Takdir Yang Mengikat
Bab 29
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
109

Bacaan






Pagi itu selepas bangun dari tidur, Anastasia terlebih dahulu membuka telefon pintarnya. Tatkala melihat mesej daripada Aslan, hatinya berbunga gembira.
---
Aslan: Nastya, saya sihat. Awak apa khabar? Bagaimana awak tahu nombor saya?
--- 
Tangan Anastasia menaip perkataan ‘Saya sihat. Saya rindukan awak.’
    
“Rindukan awak…” Anastasia mengucap perlahan. Dia memadamkan ayat yang terakhir lalu menambah dengan ayat yang lain.
---
Anastasia: Saya sihat. Saya dapat nombor awak daripada Ruslan. Aslan, awak sekarang ni di Syria ke?

Aslan: Ya. Saya di Syria.

Anastasia: Bila awak akan kembali ke Ufa?

Aslan: Saya pun tak tahu, Nastya.

Anastasia: Tapi awak akan balik juga satu hari nanti, kan? Lepas jihad awak di sana selesai, kan?

Aslan: Saya pun tak tahu kalau saya boleh kembali ke Ufa. Jujur cakap, sekarang saya ada label ‘Pengganas’ di atas kepala saya. )))

Anastasia: Awak bukan pengganas. Awak orang baik. Awak ialah seseorang yang takkan menyakiti orang lain.

Aslan: Bagaimana awak boleh pasti tentangnya?

Anastasia: Sebab saya dah kenal awak lebih 6 tahun.

Aslan: Mungkin yang awak kenal itu bukan saya, tetapi Ruslan. )))

Anastasia: Tak perlu buat lawaklah, Aslan. Tak menjadi…

Aslan: Awak tak beritahu tentang saya kepada orang lain, kan?

Anastasia: Jangan risau, saya takkan biarkan orang lain tahu tentang awak. Sebagai kawan, saya akan lindungi awak.

Aslan: Terima kasih Nastya. Awak memang seorang yang boleh diharapkan.

Anastasia: Apa ni? Takkan saya cuma dapat ucapan terima kasih?

Aslan: Awak nak apa-apa ke? ))

Anastasia: KFC. Saya nak awak belanja saya KFC bila awak balik ke Ufa nanti. )))))

Aslan: Itu sahaja?

Anastasia: Dan ada lagi benda lain yang saya nak. Itu saya akan beritahu pada masa hadapan.

Aslan: Okey.

Anastasia: Sekarang di Syria jam berapa?

Aslan: 4.50 pagi.

Anastasia: Awalnya awak bangun!

Aslan: Saya bangun awal untuk solat Subuh.

Anastasia: Solat Subuh? Boleh saya tahu apa itu?

Aslan: Orang Islam wajib solat 5 kali dalam sehari. Subuh ialah solat yang pertama.

Anastasia: Oh begitu…Maaf saya tak tahu tentangnya.

Aslan: Tak apa. )) Hm…Okeylah Nastya, kita berbual lain kali lagi. Selamat tinggal.

Anastasia: Selamat tinggal. Jaga diri baik-baik di sana.

Aslan: Awak juga, jaga diri.
---

*****

Grozny, Republik Chechen, Rusia
    
Tangisan kuat Kheda bagaikan melodi sedih yang berkumandang di segenap inci bilik tidurnya. Ashura yang berada di situ turut sama mengalirkan air mata. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Kala ini, hanya dakapan erat seorang sahabat baik sahaja yang dapat dia berikan.
    
“Saya menyesal. Saya menyesal…” Berulang-ulang kali Kheda mengucapkan ayat yang sama.
    
Ashura mengetap giginya kuat. Luluh hatinya memikirkan hari-hari mendatang yang terpaksa ditempuh Kheda seminggu lagi. Namun apakan daya, ayah dan datuk Kheda sudah memberi keputusan mereka. Tiada apa lagi yang mampu Kheda lakukan. Menangis air mata darah pun tidak akan mengubah hakikat yang gadis itu akan berkahwin dalam masa beberapa hari sahaja lagi.
    
Berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya!

*****

Hospital Al-Azzam, Qastal Ma’af
Latakia, Syria

    
Abu Usman tepaku di luar bilik yang menempatkan Abu Bakar. Terasa berat mahu melangkah masuk ke dalam walaupun dia akui, dia sangat merindui sahabatnya setelah lebih dua minggu tidak bersua.
    
Selama dua minggu, jamaat mereka terlibat dalam dua operasi; menyekat kemaraan tentera Assad bersama Ansar Sham di Latakia dan membebaskan beberapa buah kampung Sunni daripada kawalan rejim Assad di sekitar Jabal Turkman. Kedua-dua operasi mereka berjaya namun 3 orang ahli mereka terkorban dalam operasi yang diketuai pasukan mujahidin tempatan. Abu Yusuf dan Abu Ilyas terkorban dalam operasi pertama yang disertai Abu Usman. Abu Ismail, anak muda dari Dagestan yang mereka kenali ketika tiba di Turki bulan lalu, terkorban dalam operasi di Jabal Turkman. Abu Ismail turut menyertai ribat bersama Abu Bakar dan dia dua minggu sebelum itu.
    
Biarpun tidak terlalu rapat dengan Abu Ismail, pemergian anak muda tersebut turut meninggalkan luka di hati Abu Usman. Terasa seperti ada satu ruangan yang kosong di dada, sama ketika Abu Safiya dan Abu Yusuf meninggalkan mereka semua. Juga sama ketika dia melihat mayat rakan-rakannya bergelimpangan di atas jalan di Grozny 14 tahun yang lalu. Dunia bagaikan berhenti berputar manakala setiap helaan nafas terasa berat dan pedih.
    
Kehilangan memang menyakitkan. Ia menyiat hati dengan kejam, meninggalkan luka yang tidak akan sembuh hingga ke akhir hayat.
    
Abu Usman tertunduk. Bila Abu Bakar sihat nanti, sudah tentu dia akan menyertai operasi jamaat, dan terdedah dengan maut. Jika Abu Bakar ditakdirkan pergi dahulu sebelum dia, salah satu sebab untuknya terus hidup akan hilang. Hari-hari yang mendatang tentunya kelam; sunyi dan sedih bagaikan berbicara di dunia yang kosong.
    
Tidak!
    
Dia tidak mahu hidup di dunia di mana Abu Bakar tidak lagi wujud. Apapun yang berlaku, dia akan melindungi Abu Bakar. Bunyinya mementingkan diri sendiri namun Abu Usman tidak sanggup terluka lagi. Ruang kosong yang tercipta di hati…dia akan memastikan ruang itu tidak bertambah.
    
Tombol dipusing dan seraya itu pintu dikuak ke dalam.
    
Wajah gembira dipasang bersama senyuman yang lebar.
    
Melihat kehadirannya, Abu Bakar turut tersenyum.
    
“Assalamualaikum,” sapa Abu Usman.
    
“Waalaikumsalam.” Abu Bakar menjawab. Abu Usman meletak bungkusan roti yang dibeli di atas katil lalu mendakap perlahan tubuh sahabat baiknya.
    
Abu Bakar membalas dakapannya.
    
Setelah dakapan terlerai, Abu Usman terus menyoal. “Macam mana luka awak?”
    
“Doktor cakap dalam dua minggu lagi saya dah boleh keluar,” jawab Abu Bakar. Abu Usman ketawa kecil.
    
“Awak sendiri pun doktor. Tak, kita berdua pun doktor,” ujar Abu Usman.
    
“Kita berdua cuma doktor pelatih yang tak ada pengalaman.” Abu Bakar membetulkan.
    
“Ya.” Abu Usman merapatkan kerusi ke katil Abu Bakar lalu melabuh punggung di atasnya.
    
“Macam mana keadaan di markas?”
    
“Macam biasa. Kadangkala ada operasi. Kadangkala tiada operasi,” jawab Abu Usman.
    
“Saya harap luka saya cepat sembuh. Duduk di sini lama-lama buat saya rasa tak berguna,” rungut Abu Bakar.
    
“Tapi awak tahu kan proses penyembuhan akan ambil masa yang lama. Walaupun awak dah keluar nanti, amir takkan biarkan awak terlibat dalam pertempuran.”
    
“Tak apa. Saya rela ambil tugas bersihkan senjata semua orang daripada duduk di sini,” luah Abu Bakar.
    
Abu Usman bersandar pada kerusi. Raut wajah Abu Bakar direnung. Ayat Abu Bakar sedikit sebanyak menggoyah perasaannya. Berada di markas bukan jaminan yang seseorang itu akan selamat.
    
“Kenapa, Akhshiyat?”
    
Abu Usman menggeleng kepala lalu mengukir senyum. “Tak ada apa-apa. Apa yang awak buat sepanjang dua minggu di sini?”
    
“Duduk termenung menunggu berita dari awak, amir, dan Abu Muhammad.” Abu Bakar mengeluh. “Amir tak banyak bercerita tentang jamaat. Abu Muhammad banyak berahsia dan awak pula…hmm…ini kali kedua saya nampak muka awak sejak saya bangun.”
    
“Maaflah. Sibuk sikit,” kata Abu Usman.
    
“Ya, lebih sibuk daripada amir sendiri,” perli Abu Bakar dengan nada bergurau.
    
“Awak ada hubungi keluarga awak?” Abu Usman mengubah topik.
    
“Ruslan ada mesej tanya keadaan saya. Dan…” Abu Bakar terus diam.
    
“Dan?”
    
“Nastya ada mesej saya.”
    
“Nastya?” Abu Usman menyoal kembali. Bulat matanya memandang Abu Bakar, ingin tahu. “Macam mana dia boleh tahu nombor awak?”
    
“Ruslan yang beri,” jawab Abu Bakar.
    
“Ruslan?” Bagai tidak percaya Abu Usman mendengarnya. Sejak bila Ruslan jadi begitu prihatin akan perasaan orang lain?
    
“Ya. Saya pun tak tahu kenapa dia beri nombor saya pada Nastya.” Abu Bakar menggaru-garu kepala. “Aneh, kan?”
    
Abu Usman tersenyum kelat. Sudah tentu Anastasia menghubungi Abu Bakar kerana rasa cinta pada lelaki itu. Hanya Abu Bakar sahaja yang tidak perasan tentangnya. Malah Viktor yang menaruh hati pada Anastasia pernah memberitahu Abu Usman yang dia sangat cemburu dengan Abu Bakar.
    
“Apa yang Nastya cakapkan pada awak?”
    
“Dia cuma tanya khabar. Jangan risau, dia tak tau pun awak ada di sini.” Abu Bakar memberitahu, cuba mengurai resah di hati Abu Usman. Fikirnya, pasti Abu Usman bimbang jika ada orang lain yang tahu dia ke Syria selain ahli keluarganya. Isu ke Syria ialah isu yang sangat sensitif di Republik Chechen. Silap hari bulan seluruh ahli keluarga mujahid yang terlibat akan disoal siasat dengan cara yang kasar.
    
Abu Usman mengangguk-angguk kepala tanda mengiyakan. Sebenarnya dia langsung tidak risau tentang mesej Anastasia. Dia yakin yang gadis itu hanya berminat dengan berita Abu Bakar sahaja.
    
“Saya harap Ruslan tak beritahu rakan-rakan yang lain tentang saya di sini.” Abu Bakar mengeluh perlahan.
    
“Saya rasa hanya Nastya sahaja yang tahu. Lagipun dia kan sukakan awak, mestilah dia risau.”
    
Terkebil-kebil Abu Bakar mendengar kata-kata sahabatnya.
    
“Apa?”
    
“Awak tak tahu ke?” Abu Usman sengaja menduga.
    
“Tak mungkinlah. Dia bukan Islam pun,” sangkal Abu Bakar. Tidak dapat dia bayangkan Anastasia yang kuat pegangan agama itu ada hati kepadanya.
    
“Aslan, Aslan…awak memang tunggul dalam hal-hal macam ni. Kami semua pun perasan yang dia sukakan awak. Takkan awak sendiri tak perasan?” sindir Abu Usman.
    
“Dia kawan perempuan pertama yang rapat dengan saya. Macam manalah saya nak tahu? Mungkin awak semua tersilap. Nastya ramah dengan semua orang.”
    
“Viktor cakap dia cemburu dengan awak sebab Nastya tolak cintanya. Walaupun Nastya tak cakap siapa lelaki yang dia suka, tapi bila lihat Nastya selalu ambil peluang untuk rapat dengan awak, Viktor pun dah boleh agak siapa lelaki tu.” Abu Usman memberitahu panjang lebar.
    
Abu Bakar terdiam, tidak tahu mahu berkata apa lagi. Dia menunduk wajah. Jika benar Anastasia menaruh hati kepadanya, dia tidak boleh berbuat apa-apa. Hendak membalas perasaan Anastasia juga dia tidak mampu. Kerana dia sendiri berada jauh dari Rusia.
    
Sunyi kini melamar suasana, meninggalkan hanya bunyi titisan hujan di luar jendela. Abu Usman merenung wajah sahabatnya, cuba membaca apa yang terbuku di hati pemuda itu. Abu Bakar dilihatnya sudah hilang dalam lautan fikiran. Mungkin berfikir tentang Anastasia, duga Abu Usman di dalam hati. Dia tersenyum lebar. Masih belum terlambat lagi untuk sahabatnya itu mengundurkan diri dari tanah Syria. Amir dan ahli jamaat yang lain pasti faham keadaannya. Proses penyembuhan tulang rusuk yang patah mengambil masa yang lama. Daripada Abu Bakar berada di sini, lebih baik dia kembali sahaja ke Rusia.
    
Mungkin, dia boleh bina hidup baru bersama Anastasia.
    
Ya, hidup baru. Kehidupan yang aman damai lebih sesuai dengan Abu Bakar. Membesar hampir 23 tahun di Ufa, rakan baiknya itu tidak pernah merasa hidup di dalam lingkaran peperangan sepertinya di Republik Chechen. Abu Bakar tidak pernah merasai ketakutan akibat kehilangan rakan-rakan dan ahli keluarga akibat peperangan. Tidak sepertinya…
    
Malah berita tentang kematian  Abu Safiya dan ahli jamaat yang lain juga Abu Bakar tidak tahu. Dia tidak membenarkan Abu Muhammad bercerita tentang itu kepada Abu Bakar. Kerana dia tahu, berita-berita tersebut hanya akan menguatkan lagi semangat Abu Bakar untuk berjihad. Dia mahu semangat rakannya itu pudar sehingga dia merasakan dirinya cuma membebankan jamaat sahaja dengan keadaan tubuhnya sekarang.
    
Kalau boleh, Abu Usman mahu Abu Bakar meninggalkan tanah Syria buat selama-lamanya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku