Takdir Yang Mengikat
Bab 33
Genre: Islamik
Kategori: Novel
Paparan sejak 11 Ogos 2017
"Aslan, aku impikan dunia yang aman. Dunia tanpa persengketaan. Dunia di mana kau dan aku bisa melihat anak-anak kecil tertawa gembira." - Akhshiyat Peringatan: Cerita ini hanya fiksyen semata-mata. Sila jangan jadikan ia rujukan penuh untuk mendalami isu foreign fighters di Syria. Juga, jangan menilai isu Syria semata-mata melalui cerita ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
105

Bacaan






Grozny, Republik Chechen, Rusia
    
Jantung Ashura berdegup pantas sejak melangkah memasuki kawasan perumahan di Jalan Poltavskaya. Kawasan perumahan suami Kheda menempatkan banglo-banglo besar yang bermacam bentuk. Ada yang dicat dengan warna oren muda, ada yang dicat dengan warna biru, ada juga yang berwarna merah muda. Namun kesemua banglo tersebut memiliki ciri-ciri yang sama; kawasan halaman luas yang mampu menempatkan sekurang-kurangnya empat buah gelanggang tenis, kereta-kereta mewah yang terletak megah di dalam anjung kereta, dan pintu pagar tinggi diukir dengan corak-corak menarik yang menjadi pemisah halaman rumah dengan kawasan luar.
    
Ashura akhirnya berhenti di hadapan sebuah banglo dua tingkat bercat kuning cair dan beratap kelabu. Kemudian dia melihat nombor yang tertulis pada peti surat banglo di hadapannya.
    
D. 25.
    
Tidak salah lagi. Inilah alamat yang diberikan oleh sepupu Kheda, Luiza, kepadanya. Tapi betulkah ini rumah suami Kheda? Bagaimana jika Luiza tersalah memberi alamat? Bagaimana jika Kheda tinggal di banglo sebelah yang juga tidak kurang mewah daripada banglo di hadapannya ini?
    
Ashura memanjangkan kepala, cuba meninjau halaman dalam banglo tersebut. Lantai seramik kemasan batu palladium berwarna kelabu dan coklat menutupi halaman. Lampu chandelier kristal menghiasi anjung hadapan rumah. Di bahagian kiri halaman banglo, ada sebuah taman yang menempatkan kolam ikan dan gazebo. Anjung kereta di bahagian kanan banglo menjadi rumah kepada dua buah sedan Mercedes Benz S-Class dan sebuah Rolls-Royce Phantom Coupé.
    
Gadis itu menelan liur.
    
Saat itu Ashura merasakan dirinya begitu kerdil. Seluruh tubuhnya meronta memberitahu untuk segera beredar dari kawasan perumahan itu. Dia tidak layak hatta berdiri di hadapan pintu pagar rumah mewah tersebut sekali pun. Ashura cuma seorang gadis biasa yang tinggal di pinggir bandar Grozny bersama ayah dan ibunya. Cuma seorang ahli keluarga teip* (klan) yang biasa-biasa. Bukannya seperti Kheda yang bersuamikan ahli keluarga teip Benoy, salah satu daripada teip yang berkuasa dan terkenal di seluruh Chechnya. Ashura tidak sepatutnya berada di sini.
    
“Saya nak jadi arkitek suatu hari nanti.” Kata-kata Kheda lebih sebulan yang lalu tiba-tiba menerjah ingatan.
    
Ashura jadi serba-salah. Haruskah dia bertemu dengan Kheda untuk bertanyakan khabar dan menyerahkan nota atau terus meninggalkan kawasan perumahan itu tanpa berjumpa dengan sahabatnya? Lagipun kehadirannya di sini belum diperasan oleh sesiapa.
    
Ketika Ashura dihambat rasa ragu-ragu, pintu banglo itu dibuka. Spontan Ashura berundur menjauhi pintu pagar di hadapannya.
    
Sebaik melihat kelibat yang sedang berlari ke arahnya, Ashura tersenyum lebar.
    
“Kheda!” Ashura memanggil tatkala Kheda menghampirinya di sebalik pintu pagar. Rambut perang Kheda yang panjang mencecah pinggang ditutup dengan skaf kepala sutera berwarna merah jambu.
    
“Ashura!” Kheda memanggil sebaik berada di hadapan Ashura. “Kenapa awak datang ke sini?” soalnya.
    
“Saya nak berikan nota kepada awak.” Ashura mengeluarkan sebuah buku nota daripada beg galasnya. “Ini nota pendua yang saya buat untuk awak. Ada juga tips untuk soalan peperiksaan nanti dalam ni,” ujarnya bersungguh-sungguh.    
    
Kheda hanya mampu memandangnya bersama senyuman tawar.
    
Melihat Kheda tidak berkata apa-apa, senyuman Ashura mengendur. Pintu pagar yang memisahkan Kheda yang berada di halaman banglo dan dia yang berada di kawasan luar masih belum dibuka. Ashura menatap wajah Kheda. Senyuman gadis rambut perang itu lurut serta-merta.
    
“Khe…Kheda?”  soal Ashura perlahan.
    
Kheda tertunduk malu. Tidak sanggup lagi menghadap muka Ashura. Dengan rasa bersalah yang menebal, dia meluahkan. “Saya minta maaf sebab tak dapat buka pagar ni untuk awak…”
    
Ashura terkedu, kehilangan kata. Namun kemudian, dia memaksa senyuman di wajah.
    
“Tak apa. Lagipun, saya datang tanpa diundang…”
    
Kheda segera mengangkat muka. “Bukan macam tu! Saya…”
    
“Tak apa!” Ashura cepat-cepat memintas ayat Kheda. Wajah sahabatnya itu ditatap. “Saya faham. Awak tak perlu jelaskan apa-apa.” Ashura memasukkan tangan melalui celahan corak pintu pagar, menghulurkan buku nota kepada Kheda.
    
Kheda mengambil buku nota yang diberikan lalu menggenggam erat jari-jemari sahabat baiknya.
    
“Kheda…” Ashura memanggil perlahan. Dia faham rasa hati Kheda. Kheda yang kini memiliki status isteri kedua dan menantu termuda dalam keluarga suaminya, tidak mampu membuka pintu pagar untuk Ashura, apatah lagi mahu membawanya masuk ke dalam rumah seperti ketika Kheda belum berkahwin.
    
Air-air jernih menitik ke pipi mulus Kheda. “Saya minta maaf, saya minta maaf, saya minta maaf.” Ayat itu diulang berkali-kali, mengharapkan sebuah pengertian dan kemaafan daripada sahabat sejati.
    
Ucapan maaf Kheda meruntun hati Ashura. Sesal kini terbuku di hati. Kedatangannya ke sini membebankan jiwa Kheda, membuat rakan baiknya itu berasa kesal kerana tidak dapat memberi layanan sebagai seorang tetamu kepadanya.
    
Demi kebahagiaan Kheda, dan untuk tidak membuatkan jiwa Kheda terus dihiris luka, Ashura nekad, ini ialah kali terakhir dia datang ke sini menemui Kheda. Ketika nama Kheda Elmurzaeva bertukar kepada Kheda Eldarkhanova, tali yang menghubungkan persahabatan mereka berdua terputus. Dia bukan lagi sebahagian daripada hidup Kheda.
    
Kheda mengetap bibirnya kuat, cuba menelan suara tangisan. Dia tidak mahu ibu mertua serta ahli keluarga suaminya mendengar tangisannya. Dia tidak mahu dianggap sebagai menantu yang tidak tahu mengenang budi. Walaupun dia tidak dapat melanjutkan pelajaran luar dari Republik Chechen, suaminya memberinya kebenaran untuk menyambung pelajaran di universiti republik ini. Malah lelaki 53 tahun itu turut berjanji akan membayar hutang perniagaan abang Kheda, sekaligus mengeluarkan abangnya daripada muflis.
    
Kheda hanya perlu menjadi isteri dan menantu yang patuh kepada suami dan ibu bapa mertuanya.
    
“Semoga berbahagia, Kheda. Semoga Allah merahmati awak sentiasa.”
    
Ashura menarik keluar jari-jemarinya daripada genggaman Kheda.
    
“Saya minta maaf, Ashura.” Sekali lagi Kheda mengucapkan. Ashura menggeleng perlahan.
    
“Awak tak salah. Tak perlu minta maaf, Kheda.”
    
“Nanti bila saya kembali ke rumah ibu bapa saya, saya akan buat kek coklat kegemaran awak.” Kheda mengungkapkan janji bersama senyuman pahit.
    
Ah, Kheda! Usah berjanji jika ia tidak bisa ditepati!’ Hampir sahaja ayat di dalam hati itu diluah oleh Ashura.
    
“Okey.” Ashura membalas perlahan. “Saya pergi dulu. Jumpa lagi di sekolah nanti.”
    
Ashura berpaling lalu melangkah menjauhi banglo mewah tersebut, meninggalkan Kheda yang hanya mampu memandangnya pergi bersama linangan air mata.
    
“Maaf…maafkan aku, Ashura…” bisik Kheda perlahan. Kelibat Ashura semakin lama semakin menghilang daripada pandangan mata. Kheda memeluk erat buku nota yang diberikan Ashura. “Maaf…”

*****
    
Ketika sahaja kakinya melangkah keluar daripada kawasan perumahan Jalan Poltavskaya, air mata Ashura tumpah dengan deras. Gadis itu berhenti di tepi jalan. Air mata yang mengalir, dikesat dengan lengan baju. Renungan mata sayu Kheda sebentar tadi menusuk terus ke jantungnya. Kheda bagaikan sedang memberitahu Ashura untuk melepaskannya pergi dari sangkar emas tersebut. Tapi Ashura yang lemah tidak mampu berbuat apa-apa. Malah dia sendiri melepaskan genggaman tangan Kheda.
    
Ashura memandang tapak tangannya. Hangat jemari Kheda masih terasa di sebalik cuaca sejuk yang kian menggigit tubuh. Sebak mengulit hati mengenangkan rakan baik yang kini semakin menjauh. Gadis berambut pendek itu mengangkat kepala, menatap langit petang yang mula menurunkan butir-butir salji.
    
Kita dah tak boleh kembali ke masa lalu, kan Kheda?
    
Bayu musim dingin kasar menghembus ke pipi. Salji mula turun dengan lebat. Namun Ashura masih terpaku di tepi jalan, membiarkan emping-emping salji menghiasi rambut dan pakaiannya. Tubuhnya sudah mula menggeletar kerana cuaca yang sejuk. Biarpun begitu, dia masih enggan mencari tempat berteduh buat sementara di dalam bangunan kedai berhampiran. Sejuk yang dirasakannya tatkala ini bukannya apa-apa jika dibanding dengan kehidupan yang terpaksa dilalui oleh Kheda setiap hari.
    
Sejuta kesakitan yang dirasakannya juga tidak mampu menandingi kesakitan yang membuat lubuk di hati Kheda.
    
Sesosok tubuh menghampiri si gadis, memayunginya daripada hujan salji yang dimuntahkan awan.
    
Ashura tersentak.
    
Dia menoleh memandang lelaki yang berdiri di belakangnya.
    
Mata Ashura membesar. Ziyaudin, jejaka yang ditemui di majlis perkahwinan Kheda sedang tersenyum menatapnya. Ashura jadi curiga dengan kehadiran lelaki itu.
    
“Jangan risau. Saya tak ada niat lain,” ujar Ziyaudin sopan, bagaikan bisa membaca isi hati Ashura.
    
Perlahan, Ashura berpaling lalu menapak langkah ke hadapan. Ziyaudin jadi tergamam. Dia lalu mengejar langkah si gadis. Sekali lagi dia memayungi Ashura.  
    
Sebal, Ashura merenung tajam Ziyaudin sebelum menghamburkan kata-kata amarah. “Jangan payung saya lagi! Saya tak suka, faham tak?” Suara Ashura meninggi.
    
Pemuda itu terkedu. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia dimarahi seorang gadis. Ayat Ashura mencarik hatinya. Tapi Ziyaudin enggan mengalah.
    
“Saya tak sampai hati biarkan awak sejuk di bawah salji. Salah ke tindakan saya?” Ziyaudin bersuara tenang, membela diri. Anak mata redupnya mengamati wajah gadis yang menjadi pujaan hati sejak sekian lama.
    
Hati Ashura ditambat jengkel. Lelaki itu tiada hak mahu menyibuk hal dirinya. Dia sendiri tidak tahu apa-apa tentang lelaki itu.
    
“Saya tak suka. Dan saya tak perlukan pertolongan awak! Penyibuk!” marah Ashura. Dia berlari meninggalkan Ziyaudin.
    
Ziyaudin mengeluh kesal. Ternyata Ashura bukannya seorang gadis yang mudah didekati. Malah, tutur katanya juga agak kasar. Ziyaudin melorek senyum sambil menggaru-garu kepala. Namun senyumannya menghilang sebaik melihat gadis itu tergelincir lalu terjatuh di tepi jalan. Tanpa membuang masa, Ziyaudin berlari mendapatkan Ashura.
    
“Awak okey tak?” Ziyaudin menyoal cemas.
    
“Jangan pedulikan saya!” bentak Ashura yang kini terduduk kesakitan. Dalam hati, dia menyumpah seranah salji yang membuat jalan di situ licin.
    
“Mari saya tolong awak.” Ziyaudin menghulur tangan untuk membantu Ashura berdiri namun gadis itu menepis kasar tangannya.
    
“Saya tak perlukan pertolongan awak.” Dingin Ashura membalas.
    
Cemas di hati Ziyaudin bertukar kepada rasa geli hati. Ashura ketika ditimpa kesusahan pun masih dengan sikap keras kepalanya.
    
Rancangan Ziyaudin untuk menjadi lelaki budiman hancur lebur. Dia patut menunjukkan dirinya yang sebenar sahaja kepada gadis ini. Akhshiyat dari awal lagi sudah mengatakan yang Ashura tidak suka dengan lelaki yang bermulut manis.
    
Khot' kol yemú na golové teshí** (Awak sampaikan boleh memahat batang kayu di atas kepalanya),” ujar Ziyaudin dalam bahasa Rusia. Dia kemudian tersengih lebar menampakkan barisan giginya yang putih. Ashura mengetap bibir menahan geram. Ziyaudin jelas sedang menyindirnya.
    
Gadis itu bangun perlahan-lahan lalu membersihkan skirt panjang yang dipakai daripada salji yang melekat. Anak mata hijaunya memandang Ziyaudin.
    
“Awak menjengkelkan dan menyakitkan hati. Hipokrit! Volk v ovéch'yey shkúre***! (Serigala berbulu kambing).” Ashura menuduh.
    
Riak wajah Ziyaudin keruh seketika. Wajah gadis itu dipandang lama. Tatapan penuh benci dan kata-kata si gadis mencalar jiwanya. Namun apabila teringat yang Ashura memiliki pengalaman buruk hampir diculik lelaki, Ziyaudin mula memahami mengapa gadis itu mengucap kata-kata sedemikian. Dia tersenyum hambar. “Bran' ne dym -- glaza ne yest**** (Perkataan yang kasar tidak mampu mematahkan tulang),” ujarnya perlahan.
    
Ashura jadi terpempan dengan kata-kata Ziyaudin. Lekas-lekas dia memaling wajah ke arah lain. Malu dia mahu bertentang mata dengan Ziyaudin. Lontaran ayatnya sebentar tadi memang kasar. Dia menuduh lelaki itu hipokrit dan berpura-pura baik sedangkan dia baru sahaja mengenali lelaki tersebut.
    
Muka Ashura memerah. Rasa malunya meluap di kalbu. Sendi di lututnya seakan bergegar. Ikutkan hati, dia mahu melarikan diri dari situ. Tapi entah mengapa tubuhnya tidak mahu berganjak.
    
“Saya minta maaf,” ucap Ziyaudin tanpa dipinta. Ashura tertunduk, masih enggan memandang lelaki di hadapannya.
    
“Saya tak bermaksud apa-apa. Saya cuma tak mahu lihat awak dibasahi salji, itu sahaja.” Ziyaudin berhenti seketika sebelum menyambung lagi. “Payung ni untuk awak.” Ziyaudin menghulur kaki payung kepada gadis tersebut. Ashura tetap membisu. “Tolonglah terima.”    Payung bertukar tangan.
    
“Saya pergi dulu, Ashura. Assalamualaikum.” Ziyaudin beranjur pergi.
    
Ashura mengangkat muka. Kelibat lelaki itu semakin menjauh. Salji yang turun dengan lebat memalit diri pada tubuh Ziyaudin. Hati Ashura terpukul. Meskipun tingkah-lakunya pada lelaki itu sangat kasar, Ziyaudin tetap tersenyum kepadanya sambil menghulurkan sekaki payung.     
    
Membiarkan dirinya dibasahi salji bersendirian.
______________________________________________________

Glosari:

*Teip – Bermaksud keluarga, kaum kerabat, atau suku puak Chechen dan Ingush. Asas sesuatu teip terdiri daripada keturunan moyang yang sama dan lokasi geografi. Terdapat kira-kira 130-233 teip (walaupun beberapa sumber menyatakan bahawa mungkin terdapat sebanyak 300). Teip Benoy ialah teip yang terbesar dengan 36,000 orang ahli. Menarik tentang teip, ahli teip yang sama (sebelah bapa) tidak dibenarkan berkahwin sesama sendiri sejauh 7 keturunan.

**Khot' kol yemú na golové teshí (Хоть кол ему́ на голове́ теши́) – Perumpamaan dalam bahasa Rusia yang menggambarkan seorang yang sangat degil.

***Volk v ovéch'yey shkúre (Волк в ове́чьей шку́ре) – Perumpamaan dalam bahasa Rusia yang melambangkan orang yang berpura-pura baik tetapi sebenarnya amat berbahaya.

**** Bran' ne dym -- glaza ne yest (Брань не дым -- глаза не ест) – Perumpamaan dalam bahasa Rusia yang bermaksud kata-kata yang kasar tidak mampu menyakiti tubuh, jadi tidak perlu membiarkan diri terluka olehnya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku