Takdir Yang Mengikat
Bab 24
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
64

Bacaan






Hospital Al-Azzam,
Qastal Ma’af

    
Abu Muhammad masuk ke bilik pesakit dengan langkah yang lemah. Bilik sederhana besar yang menempatkan 3 orang pesakit itu cuma diterangi oleh cahaya bulan yang masuk melalui bukaan langsir yang terselak. Dengan kepala yang tertunduk, Abu Muhammad menghampiri katil Abu Bakar. Lelaki 24 tahun itu sudah pun terlena sejak beberapa jam yang lalu. Kesan ubat barangkali, fikir Abu Muhammad. Anak muda itu melabuhkan punggung di atas kerusi kayu bersebelahan katil Abu Bakar.
    
Abu Muhammad kemudian meletak kepala di atas katil beralaskan lengannya. Matanya menatap wajah Abu Bakar yang sedang tidur.
    
“Abang…mesti sakit bila kena tembak, kan?” soalnya perlahan. “Tapi abang Abu Safiya, mesti rasa lebih sakit, kan?”
    
Abu Safiya sudah meninggal’.
    
Mesej daripada Abu Usman sebentar tadi meluluhkan hati Abu Muhammad. Sungguh, tidak terlintas di fikirannya yang perkara seperti ini akan berlaku. Sangkanya, konfrontasi antara ahli jamaatnya dengan si pengkhianat akan berakhir dengan baik. Dia ingat, si pengkhianat itu akan menyerah diri dengan tenang dan membiarkan mereka menangkapnya. Tapi dia silap. Harga untuk mendedahkan identiti si pengkhianat itu ialah nyawa Abu Safiya.
    
Fikiran Abu Muhammad menerawang. Kira-kira 16 jam yang lalu, dia menemani Abu Safiya berjumpa Abu Usman dan Abu Yasmin. 16 jam yang lalu juga, Abu Safiya masih bergelak ketawa dengannya, sambil bercerita tentang kehidupannya di Vladikavkaz. Menurut Abu Safiya, dia pelajar jurusan kejuruteraan perisian di salah satu universiti di Moscow. Sebab itu dia memiliki pengetahuan yang luas dalam perisian sehingga mampu mencipta aplikasi yang dinamakannya IRIS versi 2 itu.
    
Abu Muhammad menyembam wajah pada tilam. Walaupun persahabatannya dengan Abu Safiya cukup singkat, namun jejak hidup lelaki itu akan sentiasa disimpan dalam ingatan.   

Berbahagialah di sana, abang Abu Safiya…

*****

Markas Dzhamaat Halifat
    
Abu Usman tersandar lesu pada dinding bilik. Matanya merah. Di tubir mata, air-air jernih masih lagi mengalir bercucuran. Sudah 5 jam berlalu sejak Abu Safiya menghembuskan nafas yang terakhir. Dan, sudah sejam berlalu sejak pengebumian Abu Safiya. Pemuda itu dikebumikan selepas waktu Subuh.
    
Abu Usman melipat kedua-dua kaki ke dada. Suara dan kata-kata Abu Safiya masih lagi terngiang-ngiang di telinganya. Senyuman dan gelak ketawa lelaki itu makin jelas terbayang di minda. Lalu bagaimana dia mahu melepaskan pemuda itu pergi sedemikian rupa?
    
Tok! Tok! Pintu bilik diketuk.
    
Abu Usman segera mengesat air mata dengan lengan baju. Abu Yasir dan Abu Yasmin masuk ke dalam bilik.
    
“Amir nak baca wasiat Abu Safiya sekejap lagi. Mari, Abu Usman,” ajak Abu Yasmin.
    
Abu Usman mengetap bibir lalu menjawab “Saya nak bersendirian seketika. Tolong beritahu amir untuk teruskan tanpa saya.”
    
Abu Yasmin memandang Abu Yasir di sebelahnya. “Awak pergi dulu. Saya temankan dia di sini.”
    
Abu Yasir mengangguk lalu menepuk-nepuk tubuh Abu Yasmin. “Nanti saya beritahu amir,” ujarnya.
    
“Terima kasih.”
    
Selepas Abu Yasir keluar, Abu Yasmin mengambil tempat duduk di sebelah Abu Usman.
    
“Keluarganya dah tahu?” Abu Usman menyoal.
    
Satu helaan nafas dihembus oleh lelaki di sebelahnya.
    
“Sebelum solat jenazah, amir dah maklumkan kepada keluarganya,” jawab Abu Yasmin.
    
“Cepatnya...”
    
“Orang tu tulis nombor telefon ahli keluarganya dalam pasport.” Abu Yasmin berkata penuh jengkel. Namun dalam masa yang sama, nadanya berbaur sedih. “Marat Badrudinovich Cherkesov. Lahir pada 5 Disember 1992 di Vladikavkaz.”
    
“Tahu tak dia ada berapa adik-beradik?” soal Abu Usman.
    
“Dalam pasportnya ada sekeping gambar keluarga.” Abu Yasmin diam seketika sebelum berkata lagi. “Nampak macam dia hanya ada seorang adik. Adik perempuan.”
    
Safiya…’ bisik hati kecil Abu Usman.
    
Abu Yasmin menoleh ke kanan. Mata birunya memandang Abu Usman.
    
“Amir beritahu dia nak hantar Abdul Malik tu ke pihak pengadilan kumpulan mujahidin. Apa pendapat awak?”
    
Abu Usman naik berang tatkala nama Abdul Malik disebut.
    
“Abdul Malik? Manusia tu tak layak dipanggil dengan nama yang baik. Dia pastinya ejen FSB. Anjing-anjing Assad!” tuduh Abu Usman. Marah dan dendam di hati sukar dikawal. Teringatkan wajah Abdul Malik sahaja sudah cukup membuat dia mahu membelasah lelaki itu sehingga mati.
    
“Amir kurung dia di bilik kosong tu, kan?”
    
“Ya. Nampak macam amir nak hantar dia lepas baca wasiat Abu Safiya.” Abu Yasmin mengeluh sayu. Perkataan ‘wasiat Abu Safiya’ itu terlalu sukar untuk dihadam. Malah perkataan itu sendiri menerangkan yang Abu Safiya sudah tidak wujud lagi.
    
Perlahan-lahan, Abu Usman berdiri. Tanpa berkata sepatah pun, dia terus berjalan ke arah pintu. Abu Yasmin yang melihat kelakuannya terpinga-pinga. ‘Ke mana lelaki ini mahu pergi?’ soalnya dalam hati. Sebaik Abu Usman keluar, Abu Yasmin tersedar sesuatu. Jika firasatnya tepat, pasti Abu Usman akan pergi ke ‘situ’.
    
Tanpa berlengah, Abu Yasmin bangkit lalu mengejar langkah sahabatnya.

*****

Grozny, Republik Chechen, Rusia

 
Ramidin masuk ke dalam rumah membawa surat khabar di tangan kiri dan sekuntum bunga tulip kuning di tangan kanan. Dia kemudian meletakkan bunga tulip itu di atas meja makan, di depan pinggan Ashura. Ashura dan isterinya yang sedang bersarapan, kini memandangnya.
    
“Dapat dari dalam peti surat lagi ke?” Fariza menyoal, merujuk kepada bunga tulip kuning tersebut.
    
“Ya. Untuk siapa lagi kalau bukan untuk anak kita ni,” jawab Ramidin, menyebabkan wajah Ashura perlahan-lahan bertukar merah. Malu dia bila ayahnya berkata begitu.
    
“Dah 4 hari Ashura dapat bunga yang sama. Bila agaknya jejaka tu nak munculkan diri, ya?” usik Fariza. Dia tersenyum-senyum penuh makna ke arah anaknya.
    
Ashura segera mengalihkan pandangan ke roti di atas pinggan. Roti dikunyah dengan cepat. Dia tidak mahu berada di situ lama-lama. Selepas roti habis dimakan, Ashura membawa pinggan ke dapur lalu mencucinya. Ketika dia mahu naik ke tingkat atas untuk mengambil beg sekolah, Ramidin memanggilnya.
    
“Kenapa, papa?” Ashura mendekati Ramidin.
    
Ramidin menghulurkan bunga tulip kuning kepada Ashura. “Jangan lupa bunga tulip kamu ni,” ujar Ramidin lalu tersenyum.
    
Ashura menyambar bunga tulip tersebut lalu berlari naik ke tingkat atas.
    
“Abang nampak tak siapa yang masukkan bunga tulip tu dalam peti surat kita?” Fariza menyoal.
    
“Mestilah nampak. Bila dia perasan abang keluar tadi, dia terus menghampiri abang. Dia perkenalkan diri dan beritahu bunga tulip kuning ni untuk Ashura.” Ramidin menjawab.
    
Fariza terlopong sekejap. Matanya berkedip-kedip memandang suaminya.
    
“Siapa dia? Keluarga kita kenal dia ke?” soal Fariza penuh tanda tanya.
    
“Kenal. Dia kawan Akhshiyat di kelab karate.”
    
“Siapa?” Fariza sudah tidak sabar-sabar mahu tahu.
    
“Ziyaudin.”
    
“Ziyaudin?” Kuat Fariza menyoal kembali. Anak matanya besar.
    
Ramidin segera mengisyaratkan isterinya itu agar merendahkan suara.
    
“Shh…Ziyaudin tak nak Ashura tahu. Jangan beritahu Ashura dulu. Hati anak kita tu keras macam batu.”
    
Fariza mengangguk faham.
    
“Kalau budak Ziyaudin tu, dia tu baik budi pekertinya,” puji Fariza. Akhshiyat pernah memberitahu yang Ziyaudin akan membersihkan lantai kelab sebelum dan selepas latihan bermula.
    
“Abang tahu. Sebab tu abang tak kisah.”
    
“Moga-moga hati anak kita tu jadi lembut dan boleh terima Ziyaudin nanti,” kata Fariza.
    
“Kalau dia tak nak terima pun, abang akan pastikan juga dia kahwin dengan Ziyaudin tu,” ujar Ramidin.
    
“Abang ni, mana boleh paksa-paksa.” Fariza mengingatkan.
    
“Untuk anak muda baik macam tu, abang tak kisah kalau terpaksa guna kuasa veto abang di rumah ni.”

*****

Markas Dzhamaat Halifat
Latakia, Syria

Pintu bilik yang menempatkan Abdul Malik dikunci dengan ibu kunci dari luar. Abu Usman merengus. Berkunci atau tidak, itu bukan masalah. Yang penting dia dapat melampiaskan amarahnya. Dan mengorek sebab mengapa Abdul Malik tegar mengkhianati jamaat mereka.
    
“Apa yang awak nak buat ni?” Abu Yasmin yang baru tiba, menyoal. Abu Usman tidak menjawab. Dia merenung ibu kunci yang berkatup rapat.
    
Lama.
    
Kemudian dia berundur. Abu Yasmin segera mencengkam lengan kirinya dengan kuat.
    
“Jangan buat benda bodoh! Kalau dia terlepas nanti macam mana?” Abu Yasmin meninggikan suara. Dia cukup pasti yang Abu Usman mahu menendang pintu itu untuk masuk ke dalam.
    
“Lepaskan saya!” arah Abu Usman. Renungan matanya tajam.
    
“Jangan bertindak bodoh di sini!” Abu Yasmin membentak keras.
    
Menggunakan tangan kanan, Abu Usman melepaskan genggaman Abu Yasmin pada lengan kirinya. Tubuh Abu Yasmin ditolak ke belakang. Nyaris-nyaris lelaki itu terjatuh. Abu Usman mengambil kesempatan itu lalu menendang pintu di hadapannya dengan kuat. Engsel-engsel pintu tercabut. Pintu itu melayang ke dalam bersama ibu kunci yang masih terlekat padanya.
    
“Abu Usman!”
    
Abu Usman masuk ke dalam bilik. Matanya meliar mencari kelibat Abdul Malik.
    
Lelaki itu sedang duduk di satu sudut bilik.
    
Melihat Abu Usman dan Abu Yasmin, Abdul Malik pantas berdiri dan melangkah ke hadapan. Dia tersenyum sinis.
    
“Saya ingatkan siapa yang pecah masuk tadi. Rupanya konco-konco Abu Safiya,” ejek Abdul Malik.
    
Marah Abu Usman meluap. Wajah tidak bersalah yang ditayangkan Abdul Malik benar-benar menyakitkan hatinya. Dia harus membalas dendam bagi pihak Abu Safiya. Dengan sekuat hati, Abu Usman melayangkan penumbuk ke muka Abdul Malik. Lelaki itu terundur ke dinding. Darah mengalir dari hidungnya.
    
“Binatang!” jerit Abu Usman. Satu lagi tumbukan dilayang ke wajah Abdul Malik. Namun Abdul Malik tetap tidak melawan.
    
Hati Abu Usman bertambah sakit. Berani lelaki itu berdiam diri seolah-olah dia berada di pihak yang benar? Dia patut dibunuh sahaja!
    
Abu Usman menumbuk perut Abdul Malik berulang kali sehingga lelaki itu terbatuk-batuk.
    
“Kenapa awak bunuh Abu Safiya?! Apa yang dia dah buat pada awak?!” Abu Usman menjerit kuat.
    
Abdul Malik jatuh ke atas lantai. Abu Usman mengangkat kaki lalu memijak tubuh Abdul Malik bertalu-talu.
    
Melihat Abu Usman yang bagaikan sudah hilang akal, Abu Yasmin segera menarik tubuh Abu Usman untuk mengelakkannya daripada terus-terusan membelasah Abdul Malik.
    
“Sabar Abu Usman. Sabar…” Abu Yasmin menenangkan.
    
Dalam kesakitan, Abdul Malik mengeluarkan tawa. Dia mengangkat wajah, memandang Abu Usman dan Abu Yasmin.
    
“Semua teroris patut mati…” ujar Abdul Malik dengan wajah yang sinis. “Termasuklah Abu Safiya dan awak berdua.”
    
Berang Abu Usman bertambah. Dia mahu memberi tendangan pada perut Abdul Malik namun rangkulan kuat Abu Yasmin pada tubuhnya menghalangnya.
    
“Binatang! Awak bunuh Abu Safiya!” jerit Abu Usman.
    
“Teroris bunuh tiga orang adik saya di Beslan!” balas Abdul Malik dengan mulut yang dipenuhi darah.
    
Abu Usman dan Abu Yasmin tergamam.
    
“Aliya, Maria dan Luiza. 7, 8 dan 10 tahun. Apa salah mereka?” soalnya perlahan. Matanya merenung tepat pada Abu Usman.“Shamil Basayev yang diagung-agungkan kumpulan mujahidin, lelaki jahanam tu dah bunuh tiga orang adik saya dalam letupan di Beslan! Ibu saya tak dapat terima kenyataan dan bunuh diri setahun selepas itu! Saya lihat ibu saya tergantung di kipas siling! Saya lihat ibu saya tergantung!” jerit Abdul Malik lagi. Matanya berair. Tangisan yang ditahan sejak sekian lama mulai kedengaran. Abdul Malik meraung kuat. Meratapi nasib ibu dan tiga orang adiknya. Tangisan penuh kesalan memenuhi ruangan bilik. “Apa salah adik-adik saya? Mengapa mereka perlu mati?”
    
Abu Usman dan Abu Yasmin kematian kata. Lidah masing-masing bagaikan kelu. Abdul Malik melakukan semua ini kerana dendam. Bukan kerana dia ialah perisik dari Rusia.
    
“Kalau awak berada di tempat saya juga awak akan lakukan perkara yang sama.” Abdul Malik menatap Abu Usman dan Abu Yasmin. “Betul tak?”
    
Mata Abu Usman terbeliak. Soalan Abdul Malik menusuk ke hati. Ya, itulah yang sedang dilakukannya sekarang. Bukankah dia juga datang ke sini untuk membalas dendam kepada musuh-musuh Islam? Membalas dendam untuk rakan-rakannya yang mati di Grozny 14 tahun yang lalu.
    
Lemah kedua-dua lutut Abu Usman. Dia jatuh terjelepok di atas lantai. Bayangan wajah rakan-rakannya silih berganti muncul di kotak memori.
    
“Abu Usman, awak okey?” Abu Yasmin menyoal resah. Tangan dirangkul ke bahu Abu Usman. Abu Usman dilihatnya bagai cuba mencari kekuatan untuk bersuara.
    
Abdul Malik ketawa kecil sebelum menekup tangan ke mata. Bibirnya terketar-ketar. “Saya…saya tak berniat nak bunuh Abu Safiya. Saya cuma…Abdul Hakim ialah teroris dari Kaukasus jadi…jadi…” Abdul Malik tidak mampu meneruskan ayatnya.
    
“Apa dah jadi ni? Abu Usman? Abu Yasmin?” suara naib amir, Abu Hamza menyergah telinga.
    
Abu Yasmin berpaling ke belakang. Amir serta beberapa orang mujahidin veteran melangkah ke arah mereka bertiga. Abu Usman menatap wajah Abdul Malik. Perasaannya kini bercampur aduk. Kasihan, simpati, marah, semuanya ada di dalam hati.
    
“Maaf, kami hilang pertimbangan diri dan…” Abu Yasmin menghalakan pandangan pada Abdul Malik. “kami…kami…” Abu Yasmin jadi kalut. Abu Usman di sebelahnya pula tetap membisu.
    
Abdul Hakim menghela nafas. Dia faham perasaan mereka berdua. Sudah tentu mereka marah kerana rakan rapat mereka dibunuh. Dia tidak mahu memanjangkan perkara ini. Cukuplah sampai di sini sahaja. “Abu Yasmin, Abu Usman. Sebab rosakkan pintu dan bertindak sembarangan, kamu didenda mencuci pakaian semua mujahidin selama seminggu,” tegas Abdul Hakim.    
    
“Maafkan kami, amir,” pinta Abu Yasmin.
    
Abdul Hakim mengangguk.
    
Tiga orang mujahidin veteran menarik ke atas tubuh Abdul Malik. Pemuda 24 tahun itu menurut sahaja.
    
Sebelum keluar, Abdul Hakim sempat menepuk-nepuk tubuh kedua-dua anak muda itu.
    
“Bertabahlah. Ini salah satu dugaan kita di sini. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” nasihat Abdul Hakim. Dia kemudian meninggalkan bilik tersebut bersama-sama mujahidin lain.
    
“Abu Usman…” panggil Abu Yasmin.
    
Air mata Abu Usman mengalir. Dia sendiri tidak tahu mengapa.
    
Adakah air matanya untuk Abu Safiya?
    
Atau untuk nasib yang menimpa Abdul Malik dan keluarganya?




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku