Takdir Yang Mengikat
Bab 28
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
78

Bacaan






Awan bersusunan rapat di dada langit, menenggelamkan cahaya matahari. Pertempuran di antara pasukan mujahidin di atas bukit dengan askar Assad di bawah bukit kini memasuki jam kelima. Bunyi tembakan daripada tentera Assad sudah semakin berkurangan. Ramai yang menemui ajal ketika cuba mendaki ke atas. Yang tinggal hanyalah askar yang menembak melalui tempat persembunyian mereka sahaja. Namun begitu, pihak mujahidin tidak mahu mengambil risiko. Hingga bunyi tembakan daripada askar Assad berakhir, mereka tidak akan berhenti menembak ke tempat-tempat persembunyian saki-baki tentera Assad yang tinggal.
    
Abu Usman menarik picu senapangnya dengan dendam yang membuak di dada. Kematian Abu Yusuf harus dibalas dengan nyawa tentera Assad. Dia akan menembak mereka semua satu-persatu hingga mati, hingga dendam di hatinya terlunas.
    
“Allahu Akbar!” Takbir dilaungkan dengan kuat. Satu bom tangan dilemparkan jauh ke bawah bukit, meletupkan kawasan persembunyian tentera Assad.
    
45 minit kemudian, tiada lagi bunyi tembakan daripada pihak Assad kedengaran. Mujahidin di atas bukit meneropong ke bawah untuk memastikan keadaan. Beberapa tembakan dilepaskan secara rawak, untuk memancing tentera Assad keluar, kalau-kalau masih ada lagi yang bersembunyi.
    
Walkie-talkie Abu Usman berbunyi.
    
“Abu Hamza dan Abu Khaliq dari Ansar Sham akan turun memeriksa keadaan. Penembak hendap, stand by, cover mereka.”
    
Abu Usman dan Abu Hurairah mengatur posisi senapang mereka berdua. Tidak lama selepas itu, Abu Hamza dan Abu Khaliq turun dari atas bukit, mengambil laluan yang berlainan dengan laluan tentera Assad ketika mendaki ke atas. Setelah memastikan keadaan selamat, Abu Hamza dan Abu Khaliq menghantar maklumat kepada pasukan masing-masing melalui walkie-talkie.
    
Abu Hurairah menarik nafas lega dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Operasi kali ini berakhir dengan kemenangan di pihak mereka. Dia cepat-cepat mengemaskan senapang dan beg galasnya.
    
Laungan “Allahu Akbar” terdengar di sana-sini, bersama dengan derapan tapak kaki berat yang melangkah menuruni bukit. Salji yang turun bagaikan hujan renyai-renyai, nampak lebih indah dari sebelumnya. Mungkin kerana operasi berakhir dengan kemenangan di pihak mereka, jadi sudut pandangan turut berbeza.
    
Di sebalik balaclava yang dipakai, Abu Usman tersenyum puas hati ketika melihat beberapa tubuh tidak sempurna askar Assad yang terbaring mengeras di lantai salji.
    
Ya, beginilah sepatutnya pengakhiran tentera-tentera yang kejam ini. Memijak dan menindas orang-orang Sunni yang lemah, mencemarkan maruah wanita-wanita Sunni, merenggut masa hadapan anak-anak Sunni – memang padanlah dengan nasib yang menimpa askar-askar Assad ini.
    
Bayangan wajah Abu Yusuf melintas di ingatan dan sepantas itu juga Abu Usman memijak usus perut salah satu mayat milik tentera Assad. Abu Hurairah yang berada di sebelahnya jadi tergamam. Matanya terbelalak dengan tindakan Abu Usman. Begitu juga dengan beberapa orang mujahidin yang berada di situ.
    
“Abang…” Abu Hurairah memanggil namun Abu Usman tidak menghiraukannya. Dia terus-terusan memijak organ-organ lain mayat itu sehingga hancur. Lagaknya seperti orang yang sudah hilang kewarasan. Memori berbelas tahun yang tiba-tiba muncul di kotak ingatan, menyalakan api kemarahan di jiwa.
    
Dalkhan, Khuseyn, Nazhmuddin, dan Djabrail, Abu Usman melihat mayat-mayat rakan baiknya bersepai di atas jalan berhampiran kedai gula-gula di Grozny 14 tahun yang lalu. Mereka mati akibat bedilan-bedilan roket yang diarah pada bangunan yang didakwa tentera Rusia sebagai markas tentera mujahidin; orang-orang Chechen yang bermati-matian melindungi tanah tumpah darah mereka daripada kerakusan tentera kafir Rusia. Ketika itu mereka berempat termasuk Abu Usman sudah berjanji mahu pergi bersama ke kedai gula-gula yang turut terletak di dalam bangunan usang itu. Namun, Abu Usman tiba di sana lebih lewat daripada masa yang dijanjikan kerana ibunya tidak membenarkan dia keluar dari rumah.
    
Dia keluar juga, sudah tentu tanpa pengetahuan ibunya.
    
Dan menjadi saksi kepada kekejaman tentera Rusia kepada bangsa mereka.
    
Beberapa orang mujahidin di situ cuba menghentikan Abu Usman daripada terus memijak tubuh-tubuh yang sudah bersepai namun mereka semua ditolak ke tepi oleh lelaki itu.
    
“Abu Usman, bersabarlah, saudara!” Abu Anas memberitahu sambil menarik tubuh Abu Usman ke belakang. Abu Usman meronta minta dilepaskan.
    
“Biarkan saya! Biarkan saya!” jeritnya.
    
Abu Yasmin yang baru tiba menolak tubuh Abu Usman lalu melayangkan satu tumbukan ke wajah pemuda berambut coklat muda itu. Abu Usman terundur ke belakang. Tubuhnya terhenti. Dia mengangkat wajah, memandang Abu Yasmin yang sudah membuka balaclava. Lelaki itu memandangnya dengan perasaan jijik. Jijik akan kelakuannya sebentar tadi.
    
“Jangan buat bodoh di sini! Walaupun dia tentera Assad, awak tak ada hak untuk melakukan mayatnya sedemikian. Kita ialah manusia, bukannya tuhan untuk menghukum begitu sekali!” tempelak Abu Yasmin.
    
Abu Usman tertunduk kesal. Kata-kata Abu Yasmin dihadam sepatah demi sepatah.
    
“Jangan dibutakan dengan dendam yang tak bertepi. Waraslah sikit, Abu Usman Shishani.”    

*****

Markas Dzhamaat Halifat
Latakia, Syria

Suasana di ruangan berkumpul markas Dzhamaat Halifat tidak dipenuhi dengan riuh suara mujahidin seperti selalu. Masing-masing diam sambil menantikan ketibaan amir mereka. Tubuh mereka masih letih selepas operasi di pergunungan Latakia beberapa jam yang lalu.   

Abu Usman dan Abu Yasmin duduk bersebelahan. Masing-masing membisu tanpa kata. Abu Yasmin masih rasa bersalah kerana menumbuk  Abu Usman. Abu Usman pula malu kerana bertindak melampaui batas serta membiarkan dendam di hati mencemari niatnya untuk berjihad di Syria.
    
Pintu ruangan berkumpul dibuka, dan serentak itu Abdul Hakim dan Abu Hamza melangkah ke dalam bersama beberapa orang mujahidin veteran. Mereka berdua duduk bersila di hadapan anak-anak buah mereka sementara 3 orang mujahidin lain mengambil tempat duduk bersama-sama mujahidin yang sudah sedia ada di ruangan tersebut.
    
Tangan Abdul Hakim memegang dua helai kertas – daripada 2 pemilik yang berbeza.
    
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu.” Abdul Hakim memberi salam sebagai pembuka bicara. Mulut-mulut mujahidin lain terkumat-kamit menjawab salam amir mereka.
    
“Seperti yang saudara semua tahu, operasi kita pagi ini berjalan dengan lancar, dengan kemenangan di pihak mujahidin. Namun begitu, kita kehilangan dua orang saudara yang baik, soleh, dan amat berdedikasi. Abu Yusuf al-Tatari dan Abu Ilyas Shishani, mereka syahid ketika menentang musuh yang melakukan kekejaman pada muslimin dan muslimat Syria. Perjuangan mereka tidak sia-sia. Semoga Allah SWT menempatkan mereka berdua di syurga yang tertinggi di akhirat kelak.” Abdul Hakim berhenti seketika sebelum menarik nafas panjang. Kemudian, dia meneruskan ucapannya.
    
“Sekarang, saya akan baca wasiat yang ditulis oleh Abu Yusuf al-Tatari dan Abu Ilyas Shishani. Saya mulakan dengan Abu Yusuf al-Tatari terlebih dahulu.
    
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuhu. Nama saya Rustam Seyfullin. Anda semua mengenali saya dengan nama Abu Yusuf al-Tatari. Saya memberi amanah kepada amir, Abdul Hakim Shishani dan naib amir, Abu Hamza Shishani, untuk membaca wasiat dan menguruskan pengagihan barang-barang milik saya kepada saudara semua.
    
Pertama, komputer riba dan telefon kepunyaan saya. Kedua-duanya saya berikan kepada jamaat kita; di bawah simpanan amir Abdul Hakim Shishani. Jika jamaat ini memerlukan wang untuk membeli barang-barang keperluan, juallah komputer riba dan telefon tersebut.
    
Kedua, kalashnikov saya. Kalashnikov ini saya berikan kepada saudara Abu Yahya al-Dagestani, saudara pertama yang saya kenali sewaktu tiba di kem latihan jamaat lebih dua bulan yang lalu. Terima kasih yang tidak terhingga untuk persahabatan ikhlas yang saudara hulurkan kepada saya.”
    
Abu Yahya yang duduk selang beberapa baris dari Abdul Hakim tidak dapat menahan sebak yang terbuku di dada dengan kata-kata Abu Yusuf. Air matanya tumpah ke pipi.
    
“Ketiga, pistol Glock 17. Glock 17 ini saya berikan kepada saudara Abu Yasmin al-Ingush. Kata-kata setajam pedang yang selalu diucapkan tatkala diri ini tidak berpijak pada realiti, terima kasih untuk kata-kata tersebut. Semoga saudara mendapat apa yang saudara carikan selama ini.
    
Keempat, beg galas, pakaian, selimut, serta barang-barang lain. Semuanya saya serahkan kepada saudara-saudara jamaat kita. Jika anda perlukan pakaian, glove, atau apa-apa sahaja, ambillah barang-barang saya. Saya ikhlaskan semuanya.
    
Terima kasih untuk segala-galanya.
    
Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kehidupan saudara semua.”
    
Dan dengan itu, Abdul Hakim menoktahkan ayatnya untuk wasiat Abu Yusuf.

*****

Skudai, Johor, Malaysia
       
Titisan-titisan hujan terdengar dengan jelas melalui jendela yang terbuka luas. Sesekali bayu menghembus dengan lembut, memenuhi ceruk-ceruk bilik dengan udara yang dingin. Kipas yang berpusing di siling menyejukkan lagi suasana.
    
Zafirah Dayana memeluk tubuh, cuba menghangatkan diri sambil memikirkan nasib percintaan di meja belajarnya. Novel Lolita oleh Vladimir Nabokov yang diletak di sebelah kiri komputer riba masih belum disentuh sejak dia kembali dari kedai buku bersama Mikhail beberapa hari yang lalu.
    
“Awak akan terlepas banyak peluang jika awak terus berpaut pada sesuatu yang tak mungkin akan jadi kenyataan.”
    
“Kalau saya terima awak dan akhirnya hubungan kita tak dapat diteruskan, awak akan lebih terluka pada masa tu.”

    
Kata-kata Mikhail ketika di dalam kereta terngiang-ngiang di ruang ingatan.
    
Entah untuk yang keberapa puluh kali, sebak sekali lagi memenuhi dasar hati Zafirah. Dia bukan seorang gadis yang tamak. Dia cuma perlukan satu sahaja peluang. Namun apa yang disampaikan Mikhail ketika itu benar-benar membunuh jiwanya, merobek-robek jantungnya tanpa rasa belas kasihan. Salahkah mereka mencuba terlebih dahulu. Rasa cinta dapat bercambah kemudian, bukan?
    
Manik-manik jernih menitis ke pipi gebu si gadis. Wajah Mikhail bermain di bayangan mata, menikam rasa cintanya dengan pedang yang tajam. Hatinya rasa pedih dan sakit.
    
Sakit kerana cinta ditolak.
    
Sakit apabila memikirkan yang senyuman Mikhail akan dimiliki oleh perempuan lain suatu hari nanti.
    
Air mata Zafirah semakin deras mengalir. Jika dia tahu ini kesudahan perasaannya, dia tidak akan menghulurkan tangan tanda persahabatan kepada Mikhail di taman permainan 16 tahun yang lalu. Dia juga tidak akan menegur lelaki itu di sekolah hanya kerana lelaki itu jirannya.
    
Pasti dia akan lebih bahagia jika dia tidak pernah mengenali Mikhail.
    
Zafirah mengesat air mata. Novel Lolita di sebelah komputer riba diambil.
    
Dia merenung kulit hadapan novel.
    
“Nanti kita baca sama-sama.”
    
Dengan rasa kecewa yang membuak di kalbu, Zafirah mengoyakkan kulit hadapan novel tersebut. Jari-jemarinya dengan rakus mencarik dan mengoyak satu-persatu halaman novel. Helaian-helaian yang koyak dicampak kasar di atas lantai.
    
Hatinya puas.        
    
Air matanya kali ini ialah yang terakhir untuk Mikhail. Mulai saat ini, dia tidak akan menangis untuk lelaki itu lagi.        

*****

Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia


Sunyi ruang tamu rumah dua tingkat itu lenyap dengan suara daripada televisyen. Dengan alat kawalan jauh di tangan, Anastasia duduk bersandar di atas sofa. Ibunya, Natalya kemudian menyertainya di ruang tamu sambil membawa dua mangkuk kecil puding buah. Dia memberikan satu kepada Anastasia.
    
“Terima kasih,” ucap si gadis rambut perang kepada ibunya.
    
“Tukarlah siaran tu ke drama Bednaya Nastya,” ujar Natalya.
    
“Mama, kita dah tengok drama tu berulang kali,” komen Anastasia.
    
“Tak apa. Drama tu menarik. Tengok berulang kali pun tak bosan,” kata Natalya. Anastasia mengeluh perlahan. Baru sahaja dia hendak menukar siaran ke saluran STS, siaran berita memaparkan rakaman latihan ketenteraan ‘teroris’ di Syria.
    
Anastasia terkedu. Kapsyen pada berita memberitahu rakaman itu diambil daripada video yang dimuatnaik oleh ‘teroris’ di Youtube. Serta-merta Anastasia teringatkan Aslan yang turut berada di Syria. Adakah kumpulan ‘teroris’ di dalam rakaman tersebut ialah kumpulan yang disertai Aslan?
    
Hati Anastasia mula tidak tenteram. Alat kawalan jauh televisyen dan puding buah segera diletakkan di atas meja ruang tamu.
    
Dia bingkas bangun lalu berlari menuju ke biliknya di tingkat atas, meninggalkan ibunya yang kehairanan sendirian.
    
Di dalam bilik, Anastasia mengeluarkan telefon pintar daripada beg tangan. Mesej daripada Ruslan dibuka. Nombor yang tertera pada mesej tersebut disimpan ke dalam memori telefon.
    
Buat seketika, Anastasia termenung. Apa yang Aslan fikirkan nanti jika dia menghantar mesej kepada lelaki itu? Dan, adakah Aslan akan membalas mesejnya?
    
Jangan risau, Nastya. Aslan tetap Aslan. Dia takkan pernah berubah. Dia tetap lelaki yang kau cintai.
    
Tanpa mahu berfikir panjang, Anastasia menaip mesej.
    
Aslan, ini Nastya. Awak apa khabar? Sihat tak?
    
Mesej tersebut dikirim kepada Aslan.
    
Anastasia menarik nafas lega.
    
Dia membaringkan tubuh di atas katil. Apa agaknya Aslan sedang lakukan sekarang? Bagaimana keadaannya di sana? Adakah dia sihat? Adakah dia gembira di sana? Pelbagai soalan muncul di minda si rambut perang. Ketika menunggu balasan mesej daripada Aslan, dia akhirnya terlelap.    



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku