Takdir Yang Mengikat
Bab 31
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
84

Bacaan






Hospital Al-Azzam, Qastal Ma’af
Latakia, Syria

    
+++++
Khaleed Safar: Assalamualaikum saudara. Apa khabar?

Abu Bakar Shishani: Waalaikumsalam. Khabar baik. Saudara?

Khaleed Safar: Saya juga khabar baik.

Abu Bakar Shishani: Maafkan saya tetapi boleh saya bertanyakan sesuatu?

Khaleed Safar: Boleh.

Abu Bakar Shishani: Bagaimana saudara tahu berbahasa Rusia?

Khaleed Safar: Jiran saya anak kacukan Rusia. Dia mengajar saya.

Abu Bakar Shishani: Oh begitu. Pernah ke Rusia?

Khaleed Safar: Tidak pernah. Tapi saya teringin pergi ke sana.

Abu Bakar Shishani: Jika saudara ke Rusia, berbanding Moscow, saya sarankan saudara datang ke tempat di mana ramai populasi Muslim seperti Kazan dan Ufa.

Khaleed Safar: Saya ingat saudara akan sarankan saya melawat Chechnya.

Abu Bakar Shishani: Ah…Chechnya…Saudara teringin nak ke Chechnya?

Khaleed Safar: Ya. Saya dengar banyak tempat-tempat menarik di sana.

Abu Bakar Shishani: Memang benar banyak tempat menarik seperti Masjid Akhmad Kadyrov, tasik terbesar di Kaukasus Utara; Kezenoy-am, muzium dan lain-lain lagi. Tapi lebih mudah untuk bergerak jika ada orang yang membawa saudara bersiar-siar di Chechnya. Untuk faktor keselamatan juga.

Khaleed Safar: Saya harap waktu itu saudara boleh jadi pemandu pelancong saya. )))

Abu Bakar Shishani: Jika umur panjang, mungkin boleh.

Khaleed Safar: Jangan risau, saudara pasti panjang umur.

Abu Bakar Shishani: Insha Allah.

Khaleed Safar: Pastinya saudara juga merindui keluarga di Grozny, kan?

Abu Bakar Shishani: Ayah, mak, dan adik lelaki saya di Ufa. Di Grozny hanya saudara-mara saya sahaja.

Khaleed Safar: Maafkan saya. Pastinya saudara merindui keluarga di Ufa, kan?

Abu Bakar Shishani: Sudah pasti. Sepanjang masa. ))))

+++++
     
“Bateri dah habis…” Abu Bakar menggumam.
    
Telefon pintar diletakkan di sisi. Masuk hari ini, sudah lebih dua minggu dia saling berkirim mesej dengan Khaleed Safar, rakan baru yang dikenalinya di VKontakte. Pada mulanya dia rasa hairan juga bila Khaleed Safar tiba-tiba menghantar mesej. Namun, rasa itu cepat sahaja lenyap daripada hati apabila Khaleed Safar sering sahaja bertanya khabar.
    
Tanpa Abu Bakar sedari, dia sendiri mula rasa selesa dengan kehadiran rakan baru dalam hidupnya.
    
Sayang sekali mereka berdua mungkin tidak dapat berjumpa di dalam hidup ini.

*****

Grozny, Republik Chechen
Sekolah No. 11

   
Ashura memandang kerusi kosong di sebelah. Sejak berkahwin, Kheda belum lagi menghadirkan diri ke sekolah. Malah mesej bertanya khabar yang dikirimkan Ashura juga tidak dibalas, membuatkan gadis itu bimbang berhari-hari. Terlintas di fikiran mahu melawat Kheda. Tapi Ashura risau kalau-kalau kedatangannya ke rumah baru Kheda itu mengundang rasa kurang senang keluarga suami Kheda. Ashura tidak mahu dipandang sebagai kawan yang kurang sopan walaupun hatinya memberontak mahu berada di sisi Kheda selalu. Mungkin dia boleh melawat Kheda menggunakan alasan menghantar nota. Pasti ahli keluarga baru Kheda tidak kisah, bukan? Tambahan pula peperiksaan kemasukan universiti akan berlangsung tidak lama lagi. Tentunya mereka juga mahukan Kheda berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
    
Universiti?
    
Kheda pernah berkata mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina di Moscow.
    
Namun sekarang Kheda sudah bekahwin.
    
Lalu bagaimana dengan impian Kheda? Mahukah suaminya, ahli perniagaan yang bertapak di Grozny, menghantar Kheda melanjutkan pelajaran luar dari Republik Chechen?   Membiarkan isteri barunya pergi bersendirian di kota besar itu?

*****
    
Ashura melangkah keluar dari bangunan sekolah No. 11. Alamat baru Kheda yang didapatkan daripada sepupu perempuannya di sekolah tadi, diperhatikan.
    
Kediaman baru Kheda itu tidak terlalu jauh dari rumah keluarga Kheda dan sekolah mereka yang terletak di Jalan Kalinina, pinggir bandar (Prigorodnoye) Grozny. Cuma 14.4 kilometer sahaja melalui laluan P308. Tapi dengan trafik yang berat, sekurang-kurangnya  30 minit diperlukan untuk sampai ke sana.
    
Bila difikir kembali, Ashura tidak pernah menyangka kehidupan Kheda akan bertukar sekelip mata. Kalaulah Ashura bisa melihat masa depan, sudah pasti dia akan melarang Kheda daripada menyertai pertandingan Gadis Chechen Kebangsaan.
    
Agar khabar kejelitaan Kheda tersimpan rapi.
    
Agar Kheda tidak perlu melalui semua ini.
    
Ashura melabuh punggung di atas bangku perhentian bas. Kertas yang tertulis alamat keluarga suami Kheda, ditatap.
    
D. 25, Jalan Poltavskaya.
    
Ashura mengeluh perlahan.
    
Dia harap Kheda akan segera kembali ke sekolah. Tanpa Kheda di sisi, hari-harinya terasa kelam. Apatah lagi harus menatap wajah Zaur yang menyakitkan hati itu setiap hari. Bilangan bunga tulip kuning di rumahnya juga semakin meningkat, membuat hatinya geram dan marah setiap kali terpandang bunga tulip yang diletak di dalam pasu bunga di meja ruang tamu. Si pengirim bunga tulip bagaikan tahu yang Ashura sudah membuang kesemua bunga tulip yang dihantarnya. Jadi dua hari yang lalu, Ashura menerima 19 kuntum bunga tulip yang disusun dalam satu jambangan. Ia diselit kemas di pagar rumah.
    
Gadis manis itu merancang untuk membuang kesemua bunga tulip itu namun Fariza terlebih dahulu menegahnya. Tidak mahu bergaduh dengan ibunya, Ashura terpaksa membiarkan Fariza menghiasi ruang tamu rumah dengan jambangan bunga tulip kuning.
    
Satu lagi keluhan dilepas.
    
Sebaik sahaja dia melanjutkan pelajaran luar dari republik ini, dia akan mendapat kebebasan. Tiada orang yang akan mengganggu dengan memberi bunga setiap hari dan membuat cubaan untuk menculiknya. Hidup pasti lebih tenang.
    
Sebuah bas bandar tiba di perhentian bas. Setelah memastikan papan tanda kecil di bahagian hadapan bas tertulis laluan P308, Ashura bangkit lalu menaiki bas tersebut.

*****

Markas Dzhamaat Halifat,
Latakia, Syria

    
“Abang, lama tak jumpa!” Abu Muhammad mengucap riang sebaik masuk ke dalam bilik yang didiami Abu Usman. Mujahid itu sedang duduk bersendirian sambil membersihkan Kalashnikov.
    
“Kamu sihat?” soal Abu Usman.
    
“Saya sihat.” Abu Muhammad duduk bersila di hadapan Abu Usman. Senyuman yang tadinya lebar, mengendur. Dahi Abu Muhammad berkerut seribu. “Abang sihat tak ni?” tanya Abu Muhammad. Abu Usman dilihatnya semakin kurus. Pipi lelaki itu semakin cengkung dan ada lingkaran hitam di bawah matanya.
    
“Abang sihat.” Abu Usman memaksa senyuman di wajah.
    
Abu Muhammad terdiam. Raut wajah Abu Usman dipandang lama, cuba mentafsir apa yang terbuku di hati lelaki itu. Kemudian, dia menyoal “Abang masih sedih ke?”
    
Satu senyuman hambar terukir di bibir nipis Abu Usman. “Tipulah kalau abang kata abang tak sedih, kan?”
    
Jeda.
    
Masing-masing saling berpandangan namun tiada sepatah kata pun yang mampu terlafaz daripada mulut. Soalan Abu Usman membuat Abu Muhammad dihambat rasa bersalah yang mendalam. Baru dia sedar yang dia tidak sepatutnya bertanyakan soalan sebegitu.
    
Tentu sahaja Abu Usman masih sedih. Abu Usman berada di sisi Abu Safiya dan Abu Yusuf ketika mereka berdua menghembuskan nafas terakhir. Lelaki itu pasti amat terkesan dengan pemergian mereka.
    
Daun pintu dikuak luas. Sesosok tubuh Abu Yasmin melangkah ke dalam.
    
Mata mereka berdua kini terarah pada Abu Yasmin.
    
“Abu Muhammad, amir nak jumpa.” Abu Yasmin memberitahu.
    
Abu Muhammad terkulat-kulat. “Kenapa?”
    
“Saya pun tak tahu,” balas Abu Yasmin.
    
“Yalah, yalah.” Abu Muhammad menoleh ke Abu Usman. “Saya pergi dulu,” ujarnya lalu melangkah ke pintu. Sebelum keluar dari bilik, dia sempat memberitahu, “nanti saya sembang dengan abang lagi.”
    
Abu Usman membalas dengan anggukkan.
    
Setelah Abu Muhammad keluar, Abu Yasmin merapati Abu Usman.
    
“Sampai bila awak nak mengasingkan diri?”
    
“Sampai hati saya rasa tenang.”
    
“Bila agaknya tu?”
    
“Saya pun tak tau. Mungkin, sedikit masa lagi…”
    
Satu dengusan kencang dilepas dari dada Abu Yasmin. Dengan penuh jengkel, dia duduk bersila di hadapan sahabatnya.
    
“Mereka pasti bahagia di sisi-Nya. Jadi tak perlulah awak simpan rasa sedih tu dalam hati lama-lama,” ujar Abu Yasmin.
    
Abu Usman tersenyum lalu ketawa kecil. “Dan saya ingatkan awak lebih pesimistik daripada saya.”
    
“Ada bahagiannya saya boleh jadi lebih optimistik daripada awak.”
    
Tawa Abu Usman surut serta-merta.Senyumannya menghilang.
    
“Bagaimana awak boleh lupakan mereka yang dah pergi?”
    
“Sebab saya tak ada apa-apa untuk disesali.” Abu Yasmin menjawab tenang.
    
Raut wajah Abu Usman bertukar keruh.
    
Sesal?
    
Mendengar perkataan itu sahaja cukup membuat hatinya bergolak kencang.
    
Tidak seperti Abu Yasmin yang tiada sebarang sesalan, Abu Usman menyimpan sejuta penyesalan di dada. Sesal kerana tidak dapat melindungi Abu Bakar. Sesal kerana tidak dapat menyelamatkan Abu Safiya. Dan sesal kerana membiarkan Abu Yusuf menghilang dari pandangan mata.
    
Luahan Abdul Malik ketika di bilik tahanan turut menjadi asbab yang mengganggu fikiran Abu Usman. Nasib malang yang menimpa Abdul Malik dan ahli keluarganya bagai tiada penghujung. Kewujudannya sendiri umpama suatu tragedi yang memanifestasikan diri di dalam tubuh seorang manusia.
    
Abdul Malik hidup hanya untuk melunaskan dendam di jiwa. Hingga akhirnya lelaki itu sanggup membunuh semata-mata mahu meringankan beban yang terbuku sekian lama di kalbu.
    
Bukankah dia juga sedang melakukan perkara yang sama seperti Abdul Malik?
    
Demi rakan-rakan yang menjadi mangsa korban tentera Rusia berbelas tahun lalu, Abu Usman bertekad untuk menamatkan segala kesengsaraan dan ketidakadilan yang muncul di muka bumi.
    
Dengan melenyapkan punca yang menjadi kesengsaraan manusia lain, Dalkhan, Khuseyn, Nazhmuddin, dan Djabrail akan memaafkannya, bukan?
    
“Awak nampak seperti kaca yang akan pecah bila-bila masa.” Abu Yasmin meluahkan. “Beritahu saya, mengapa awak datang ke Syria?”
    
Abu Usman menyepi. Rasa hati yang dipendam berbelas tahun meronta-ronta ingin keluar. Melepaskan segala kesakitan.
    
Mengharapkan sebuah kemaafan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku