Takdir Yang Mengikat
Bab 26
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
77

Bacaan






Jantung Zafirah berdetak laju. Kecut perutnya membaca mesej Abu Bakar. Dia tidak menyangka pemuda itu akan membalas mesejnya secepat ini.    
    
Apa aku nak jawab ni? Apa aku nak jawab ni?’ soalnya berulang kali dalam hati sambil mengesat peluh yang muncul di dahi. ‘A vy tu maksudnya ‘dan awak’, kan?’ Zafirah menaip mesej. Dalam masa yang sama, dia perasan yang notifikasi akaun Abu Bakar menunjukkan yang dia sedang online.
    
Selepas menjawab ‘Sihat, alhamdulillah’, Zafirah cepat-cepat mematikan mobile data telefon pintarnya. Dia lalu menghembus nafas lega.
    
Mikhail berkerut dahi melihat wajah pucat Zafirah.
    
“Awak nampak gelisah,” komen Mikhail.
    
Zafirah mengangkat wajah, memandang lelaki itu. “Awak pernah tak menyamar sebagai perempuan di sosial media?”
    
“Hah? Menyamar?” soal Mikhail dengan kening kiri yang terangkat.
    
“Tak, tak ada apa-apa. Zafirah memandang pinggan nasi kerabunya yang sudah licin seketika sebelum memandang Mikhail kembali. “Awak tak makan, kan? Apa kata kita balik?”
    
“Tak sabar nak baca Lolita ke?” gurau Mikhail. Dia tersengih lebar.
    
“Tak. Saya ada benda lain nak buat,” jawab Zafirah lalu bangun dari kerusi. Dia mengatur langkah ke kaunter untuk membayar harga makanan. Mikhail memerhati sahaja langkah gadis itu.
    
Pelik betul dia ni…
    
Selepas membayar harga makanan, Zafirah kembali mendapatkan Mikhail lalu berjalan bersama ke petak parkir.

*****
    
Sepi menemani mereka berdua sejak Perodua Myvi Zafirah meluncur di atas jalan raya. Tidak seperti ketika dalam perjalanan ke kedai buku, kali ini Zafirah memandu kereta dengan kelajuan yang sederhana. Sebaik lampu isyarat bertukar merah, Zafirah menghentikan keretanya. Dia memandang Mikhail di sebelah. Kemudian dia memandang hadapan kembali.
    
“Ada apa-apa ke yang awak nak bualkan dengan saya?” Soalan Mikhail membuat Zafirah tersentak.
    
Namun kemudian dia menyoal Mikhail kembali, “Apa yang awak maksudkan?”
    
“Pergi ke kedai buku cuma alasan, kan?” teka Mikhail.
    
“Mungkin.” Pendek Zafirah menjawab. Otaknya ketika itu ligat memikir cara untuk menjawab mesej Abu Bakar sekiranya lelaki itu bertanyakan sesuatu nanti.
    
“Zafirah, pada saya awak bagaikan adik perempuan.”
    
“Saya tahu. Masuk kali ni dah dua kali awak beritahu benda yang sama.” Zafirah menekan pedal minyak sebaik lampu isyarat bertukar hijau.
    
“Jangan sia-siakan masa awak untuk saya,” ujar Mikhail sambil merenung kereta-kereta yang meluncur di sebelah.    
    
“Saya anggap ini sebagai satu pelaburan. Saya tak sia-siakan masa saya untuk awak.” Jujur Zafirah menjawab, tanpa berselindung.
    
“Awak akan terlepas banyak peluang jika awak terus berpaut pada sesuatu yang tak mungkin akan jadi kenyataan.”
    
Jeda.
    
Zafirah menggenggam stereng kereta dengan kuat. Ayat Mikhail bagaikan pedang tajam yang menusuk jauh ke dasar hati. Matanya mula terasa hangat. Zafirah tahu bila-bila masa sahaja air matanya akan tumpah.
    
“Jangan buat begini lagi. Saya tak mahu lukakan hati awak.”
    
“Kalau macam tu, terimalah saya,” luah Zafirah dengan suara yang ditahan-tahan. Air matanya melurut ke pipi jua. “Awak kata awak tak nak lukakan saya, kan?”
    
“Kalau saya terima awak dan akhirnya hubungan kita tak dapat diteruskan, awak akan lebih terluka pada masa tu,” jelas Mikhail. Mata kini terarah pada gadis di sebelahnya.
    
Zafirah tidak membalas kata-kata Mikhail. Dia diam sahaja sepanjang perjalanan yang berbaki. Biarpun begitu, hatinya bergolak bagaikan ribut melanda. Rupanya rasa cinta pada Mikhail membuat lelaki itu terbeban. Cintanya tidak akan pernah dapat dibalas oleh lelaki itu. Jadi bagaimana? Apa lagi yang dapat dilakukannya jika Mikhail juga sudah menjelaskan seperti itu?

*****

Latakia, Syria


Sepuluh buah lori pikap model Toyota yang membawa 100 orang mujahidin Dzhamaat Halifat bergerak keluar dari markas tepat pukul 1 pagi. Dengan jaket celoreng yang tebal, beg galas yang besar, dan senjata di tangan, destinasi mereka semua ialah kawasan pergunungan Latakia.

Jalan tar dan jalan tanah yang licin dengan kehadiran salji melengahkan perjalanan mereka. Mereka hanya tiba di kawasan pergunungan tersebut sekitar pukul 4 pagi. Kedatangan mereka sudah dinantikan oleh 120 orang mujahidin Ansar Sham. Sama seperti mujahidin Dzhamaat Halifat, mujahidin Ansar Sham juga lengkap berpakaian celoreng. Taklimat ringkas diberi oleh salah seorang ketua operasi daripada Ansar Sham dalam bahasa Arab yang kemudiannya diterjemahkan oleh amir Abdul Hakim dalam bahasa Rusia. Habis sahaja taklimat, mereka mula bergerak mendaki bukit-bukit di kawasan sekitar. Oleh kerana hari masih terlalu pagi, mereka terpaksa mengharapkan cahaya daripada lampu suluh sambil mendaki dengan berhati-hati. Salji-salji yang menutupi denai ditolak ke tepi dengan kaki.
    
Di atas bukit, mereka diarah untuk membersihkan kawasan sekitar daripada salji yang meninggi terlebih dahulu. Mujahidin Ansar Sham awal-awal lagi sudah membawa peralatan seperti penyodok untuk merendah dan meratakan salji agar kawasan yang menjadi tempat bertahan mereka tidak terlalu licin. Beberapa orang mujahidin veteran daripada Dzamaat Halifat turut membawa peralatan sama yang kemudiannya diserahkan kepada mujahidin yang lebih muda. Memandangkan peralatan untuk menyodok dan meratakan salji tidak mencukupi untuk semua, mujahidin lain terpaksa menolak salji ke tepi menggunakan combat boot yang dipakai.
    
Mereka kemudian dipecahkan kepada empat kumpulan; penembak hendap, penembak, pelontar bom tangan, dan pembantu. Abu Usman, Abu Hurairah, 10 orang lagi mujahidin daripada Dzhamaat Halifat dan 15 orang mujahidin Ansar Sham ditugaskan sebagai penembak hendap. Abu Yasmin serta majoriti mujahidin jamaat mereka dan Ansar Sham ditugaskan sebagai penembak. Sebelum bergerak ke posisi masing-masing, amir Abdul Hakim terlebih dahulu mengarahkan ahli-ahli jamaatnya untuk solat Subuh berjemaah bersama mujahidin Ansar Sham.

*****
    
Abu Usman mengambil posisi di belakang semak-samun. Berada di sebelah kanannya ialah Abu Hurairah. Selepas memakai balaclava, Abu Usman menggabungkan magazin 10 peluru pada senapang penembak tepat semi-automatik model Zastava M91 di hadapannya. Muncung senapang itu diletakkan di celah-celah daun dua buah pokok rendah yang bersebelahan satu sama lain. Kedua-dua tangannya memegang utuh Zastava M91 yang memiliki berat lebih kurang 5 kg tersebut.
    
“Kita nampak macam pengganas di dalam filem,” ujar Abu Hurairah.
    
“Kita memang pengganas,” komen Abu Usman. “Mungkin macam cerita Rambo.”
    
“Saya bayangkan kita seperti askar dalam Saving Private Ryan.” Abu Hurairah memberitahu sambil tersengih lebar di sebalik balaclava yang dipakai.
    
Abu Usman tersenyum hambar. “Lebih baik jangan. Tahu tak berapa ramai askar yang terkorban di pantai Omaha?” soalnya pada anak muda itu.
    
“Berapa ramai?”
    
“2,000 orang di pihak tentera bersekutu.”
    
Abu Hurairah terdiam. Kemudian dia sebelum menyoal lagi. “Abang rasa, ramai tak tentera Assad yang akan datang?”
    
“Entahlah.”
    
Perbualan mereka berdua terhenti di situ.
    
Abu Hurairah meneropong keadaan pergunungan di sekitar. Menurut amir, kawasan pergunungan ini penting kerana menempatkan salah satu puncak tertinggi di Latakia yang turut berfungsi sebagai balai cerap.
    
Abu Usman melihat jam digitalnya. Sudah dua jam mereka berada di sini. Namun kelibat musuh masih tidak kelihatan. Bukankah sumber risikan memberitahu yang askar Assad akan melalui kawasan pergunungan ini untuk mendapatkan bukit yang menempatkan balai cerap tersebut? Adakah maklumat risikan itu silap?
    
Mereka semua kini menunggu bersama debaran di dada.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku