Takdir Yang Mengikat
Bab 23
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
81

Bacaan






Pukul 2 pagi

Mujahidin di markas Dzhamaat Halifat berkumpul beramai-ramai di halaman vila. Masing-masing memakai jaket dan seluar camo. Tubuh mereka menggalas beg yang dipenuhi kelengkapan yang banyak, sesuai dengan arahan Abdul Hakim yang mengatakan operasi kali ini mungkin mengambil masa yang lama. Tangan-tangan mereka memeluk erat Kalashnikov di sisi.     

10 buah lori pikap model Toyota sudah siap sedia menunggu. Setiap lori pikap mampu menempatkan 11 orang mujahidin, 5 di ruangan hadapan termasuk pemandu, dan 6 di ruangan belakang. Selepas taklimat ringkas daripada amir Abdul Hakim selesai, mereka semua bergerak ke arah lori-lori pikap.
    
Sebaik melihat Abdul Malik memanjat naik ruangan muatan lori pikap, Abu Usman dan  Abu Safiya segera menyusuli lelaki itu. Abu Yasmin pula menaiki lori pikap yang sama dengan Abu Anas.
    
Setelah memastikan keberadaan kedua-dua pemuda itu di dalam pacuan empat roda yang tertentu, Abdul Hakim dan Abu Hamza berpecah. Masing-masing kini duduk di ruangan sebelah pemandu lori pikap yang dinaiki Abdul Malik dan Abu Anas.
    
Setelah semua mujahidin berada di dalam kenderaan, Abdul Hakim mengucapkan selamat tinggal pada 14 orang mujahidin yang ditugaskan untuk mengawal markas dan menyampaikan maklumat jamaat kepada kumpulan jamaat lain.
    
Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka semua bertolak tepat pukul 2.18 pagi.
    
Gelap malam yang menyelimuti Latakia sekali-sekala diterangi dengan cahaya lampu apabila lori pikap yang dinaiki melintasi kawasan tertentu. Abu Usman dan Abu Safiya yang duduk berhadapan dengan Abdul Malik berbual sesama sendiri. Sesekali Abu Safiya melihat telefon pintarnya untuk memastikan sama ada terdapat mesej meragukan yang dihantar keluar. Cahaya suluhan daripada lori-lori pikap di belakang memudahkan mereka berdua memerhati rakan-rakan yang lain di situ. Abdul Malik yang berambut coklat gelap dan berjanggut nipis duduk bersandar pada dinding lori pikap. Wajahnya tampak tenang. Namun Abu Usman dan Abu Safiya mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak terus-menerus menatap wajah lelaki itu. Dalam hati mereka tertanya-tanya sama ada Abdul Malik yang mengkhianati jamaat selama ini. Jika benar, apa motifnya? Dan, kenapa memilih jamaat mereka sedangkan ada jamaat lain yang lebih banyak ahlinya seperti Jaish al-Muhajireen wal Ansar di Aleppo.
    
Abu Yasir dan Abu Hanzalah sudah memejam mata sebaik pacuan empat roda tersebut beredar dari ruangan vila. Abu Ismail yang duduk di sebelah Abdul Malik meletakkan kepalanya pada tingkap kaca yang memisahkan ruangan hadapan lori pikap dengan ruangan barang muatan yang didudukinya bersama 5 orang mujahidin lain.
    
“Mengantuk, Abu Ismail?” Abdul Malik menyoal.
    
“Ya. Saya tak dapat tidur petang tadi,” jawab Abu Ismail.
    
Abdul Malik mengeluarkan sesuatu dari dalam begnya.
    
Abu Usman dan Abu Safiya yang sedang berbual sekali-sekala melirik mata melihat apa yang dilakukan Abdul Malik.
    
Abdul Malik mengeluarkan bantal kecil lalu memberikannya kepada Abu Ismail.
    
Remaja 19 tahun itu memandang wajah Abdul Malik. “Tak apa ke saya guna ni?” soalnya.
    
Abdul Malik tersenyum. “Tak apa. Lagipun mesti akan ambil masa untuk sampai di bukit tu. Jadi kamu tidurlah dulu,” ujar Abdul Malik.
    
Bantal bertukar tangan. Abu Ismail tersenyum girang. “Terima kasih abang.”
    
Abu Usman yang melihat situasi itu menggenggam kuat pergelangan tangan Abu Safiya. Abu Safiya hanya tersenyum. Dalam hatinya, Abu Safiya tidak ada sekelumit pun rasa percaya kepada Abdul Malik dan Abu Anas. Apatah lagi apabila teringatkan yang salah seorang daripada mereka ialah punca sepupunya, Abu Zakaria, terkorban dalam pertempuran yang lalu. Fakta yang Abu Zakaria ialah sepupunya sengaja dirahsiakan daripada sesiapa sahaja di jamaat mereka. Bila mereka bertanya, dia hanya memberitahu Abu Zakaria ialah rakan sekampungnya. Begitu juga dengan Abu Zakaria yang terlebih dahulu memasuki Dzhamaat Halifat berbanding dia.
    
Walaupun hatinya sedih dengan pemergian Abu Zakaria, Abu Safiya terpaksa menunjukkan wajah ceria. Persaudaraannya dengan Abu Zakaria tidak boleh diberitahu kepada sesiapa bagi mengelakkan mana-mana mujahidin perasan yang dia sebenarnya sedang mencari ‘tikus’ dalam jamaat mereka.
    
Abu Safiya menghela nafas. Dia menepuk-nepuk bahu Abu Usman. Abdul Malik yang perasan kelakuan Abu Safiya itu, menyoal.
    
“Abu Usman, awak okey?”
    
Abu Usman menelan liur. Lidahnya bagaikan tidak bersedia mahu menjawab soalan spontan Abdul Malik.
    
Abu Safiya segera menjawab bagi pihak rakan Abu Usman. “Abu Usman gelisah sikit sebab ini operasi pertamanya.”
    
“Oh, begitu.” Abdul Malik berhenti seketika sebelum menyambung kembali. “Jangan risau. Insha Allah kita semua akan selamat.”
    
Abu Usman mengangguk perlahan.

*****
    
Abu Yasmin memandang langit malap dengan tatapan yang kosong.  Sinaran cahaya bulan malam itu tampak lebih cerah daripada malam-malam sebelumnya. Imaginasi barangkali. Memang selama ini cahaya bulan sentiasa terang, namun hanya dia sahaja yang tidak sedar tentang itu.
    
Di Ingushetia, di Syria, sama sahaja. Dia datang ke Syria untuk melarikan diri daripada masalah di rumah. Sangkanya dahulu di Syria dia hanya perlu berjuang bersama rakan-rakan jamaat untuk menewaskan tentera Assad. Dan mendapatkan syahid jika boleh. Tapi realiti tidak seperti itu. Sekarang dia harus memerhatikan gerak-geri Abu Anas yang duduk berhadapan dengannya. Lelaki itu sedang berbual tentang Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW bersama Abu Ibrahim dan Abu Yusuf.
    
Abu Yasmin menghela nafas kecil. Matanya memandang Abu Anas. Jujur dia berharap Abu Anas bukanlah pengkhianat yang mereka cari. Namun jika begitu, ini bermaksud Abu Usman dan Abu Safiya yang berada di dalam lori pikap di hadapan mereka sedang duduk bersama pengkhianat. Hanya Tuhan yang tahu akan bahaya yang mungkin menimpa mereka sebaik sahaja identiti pengkhianat tersebut terbongkar.
    
Abu Yasmin mengeluh. Tidak seperti mujahidin lain yang sentiasa cuba mengeratkan silaturahim sesama sendiri, dia tidak pernah ada rasa mahu melakukan perkara yang sama. Baginya, tidak perlu jadi hipokrit dan memaksa diri melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan selama ini. Berbaloikah hidup dalam kepura-puraan? Tidak cukupkah hidup dengan mengangkat senjata dan menembak musuh-musuh Islam?
    
Hingga saat ini, dia masih belum berjumpa jawapan untuk itu.

*****
    
40 minit perjalanan.
    
Abu Usman sudah kehabisan topik untuk diceritakan kepada Abu Safiya. Begitu juga dengan lelaki itu.
    
Masing-masing kini diam tersandar pada dinding lori pikap.
    
Abu Safiya menggenggam rapi telefon pintar di tangan. Kemudian dia memanjangkan leher melihat jalan tar di hadapan.
    
Simpang…’ ucapnya dalam hati. Jantungnya berdetak pantas. Lori pikap yang dinaiki mereka berada dalam kedudukan kelima daripada hadapan manakala yang dinaiki Abu Anas dan Abu Yasmin pula ialah yang keenam. Amir sengaja mengaturnya begini agar Abdul Malik dan Abu Anas dapat melihat dengan jelas perpecahan laluan yang bakal berlaku di simpang nanti.
    
Abu Safiya bersandar kembali. Matanya kini tertancap pada telefon pintar. Aplikasi IRIS yang diciptanya di Rusia sudah terbuka sejak tadi.
    
Akhirnya…
    
Lori pikap yang dinaiki mereka membelok ke sebelah kiri manakala lori pikap di belakang dan yang mengikutinya membelok ke sebelah kanan. Abu Ismail dan Abu Hanzalah yang sedang tidur, terjaga. Besar mata Abdul Malik memandang kenderaan lain di belakang kini mengikut arah yang bertentangan.
    
“Apa dah jadi ni?” Abdul Malik menyoal hairan.
    
“Kenapa kita berpisah?” soal Abu Hanzalah pula. Mata dikesat-kesat.
    
“Entahlah. Saya pun tak tahu.” Abu Usman sama-sama membuat reaksi terkejut. Dia sengaja mengeluarkan telefon pintarnya.
    
Satu mesej masuk melalui aplikasi WhatsApp.
    
Abu Usman membaca. “Mesej daripada amir: Jamaat kita berpecah dua. Lokasi bukannya di Bukit No. 31 lagi. Nusra memaklumkan yang mereka tidak jadi menyerang Bukit No. 31 tersebut, tapi kini telah berubah kedudukan. Sebahagian daripada kita akan menolong mereka mendapatkan Bukit No.45 dan sebahagian lagi akan dihantar ke Idlib. Pasukan yang bersama saya akan ke Bukit No. 45.”
    
Sebaik sahaja Abu Usman menghabiskan bacaannya, Abu Ismail, Abdul Malik, dan Abu Hanzalah cepat-cepat mengeluarkan telefon bimbit untuk melihat mesej daripada amir.
    
“Jadi kita sekarang ke Bukit No. 45, kan? Kerana amir bersama kita.” Abu Safiya sengaja berkata sambil memandang Abu Usman.
    
“Nampaknya macam tu…”
    
“Bukit tetap bukit di mana sahaja.” ujar Abu Safiya lagi. Dia kembali menunduk dan memandang telefon pintar.
    
Aplikasi IRISnya menangkap dua mesej yang dihantar keluar. Satu daripada amir sebentar tadi dan satu lagi…
    
Hill no.31 X. Op Hill no.45
    
Abu Safiya mengangkat muka. Matanya memandang Abdul Malik yang sedang memasukkan telefon pintar ke dalam poket seluar.
    
Abu Usman segera mengambil telefon pintar Abu Safiya. Terbuntang matanya melihat apa yang tertulis pada skrin telefon pintar.
    
Abdul Malik ialah pengkhianat yang mereka cari!
    
Tanpa berlengah, Abu Usman menghantar mesej kepada amir mereka. Ringkas sahaja isi kandungan mesejnya.
    
Abdul Malik.
    
Beberapa minit kemudian, lori pikap yang dinaiki mereka semua tiba-tiba berhenti. Begitu juga dengan lori-lori pikap yang berada di hadapan. Abu Hanzalah, Abu Ismail, Abdul Malik, dan Abu Yasir yang baru terjaga, terpinga-pinga tatkala melihat amir mereka serta mujahidin lain keluar dari ruangan penumpang.
    
“Turun semua. Tinggalkan barang-barang dan senjata kamu di atas. Saya ada pesanan ringkas untuk dimaklumkan sebelum kita bertolak ke Bukit No. 45.” Tenang Abdul Hakim mengarahkan.
    
“Faham!’ Mereka semua mengangguk sebelum turun dari lori pikap. Abu Safiya memberikan telefon pintarnya kepada Abdul Hakim tanpa disedari sesiapa. Abdul Hakim segera mengambil telefon pintar tersebut. Isi kandungan mesej tersebut dibaca.
    
Abdul Hakim beristighfar. Wajah anak-anak buah yang kini mula berkumpul di hadapan, dipandang satu-persatu. Walaupun berlainan usia dan latar belakang, namun matlamat mereka semua sama, yakni ingin membebaskan Syria daripada cengkaman Assad dan membina negara Islam di Syria. Jadi bagaimana boleh ada di antara mereka yang sanggup membiarkan Assad terus menang dan menyeksa sebahagian besar rakyatnya sendiri?
    
Abdul Hakim beristighfar lagi. Abu Usman dan Abu Safiya dilihatnya sudah berdiri di sebelah-menyebelah Abdul Malik. Abu Basir dan Abu Ahmad pula berdiri di belakang pemuda itu.
    
Setelah kesemua mereka berkumpul di situ, Abdul Hakim memanggil. “Abdul Malik Dagestani.”
    
“Ya, amir?” soal Abdul Malik, hairan.
    
“Hill no.31 X. Op Hill no.45. Kenapa kamu hantar mesej macam tu?” Abdul Hakim menyoal.
    
Abdul Malik kematian akal. Dadanya berombak kencang. Bagaimana Abdul Hakim boleh tahu akan mesej yang dihantarnya? Siapa yang memberitahu?
    
Dia memandang sekeliling. Mata kesemua ahli jamaat kini tertumpu kepadanya. Abdul Malik memandang Abdul Hakim kembali. Riak wajah yang tenang ditayang, dia cuba berdalih. “Apa maksud amir? Mesej apa?”
    
“Abu Usman,” panggil Abdul Hakim.
    
Abu Usman segera merampas telefon bimbit di tangan kanan Abdul Malik.
    
“Apa yang awak…” Abdul Malik tidak sempat menghabiskan ayatnya. Kedua-dua tangannya dikunci dari belakang oleh Abu Basir. Abu Ahmad mencengkam kuat bahu kanannya.  Abdul Malik meronta. “Kenapa ni?”
    
Abu Usman memberi telefon pintar Abdul Malik kepada Abdul Hakim. Amir muda itu membuka telefon pintar tersebut. Ruangan mesej dilihat.
    
Hill no.31 X. Op Hill no. 45. Dihantar kepada nombor yang tidak dikenali.’
    
“Hill no.31 X. Op Hill no.45. Kenapa awak hantar mesej ni keluar? Ini lokasi operasi kita, Abdul Malik!” Abdul Hakim menyoal. Nadanya keras menagih penjelasan.
    
Abdul Malik tersenyum lebar. Sudah tiada apa yang boleh dia rahsiakan lagi. Mereka pasti sudah tahu segala-galanya. Dan dia juga, dia juga tidak takut mati. Sama seperti mereka! “Ha…hahahaha!” Abdul Malik gelak dengan kuat. Matanya kini tajam memandang Abdul Hakim. Rasa takut yang menyelimuti tubuh semakin lama semakin menghilang. “Teroris…teroris semua patut mati…” ujar Abdul Malik. “Barulah aman dunia ni!” Jeritnya kuat, menyebabkan keadaan di situ hingar-bingar dengan suara-suara mujahidin lain.
    
Abdul Hakim memandang anak-anak buah yang berdiri mengelilinginya. “Senyap semua!”
    
Tanpa diduga, Abdul Malik mengambil kesempatan daripada kelekaan Abu Ahmad dan Abu Basir yang cuba mententeramkan keadaan, dengan menanduk kepala Abu Ahmad seraya menolak tubuhnya sendiri dengan kuat ke belakang. Dia turut menghantukkan belakang kepalanya dengan kuat ke wajah Abu Basir. Lelaki itu terkejut lalu tanpa sengaja merenggangkan kuncian tangannya pada Abdul Malik. Abdul Malik melepaskan tangan lalu mengeluarkan pistol yang disimpan dalam jaket camo dan mengacukan pistol ke arah Abdul Hakim.
    
Terkejut, Abu Safiya pantas meluru ke arah Abdul Malik dan menjatuhkan lelaki itu ke atas tanah. Abdul Malik yang panik, melepaskan tiga das tembakan ke tubuh Abu Safiya.
    
“Abu Safiya!” Abu Usman menjerit cemas.
    
Abdul Malik tergamam. Pistol yang berada di tangan terlepas. Abu Safiya memandangnya dengan mata yang berair.
    
“Ke…kenapa?” soal Abu Safiya. Tubuhnya menggeletar. Darah mengalir keluar dari dalam mulut. Beberapa saat kemudian, tubuh Abu Safiya diangkat dari atas tubuh Abdul Malik.
    
Abu Basir dan Abu Ahmad segera menarik tubuh Abdul Malik sehingga berdiri. Pistolnya diambil. Mereka menahan tubuhnya dan mengunci tangannya dari belakang.
    
“Ambil kotak kecemasan!” arah Abdul Hakim pada mujahidin di situ yang mula mengerumuni Abu Safiya. Dia meletakkan jarinya pada luka tembakan Abu Safiya, cuba menghentikan pendarahan.
    
“Abu Safiya! Abu Safiya!” Abu Usman memeluk kepala Abu Safiya di pangkuannya. Matanya mengalirkan air-air jernih. “Bertahan, bertahan!” laungnya kuat.
    
Dengan tangan yang dibasahi darah, Abu Safiya memegang lengan Abu Usman. “Akhshiyat…” panggilnya perlahan. “Janji…keluarga…Safiya…Vladikavkaz…” ujarnya putus-putus. Darah membuak-buak keluar dari mulut setiap kali dia berkata-kata. Nafasnya turun-naik, cuba sedaya upaya menahan kesakitan yang tidak pernah dirasakannya selama ini.
    
Air mata Abu Usman makin deras mengalir. Hiba di hati tidak tertanggung lagi. Dia tahu yang masa Abu Safiya sudah semakin singkat. Lantas, dia hanya mengangguk-anggukkan kepala.
    
“Terima…kasih, abang...” Abu Safiya menarik nafas dengan payah. “Ashadu an la...ilaha illallah…wa ashadu anna...Muhammadan Rasulullah.” Semakin lama, wajah Abu Usman semakin pudar daripada pandangan. Panggilan Abu Usman dan mujahidin yang lain juga sudah tidak terdengar lagi olehnya.
    
Tepat pukul 3.10 pagi, Abu Safiya menghembuskan nafas yang terakhir.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku