Takdir Yang Mengikat
Bab 30
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
87

Bacaan






Ufa, Republik Bashkortostan, Rusia

Bayu musim sejuk Rusia menyapa tubuh hingga ke tulang-temulang. Salji menutupi kawasan persekitaran, melakar pemandangan dengan warna putih.
   
Anastasia cepat-cepat mengunci pintu rumahnya sebelum melangkah laju ke arah kereta. Salji yang meninggi memenuhi laluan masuk ke dalam anjung kereta sudah direndah dan diratakan awal-awal pagi lagi oleh dia dan ibunya.
   
Selepas menutup pintu kereta, Anastasia menghidupkan enjin dan alat pemanas. Dia lalu bersandar pada kerusi yang diduduki sambil membelek-belek fail pesakit sementara menunggu enjin keretanya panas.
   
Deringan telefon pintar mematikan fokusnya. Anastasia segera  mengeluarkan telefon pintar tersebut dari dalam beg tangan lalu menjawab panggilan daripada satu nombor yang tidak dikenali.
   
“Helo,” sapanya.
   
“Helo. Ini Anastasia ke?” Kedengaran suara seorang lelaki di hujung talian.
   
“Ya, saya Anastasia.”
   
“Nastya, ini pak cik. Pak cik Ivan.”
   
Besar mata Anastasia selepas si pemanggil tersebut memperkenalkan diri. Dia terkedu, kehilangan kata. Sudah hampir 15 tahun mereka tidak bersua muka hatta bertegur sapa. Keluarga ayahnya di Orenburg tidak pernah bertanyakan khabar dia dan ibunya selama ini. Jadi mengapa pula adik ayahnya itu tiba-tiba menelefonnya?
   
“Nastya, kamu masih di situ?” Ivan menyoal setelah tidak mendengar apa-apa daripada anak saudaranya.
   
“Y…ya. Pak cik apa khabar?” Anastasia berbasa-basi. Walaupun hatinya diusik sangsi kerana panggilan yang tidak dijangka, dia bukan orang yang biadap. Apatah lagi tatkala ini dia cuba menutup rasa kurang senang yang bercambah di hati.
   
“Khabar baik. Kamu dan mama kamu sihat, Nastya?” Soalan Ivan mematahkan satu-persatu cabang kemarahan yang mula bercambah dalam diri. Mungkin pak ciknya itu merindui mereka sebab itulah dia bertanya khabar, Anastasia meneka.
   
“Saya dan mama sihat. Pak cik dan keluarga sihat?”
   
“Baguslah kalau macam tu. Kami di Orenburg pun sihat. Cuma…” Nada Ivan kedengaran risau.
   
“Cuma?” Anastasia menyoal tidak sabar.
   
“Nastya, pak cik ada sesuatu nak beritahu pada kamu.”
   
“Sesuatu?”
   
“Ya, Nastya.” Ivan berhenti seketika sebelum menyambung lagi. “Nenek kamu sakit tenat di Hospital Orenburg. Kalau boleh, dia nak jumpa kamu dan mama kamu.”
   
“Nenek tenat?” soal Anastasia bagaikan tidak percaya. Nenek di dalam memorinya ialah wanita tua paling cergas yang pernah ditemui. Setiap pagi nenek dan datuk akan bersenam dan berjoging mengelilingi kawasan perumahan. Bagaimana dia boleh jatuh sakit? Adakah kerana faktor usia?
   
“Nenek didiagnosis dengan kanser perut tahap 4. Dia teringin nak jumpa kamu dan mama kamu sebelum…dia pergi meninggalkan kita semua.” Suara Ivan perlahan di hujung ayat, bagaikan sedang menahan sesuatu. Tangisan.
   
“Tapi…tapi kenapa sekarang, pak cik? Kenapa baru sekarang pak cik hubungi saya? Kenapa selama ini pak cik tak pernah hubungi kami berdua?” Anastasia menyoal bertalu-talu dalam sebak. Neneknya sakit. Nenek kesayangannya di Orenburg sedang sakit. Nenek yang sentiasa tersenyum dan membuat kek untuknya setiap kali dia melawat nenek kini dalam keadaan yang tenat. Tapi mengapa sekarang baru nenek mahu berjumpa dengannya? Mengapa bukan sebelum ini?
   
“Nastya…” Ivan memanggil. “Bukankah Nastya dan mama Nastya yang tak mahu berjumpa dengan kami? Tak pernah membalas surat-surat yang pak cik, datuk, dan nenek selalu kirimkan?”
   
Soalan Ivan umpama batu yang menghempap kepala Anastasia. Gadis rambut perang itu terkesima. Tuduhan tidak berasas pak cik Ivan tidak dapat diterima. Apa maksud pak cik Ivan? Bukankah mereka yang mahu memisahkan dia daripada ibunya selepas ayahnya meninggal berbelas tahun yang lalu? Kemudian apabila dia dan ibunya berpindah ke Ufa, keluarga ayahnya itu membuang mereka berdua. Tiada surat, tiada pertanyaan khabar, juga tiada bantuan yang diberikan kepada si balu dan si anak perempuan yang baru kehilangan suami dan ayah.
   
Tiada apa-apa.
   
“Apa yang pak cik cakap ni? Saya tak pernah terima surat dari pak cik dan nenek. Pak cik pun tak pernah datang sini untuk lawat kami berdua.” Anastasia meluah dengan nada yang tinggi. Sebak di hati bertukar amarah.
   
Ivan menghela nafas dengan berat.
   
“Nenek dan datuk kirimkan surat buat kamu berdua setiap bulan. Dan, kami pernah cari mama kamu di tempat kerjanya. Tapi…” Ayat Ivan terhenti di situ. Selepas seketika dia menukar topik. “Nastya, maafkan pak cik yang pentingkan diri sendiri ni. Pak cik rayu pada kamu, tolonglah balik ke Orenburg untuk jenguk nenek kamu buat kali terakhir. Sekejap pun tak apa. Tolonglah, Nastya. Kalau kamu tak suka pak cik sebab tak hubungi kamu selama ni, pak cik tak kisah. Tapi tolonglah jangan benci datuk dan nenek. Tolonglah datang melawat mereka,” rayu Ivan bersungguh-sungguh. Dalam hati penuh dengan harapan yang Anastasia dan Natalya akan datang melawat ibunya di Orenburg, biarpun untuk seketika.

*****

Skudai, Johor, Malaysia

Assalamualaikum brat. Kak dela? Kakova situatsiya tam? (Assalamualaikum. Apa khabar? Bagaimana keadaan di sana?)Khaleed Safar

Vaalaikumsalam. U menya vse khorosho. Situatsiya peremenchivaya. Delayte dua, ne zabyvayte nas v svoikh dua, nezavisimo ot togo, gde vy byli, eto neveroyatnaya po sile pomoshch (Waalaikumsalam. Saya sihat. Keadaan berubah-ubah. Berdoalah, jangan lupakan kami di dalam doa saudara tidak kira di mana saudara berada, kerana ia merupakan senjata yang kuat) - Abu Bakar Shishani
   
Bait-bait perkataan yang ditulis Abu Bakar Shishani ditatap lama. Entah mengapa dia seperti dapat merasai keikhlasan pemuda tersebut dalam perbualan singkat mereka.
   
Bibir Zafirah lalu mengukir senyum.
   
Sudah beberapa kali dia dan Abu Bakar Shishani saling menghantar mesej. Dia tidak menyangka Abu Bakar membalas mesej ‘Sihat, alhamdulillah’ yang dikirimnya lebih seminggu lalu dengan soalan ‘Saudara berasal dari mana?’ Perbualan yang pada mulanya ringkas, menjadi semakin kompleks hingga dia terpaksa menggunakan Google Translate dan Virtual Keyboard untuk menaip ayat dalam huruf Cyrillic*.
   
Terkadang Zafirah rasa segan kerana dalam ruangan ‘Bahasa’ di akaun VK kepunyaannya tertulis ‘Rusia, Inggeris, dan Melayu’, memberi anggapan seolah-olah dia menguasai bahasa Rusia, Inggeris, dan Melayu sedangkan dia tahu bahasa Inggeris dan Melayu sahaja.
   
Walaupun mesej Abu Bakar selalu dinantikan olehnya, jauh di sudut hati, rasa gusar tetap ada terutama ketika lelaki itu menghantar mesej dengan ayat yang panjang. Zafirah takut maksud sebenar ayat tersebut tidak sampai kepadanya yang hanya berpandukan Google Translate. Dan, oleh kerana bahasa Rusia memiliki nahu yang kompleks dengan 6 cases yang berbeza, Zafirah juga terpaksa berhati-hati ketika membalas mesej Abu Bakar. Sebolehnya dia tidak mahu menghantar mesej menggunakan ayat yang tunggang-langgang.
   
Mahu sahaja dia memberitahu Abu Bakar yang dia sebenarnya langsung tidak memahami bahasa Rusia. Namun apabila memikirkan yang lelaki itu mungkin akan menganggapnya sebagai penipu, Zafirah tidak sanggup.
   
Dia sendiri tidak faham mengapa dia begitu mementingkan persahabatan dengan lelaki yang hanya dikenali di VK itu.
   
Adakah kerana dia sunyi dan memerlukan teman untuk berbicara?
   
Atau untuk mengisi kekosongan sementara yang tercipta di ruangan hati?

*****

Grozny, Republik Chechen, Rusia
   
Muzik tradisional Chechen dengan ritma moden dimainkan dengan rancak, sebagai penghibur suasana di majlis perkahwinan. Bunyinya memenuhi segenap ruang dewan yang dihias cantik dengan perhiasan-perhiasan mewah dan lampu-lampu kristal warna-warni yang terang-benderang. Tetamu-tetamu yang datang ke majlis perkahwinan itu semuanya berpakaian elegan.
   
Seorang pemuda dan seorang gadis sedang menari tarian lezginka di tengah-tengah dewan. Mereka dikelilingi oleh  gadis-gadis, wanita, dan lelaki-lelaki tua dan muda yang sedang menunggu giliran untuk menari. Ada di antara lelaki muda yang bersorak gembira, ada juga yang bertepuk tangan. Gadis-gadis yang berada di situ sekadar memerhatikan dengan penuh minat. Sesekali mereka berbisik apabila pemuda di situ melemparkan senyuman kepada mereka. 
   
Bersebelahan pentas yang menempatkan beberapa orang pemuzik terkenal Chechnya, seorang gadis rambut perang yang memakai gaun kembang warna putih sedang berdiri sambil diapit oleh kakak pengantin lelaki; seorang wanita dalam lingkungan 50-an. Tatkala terpandang Ashura tidak jauh dari situ, gadis itu melorek senyuman terpaksa.
   
“Kheda...” Ashura memanggil lalu memeluk erat tubuh sahabat baiknya. Kheda membalas pelukannya kembali.
   
“Ashura…” ucap Kheda perlahan. Lama dia memeluk Ashura, tidak mahu melepaskan sahabatnya. Kheda rasa selamat dengan kehadiran Ashura di situ, di majlis perkahwinannya.
   
Selepas pelukan terlerai, Kheda menitiskan air mata. Ashura yang melihat hanya mampu mengucap simpati di hati. Dia pasti air mata Kheda ialah air mata sedih. Terpaksa kahwin dengan lelaki yang tidak dicintai bukan satu masalah besar jika lelaki itu masih muda dan tidak mempunyai isteri lain. Tetapi jika lelaki itu mempunyai isteri dan anak-anak yang sebaya dengan Kheda sendiri, mampukah sahabatnya tetap tersenyum gembira?
   
“Kheda, jangan menangis. Kamu akan rosakkan mekap kamu. Cepat lap air mata kamu tu,” arah wanita yang berdiri di sebelah Kheda. Kheda segera mengelap air matanya.
   
“Maafkan saya,” ujar Kheda.
   
Ucapan maaf Kheda membuat darah Ashura menyirap. Siapa wanita itu mahu mengarah-arah Kheda? Tidak tahukah dia, adik lelakinya ialah punca Kheda mengalirkan air mata?
   
Ashura mengetap gigi. Wajah Kheda direnung. Saat ini Ashura terasa seperti mahu merentap tangan Kheda dan membawanya lari jauh dari situ.
   
Kheda memaksa senyuman di bibir, cuba menyembunyikan luka di hati. Namun Ashura dapat melihat air mata Kheda kembali bergenangan di kelopak mata. Dia menggenggam erat tangan Kheda. Simpatinya menggunung tetapi tidak ada apa-apa yang bisa dia lakukan untuk membantu Kheda melepaskan diri daripada perkahwinan ini. Sijil perkahwinan sudah ditandatangani. Lafaz nikah juga sudah dilafaz daripada mulut pasangannya. Kheda kini isterinya yang sah.
   
“Semoga hidup awak sentiasa dirahmati Allah…” ujar Ashura. Dia tidak sanggup mahu mengucap perkataan ‘Tahniah’. Kheda hanya mengangguk.
   
“Saya pergi dulu, Kheda.”
   
“Terima kasih sebab datang.” Kheda mengucapkan.
   
“Ya.” Ashura melepaskan genggamannya pada tangan Kheda lalu berpaling pergi. Berada lama-lama di dewan itu hanya mengundang rasa sakit hati. Tetamu-tetamu yang hadir rata-rata menunjukkan riak wajah yang gembira. Tetapi tahukah mereka Kheda sedang terseksa?
     
Tidak jauh dari situ, seorang pemuda memerhatikan Ashura yang sedang melangkah keluar dari dewan. Dia segera meninggalkan meja yang didudukinya lalu berlari mendapatkan Ashura.
   
Di luar dewan, hati Ashura menyumpah seranah ahli perniagaan yang memaksa Kheda menjadi isterinya. Dia juga sakit hati pada ahli keluarga yang tidak mampu melindungi Kheda, terutama sekali ayah Kheda. Tergamak ayah Kheda mengahwinkan anak gadisnya pada lelaki yang sudah beristeri. Biarpun lelaki tua itu mendesak, keputusan ada di tangan ayah Kheda.    

Ashura langsung tidak menyangka kemenangan Kheda dalam pertandingan Gadis Chechen Kebangsaan menjadi punca kepada segala masalah yang menimpa Kheda. Kecantikan dan kebijaksanaan Kheda dalam pertandingan tersebut telah mencuri hati ramai pemuda termasuklah ahli perniagaan terkenal Grozny itu. Sehari selepas pertandingan tamat, lelaki itu datang ke rumah Kheda untuk menyunting gadis itu sebagai isteri keduanya. Menurut undang-undang Rusia, poligami tidak dibenarkan. Namun di Chechnya, apa pun boleh dilakukan sekiranya seseorang itu memiliki duit dan kuasa.
   
“Ashura!” laung seorang lelaki sebaik sahaja Ashura keluar dari perkarangan dewan Grand Grozny. Ashura berpaling ke belakang. Seorang lelaki lingkungan awal 20-an menuju ke arahnya.
   
“Awak panggil saya ke?” Ashura menyoal setelah lelaki itu berdiri di hadapannya.
   
“Saya Ziyaudin.” Lelaki itu memperkenalkan diri.
   
“Jadi?” Dahi Ashura berkerut. Dia memandang  Ziyaudin atas bawah. Lelaki rambut hitam itu memakai sport coat coklat bersama kemeja putih di dalam dengan seluar jeans biru gelap. Susuk tubuh lelaki itu hampir sama dengan abangnya.
   
“Saya kawan Akhshiyat. Kami pergi kelas karate bersama.” Ziyaudin memberitahu.
   
“Awak nak cari abang saya ke?” soal Ashura.
   
“Dia kan ada di Syria sekarang. Kenapa pula saya nak cari dia?” Ziyaudin menyoal kembali sambil tersengih.
   
Ashura tergamam. Bagaimana lelaki itu tahu abangnya ada di Syria? Sedangkan ahli keluarganya yang lain pun tidak tahu tentang itu. Mereka semua menyangka Akhshiyat bekerja di Moscow.
   
“Awak tentu terkejut kan, bagaimana saya tahu tentang abang awak,” teka Ziyaudin.
   
“Awak nak apa?” Kasar Ashura menyoal. Dia tidak suka orang lain tahu abangnya ke Syria. Kerana itu bisa menjurus keluarganya ke kancah masalah jika diketahui pihak berkuasa.
   
“Saya nak mengenali awak dengan lebih rapat lagi.” Jujur Ziyaudin memberitahu.
   
Ashura diam. Lama dia memerhatikan wajah Ziyaudin. Sangsi membuku tebal di hati. Kenal pun tidak, tiba-tiba berkata dia mahu mengenali Ashura dengan lebih rapat. Kenapa dengan lelaki ini? Adakah dia juga memiliki sikap yang sama seperti Zaur?
   
“Maaf. Saya tak berminat.” Ashura menjawab lalu berpaling.
   
“Walaupun saya kenal abang awak?” Soalan Ziyaudin menyebabkan Ashura berpaling ke belakang kembali. Mata Ashura merenung tajam wajah Ziyaudin.
   
“Jangan gunakan abang saya sebagai alasan.” Keras Ashura mengucapkan lalu menapak langkah meninggalkan pemuda itu. Ziyaudin tersenyum tawar. Benar kata Akhshiyat, adik perempuannya itu memang sukar untuk didekati. Tapi dia tidak akan berputus asa. Dia akan terus berusaha untuk menawan hati Ashura Batsaraeva!

*****
   
Ashura masuk ke biliknya dengan perasaan yang marah. 17 kuntum tulip kuning yang berada di dalam pasu tinggi, dikeluarkan. Dia lalu cepat-cepat keluar dari bilik sambil membawa tulip-tulip tadi. Pintu rumah dibuka dengan kasar. Tiba di luar pagar rumah, Ashura segera membuka penutup tong sampah lalu menyumbatkan kesemua tulip kuning tersebut ke dalamnya. Kemudian dia menutup tong sampah kembali.
   
Puas hatinya!
   
Tidak seperti Kheda, dia tidak akan membiarkan dirinya tewas di tangan lelaki. Selain ayah dan abangnya, lelaki-lelaki lain semuanya teruk dan tidak boleh dipercayai. Mereka suka memaksa tanpa memikirkan perasaan gadis yang menjadi paksaan mereka. Apa yang berlaku kepada Kheda ialah salah satu buktinya. Dan Ashura, tidak akan membiarkan dirinya berakhir seperti Kheda.
______________________________________________________

Glosari:

Cyrillic – Alphabet yang digunakan untuk bahasa Rusia, Bulgaria, Serbia, dan beberapa bahasa Slavic yang lain. Contoh: У меня все хорошо (U menya vse khorosho)

P/s: Untuk menjimatkan ruang dan menutup kelemahan saya yang juga sedang belajar bahasa Rusia seperti Zafirah, dialog Abu Bakar dan Khaleed Safar yang seterusnya akan ditulis dalam bahasa Melayu.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku