Takdir Yang Mengikat
Bab 22
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
73

Bacaan






Skudai, Johor, Malaysia
    
Loceng rumah keluarga Zhuravlev ditekan dua kali. Sambil itu, Zafirah membetulkan shawl merah jambu bercorak bunga yang dipakai. Ini kali pertama dia memakai shawl. Biasa dia hanya memakai tudung bawal sahaja. Namun kali ini, dia mahu memakai sesuatu yang berbeza. Sesuatu yang sedang dalam trend. Agar nampak cantik dan moden.
    
Bekas makanan yang dipenuhi kuih pinjaram yang terkenal di Sabah, dipeluk erat. Dalam hati berharap agar pintu rumah itu dibuka oleh orang yang ditunggu.
    
Jarinya menekan loceng rumah sekali lagi.
    
Beberapa saat kemudian, pintu kayu jati di hadapannya dibuka. Seorang lelaki awal 20-an muncul di ruangan mata.
    
“Mi…Mikhail,” panggil Zafirah sedikit gugup.
    
Mikhail yang berwajah pan-Asian dengan ketinggian 181 cm itu tersenyum memandangnya.
    
“Maaflah lambat buka. Saya dan Azrael di atas. Mama dan papa pula baru je keluar,” ujar Mikhail.
    
Aku tahu. Sebab itulah aku datang waktu ni.’ Hati kecil si gadis membisik. Tanpa disedari, mulutnya membentuk sengih yang lebar.
    
Hairan melihat gadis itu tersengih-sengih, Mikhail menyoal “Kenapa, Zafirah?”
    
Soalan ringkas Mikhail segera menyedarkan Zafirah. Bekas kuih dihulurkan dengan cepat. “Kuih. Kuih pinjaram.” Zafirah memberitahu.
    
Bekas kuih bertukar tangan. “Terima kasih. Awak yang buat ke?”
    
“Tak. Takkanlah saya pula yang buat. Saya masak pun tak tahu.” Spontan ayat-ayat itu terpancul keluar dari mulut Zafirah. Sedar yang dia telah memberitahu kelemahan diri sendiri, Zafirah pura-pura ketawa untuk menutup malu. “Mak…maksud saya, setakat masak nasi dan telur tu saya tahulah. Takkanlah saya tak tahu pulak. Hahaha…”
    
Apa yang aku merepek ni?’ marah Zafirah dalam hati.
    
Mikhail hanya tersenyum. Lawak juga Zafirah ni.
    
“Terima kasih,” ucap Mikhail lagi. “Oh ya, awak nak keluar ke nanti?” tanya Mikhail. Penampilan Zafirah dilihatnya lain daripada biasa. Dengan shawl yang terlilit di leher, blaus lengan panjang dan skirt labuh merah jambu, gadis itu kelihatan seperti dia akan menghadiri mana-mana majlis sebentar nanti.
    
“Keluar? Keluar ke mana?” Zafirah terpinga-pinga seketika.
    
“Tu…pakai tudung lawa-lawa ni, nak pergi wedding orang ke?” Mikhail meneka.
    
Zafirah jadi malu sendiri. Dia sebenarnya berpakaian seperti itu untuk menarik perhatian Mikhail. Tapi nampaknya dia sudah tersilap langkah. Mikhail kini ingat dia mahu menghadiri majlis perkahwinan pula.
    
“Ya. Wedding kakak kawan…” bohong Zafirah. Saat itu dia terasa seperti hendak menangis.
    
“Oh, macam tu. Emm…” Otak Mikhail ligat mencari ayat untuk dikatakan. “Terima kasih lah ya, untuk kuih ni…”
    
Zafirah tersenyum kelat. “Sama-sama.”
    
“Saya masuk dalam dulu. Assalamualaikum.”
    
“Waalaikumsalam,” balas Zafirah.
    
Pintu ditutup.
    
Dengan rasa kecewa yang meluap di dada, Zafirah melangkah keluar dengan perlahan daripada perkarangan rumah Mikhail.
    
Dia, memang tak ada hati pada aku, kan?’ Hati kecilnya membisik.

*****

Grozny, Republik Chechen, Rusia
    
Ashura melangkah ke ruang tamu dengan perasaan yang senang. Akhshiyat baru sahaja mengirimkan mesej yang menyatakan dia dalam keadaan yang baik. Hatinya bukan main gembira lagi dengan mesej Akhshiyat.
    
Sambil bernyanyi-nyanyi kecil, Ashura duduk di atas salah satu sofa lalu mengambil alat kawalan jauh televisyen di atas meja. Televisyen dihidupkan.
    
Wajah jelita Linda Idrisova yang sedang menyanyikan lagu Bezaman Alu menjadi tatapan mata.  
    
Ashura merenung wajah penyanyi Chechen yang popular itu. Suatu ketika dahulu, Akhshiyat pernah memberitahu perempuan idamannya ialah wanita seperti Linda Idrisova. Sopan, lemah-lembut dan paling penting, menutup aurat. Ashura segera menyentuh rambutnya yang dipotong pendek. Selain skaf kepala, dia tidak pernah memakai hijab. Kadang-kala Akhshiyat akan berleter kepadanya akan kepentingan menutup aurat. Tetapi Ashura tidak pernah kisah. Ibu bapanya juga tidak pernah menyuruh dia untuk memakai hijab jadi apa salahnya jika dia tidak memakainya? Lagipun, skaf kepala yang kadang-kala dipakai itu juga nampak sopan.
    
Namun kali ini, hati Ashura rasa berbeza. Linda Idrisova yang diminati Akhshiyat itu kelihatan sangat cantik memakai jubah biru dan berhijab. Dia sendiri pun sampai terpesona melihatnya.
    
Selepas nyanyian Linda tamat, Ashura menukar siaran televisyen. Siaran pertandingan Gadis Chechen Kebangsaan yang disertai rakan baiknya Kheda Elmurzaeva, kini ke udara. Lebih dua ribu penyertaan daripada gadis Chechen berumur 16 hingga 25 tahun diterima untuk pertandingan itu namun yang terpilih cuma 30 orang sahaja. 30 orang gadis yang terpilih akan berentap dalam pelbagai aktiviti seperti pertandingan fesyen, memasak, memberi ucapan dalam bahasa Rusia dan Chechen berdasarkan tajuk yang diberi, tarian tradisional Chechen, serta sesi soal jawab yang mengetengahkan soalan-soalan berkaitan sejarah dan tradisi masyarakat Chechen. Pertandingan ini akan berlangsung selama tiga minggu sebelum salah seorang daripada mereka dinobatkan juara.
    
Ashura tidak pernah berminat dengan rancangan seperti ini namun oleh kerana Kheda merupakan salah seorang peserta, terpaksalah Ashura menonton rancangan ini dua kali dalam seminggu sambil mengundi Kheda untuk menang.
    
Selepas rancangan Gadis Chechen Kebangsaan untuk minggu ini tamat, Ashura mematikan televisyen lalu mengangkat punggung daripada sofa yang diduduki. Ketika mahu menaiki tangga ke tingkat atas, Fariza memanggil namanya. Gadis itu segera berpaling seraya melangkah ke ruang tamu kembali.
    
“Kenapa, mama?” soal Ashura.
    
“Ini bunga kamu.” Fariza menghulur sekuntum bunga tulip kuning kepada anaknya.
    
Ashura mengambil tulip kuning tersebut. Masuk hari ini, sudah 3 hari berturut-turut mereka menerima bunga yang sama daripada pengirim yang tidak diketahui. Ibunya pula asyik berkata sudah pasti bunga itu untuknya serta selalu sahaja mengusiknya berkenaan bunga itu.
    
Ashura mengamati bunga di tangan. ‘Kenapa tulip kuning? Aku suka bunga ros merah jambu, bukan bunga tulip kuning.
    
“Jangan lupa tukar air tulip di bilik kamu tu nanti,” pesan Fariza pada anak gadisnya. Ashura yang dapat bunga, entah mengapa dia pula yang rasa teruja. Tidak sabar mahu melihat wajah lelaki yang memberikan anaknya tulip kuning itu.
    
“Okey.” Ashura menjawab. Kemudian dia teringat sesuatu. “Mama ada hijab yang mama tak nak guna lagi?”
    
Terangkat kening Fariza. “Hijab? Kamu nak pakai hijab?”
    
“Saya nak cuba sahaja. Ada tak?”
    
“Carilah yang mana-mana kamu suka dalam almari mama,” ujar Fariza. “Mama nak masak dulu. Nanti lepas cuba hijab tu, masuk dapur tolong mama.”
    
“Baik,” balas Ashura, patuh. Dia segera menaiki anak-anak tangga ke tingkat atas.

*****

Hospital Al-Azzam, Qastal Ma’af
Latakia, Syria

    
Abu Bakar yang sedang bersandar pada bantal meneguk air yang diberi Abu Muhammad. Anak muda 19 tahun itu sudah berada di sisinya sejak 20 minit yang lalu. Setelah dahaga di tekak hilang, Abu Bakar memberikan gelasnya kepada Abu Muhammad. Dia membetulkan kedudukan bantal yang menjadi sandaran.
    
“Abang okey tak ni?” Abu Muhammad menyoal tatkala melihat wajah Abu Bakar berkerut-kerut bagaikan sedang menahan sakit.
    
“Abang okey. Jangan risau.” Abu Bakar cuba meyakinkan. “Semua orang di markas sihat tak?” soalnya.
    
“Semua sihat,” jawab Abu Muhammad. Hati kecilnya menyambung ‘Walaupun ada orang yang mengkhianati jamaat kita.
    
“Abu Usman baik-baik sahaja, kan?” soal Abu Bakar lagi. Rakan baiknya itu ada melawatnya kelmarin. Sebaik sahaja dia membuka mata, wajah Abu Usman ialah yang pertama dilihatnya. Hari ini rakannya itu tidak datang melawat, barangkali sibuk di markas.
    
“Abang Abu Usman sihat. Abang janganlah fikirkan sangat pasal kami di markas. Kami semua okey je. Abang cuma perlu fokus pada kesihatan abang.”
    
Nada mendesak Abu Muhammad yang bagaikan sedang cuba menyembunyikan sesuatu, menarik minat Abu Bakar. Abu Bakar merapatkan jarinya pada wajah anak muda itu. Pipi Abu Muhammad dicubit perlahan.
    
“Apa yang kamu cuba rahsiakan ni, Abu Muhammad?” Abu Bakar memandang wajah Abu Muhammad tidak berkedip. Matanya mengecil.
    
Peluh menitik di dahi Abu Muhammad walaupun suhu di bilik itu dingin dek cuaca sejuk di luar.
    
“Man…mana ada rahsia.” Abu Muhammad menafikan. Jantungnya berdebar-debar dengan soalan Abu Bakar. Lelaki itu nampak seperti sudah menghidu sesuatu. Sepatutnya dia berlagak tenang sahaja ketika menjawab soalan Abu Bakar tadi.
    
“Baik kamu cakap…kalau tak…” Abu Bakar mengugut. Cubitan pada pipi Abu Muhammad dikuatkan.
    
“Esok, esok saya akan beritahu. Jangan cubit lagi, abang,” rayu Abu Muhammad. Abu Bakar melepaskan cubitannya dari pipi anak muda itu. Kasihan pula dia melihat pipi kiri Abu Muhammad yang sudah merah.
    
“Cepat cakap,” arah Abu Bakar.
    
“Tunggu esok.” Abu Muhammad menjawab.
    
“Kenapa esok?”
    
“Sebab hari ni ada sesuatu yang ‘mereka’ akan lakukan. Saya tak boleh beritahu sesiapa. Mereka dah amanahkan kepada saya untuk tidak berkata apa-apa,” jelas Abu Muhammad. Sengaja dia tekankan pada perkataan ‘mereka’, mengharapkan yang Abu Bakar akan memahami keadaannya.
    
Abu Bakar menghela nafas. Jika Abu Muhammad diamanahkan untuk menyimpan rahsia, tidak baik dia memaksa anak muda itu memberitahu rahsia tersebut. Lagipun, tentu ada sebab mengapa Abu Muhammad tidak dapat memberitahunya hari ini.
    
“Kamu nak duduk sini sepanjang hari?” soal Abu Bakar.
    
Abu Muhammad mengangguk. “Saya dipertanggungjawabkan untuk menemani abang di sini.” Dia tersengih.
    
“Kamu dipertanggungjawabkan atau kamu yang nak datang curi tulang di sini?” Abu Bakar menyakat.
    
“Tanggungjawablah. Bukan nak curi tulang pun.”
    
“Yalah tu.”    

*****

---

Ruslan: Assalamualaikum abang. Apa khabar?

---
    
Abu Bakar mengulum senyum. Terharu dengan mesej yang dihantar Ruslan. Selama dia berada di sini, Ruslan tidak pernah membalas mesejnya, apatah lagi mahu memulakan perbualan terlebih dahulu.
    
Tanpa berlengah, Abu Bakar menaip jawapan untuk adiknya.

---

Aslan: Abang sihat. ))))) Kamu apa khabar? Lama tak dengar berita. Mama dan papa sihat tak? Kamu dah makan? Makan apa hari ini?

Ruslan: Saya sihat. Mama dan papa pun sihat. Saya dah makan. Piroshki daging. Abang? Luka abang macam mana?

Aslan: Abang makan bubur. Akhshiyat yang masak.

Ruslan: Akhshiyat ada di situ? Dia sihat?

Aslan: Akhshiyat di markas dan dia sihat. Kawan lain yang datang dan berikan abang bubur Akhshiyat.

Ruslan: Bubur Akhshiyat? Bunyinya lawak. ))

Aslan: Ya. Antara kita bertiga, dia kan yang paling pandai masak.

Ruslan: Luka abang macam mana? Masih sakit ke?

Aslan: Abang okey. Jangan risau. Sekarang dah tak sakit lagi.

Ruslan: Ambil gambar boleh?

Aslan: Gambar luka ke?

Ruslan: Ya.

Aslan: Tak payahlah. Malulah abang hahahahaha ))

Ruslan: Saya serius ni.

Aslan: Nantilah abang kirim pada kamu. Hm…macam mana keadaan di rumah? Mama dan papa marah tak pada abang?

Ruslan: Apa reaksi yang abang harapkan?

Aslan: Abang jangkakan papa pasti mengamuk.

Ruslan: Tepat.

Aslan: Abang minta maaf. Pada kamu, pada mama, pada papa…

Ruslan: Kalau rasa bersalah, baliklah ke Ufa. Masih belum terlambat lagi, abang.

Aslan: Abang tak boleh balik.

Ruslan: Kenapa? Jihad di sana lebih penting daripada kami semua ke?

Aslan: Kamu semua dan jihad abang sama-sama penting.

Ruslan: Jadi bila baru abang akan balik?

Aslan: Bila keadaan di sini kembali seperti sediakala dan Assad digulingkan.

Ruslan: Bila tu?

Aslan: Suatu hari nanti. Abang pasti. Doakan abang, Akhshiyat, dan kami semua di sini, Ruslan.

Ruslan: Abang yakin ke perjuangan abang ni jihad di jalan Allah? Bukannya dimanipulasi oleh pihak-pihak yang cuba ambil kesempatan ke atas situasi di Syria? Untuk mengukuhkan pengaruh mereka dan mengurangkan pengaruh Iran. Abang tahu kan yang Iran menyokong rejim Assad? Dan Iran juga tidak menyenangi Amerika.

Aslan: Iran negara majoriti Syiah. Assad itu Syiah. Sudah pasti Iran akan menyokong sekutunya.

Ruslan: Abang, dunia ini kompleks. Apa yang kita lihat di depan mata kita bukan semuanya realiti sebenar. Ingat tak lagi dengan apa yang terjadi sewaktu pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan? Amerika menyalurkan berbilion dolar kepada pasukan mujahidin untuk melawan tentera Soviet dan akhirnya, apa yang terjadi kepada Afghanistan sekarang? Kumpulan mujahidin berbalah sesama sendiri sehingga akhirnya mereka dikalahkan oleh Taliban. Afghanistan sekarang dipenuhi dengan pengganas yang menindas kaum wanita dan penegak undang-undang ekstrem yang sudah jelas menyimpang daripada agama Islam yang menganjurkan kedamaian. Itukah yang abang mahu lakukan ke atas Syria?

Aslan: Ruslan, kamu dah salah faham. Abang datang untuk menolong orang yang ditindas.

Ruslan: Dengan mengangkat senjata? Itukah cara abang?

Aslan: Kamu tak faham, Ruslan.

Ruslan: Jadi buatlah saya faham! Apa yang abang cari di sana sebenarnya?

---

*****

Markas Dzhamaat Halifat,
Latakia, Syria


Abu Usman tersenyum lebar memandang telefon pintarnya. Gambar yang dikirim Ashura beberapa minit yang lalu segera dijadikan wallpaper telefon pintar. Wajah Ashura yang sememangnya comel nampak lebih menyerlah tatkala mengenakan hijab ibu mereka. Abu Usman tidak putus-putus memuji adiknya. Harapannya agar adik perempuannya itu akan terbuka hati untuk terus memakai hijab selepas ini. Dalam dia sedang tersenyum-senyum sendiri, Abu Safiya menepuk bahunya.
    
“Hai, sis con!” Abu Safiya tersengih nakal memandang Abu Usman. Cuma mereka berdua yang ada di bilik Abu Usman ketika itu.
    
Sis con?” Abu Usman mengulang kembali, tidak faham.
    
Sister complex. Cinta yang berlebihan kepada kakak atau adik perempuan,” jelas Abu Safiya.
    
Abu Usman mencebik. Sekarang baru dia faham kenapa Abu Yasmin kadang-kala nampak geram dengan kelakuan Abu Safiya.
    
“Apa yang awak baca?” soal Abu Usman dengan rasa meluat.
    
“Semua.” Abu Safiya menjawab. Dia menayangkan muka selamba.
    
Satu dengusan dilepaskan oleh Abu Usman. “Lupakan semua yang awak baca.” Dia memberitahu Abu Safiya.
    
Abu Safiya ketawa. Dia mengeluarkan telefon pintarnya yang lain, lalu menunjukkan sesuatu kepada Abu Usman. Gambar kanak-kanak perempuan dalam lingkungan 9 tahun yang memakai gaun kembang merah jambu tersenyum gembira ke arah Abu Usman.
    
“Ini satu-satunya adik saya, Safiya.” Abu Safiya memberitahu.
    
“Safiya?”
    
“Ya. Kunya saya diambil sempena namanya,” ujar Abu Safiya lagi.
    
Abu Usman hanya mengangguk.
    
“Ini rahsia kita berdua, jangan beritahu sesiapa. Sebenarnya, saya pun ada sister complex macam awak.” Sengih Abu Safiya kembali.
    
“Saya tak ada sister complex.” Abu Usman membetulkan walaupun dalam hati dia mengakui yang dia sememangnya terlebih sayang dan tersangat mengambil berat akan adik perempuannya. Namun itu semua normal, bukan? Siapa yang tidak sayang adik?
    
“Tak apa kalau awak tak nak mengaku. Yang penting awak tahu kita sama.” Abu Safiya ketawa terkekeh-kekeh.
    
“Jangan samakan saya dengan diri awak yang aneh.” Mendatar suara Abu Usman. Pemuda 22 tahun itu menepuk-nepuk bahu Abu Usman lalu mengambil tempat duduk di sebelah lelaki itu. Dia menghela nafas, menatap dinding putih.
    
“Awak doktor, kan?” soal Abu Safiya. Suaranya perlahan.
    
“Ya.” Abu Usman menutup telefon pintar dan memasukkannya ke dalam poket seluar.
    
“Mesti pernah dengar tentang glioblastoma*, kan?”
    
Abu Usman tersentak. Dia menoleh memandang wajah Abu Safiya. Dengan pandangan sedih, pemuda itu tersenyum hambar kepadanya.
    
“Awak…” Ayat itu tidak dihabiskan. Abu Usman sudah memahami apa yang ingin disampaikan oleh rakannya itu tatkala Abu Safiya mengangguk.
    
“Tahap 4.” Abu Safiya berhenti seketika. Kemudian dia menyambung. “Masa saya dah tak lama lagi. Saya tak mahu mati sia-sia.”
    
“Sebab tu ke awak datang ke Syria?”
    
“Ya. Mengarut bunyinya, kan?”
    
“Itu alasan yang boleh diterima.”
    
Abu Safiya mengangkat tangannya ke hadapan mata.“Penglihatan saya semakin teruk sejak dua minggu ni. Begitu juga dengan sakit kepala saya.” Dia menurunkan tangannya. “Asas menembak saya kukuh sebab saya sertai kelab menembak di Vladikavkaz. Jadi tembakan saya selalu mengenai sasaran waktu operasi di sini.
    
Tapi, waktu ribat kita diserang, tembakan saya banyak kali tersasar. Saya dah tak dapat mengagak jarak dan dah tak dapat melihat dengan baik lagi.” Pemuda itu berpaling memandang Abu Usman di sebelahnya. “Maafkan saya sebab biarkan Aslan cedera, Akhshiyat.”
    
Abu Usman tergamam, kehilangan kata. Wajah Abu Safiya ditatap lama.
    
Di sebalik sikap peramah dan ceria lelaki itu, siapa bisa menyangka tubuhnya sedang bertarung dengan maut saban waktu? Tetap mengukir senyum walau tubuh kian binasa?
    
“Akhshiyat…” Abu Safiya mengucap perlahan. “Bila perang di Syria ni berakhir nanti, dan bila awak dan Aslan berpeluang kembali ke Rusia, datanglah melawat keluarga saya di Vladikavkaz. Beritahu Safiya, hero kesayangannya akan sentiasa melindunginya, tak kira di mana pun dia berada.”

______________________________________________________________________________

Glosari:

Glioblastoma - Glioblastoma, juga dikenali sebagai glioblastoma multiforme (GBM), adalah kanser paling agresif yang bermula di dalam otak. Tanda-tanda dan gejala glioblastoma termasuk sakit kepala, perubahan personaliti, loya, dan gejala-gejala serupa dengan strok.





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku