Takdir Yang Mengikat
Bab 32
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
102

Bacaan






2 November 1999
Grozny, Republik Chechen Ichkeria

      
“Uhuk! Uhuk! Uhuk!” Bunyi batuk Akhshiyat memenuhi ruang tamu kecil rumah setingkat mereka yang hanya diterangi cahaya daripada beberapa batang lilin. Risau akan keadaan anaknya, Fariza menghamparkan sehelai lagi selimut pada tubuh Akhshiyat yang sedang terbaring di atas tilam kecil. Pipi kanak-kanak 9 tahun itu memerah. Nafasnya perlahan dan kerongkongnya sakit. Akhshiyat demam sejak malam semalam. Penyakit asma yang dihidapinya, ditambah dengan dingin musim luruh Grozny memburukkan lagi tahap kesihatan kanak-kanak itu.
    
Fariza menyuluh jam yang tergantung di dinding.
    
8 malam.
    
Namun suaminya yang keluar dari pagi untuk mendapatkan ubat buat anak mereka masih belum pulang.
    
Dada Fariza meronta cemas.
    
Perang Chechen Kedua sudah tercetus sejak penghujung Ogos tahun ini. Pencerobohan oleh kumpulan pemisah yang diketuai Shamil Basayev dan Ibn al-Khattab ke atas Republik Dagestan menyebabkan tentera Rusia melakukan serangan udara ke atas Chechnya, bertujuan untuk menghapuskan saki-baki militan yang melakukan pencerobohan tersebut.
    
Pada 1 Oktober, Perdana Menteri baru Rusia, Vladimir Putin, mengumumkan Aslan Maskhadov dan parlimen beliau tidak lagi memiliki autoriti yang sah ke atas Republik Chechen. Presiden Maskhadov membalas kembali dengan mengisytiharkan gazavat (perang suci) ke atas tentera Rusia.    
    
Dengan kemaraan tentera Rusia ke Chechnya, ratusan ribu penduduk mengambil langkah berlindung di republik bersebelahan. Dan lebih kurang seminggu lalu, mereka semua dikejutkan dengan berita serangan roket tentera Rusia ke atas konvoi besar pelarian yang sedang dalam perjalanan ke Republik Ingushetia. Serangan tersebut membunuh sekurang-kurangnya 25 orang awam termasuk pekerja palang merah dan wartawan.
    
Tentera Rusia sudah pun memasuki perkampungan Khasan-Yurt di pinggir bandar Grozny. Mereka meletupkan stesen janakuasa elektrik kecil berhampiran empat hari yang lalu, sekaligus membuatkan seperempat kawasan ibu kota republik itu terputus bekalan elektrik. Jika keadaan ini berterusan sehingga bulan Disember, kemungkinan ramai penduduk akan mati kesejukan ketika musim salji menjelang.
    
Jarum jam terus berdetik.
    
Dan ibu muda itu semakin tidak keruan. Suasana gelap akibat terputusnya bekalan elektrik menambah lagi gundah-gulana di hati.
    
Adakah suaminya terlibat dalam kemalangan? Atau mungkinkah dia ditangkap kerana disalah anggap sebagai askar Chechen oleh tentera Rusia yang kini sudah memasuki kawasan perkampungan mereka?
    
Dalam hati, Fariza tidak putus-putus memanjatkan doa agar Ramidin kembali dalam keadaan selamat.
    
“Mama, mama. Bila papa nak balik?” Ashura yang berada di sisi, menyoal.
    
Fariza memaksa senyuman di bibir, cuba menyembunyikan kerisauan di hati.
    
“Sekejap lagi papa baliklah tu. Ashura jangan risau.”
    
“Sekejap lagi tu bila? Ashura mengantuk. Ashura nak tidur dengan papa dan mama…” Anak kecil 4 tahun itu mula merengek.
    
Mendengar rengekan adiknya, Akhshiyat mengeluarkan tangan dari selimut lalu  menggenggam jari-jemari kecil Ashura.
    
“Marilah tidur dengan abang…” Akhshiyat memujuk.
    
“Tak nak! Ashura nak dengan mama dan papa!” Ashura kembali merengek.
    
Fariza membelai mesra rambut Ashura sebelum membawa anak bongsunya itu ke dakapan. “Sekejap lagi papa balik…” Fariza cuba mententeramkan anaknya.
    
Tidak berapa lama, kedengaran bunyi kunci dimasukkan ke dalam tombol pintu. Tiga pasang mata kini terarah ke situ. Ramidin melangkah masuk ke dalam rumah membawa dua bungkus plastik yang berisi ubat dan tepung.
    
Dalam samar-samar suasana, Ashura cepat-cepat bangun untuk mendapatkan ayahnya.
    
“Papa!”
    
Tubuh kecil itu memeluk Ramidin. Ramidin melutut dan memeluk anaknya kembali.
    
Fariza menghampiri. Dua bungkus plastik yang dibawa kini bertukar tangan.
    
“Kita akan tinggalkan Grozny lusa.” Kata-kata Ramidin bagaikan dapat dijangka oleh Fariza.
    
“Mama dan papa abang?” Fariza menyoal risau. Tidak seperti ibu bapa Ramidin, ibu bapa Fariza sudah awal-awal lagi meninggalkan Chechnya menuju ke Ingushetia bersama ahli keluarga adik lelakinya.
    
“Mereka bergerak esok dengan keluarga Badrudin,” jawab Ramidin. “Kemas apa-apa yang patut dibawa. Kita nak jalan jauh ni. Mungkin kena tinggal sementara di sempadan.”
    
Fariza mengangguk perlahan. Berat yang terbeban di kalbu sejak beberapa minggu yang lalu perlahan-lahan berkurang.
    
Ramidin menggendong Ashura. “Akhshiyat macam mana?”
    
Fariza baru tersedar yang Akhshiyat memerlukan ubat yang dibawa suaminya. Tanpa menjawab soalan Ramidin, Fariza cepat-cepat mendekati Akhshiyat. Ubat tahan sakit Paracetamol dan ubat asma Quibron dikeluarkan lalu diberikan kepada Akhshiyat.
    
Ramidin yang melihat isterinya memberi air kepada Akhshiyat rasa sayu. Sebelum ini dia pernah membantah cadangan Fariza untuk mendapatkan perlindungan ke Republik Ingushetia kerana risaukan keadaan Akhshiyat yang mudah jatuh sakit ketika musim dingin. Perjalanan ke Ingushetia bukannya tanpa halangan. Mereka harus bersedia dengan kebarangkalian ditahan dan ditembak oleh tentera Rusia. Namun, untuk terus berada di Grozny juga tidak lagi selamat. Tembak-menembak oleh tentera Rusia dan tentera Chechen yang setia kepada Maskhadov serta pasukan mujahidin sudah menjadi norma di Grozny sejak kemasukan tentera Rusia ke bandar ini. Hanya menunggu masa sahaja sebelum Grozny diledakkan oleh bom sehingga menjadi padang jarak padang terkukur. Tentera Rusia tidak mengambil kira keselamatan orang awam. Mana-mana tempat yang didakwa mereka sebagai ‘markas militan’ akan diletupkan serta-merta.

*****
    
Demam Akhshiyat kebah keesokan hari. Di dalam bilik, Akhshiyat mengemaskan barang-barang untuk dibawa ke Ingushetia. Beg galasnya dipenuhi dengan baju dan buku-buku sekolah.
    
Dalam dia sibuk mengemas, tingkap biliknya diketuk. Akhshiyat sedikit terkejut apabila melihat rakan baiknya Nazhmuddin dan Dalkhan tersengih di tingkap.  
    
“Apa yang awak berdua buat datang ke sini? Bahaya jalan-jalan waktu macam ni.” Akhshiyat bersuara risau sebaik membuka tingkap.
    
Dia perasan yang Nazhmuddin membawa adik lelakinya bersama.
    
“Keluarga awak pun nak bertolak esok ke Ingushetia, kan?” Nazhmuddin yang memakai cermin mata dan berambut hitam, menyoal.
    
“Ya. Awak juga, Nazhmuddin?” Akhshiyat menyoal kembali.
    
“Ya. Dan juga Djabrail. Keluarga Dalkhan dan Khuseyn bertolak lusa.” Nazhmuddin melebarkan senyuman.
    
“Kami berdua ingat nak keluar bersama dengan awak, Khuseyn, dan Djabrail. Sebab lepas ni mungkin kita tak dapat jumpa lagi,” ujar Dalkhan.
    
“Ya. Mama dan papa saya macam nak pergi ke Tatarstan lepas berjaya ke Ingushetia nanti. Sebab, keluarga mama saya ada di Tatarstan. Jadi saya tak tahu bila akan balik ke Grozny lagi.” Nazhmuddin menggenggam erat tangan adik lelakinya. Rasa sedih pula bila terpaksa meninggalkan rakan-rakan baiknya di sini.
    
“Ini mungkin perjumpaan kita buat kali terakhir. Marilah ikut kami, Akhshiyat.” Dalkhan memujuk.
    
“Tapi saya tak pasti kalau mama saya akan benarkan saya keluar…” Akhshiyat jadi serba-salah.
    
“Kalau macam tu tak apa. Tapi kalau awak ubah fikiran, kami berdua tunggu di kedai gula-gula Alimov tu. Pak cik kedai tu cakap hari ni hari terakhir kedai tu beroperasi.” Nazhmuddin memberitahu.
    
Akhshiyat tersenyum hambar. “Nanti saya tanya mama saya dulu. Saya tak janji tau.”
    
“Tak apa, tak apa. Dalkhan nak terus ke sana lepas pergi ke rumah Djabrail dan Khuseyn. Saya kena hantar Ziyaudin ni dulu. Papa, mama dan Amina akan balik rumah sekejap lagi jadi saya kena cepat-cepat ada di sana sebelum mereka perasan yang saya dan Ziyaudin hilang. Lepas tu saya terus ke kedai Alimov.” Nazhmuddin menyatakan rancangannya.
    
“Adik nak ikut…” Ziyaudin memberitahu.
    
“Tak boleh. Kamu masih kecil,” tegas Nazhmuddin.
    
“Okeylah Akhshiyat, kami pergi dulu.” Dalkhan meminta diri. Nazhmuddin menarik tangan adiknya lalu pergi dari situ bersama Dalkhan. Ziyaudin yang berada di sisi abangnya melambai-lambai ke arah Akhshiyat. Akhshiyat melambai kembali. Sebaik melihat kelibat rakan-rakannya menghilang, Akhshiyat menutup tingkap.
    
Dia segera keluar dari bilik untuk mencari ibunya.
    
Di dapur, Fariza sedang menguli tepung untuk membuat roti sebagai bekalan semasa perjalanan nanti. Kerana ketiadaan elektrik, Fariza terpaksa menggunakan tungku api untuk membakar roti.
    
“Mama, saya nak ke kedai gula-gula Alimov!” Akhshiyat memberitahu sebaik melangkah ke dalam dapur.
    
Terbeliak mata Fariza dengan kata-kata anaknya.
    
“Tak boleh, Akhshiyat!” bantah Fariza.
    
“Tapi mama, sekejap sahaja. Lepas ni tak tahu bila saya dapat jumpa kawan-kawan lagi,” rayu Akhshiyat. Suara sengaja dilembutkan.
    
“Tak boleh! Bahaya di luar tu. Kalau terserempak dengan tentera Rusia nanti, macam mana?” Fariza membentak.
    
“Tapi takkan mereka akan tembak kanak-kanak, kan? Mereka cuma tembak tentera Chechen. Bolehlah ya, mama…” Akhshiyat merayu lagi di sisi ibunya.
    
“Tak boleh bermakna tak boleh! Cepat kemas barang-barang kamu sekarang.” Fariza memberi kata putus.
    
Sambil menarik muka masam, Akhshiyat melangkah keluar dari dapur menuju ke biliknya. Dia kemudian menyandarkan tubuh pada pintu.
    
“Ini mungkin perjumpaan kita buat kali terakhir.” Ayat Dalkhan terngiang-ngiang di telinga.
    
“Kali terakhir…” Akhshiyat mengucap perlahan. Tiba-tiba saja dadanya rasa sebak. Dia mungkin tidak dapat berjumpa mereka lagi selepas ini. Nazhmuddin dan keluarganya mahu ke Tatarstan. Dalkhan, Djabrail, dan Khuseyn pula…bagaimana jika selepas ini mereka turut berpindah ke republik lain selepas tiba ke Ingushetia? Surat bertanya khabar juga tidak dapat dikirim kerana dia sudah pasti tidak tahu alamat mereka. Dan jika perang tamat dan mereka kembali ke Chechnya, mungkin mereka tidak akan tinggal di tempat yang sama. Bila lagi dia dapat berjumpa dengan mereka kalau bukan di kedai gula-gula Alimov selepas ini?
    
Tok! Tok! Tok!
    
Pintu bilik Akhshiyat diketuk. Akhshiyat segera membukanya.
    
“Abang, Ashura nak bawa Laila bersama, boleh tak?” Ashura menyoal sambil menunjukkan anak patung beruang di tangan.
    
Akhshiyat tersenyum.
    
“Boleh. Apa salahnya?”
    
“Tapi mama kata Laila terlalu besar. Beg kecil Ashura tak muat. Ashura nak bawa mainan Ashura juga…” ujar Ashura.
    
Akhshiyat mengambil Laila daripada adiknya. “Kalau macam tu abang bawakan. Nanti abang ikat Laila pada beg abang.”
    
“Tapi, tapi, nanti Laila sakit sebab kena ikat di beg…” Ashura mula mengalirkan air mata sedih.
    
“Okey, okey. Nanti abang masukkan dalam beg abang. Ashura janganlah menangis.” Akhshiyat mengelap air mata adiknya.
    
“Janji abang tak ikat Laila?”
    
“Ya, abang janji.”
    
Sebaik sahaja Ashura pergi, Akhshiyat mengunci pintu bilik. Satu-persatu barang yang sudah dikemas di dalam beg galas, dikeluarkan kembali bagi memberi ruang untuk patung beruang Ashura. Akhshiyat terpaksa melupakan hasratnya untuk membawa buku-buku sekolah bersama. Biarpun begitu, dia tidak menyesal.
    
Tidak ada yang lebih membahagiakan daripada melihat wajah ceria Ashura.
    
Selepas mengemaskan beg galas, Akhshiyat duduk di birai katil.
    
“Mereka semua mesti dalam perjalanan ke kedai Alimov…”
    
Dia melepaskan keluhan. ‘Ini kali terakhir…kali terakhir…kedai tu bukannya jauh sangat dari sini.
    
Akhshiyat memandang pintu. Kemudian tingkap bilik.
    
Kalau aku keluar sekarang dan balik cepat, tak ada siapa akan perasan. Mama kat dapur. Ashura mesti tengah main di ruang tamu. Papa pula balik petang nanti…
    
Tanpa berlengah, Akhshiyat memakai jaket hitam yang tergantung di belakang pintu lalu membuka tingkap bilik. Dia kemudian merapatkan kerusi belajar pada tingkap dengan perlahan-lahan. Kerusi dipanjat. Sebelah kakinya keluar melepasi birai tingkap. Akhshiyat melompat turun.
    
Dia kini berada di luar rumah.

*****
    
Anak mata hijau Akhshiyat memandang ke kiri dan ke kanan jalan. Setelah memastikan tidak ada kelibat askar Rusia di mana-mana, dia berlari pantas melintasi jalan di hadapan.
    
Kedai gula-gula Alimov terletak di bangunan kedai kira-kira 700 meter dari rumahnya. Sepanjang lariannya, Akhshiyat tidak terserempak dengan mana-mana jiran yang dikenali. Barangkali semua orang duduk di rumah sahaja dan tidak berani keluar.
    
Penat berlari, Akhshiyat berhenti seketika di tepi jalan sambil menyedut ubat asma. Kemudian dia meneruskan larian lagi melintasi beberapa buah rumah yang tidak lagi berpenghuni. Pastinya mereka juga mendapatkan perlindungan di republik sekitar.
    
Akhshiyat berhenti lagi kira-kira 300 meter dari kawasan bangunan kedai yang nampak lenggang. Hadapan kedai itu kosong tanpa kehadiran sesiapa, tidak seperti selalu. Mungkin rakan-rakannya sudah ada di dalam kedai tersebut, menikmati gula-gula dari barat buat kali terakhir bersama-sama.
    
Seorang lelaki tua yang melihatnya berhenti di situ, menegur.
    
“Kamu ni nak ke mana?” soal lelaki tua tersebut.
    
“Kedai gula-gula Alimov, pak cik.”
    
“Mak ayah tahu ke kamu keluar ni?” soal lelaki tua itu lagi, membuat Akhshiyat kecut perut. Habislah kalau pak cik ini beritahu ibu dan ayahnya yang dia keluar dari rumah tanpa pengetahuan mereka.
    
Dalam dia cuba mencari idea untuk menjawab, telinganya menangkap satu bunyi yang tidak lagi asing.
    
Sebuah trak pelancar roket berganda BM-21 Grad yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ baru sahaja melancarkan roket.
    
Mata Akhshiyat terbelalak ketika melihat beberapa buah roket disasar ke arah bangunan tempat letaknya kedai gula-gula yang menjadi destinasi. Dalkhan, Nazhmuddin, Khuseyn, dan Djabrail berlari keluar dari kedai gula-gula Alimov dengan bungkusan plastik di tangan.
    
BOOOM!!
    
Bunyi ledakan dan bunyi bangunan yang sedang runtuh berdentum kuat di udara, membelah suasana petang bagaikan ratusan petir yang menyambar Bumi.
    
Tanah yang menjadi tempat berpijak bergegar dengan kuat.Serpihan-serpihan bangunan yang berterbangan ke kawasan sekeliling bersama asap dan debu-debu tebal yang menutup pandangan mata. Lelaki tua itu segera memeluk Akhshiyat untuk melindungi tubuh kecil itu daripada terkena serpihan-serpihan yang terbang.
    
Akhshiyat menggeletar ketakutan. Saat itu dia cuma menyerahkan nyawanya dan nyawa kawan-kawannya kepada Allah sahaja. Pelbagai doa yang dipelajari di sekolah dilafaz dalam hati sebagai pelindung diri.
    
Selepas suasana menjadi reda dan pandangan menjadi semakin jelas, Akhshiyat mendongak di sebalik bahu lelaki tua itu, memandang ke arah bangunan kedai yang hancur. Spontan air matanya mengalir.
    
“Nazhmuddin…” Dia memanggil. “Dalkhan! Khuseyn! Djabrail!” Akhshiyat menjerit sambil cuba melepaskan diri daripada pelukan si lelaki tua.
    
“Jangan! Bahaya!” Lelaki tua itu memberitahu. Namun Akhshiyat terus meronta hingga dia berjaya meloloskan diri. Dengan sekuat hati dan tanpa mempedulikan bahaya yang berada di sekitar, Akhshiyat berlari ke arah runtuhan bangunan kedai tersebut. Lelaki tua itu mengejar langkahnya dari belakang.
    
“Nazhmuddin!” Akhshiyat menjerit kuat. Runtuhan-runtuhan bangunan bagaikan permaidani yang menutupi latar. Debu-debu yang masuk ke rongga hidung menyesakkan dada, menyukarkannya bernafas. Namun Akhshiyat tidak peduli. Dia harus mencari mereka semua. Nyawa rakan-rakan baiknya jauh lebih penting.
    
Akhshiyat memijak-mijak batu-bata yang sudah hancur, sambil matanya mencari-cari kelibat rakan-rakannya. Wajahnya sudah basah dengan air mata.
    
“Dalkhan!” Akhshiyat melaung. “Djabrail! Khuseyn!” Panggilnya.
    
“Hei, kamu! Bahaya di sini!” Lelaki tua itu mengejar Akhshiyat.
    
Akhshiyat terus melangkah tanpa menghiraukan lelaki tua itu. Kepalanya berpusing-pusing mencari rakan-rakan yang disayangi.
    
“Nazhmuddin! Jawablah!” Suara Akhshiyat semakin serak.
    
“Jauhkan budak tu dari kawasan sini!” Laung satu suara di belakang. Beberapa orang lelaki yang tiba selepas mendengar bunyi letupan, berkumpul tidak jauh dari kawasan runtuhan.
    
Lelaki tua itu pantas mengejar langkah Akhshiyat.
    
“Hei, kamu!” Lelaki tua itu menarik tangan Akhshiyat.
    
Akhshiyat jatuh terduduk di atas serpihan batu-bata. Matanya terbeliak. Di sebalik blok konkrit yang besar, ada satu tangan yang memegang bungkusan plastik tersembul keluar.     Akhshiyat cukup mengenali si pemilik tangan yang memakai baju lengan panjang warna biru.
    
Kerana dia baru sahaja bertemu pemilik baju tersebut 50 minit yang lalu.
    
“Nazhmuddin?” Terketar-ketar Akhshiyat menyoal. Perlahan-lahan, dia cuba menarik keluar tangan tersebut.
    
Jantung Akhshiyat bagaikan mahu tercabut sebaik melihat tangan itu putus daripada badan tuannya yang terkubur di bawah timbunan batu-bata dan blok konkrit besar. Darah daripada tangan itu mengalir ke lengan Akhshiyat.
    
Akhshiyat mahu menjerit namun suaranya tersekat di kerongkong.
    
Lelaki tua itu segera mengambil tangan yang putus itu daripada Akhshiyat. Dia kemudian mengangkat tubuh anak kecil yang sedang terkejut itu dan membawanya menjauhi runtuhan bangunan. Dari kedudukannya yang lebih tinggi, mata Akhshiyat terpandang beberapa tubuh yang cukup dikenali dalam keadaan yang menyayat hati. Tubuh Dalkhan terputus dua. Tubuh Khuseyn terbujur kaku tanpa kaki. Badan Djabrail berkecai hingga menampakkan isi perutnya.
    
Akhshiyat menjerit dan menangis dengan kuat. Raungan sedihnya membuat mereka yang berada di situ turut hiba bersama. Sesal di hati Akhshiyat menebal. Dia melihat roket-roket disasarkan ke bangunan itu namun tidak sempat memberitahu rakan-rakannya untuk melarikan diri.
    
Mereka mahu berjumpanya di situ tetapi dia pula terlambat datang.
    
Adakah kelewatannya membuat mereka terpaksa berada di kedai itu lebih lama?
    
Adakah dia yang membunuh mereka semua?
    
Di petang yang suram itu, kawasan perkampungan Khasan-Yurt dihujani air mata dan ratapan pilu ahli keluarga dan sahabat yang kehilangan insan yang dikasihi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku