Marionette Merah
Prolog
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Ogos 2017
Mereka askar yang sempurna. Dilatih untuk membunuh sesiapa sahaja yang menentang pemerintahan diktator kejam yang bernama Jeneral Lutfi.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
58

Bacaan






                   
17 Mei 2238 – Konflik di antara Syiah dan Sunni memuncak hingga mengakibatkan pertumpahan darah. Negara-negara Timur Tengah yang berperang akibat perbezaan ideologi, disokong oleh dua blok kuasa yang berbeza; Persekutuan Atlantik dan Liga Reformasi Asia. Persekutuan Atlantik dianggotai oleh Amerika, Eropah, Kanada, dan Amerika Utara. Liga Reformasi Asia dianggotai oleh Rusia, China, Korea, dan negara-negara Asia Tengah.     

28 Julai 2238 – Sebagai cara meluahkan ketidakpuasan hati mereka kepada Liga Reformasi Asia yang turut masuk campur dalam perang di Timur Tengah, Persekutuan Atlantik melakukan sekatan ekonomi kepada negara-negara yang bernaung di bawah Liga Reformasi Asia. Australia, New Zealand, Jepun, dan Asia Tenggara diberi tekanan untuk turut melakukan sekatan yang sama. Liga Reformasi Asia bertindak balas dengan menyalurkan lebih banyak dana dan senjata kepada negara Timur Tengah yang disokong mereka serta meluaskan pengaruh mereka kepada negara-negara yang bersifat neutral.

25 November 2240 – Letupan besar berlaku semasa lawatan setiausaha agung Liga Reformasi Asia, Nurzhan Kishkenbayev, ke Iran. Letupan yang didalangi ekstremis daripada Persekutuan Atlantik itu mengorbankan Nurzhan serta 35 orang ahli majlis tertinggi Liga Reformasi Asia dan pemimpi-pemimpin tertinggi Iran.

9 Januari 2241
– Rundingan damai antara Persekutuan Atlantik dengan Liga Reformasi Asia gagal apabila Liga Reformasi Asia menolak tuntutan Persekutuan Atlantik untuk menutup 4 pusat penyelidikan senjata nuklear mereka di Kazakhstan dan Rusia.

10 Januari 2241 – Tepat pukul 2 pagi, askar-askar Liga Reformasi Asia melepaskan tembakan pada askar-askar yang berkawal di sempadan Ukraine dan Belarus. Iran, Syria, dan Iraq yang disokong Liga Reformasi Asia, meletupkan kubu-kubu Turki yang berada di sempadan. Pukul 7 pagi, Persekutuan Atlantik mengisytiharkan perang ke atas Liga Reformasi Asia.

11 Januari 2241 - Perang dunia ketiga tercetus. Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, Laos, Kemboja, Myanmar, Australia, New Zealand, Jepun, India, Pakistan, dan Sri Lanka mengambil dasar neutral dan tidak menyertai peperangan kedua-dua blok besar itu. Untuk melindungi negara masing-masing, 16 buah negara ini membentuk satu pakatan baru yang dinamakan Perikatan Biru. Perikatan Biru mengikat janji bersama untuk saling tolong-menolong dalam hal ehwal ekonomi, pendidikan, dan ketenteraan.

Tahun 2243 – Negara-negara Perikatan Biru mengalami masalah kebanjiran pelarian perang. Thailand, Myanmar, Singapura, Brunei dan Pakistan mengambil keputusan untuk menutup pintu sempadan mereka.

Tahun 2244
– Australia, New Zealand, India, Sri Lanka, Indonesia, Kemboja, Jepun, Laos dan Filipina berhenti menerima pelarian perang.

14 Februari 2246 – Pusat penyelidikan senjata nuklear di Rusia dan Kazakhstan diletupkan Persekutuan Atlantik. Letupan dahsyat yang mengorbankan hampir 15 juta penduduk itu menghancurkan sebahagian besar Orenburg, Irkutsk, Almaty, dan Karaganda. Radiasi nuklear yang menular mengakibatkan kematian beratus ribu penduduk di wilayah berhampiran.

Dengan kekuatan ketenteraan yang semakin lemah, Liga Reformasi Asia akhirnya bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dari Korea dan China ke arah ibu-ibu negara anggota Persekutuan Atlantik sehingga mengorbankan lebih 29 juta penduduk.

13 Mac 2246 -  Persekutuan Atlantik menawarkan rundingan damai kepada Liga Reformasi Asia. Perikatan Biru bertindak sebagai moderator dan pemerhati kepada rundingan damai yang dilakukan. Perang dunia ketiga yang berlangsung selama 5 tahun berakhir apabila gencatan senjata dipersetujui oleh kedua-dua blok negara yang terlibat.

18 Ogos 2246 – Malaysia menutup sempadannya apabila jumlah imigran yang masuk hampir menyamai 37% jumlah penduduk asal Malaysia.

Disember 2246 hingga Februari 2252 - Penduduk-penduduk asal tidak berpuas hati apabila imigran mula menuntut hak mendapatkan perubatan, pekerjaan, dan pendidikan di Malaysia. Jenayah turut berleluasa sehingga mengakibatkan kemerosotan daripada segi ekonomi dan nilai moral. Kemuncak kepada ketidakpuasan hati ini ialah tragedi yang dinamakan Julai Berdarah pada 6 Julai 2249. Sebahagian penduduk asal yang marah telah menyerang perkampungan besar imigran di Kuala Lumpur.

Pembantaian yang berlangsung selama 2 hari itu telah mengorbankan 2788 orang imigran, 47 orang anggota polis dan tentera, dan 135 orang penduduk asal Malaysia. Satu kertas cadangan untuk mengeluarkan imigran dari Malaysia dibuka. Malaysia berunding dengan negara Perikatan Biru yang lain untuk menerima sebahagian besar imigran. Walau bagaimanapun, rundingan tersebut gagal. Krisis ekonomi dan kemanusiaan teruk yang melanda seluruh dunia menyebabkan negara-negara ini tidak mahu menerima imigran dari Malaysia.     

Malaysia kemudian mencadangkan kepada negara asal imigran untuk membawa rakyat mereka di Malaysia kembali ke negara masing-masing. Namun, kerana terjejas teruk akibat perang dan radiasi nuklear, negara-negara ini tidak mampu membawa pulang jutaan penduduk mereka dari Malaysia.

Dalam pada itu, penduduk dan ahli politik Malaysia yang tidak berpuas hati mengenakan sekatan ke atas imigran. Ada peniaga dan klinik yang tidak mahu berjual-beli dan memberikan rawatan kepada imigran. Polisi yang bermula dari beberapa buah kedai dan pusat rawatan, mula merebak ke kedai-kedai dan pusat rawatan yang lain. Slogan “Malaysia untuk orang Malaysia” mula dilaungkan di sana-sini.

Penduduk dan ahli-ahli politik bangkit untuk menyuarakan ketidakpuasan hati kepada perdana menteri Malaysia, Dr. Afnan Dollah dan mendesak agar beliau meletak jawatan. 3 tahun kemudian, dengan sokongan yang semakin menurun di kalangan rakyat dan ahli politik lain, Dr. Afnan Dollah melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri sekaligus menamatkan 17 tahun pemerintahan beliau. Beliau digantikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Lutfi.

Jeneral Lutfi yang anti-imigran, telah mewujudkan dasar baru. Setiap bandar besar di Malaysia dibahagikan kepada dua; Imigran dan Penduduk Asal. Penduduk-penduduk asal Malaysia diarahkan berkumpul bersama dan mendiami pusat bandar. Tembok-tembok yang tinggi dibina di sekeliling pusat bandar. Ia berfungsi sebagai benteng pertahanan  untuk memisahkan kediaman penduduk asal dan imigran. Penduduk asal bebas masuk ke kawasan  imigran namun imigran tidak dibenarkan masuk ke dalam tembok besar.
                    
*****

15 tahun berlalu dan bilangan imigran semakin berkurangan. Ramai di antara mereka mati akibat kebuluran dan tidak mendapat rawatan yang sempurna. Tidak kurang juga ramai yang hilang begitu sahaja, ghaib tanpa khabar dan berita. Apabila jumlah mereka semakin berkurangan, Jeneral Lutfi mengarahkan agar tembok besar yang mengelilingi bandar-bandar di Malaysia, dirobohkan. Imigran dibenarkan berinteraksi dan bergaul dengan penduduk asal. Dalam masa yang sama, penduduk mula membuka mata dengan kekejaman Jeneral Lutfi dan konco-konconya yang menyalahgunakan kuasa dan menggelapkan berbilion ringgit daripada perbendaharaan negara. Jeneral Lutfi turut mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat. Kebebasan bersuara dihapuskan. Subsidi perubatan dan pendidikan ditarik untuk disalurkan pada penyelidikan teknologi senjata.

Pada penghujung tahun 2267, parti-parti yang mengkritik kerajaan pimpinan Jeneral Lutfi mulai muncul.

Tahun 2268 - Overrank A-Team diwujudkan. Askar yang kuat, kejam, dan tanpa perasaan ini merupakan tentera khas Jeneral Lutfi. Bilangan mereka tidak seramai askar biasa, namun kehadiran mereka cukup digeruni sesiapa sahaja. Mereka bertanggungjawab menangkap dan membunuh mana-mana penduduk dan pemimpin parti politik lawan yang mengritik pemerintahan Jeneral Lutfi. Kesetiaan askar-askar kejam ini kepada Jeneral Lutfi menyebabkan mereka digelar ‘Marionette’ oleh orang awam. Sesiapa sahaja yang melawan Jeneral Lutfi akan dihapuskan dalam sekelip mata. Kerana bimbang anggota tenteranya akan berpaling tadah, Jeneral Lutfi mengurangkan kuasa pasukan tentera. Askar-askar Overrank A-Team kini mengambil alih tampuk ketenteraan.

Tahun 2271 – Memoria, pertubuhan rahsia yang terdiri daripada golongan imigran dan penduduk asal Malaysia, ditubuhkan oleh bekas wartawan jenayah terkenal, Alex Rompin. Alex Rompin yang bijak telah meletakkan ramai pengintip dalam ‘lingkaran besi’ Jeneral Lutfi. Memoria menyalurkan maklumat-maklumat penting angkatan tentera dan bukti-bukti korupsi dan kekejaman kerajaan pimpinan Jeneral Lutfi kepada parti-parti politik yang menentangnya.

Tahun 2275 – Alex Rompin memecahkan pertubuhan Memoria kepada dua; Red Memoria dan Blue Memoria. Red Memoria yang kebanyakannya dianggotai oleh imigran, bertindak sebagai pelindung kepada Blue Memoria yang dianggotai oleh penduduk asal Malaysia. Red Memoria dilatih menggunakan senjata dan berfungsi sebagai askar kepada pertubuhan Memoria.

Tahun 2280 (kini) – Slogan ‘Jatuhkan Kerajaan Lutfi’ semakin rancak dilaungkan ketika perjumpaan  rahsia parti anti-Lutfi termasuklah pertubuhan Memoria. Rasa tidak puas hati penduduk Malaysia memuncak. Walaupun begitu, kebanyakan penduduk memilih untuk menutup mulut kerana tidak mahu merisikokan nyawa masing-masing. Marionette bisa muncul di mana-mana sahaja untuk menangkap penduduk yang menentang Jeneral Lutfi.

Memoria serta parti-parti politik rahsia lain meningkatkan jumlah keahlian mereka dengan merekrut lebih ramai penduduk. Matlamat mereka tidak pernah berubah; menjatuhkan Jeneral Lutfi daripada singgahsana emasnya. Namun sebelum Jeneral Lutfi bisa disingkirkan, mereka harus memikirkan cara untuk menewaskan Marionette yang menjadi tulang belakang diktator kejam itu terlebih dahulu.
 



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku