air mata yang sejak tadi bergenang, sudah menitis ke pipi. Ruslan segera mengesatnya dengan tapak tangan. Walaupun hatinya dihambat kecewa akan keputusan Aslan untuk pergi ke Syria tanpa memberitahu mereka, Ruslan tetap ambil berat akan keadaaan abangnya. Rasa kasih pada Aslan tidak pernah kurang biarpun Aslan sudah mengkhianati kepercayaannya.
    
Seketika tadi, jantungnya terasa bagaikan mahu tercabut sebaik mendapat tahu Aslan cedera ditembak. Tapi kini, dia lega mendengar berita abangnya dalam keadaan yang stabil. Dia juga bersyukur Akhshiyat berada dalam keadaan yang selamat.
    
Ruslan bangun dari katil. Langkah diatur perlahan ke bilik air agar tidak membangunkan Viktor yang sedang lena tidur. Setelah mengambil wudhu, Ruslan membentangkan tikar sembahyang ke arah kiblat sebelum melakukan sujud syukur. Dia bersyukur kepada Allah kerana melepaskan abangnya daripada musibah kematian. Dia turut bersyukur kerana masih diberi peluang untuk merasa cinta seorang saudara.
    
Selepas melakukan sujud syukur, Ruslan mengerjakan 4 rakaat solat sunat Tasbih*. Di akhir solat dia berdoa agar diampunkan dosa kerana berprasangka buruk dan marah kepada abangnya. Hampir sahaja dia memutuskan persaudaraan mereka akibat sikapnya yang  degil.
    
Ruslan juga berdoa agar dia dan ahli keluarganya terhindar daripada bencana di dunia dan azab di akhirat, dan, semoga abangnya segera sembuh daripada kecederaan dan diberikan kesihatan yang baik sentiasa. Sebaris doa turut dititip buat Akhshiyat dan Zelimkhan yang berada di Syria. Semoga mereka sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.
    
Usai berdoa, Ruslan bangkit lalu melipat tikar sembahyang.
    
“Kenapa cara awak sembahyang lain daripada biasa?”
    
Suara itu membuat Ruslan sedikit kaget. Lantas dia menoleh ke arah si pemilik suara. Viktor, pemuda berbadan sasa dengan rambut coklat yang dipotong pendek ala tentera sedang menongkat dagu memandangnya di atas katil.
    
“Saya buat awak terbangun ke?” Ruslan menyoal, bimbang kalau-kalau dia mengganggu tidur Viktor.
    
Viktor menggeleng. “Taklah. Saya nak ke tandas. Tapi tengok awak sembahyang ke arah pintu tandas, saya tak jadi masuk tandas. Takkan saya nak lalu depan awak, kan?”
    
Ruslan tersenyum “Saya sembahyang mengikut arah kiblat.”
    
“Apa itu kiblat?”
    
“Arah yang menjadi panduan orang Islam semasa solat. Kami ikut arah Kaabah,” jelas Ruslan.
    
“Oh…macam tu. Saya ingat awak saja-saja menghadap arah tandas bilik ni waktu sembahyang.” Viktor turun dari katil. “Ah…saya dah tak tahan ni,” ujarnya lalu cepat-cepat bergerak masuk ke tandas.
    
“Maaf sebab buat awak tunggu lama…”
    
“Tak apa, tak apa.” Viktor memberitahu sebelum menutup pintu tandas.
    
Ruslan mengambil beg galas di bawah katilnya. Kemudian dia mengeluarkan sebuah buku nota kecil. Helaian demi helaian muka surat diselak hingga akhirnya dia bertemu dengan helaian yang kosong. Ruslan mula mencatat di dalam buku notanya.

15 Januari,
1. Berbual dengan Doktor Tatyana.
2. Abang cedera, tapi dalam keadaan yang stabil.
3. Bertukar-tukar khabar dengan Akhshiyat.
4. Berbual dengan Viktor lebih kurang 20 saat. <- Suatu peningkatan

    
Ruslan menutup buku nota biru itu. Tulisan tangan Akhshiyat di muka hadapan buku direnung.
    
‘Menyingkap Hidup Bermasyarakat: Ruslan dan Manusia III’, itulah nama yang diberikan oleh Akhshiyat di muka hadapan buku nota kecil milik Ruslan. Ruslan tersenyum kelat. Sikapnya yang pendiam selalu menyukarkan dia berinteraksi dengan rakan-rakan lain terutama sekali semasa menjalani latihan klinikal.
    
Memandangkan dia ialah rakan baik Akhshiyat dan adik kembar Aslan, rakan-rakan mereka yang lain sering mengadu kepada kedua-dua lelaki itu akan sikapnya yang kurang ramah dan suka melakukan kerja berkumpulan seorang diri. Akhshiyat pula, setiap kali mendengar aduan daripada rakan-rakan yang lain, akan menarik Ruslan masuk ke biliknya di hostel untuk memberi ceramah percuma tentang kepentingan komunikasi sesama manusia.
    
Ceramah Akhshiyat dan bebelan Aslan didengar dengan teliti. Akhshiyat memaksa Ruslan mencatat apa-apa nasihat yang diberikan ke dalam buku nota. Lelaki itu selalu mengusiknya berkenaan buku nota tersebut. Sepanjang 6 tahun persahabatannya dengan Akhshiyat, Ruslan sudah 2 kali menukar buku nota itu, menandakan yang dia sudah pun mengisi penuh buku nota yang pertama dan kedua dengan catatan kepentingan ‘hidup bermasyarakat’. Tapi ceramah Akhshiyat dan leteran Aslan setakat masuk ke dalam buku sahaja. Ruslan masih keberatan untuk mempraktikkan nasihat mereka berdua.
    
Dia tidak terlalu berminat dengan hubungan sesama manusia. Baginya, memiliki beberapa orang teman rapat yang memahami adalah jauh lebih baik berbanding memiliki ramai rakan. Sungguhpun begitu, entah mengapa kebelakangan ini dia rasa seperti memerlukan seseorang untuk berkongsi masalah dan berbual dengannya. Tanpa Aslan dan Akhshiyat, hidupnya jadi sunyi. Rumah yang menjadi tempat dia kembali juga tidak lagi mampu memberi kehangatan yang sama seperti ketika Aslan masih di situ.
    
Ruslan menoleh ke kiri. Viktor masih belum keluar dari tandas. ‘Barangkali melepaskan hajat besar’, fikirnya. Bila teringat kembali Viktor yang sanggup menunggu dia habis solat barulah masuk ke dalam tandas, Ruslan senyum sendiri.
    
Waktu untuk dia mempraktikkan segala nasihat yang diberikan Aslan dan Akhshiyat, tiba jua akhirnya.

*****

Grozny, Republik Chechen, Rusia

    
Ashura membuka peti surat biru yang diikat pada pagar rumahnya. Jari-jemari dimasukkan ke dalam, cuba mengumpulkan kesemua surat yang ada. Ketika dia mengeluarkan surat-surat tersebut, setangkai tulip kuning terjatuh keluar. Ashura membongkok tubuh untuk mengambil bunga tulip tadi. Kemudian dia memerhatikan sekeliling. Tidak ada kelibat manusia terlihat di mana-mana. Siapa yang memasukkan bunga tulip kuning itu di dalam peti surat rumahnya? Keliru, Ashura masuk kembali ke rumah membawa surat-surat dan bunga tulip kuning bersama.
    
“Dari mana dapat bunga tulip tu?” Fariza menyoal sebaik melihat Ashura meletakkan surat-surat yang diambil tadi di atas meja makan.
    
“Dari dalam peti surat,” jawab Ashura.
    
“Siapa yang bagi?” soal Fariza.
    
“Entahlah. Saya pun tak tahu.” Ashura menghulurkan bunga itu kepada ibunya.
    
“Peliknya. Kenapa tulip?” Fariza menyoal. Tulip kuning itu diperhatikan. Dia memulangkan tulip itu kepada Ashura kembali.
    
“Apa maksud mama?”
    
“Kalau nak memikat, kenalah guna bunga ros, kan?” Fariza mengusik anak gadisnya.
    
Ashura terpinga-pinga tidak memahami.
    
“Memikat? Siapa yang memikat?”
    
“Maksud mama, kalau nak pikat anak mama ni, kenalah beri ros warna merah. Sebab ros merah melambangkan cinta.”
    
Ashura menghela nafas. “Saya tak berminat dengan cinta, mama.”
    
“Sekarang kamu cakap macam tu. Bila kamu dah sambung belajar di universiti nanti dan lihat semua kawan kamu dah kahwin, kamu pasti akan tukar fikiran.” Fariza mengenyit mata.
    
“Hmm…tengoklah nanti macam mana,” ujar Ashura acuh tidak acuh. Sejujurnya, dia malas mahu memikirkan soal cinta dan lelaki. Percubaan menculik Zaur tempoh hari membuat Ashura skeptikal pada lelaki selain ayahnya dan Akhshiyat. Seru untuk mendekati mana-mana lelaki juga masih belum berkunjung tiba. Gadis itu hanya mahu fokus pada peperiksaan kemasukan universiti Uniform State Examination (EGE) yang akan berlangsung dari 27 Mei hingga 20 Jun nanti. Dia akan mengotakan janjinya pada Akhshiyat untuk turut menjadi seorang doktor.

*****

Markas Dzhamaat Halifat
Latakia, Syria

    
Matahari tinggi menaik. Tengahari itu, semua mujahidin di markas Dzhamaat Halifat diarahkan berkumpul. Amir jamaat yang juga veteran perang Chechen, Abdul Hakim, memerhatikan satu-persatu anak buahnya. Di sebelahnya berdiri Abu Hamza, naib amir merangkap amir militari jamaat. Dia bertanggungjawab memberi taklimat berkenaan strategi peperangan serta menyenaraikan nama ahli yang terlibat dalam operasi.
    
“Minta perhatian saudara semua!” Abdul Hakim mengucapkan dengan nada yang tegas. Semua mata kini tertumpu pada lelaki 33 tahun itu.
    
“Pukul 2 pagi esok, sebahagian besar ahli kita akan bergerak ke Bukit No. 31 untuk membantu Nusra mendapatkan bukit itu daripada askar Assad. Jadi malam ini selepas solat Isyak dan makan malam, aktiviti ceramah dan kelas bahasa Arab akan ditangguhkan. Untuk saudara-saudara yang akan terlibat dalam operasi, pastikan kamu kemas barang-barang dengan teliti kerana kita mungkin akan berada lama di Bukit No. 31, bergantung pada keadaan.
    
Dan, saya juga ingin mengingatkan saudara-saudara di sini untuk tidak menulis apa-apa berkenaan misi ini di akaun media sosial kamu. Saya tahu ada di kalangan saudara di sini yang suka upload gambar-gambar mereka di media sosial.”
    
Abu Hurairah mengusap-usap tengkuk. Terasa seperti amir Abdul Hakim sedang berbicara mengenai dia pula.
    
Abdul Hakim menyambung lagi. “Jangan lupa menulis wasiat. Jika saudara ditakdirkan syahid, barang-barang milik saudara boleh diberikan kepada sesiapa yang berkenaan, seperti yang tertulis di dalam wasiat saudara semua.”     
    
Fikiran Abu Usman melayang pada Abu Bakar yang masih dirawat di hospital. Andainya dia ditakdirkan terkorban, dia ingin Abu Bakar menerima semua barang-barangnya termasuklah laptop dan telefon pintar miliknya.

*****
    
Selepas taklimat oleh Abdul Hakim dan Abu Hamza selesai, semua mujahidin Dzhamaat Halifat kembali ke bilik dan mengemaskan barang masing-masing. Bilik-bilik yang dihuni mereka riuh dengan suara. Masing-masing cuba bersikap tenang seperti hari-hari biasa; bercerita tentang misi, bergelak ketawa dengan lawak yang kebanyakannya tidak menjadi, serta bernyanyi-nyanyi kecil.
    
Abu Usman meletakkan beg galas yang sudah siap dikemas bersebelahan beg galas Abu Bakar. Jika Abu Bakar tidak cedera, operasi esok hari ialah operasi pertama mereka. Mungkin ini adalah salah satu hikmah yang tersembunyi di sebalik musibah yang menimpa sahabatnya itu. Sekurang-kurangnya Abu Bakar tidak perlu terlibat dalam pertempuran untuk satu jangka masa yang lama.
    
Dalam Abu Usman sibuk melayan perasaan, namanya dipanggil seseorang.
    
Abu Usman berpaling ke belakang. Abu Yasmin sedang  memandangnya sambil berpeluk tubuh.
    
“Kenapa?” soal Abu Usman.
    
“Saya nak cakap dengan awak sekejap,” balas Abu Yasmin.
    
“Apa dia?”
    
Abu Yasmin memandang sekeliling. Bilik itu terlalu riuh dengan kehadiran mujahidin lain. Dia tidak mahu mereka terdengar perbualannya dengan Abu Usman.
    
“Sini tak sesuai untuk bercakap,” ujar Abu Yasmin.
    
Dahi Abu Usman berkerut. Wajah tegang  Abu Yasmin diperhatikan lama. Lelaki itu memandang ke dalam matanya, bagaikan ingin memberitahu sesuatu yang sangat mustahak.
    
Satu helaan nafas keluar dari dada Abu Usman. Perkara yang ingin diberitahu Abu Yasmin sudah pasti bersangkut-paut dengan kata-katanya semasa ribat 2 hari yang lalu.
    
“Baik, saya ikut awak.”
    
Abu Yasmin mengangguk lalu mengisyaratkan Abu Usman untuk mengikutinya.

_________________________________________________________

Glosari:

*Solat sunat Tasbih: Solat ini disebut Solat Tasbih kerana tasbih diucap sebanyak 300 kali dalam 4 rakaat solat. Solat sunat Tasbih dilakukan sebanyak 4 rakaat dan 1 salam sekiranya solat itu didirikan pada waktu siang. Jika didirikan pada waktu malam, 4 rakaat itu dilakukan dengan 2 salam (2 rakaat, 1 salam).

Solat sunat Tasbih ini telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Abbas bin Muththalib. Rasulullah SAW bersabda:  “Jika kamu mampu solat tasbih setiap hari, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, maka lakukanlah setiap hari Jumaat atau sebulan sekali atau setahun sekali atau seumur hidup sekali.”  ( Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah )



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku