Takdir Yang Mengikat
Bab 21
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
88

Bacaan






Abu Yasmin dan Abu Usman berjalan keluar dari perkarangan vila yang menjadi markas jamaat. Mereka berdua melalui jalan kecil di belakang vila. Abu Usman yang berada di sebelah Abu Yasmin, menurut sahaja langkah lelaki itu. Dalam hati dia tertanya-tanya akan perkara yang ingin disampaikan oleh Abu Yasmin. Mengapa tidak Abu Yasmin beritahu sahaja perkara yang mengganggu fikirannya kepada amir atau mana-mana mujahidin yang sudah lama berada dalam jamaat? Mengapa Abu Yasmin memilih dia?
    
Semakin lama, mereka berdua semakin jauh dari markas. Abu Usman mula rasa tidak sedap hati. Rahsia sangatkah apa yang ingin disampaikan Abu Yasmin itu hingga dia membawanya begitu jauh? Atau, adakah Abu Yasmin punya rancangan lain? Rancangan yang membabitkan nyawanya.
    
“Awak nampak gelisah,” ujar Abu Yasmin sebaik melihat riak wajah resah Abu Usman.
    
“Itu cuma tekaan awak sahaja.” Abu Usman menafikan.
    
“Awak senang dibaca.”
    
Abu Usman mengerling Abu Yasmin sebelum memandang jalan di hadapannya kembali.
    
“Kenapa awak datang ke Syria?” tanya Abu Yasmin.
    
“Sebab nak bebaskan Syria daripada Bashar Assad,” jawab Abu Usman. Tiada keraguan dalam kata-katanya.
    
“Awak ingat seorang lelaki biasa macam awak boleh runtuhkan benteng besi yang dibina Assad ke?” Abu Yasmin menyindir, sengaja memancing marah lelaki itu. Dia teringin melihat Abu Usman yang sentiasa sopan itu mengucapkan kata-kata yang keras. Satu hiburan buatnya.
    
“Saya tahu saya tak boleh lakukannya seorang. Sebab tu saya sertai jamaat kita,” jawab Abu Usman. Gigi diketap kuat. Panas hatinya mendengar sindiran Abu Yasmin.
    
Pemuda rambut perang itu ketawa. Tipikal jawapan seorang mujahid. Sudah banyak kali dia mendengar jawapan seperti itu.
    
“Jawapan saya lucu ke?”
    
“Ya. Lucu dan…bodoh bunyinya. Jawapan orang yang pendek akal.” Abu Yasmin membalas seraya memberi senyuman mengejek.
    
Darah muda Abu Usman menyirap. Apa yang lelaki ini mahukan daripadanya dengan provokasi seperti itu?
    
“Apa yang awak nak, Abu Yasmin?” Suara Abu Usman mula mengeras.
    
Bingo! Akhirnya Abu Usman naik marah juga.
    
“Usman. Panggil saya Usman,” ujar Abu Yasmin. Dia tersengih.
    
“Usman?” Terangkat kening pemuda Chechen itu.
    
“Ya. Saya Usman Aushev. Dari Ingushetia. Awak?”
    
Abu Usman terkedu. Patutkah dia memberitahu nama sebenarnya kepada Abu Yasmin yang penuh dengan rahsia ini?
    
Melihat Abu Usman tidak menjawab soalannya, Abu Yasmin berbicara lagi.
    
“Usman Aushev, itu nama sebenar saya. Tapi saya memasuki Turki bukan dengan nama Usman Aushev, tetapi Rashid Safarov.”
    
“I…identiti palsu?” Abu Usman semakin sangsi.
    
“Ya. Dan awak tak tahu betapa terkejutnya saya apabila ada orang di dalam jamaat kita yang tahu nama sebenar saya. Terutama sekali apabila orang itu sendiri bukan berasal dari Ingushetia atau Chechnya.”
    
Abu Usman memandang wajah Abu Yasmin tidak berkedip.
    
“Maksud awak…pengkhianat?”
    
Abu Yasmin menggeleng.
    
“Ada ‘tikus’ yang sedang menyalurkan maklumat jamaat kita kepada pihak Assad,” balas Abu Yasmin.
    
Langkah Abu Usman terhenti. Dia merenung wajah Abu Yasmin, inginkan lebih penjelasan. Melihat Abu Usman terpaku di situ, Abu Yasmin turut mematikan langkahnya.
    
“Awak terkejut ke?”
    
“Siapa yang tahu nama sebenar awak tu? Mengapa awak pasti yang dia tak pernah lihat awak di mana-mana? Mungkin dia kenal awak di media sosial.” Soalan demi soalan diajukan kepada Abu Yasmin.
    
“Tak mungkin saya silap. Terutama sekali bila dia juga tahu latar belakang keluarga saya.” Kali ini hati Abu Yasmin pula yang dipaut geram apabila teringat yang salah seorang ahli jamaat mereka kini memegang ‘rahsia’ berkenaan dirinya.
    
“Siapa ‘dia’ yang awak maksudkan?” Abu Usman sudah tidak sabar. Ayat putar belit Abu Yasmin membuat kepalanya dipenuhi lebih banyak tanda tanya.
    
“Abu Safiya.”
    
Mata Abu Usman membesar. Tidak mungkin Abu Safiya yang ramah dan mudah mesra itu ialah pengkhianat dalam jamaat mereka. Abu Yasmin pasti tersilap. Mungkin Abu Safiya pernah terserempak dengan Abu Yasmin di mana-mana. Atau mungkin rakan-rakan Abu Safiya di Rusia bersahabat juga dengan Abu Yasmin, sebab itulah dia tahu nama sebenar Abu Yasmin.
    
“Tak mungkin. Pasti awak silap. Tak mungkin Abu Safiya pengkhianat dalam jamaat kita. Dia selamatkan nyawa Abu Bakar sewaktu ribat!” Tinggi suara Abu Usman.
    
“Dengar dulu. Saya belum habis cakap lagi.”
    
Abu Usman menarik nafas, cuba menenangkan hati yang dibuai resah.
    
“Memang saya terkejut bila Abu Safiya tahu nama sebenar saya. Tetapi itulah yang membuatkan saya lebih percaya pada kata-katanya,” ujar Abu Yasmin.
    
“Saya tak faham. Apa maksud awak?”
    
“Sebulan setengah yang lalu, jamaat kita melakukan operasi bersama Ansar Sham. Tapi, operasi menggempur kubu musuh di Kesab itu gagal. Bilangan askar Assad yang diletakkan di situ jauh daripada maklumat yang diterima komander Ansar Sham. Ramai mujahidin Ansar Sham terkorban. Di pihak kita pula, 5 orang ahli jamaat kita gugur dan 2 ahli dalam keadaan kritikal.
    
Selepas kegagalan tersebut, amir dan mujahidin veteran lain mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak membenarkan mujahid pergi ke mana-mana kawasan Qastal Ma’af bersendirian. Ini untuk memantau gerak-geri ahli jamaat. Dalam masa yang sama, si penyib…maaf, Abu Safiya bertindak sendiri dengan memintas komunikasi mujahidin lain. Dan dia menjumpai beberapa mesej yang aneh; mesej-mesej ringkas dengan angka yang melambangkan masa, tarikh, dan koordinat.” Panjang lebar Abu Yasmin memberi penjelasan.
    
Klap! Klap! Klap! Klap! Klap!
    
Bunyi tepukan tangan muncul dari kawasan semak-samun di sebelah kiri.
    
Abu Yasmin mendengus. Raut wajahnya bertukar masam.
    
Abu Safiya dan Abu Muhammad keluar dari celah-celah semak.
    
“Bijaknya, Abu Yasmin. Saya beri 70 markah. Tolak 30 markah sebab tak sebut nama aplikasi canggih yang saya cipta sendiri itu.” Abu Safiya berseloroh. Abu Yasmin bercekak pinggang, menyampah dengan usikan Abu Safiya.
    
“Aplikasi?” Abu Usman menyoal kehairanan.
    
“Ya. Perisian tegar IRIS versi kedua yang saya cipta, menukarkan fungsi telefon pintar saya kepada radio. Ia membolehkan saya mengambil kesemua teks mesej yang disiarkan dalam saluran tertentu. Saya cuma perlu tahu mana satu rangkaian yang digunakan untuk menghantar mesej tersebut, dan memastikan telefon pintar saya dan telefon pintar yang menjadi sasaran berada dalam liputan stesen pangkalan yang sama,” jelas Abu Safiya.
    
“Akhirnya sikap sebenar awak yang menjengkelkan itu keluar juga.” Abu Yasmin mengucap sinis.
    
“Terima kasih,” jawab Abu Safiya dengan nada menyindir. Dia mengalih pandangan pada Abu Usman lalu memberitahu, “jangan risau. Saya bukan pengkhianat jamaat. Saya cuma seorang lelaki yang ingin merungkai kebenaran. Salah seorang mujahid yang meninggal tu rakan satu kampung saya. Jadi saya tak akan berhenti sehingga saya dapat kesan ‘tikus’ yang menyelinap jamaat kita.”     
    
Abu Usman mengangguk perlahan.
    
Abu Safiya menyambung lagi. “Tapi pengintipan saya pada mujahidin jamaat dikesan Abu Yasmin.”
    
“Cara awak mendekati dan bersahabat dengan semua ahli jamaat sangat mencurigakan. Awak muncul di mana-mana sahaja. Sebab tu saya rasa ada yang tak kena pada awak,” tempelak Abu Yasmin.
    
“Maaflah. Saya sebenarnya sedang cuba merapatkan telefon pintar saya dengan mereka untuk mendapatkan lebih isyarat,” keluh Abu Safiya.
    
“Awak dah beritahu tentang mesej-mesej yang awak jumpa tu kepada amir?”
    
“Sudah, itu pun dua hari yang lalu selepas insiden yang menimpa Abu Bakar. Ada dua nama yang saya saspek sebagai pengkhianat; Abu Anas dan Abdul Malik. Mesej berkenaan koordinat ribat dihantar selepas kita berpecah kepada dua kumpulan; yang menjaga pos kawalan, dan yang keluar meronda.”
    
“Kenapa awak tak beritahu amir tentang mesej tu lebih awal?” soal Abu Usman. Suara ditinggikan. Jika mereka tahu siapa pengkhianat dalam jamaat mereka lebih awal, pasti kawasan ribat mereka tidak diserang. Abu Bakar juga tidak akan cedera.
    
Satu helaan nafas dihembus dari dada Abu Safiya.
    
“Jika saya beritahu amir apa yang saya jumpa, amir pasti akan meminta mujahidin veteran menyiasat hal ini. Rasa curiga akan timbul dalam hati mereka pada ahli jamaat yang lain. Perpaduan dan kepercayaan dalam jamaat akan goyah. Struktur jamaat kita akan hancur dari dalam.” Abu Safiya menerangkan rasional di sebalik keputusan yang dibuat.
    
Abu Yasmin berpeluk tubuh. Riak wajah Abu Usman yang sarat dengan persoalan ditatap. “Kalau awak perasan, amir tak pernah maklumkan di mana kawasan operasi kita melainkan setelah kita tiba di kawasan tersebut. Tapi kali ini, amir beritahu. Awak rasa kenapa?”
    
“Untuk mengumpan si pengkhianat tu, bukan?” Abu Usman menyoal kembali.
    
“Tepat. Operasi mendapatkan bukit no. 31 tu tidak wujud. Pagi nanti, kumpulan kita akan berpecah dua. Abu Anas dan Abdul Malik akan ditempatkan dalam kumpulan yang berbeza dan dibawa ke tempat yang berbeza. Salah seorang daripada mereka pasti akan segera memaklumkan perubahan destinasi kepada pihak Assad. Sebabnya, ‘si pengkhianat’ itu sendiri tidak mahu dilabel sebagai ‘si pengkhianat’ oleh pihak Assad.
    
Saya dan Abu Safiya akan berada dalam kumpulan yang berbeza esok hari. Dan akan guna aplikasi Abu Safiya tu untuk memintas mesej yang dikirim.”
    
Abu Safiya menyampuk. “IRIS versi 2.”
    
“Hmph. Apa-apa sajalah namanya.” Abu Yasmin memandang Abu Muhammad pula. “Abu Muhammad akan menemani Abu Bakar di hospital. Untuk pastikan tak ada sesiapa cuba lakukan perkara yang tak sepatutnya dilakukan pada Abu Bakar. Maklumlah, kita sendiri tak tahu jika si pengkhianat tu ada rakan subahat lain di Qastal Ma’af ni.”
    
Abu Muhammad mengangguk faham.
    
“Kenapa awak berdua beritahu saya perkara ni? Bukankah ini sepatutnya rahsia?”
    
Abu Safiya mengukir senyuman tawar. Pada awalnya, di memang tidak mahu beritahu perkara ini kepada sesiapa selain amir, naib amir, dan Abu Yasmin. Namun setelah diyakinkan oleh Abu Yasmin, dia menukar keputusannya.
    
“Sebab saya rasa bersalah. Awak dan Abu Bakar dah bersahabat lama. Abu Bakar juga orang yang penting buat awak. Tapi disebabkan saya lambat tahu siapa sebenarnya pengkhianat tu, Abu Bakar hampir kehilangan nyawa.”
    
Terdiam Abu Usman. Kata-kata Abu Safiya meresap ke jiwa. Ya, Abu Bakar seorang yang penting dalam hidupnya. Malah lebih penting berbanding nyawanya sendiri.
    
“Abang tak rasa ke yang si pengkhianat tu sedang merisikokan nyawanya dengan memberitahu pihak Assad di mana operasi seterusnya? Dia bisa terkorban sama ketika situasi tembak-menembak berlaku.” Abu Muhammad yang sejak tadi senyap, meluahkan.
    
“Ya. Sebab itulah kami sama-sama berpendapat yang dia juga sudah bersedia untuk mati,” jawab Abu Safiya.
    
“Bukankah lebih senang kalau dia kirimkan sahaja kedudukan markas kita kepada tentera rejim?” soal anak muda itu lagi.
    
Abu Yasmin menghela nafas. “Dia tak lakukannya sebab markas jamaat kita sentiasa berubah. Sebulan setengah yang lalu kita di Idlib. Sekarang kita di Qastal Ma’af. Dan, sudah tentu pasukan peronda jamaat kita bisa menghidu kedatangan tentera rejim. Lagipun macam yang Abu Basir pernah cakap, bukan jamaat kita sahaja yang ada di Qastal Ma’af. Bantuan mudah tiba.
    
Tapi, dengan menggagalkan operasi jamaat, dia akan melemahkan moral ahli jamaat kita. Waktu itu, akan ada ahli yang mempersoalkan jihad yang mereka lakukan. Apabila keyakinan mereka pada jihad jamaat berkurangan, pasti ada yang keluar dari jamaat. Itulah yang dimahukan oleh si pengkhianat tu.”
    
“Dia ingin menyampaikan mesej yang jihad kita ini tidak diberkati oleh Allah. Sebab itulah kita selalu gagal. Hingga akhirnya, semua mujahidin muda akan berpaling dari jalan jihad dan kembali ke kampung halaman masing-masing.” Abu Safiya menyengih sebelum berjenaka, “Dan mereka semua pun hidup bahagia selama-lamanya.”
    
Abu Usman mengetap bibir seraya mengangguk-anggukkan kepala. “Masuk akal,” ujarnya.
    
Selepas berbual lama di situ, mereka berempat membuat keputusan untuk kembali ke markas. Dalam perjalanan, masing-masing tertanya-tanya. Abu Anas dan Abdul Malik; yang mana satu merupakan pengkhianat? Adakah Abu Anas yang selalu mengajar mereka membaca Quran dengan tajwid yang betul? Atau Abdul Malik yang tidak pernah menolak setiap kali mereka memintanya mengajar cara mengendalikan senjata?




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku