Marionette Merah
Bab 2
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Ogos 2017
Mereka askar yang sempurna. Dilatih untuk membunuh sesiapa sahaja yang menentang pemerintahan diktator kejam yang bernama Jeneral Lutfi.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
41

Bacaan






Tahun 2282
Kuala Lumpur


Mata yang terpejam dibuka perlahan-lahan.

Hitam.

Cuma warna itu yang menyambutnya. Sangkaannya, mungkin anak matanya sedang menipu, memberontak kepadanya. Lalu dia mengelipkan mata berkali-kali. Namun apa yang terpampang di hadapan hanyalah warna hitam. Itu membuatkan dia tidak puas hati. Dia segera menggerakkan tangan kanan ke hadapan muka.

Anak matanya membesar. Hatinya jadi gelisah. Bentuk tangannya langsung tidak terlihat. Apa sudah terjadi? Adakah dia sudah buta? Mengapa tiada warna lain yang dilihatnya melainkan warna hitam?

Dia memicit lengan kiri dengan sekuat hati.

Sakit.

Kawasan yang dipicit tadi terasa berdenyut-denyut. Rasa sakit itu membuat hatinya lega sedikit. Dia masih lagi dapat merasai kesakitan. Sekurang-kurangnya dia pasti yang dia masih hidup.

Dia memalingkan kepala ke kiri dan ke kanan. Hanya kegelapan mewarnai suasana. Hatta satu bayang-bayang pun tidak terlihat olehnya.

Sekilas hatinya terdetik, di mana dia berada sekarang ini? Di tempat mana dia sedang berbaring? Bagaimana dia boleh berada di sini? Persoalan-persoalan itu menari-nari di ruangan minda. Dia cuba mengingat kembali apa-apa perkara yang boleh memberikan dia sebarang idea tentang keberadaannya di tempat itu.

Tiada memori, tiada apa-apa peristiwa terlintas di fikiran. Usahanya sia-sia. Fikirannya kosong. Atau lebih tepat, tiada apa-apa yang dapat dia ingati.

Dia segera membangunkan diri daripada tempat pembaringannya yang keras dan sejuk. Satu idea terlintas di benaknya, mungkin dia boleh mendapatkan sesiapa di situ. Mungkin ada orang lain selainnya di situ.

“Hello!” Dia menjerit. Suaranya bergema di sekeliling.

Sia-sia. Jeritannya tidak disahut.

“Ada sesiapa di sini?”

Sekali lagi suaranya bergema. Namun hanya sunyi dan sepi yang menyambutnya.

Lantas dia berdiri. Kaki digerakkan ke hadapan. Baru dua langkah kakinya berjalan, tubuhnya menjunam ke bawah. Serta-merta mukanya mencium satu permukaan keras.

“Uh...uh...” Dia mengerang kesakitan.

Dengan hentakan yang begitu kuat, dia pasti tempat dia berbaring tadi memiliki ketinggian sekurang-kurangnya satu meter. Tidak mahu lagi mengambil risiko berjalan dalam gelap, dia memilih untuk merangkak sahaja.

Sambil merangkak, tangan kanannya meraba-raba di hadapan agar akhirnya bisa menemukan sesuatu. Jika tempat dia berada sekarang ialah sebuah bilik, lambat laun dia pasti akan bertembung dengan dinding bilik. Mungkin dia boleh mencari pintu keluar selepas itu.

Pergerakannya terhenti tatkala jari-jemari kanannya menyentuh sesuatu di hadapan. Dia meraba-raba objek yang disentuhnya; permukaan yang licin dan sejuk. Dia berdiri perlahan-lahan sambil melekapkan kedua-dua tapak tangannya pada permukaan licin itu.

Dinding.

Dia lalu merendahkan kembali tubuh ke posisi merangkak. Tapak tangan kanannya masih terlekap pada dinding tersebut. Badan pula disokong oleh kedua-dua kaki dan tangan kiri. Tapak tangan kanan yang melekap pada dinding digerak dengan berhati-hati ke hadapan, mengikuti pergerakan kakinya.

Akhirnya, tapak tangan kanannya menyentuh suatu permukaan yang berbeza daripada permukaan pertama tadi. Dia cepat-cepat berdiri. Jari-jemarinya kini meraba-raba permukaan baru tersebut.

Ada beberapa corak beralur lurus dari kiri ke kanan permukaan baru itu. Jari-jemarinya akhirnya tersentuh satu alur ke bawah yang menjadi pembahagi kepada permukaan tersebut. Dia dapat merasakan yang dia telah berjaya menjumpai apa yang dicarinya sejak tadi; pintu.

Dengan sekuat hatinya, dia menolak pintu itu ke hadapan. Namun pintu itu sedikit pun tidak bergerak. Dia menolak dengan lebih kuat. Hasilnya tetap sama.

Geram, otaknya ligat mencari idea. Mungkin juga pintu itu ialah pintu automatik yang boleh terbuka di kedua-dua bahagian; kiri dan kanan. Jika begitu, dia patut membuka pintu tersebut dengan memisahkan kedua-dua belah pintu itu.     

Kali ini dia menarik kedua-dua pintu itu ke kiri dan kanan. Sekali lagi usahanya menemui kegagalan.

Dia merengus kuat. Barangkali dia harus mencari suis lampu di tempat itu terlebih dahulu untuk menilai keadaan sekeliling.

Dia kembali teraba-raba dalam gelap.

Jari kirinya tersentuh sesuatu yang berbentuk segi empat. Benda segi empat tersebut berbentuk seperti kotak kecil. Ada bahagian di kotak tersebut yang timbul ke atas. Dia menekan kotak itu dengan telapak tangan kirinya.

Tiada apa-apa yang berlaku.

Dia meraba kotak itu kembali. Jarinya menyentuh satu objek bulat yang boleh ditekan. Jari telunjuknya menekan benda bulat itu dan serta-merta keadaan sekeliling yang gelap bertukar terang.

Cahaya daripada lampu automatik siling menerjah masuk ke dalam matanya, menyilaukan penglihatan.

Pedih.

Dia mengelip mata berkali-kali sehingga pandangan yang kabur menjadi jelas. Beberapa kali juga dia menggosok-gosok mata dengan tangan untuk mengurangkan rasa pedih.

Dia menghalakan pandangannya ke satu suis bulat yang sederhana besar. Dia kira, itulah suis yang ditekannya sebentar tadi untuk menghidupkan lampu. Dia atas suis bulat itu pula ada sebuah alat pengimbas. Pada alat pengimbas tersebut terdapat skrin kecil, papan kekunci kecil, dan tempat imbasan ibu jari. Ada beberapa kekunci yang memaparkan nombor kosong hingga sembilan serta butang yang tertulis perkataan ‘ENTER’ pada alat pengimbas tersebut. Dia menekan nombor satu, dua, tiga, dan empat lalu menekan ‘ENTER’. Skrin yang terletak di atas kekunci tersebut memaparkan perkataan ‘INVALID PASSCODE’.

Dia mengeluh. Pintu automatik berwarna kelabu muda itu besar dan tinggi. Tidak mungkin dia dapat memecahkan pintu sekuat ini.

Hampa, dia berpaling ke belakang.

Apa yang dilihatnya bisa membuat jantungnya gugur.

Di hadapannya tersusun berpuluh-puluh badan manusia yang sedang terbaring di atas meja.

Kesemuanya kaku seperti mayat.

Saat itu dia terasa bagaikan sedang terapung di udara. Kakinya sudah tidak kuat untuk menyokong badannya. Akhirnya dia jatuh terjelepok di atas lantai.

Seluruh tubuhnya menggigil. Mereka yang terbaring memakai baju panjang tanpa lengan warna kelabu. Dia memandang dirinya. Dia turut memakai pakaian yang sama seperti mereka.

Dia berundur lalu menyandarkan diri pada pintu automatik. Kedua-dua kaki dilipat ke dada. Tangannya erat memeluk kedua-dua lutut.

Tubuh-tubuh yang tampak lena dibuai mimpi itu diperhatikan lama.

Betulkah mereka semua sedang tidur? Mengapa mereka tidak bangun-bangun lagi? Mengapa mereka tidak cuba mencari jalan keluar sepertinya?

“Tenang…kau kena tenang…mereka cuma tidur,” ujarnya sekadar menyedapkan hati yang walang.

Dia masih hidup.

Dia berada di tempat ini dan dia masih hidup. Jadi mereka juga pasti masih hidup sepertinya. Mereka pasti akan bangun selepas dikejutkan.

Tidak perlu takut.

Dengan segala kekuatan yang ada, dia memaksa kakinya berdiri. Setelah merasakan jiwanya sedikit tenang, dia melangkah ke hadapan, menuju ke arah tubuh-tubuh yang terbaring.

Dia mendekati salah satu meja di sebelah kiri. Seorang gadis berambut panjang warna merah sedang terbaring di situ. Kulitnya putih dan pucat. Umurnya mungkin dalam lingkungan 14 ke 16 tahun.

“Hai.” Dia memanggil. Sejujurnya, dia tidak tahu bagaimana caranya harus dia membangunkan orang yang sedang tidur. “Ummm...hai,” panggilnya sekali lagi dengan suara yang lebih kuat.

Tiada reaksi.

“Awak boleh dengar saya tak?” soalnya sambil menggoyang-goyangkan bahu kanan gadis tersebut. Gadis itu tidak menjawab pertanyaannya.

Dia naik hairan. Tidak mungkin ada orang yang tidak sedar jika dibangunkan seperti itu. Mengharapkan firasatnya salah, jari dirapatkan ke hidung si gadis.

Tiada hembusan nafas.

Dia tidak puas hati. Pergelangan tangan gadis itu dipegang.

Tiada nadi.

Ternyata gadis itu sudah tidak bernyawa lagi.

Matanya memandang tubuh-tubuh yang lain. Adakah mereka juga seperti gadis ini?

Dia beralih ke meja sebelah. Ciri fizikal dan lingkungan umurnya sama seperti gadis pertama. Dia mengulang kembali apa yang dia lakukan pada gadis pertama kepada gadis kedua.

Sama seperti gadis pertama, gadis kedua juga tidak lagi mempunyai denyutan nadi. Dia meneruskan pemeriksaannya ke atas tubuh-tubuh  lain.

Sayang sekali mereka juga sudah tidak bernyawa lagi. Ketika dia sibuk memeriksa tubuh yang kelima belas, pintu automatik bilik itu terbuka.

Dia mengangkat wajah, memandang ke koridor di luar pintu bilik yang terang-benderang.

Dengan pantas, dia meluru ke arah koridor, keluar meninggalkan bilik misteri itu. Namun baru beberapa langkah, dia terdengar bunyi derapan tapak kaki dari koridor yang menganjur ke kanan, tidak jauh dari koridor tempatnya berada. Tubuhnya segera membatu. Naluri kini mendesaknya untuk berpatah balik ke bilik tadi.

Tidak semena-mena, lampu koridor terpadam. Derapan tapak kaki tersebut terhenti.

“Macam mana lampu boleh terpadam?” Soal satu suara garau.

“Entah. Dahlah tadi semua pintu di bangunan ni terbuka sendiri.” Jawab satu lagi suara.

“Jangan-jangan ada penceroboh tak?” Soal suara yang lain.

“Hahaha. Takkanlah boleh ada penceroboh? Makmal tentera ni kebal tau. Mungkin ada litar pintas. Kejap lagi hiduplah generator tu.”

Suara-suara itu kemudian ketawa lagi.
 
“PENCEROBOH! PENCEROBOH DIKESAN! SEMUA UNIT BERSIAP SEDIA!”

Arahan daripada speaker mematikan ketawa suara-suara tadi. Seketika kemudian, lampu kecemasan di koridor terpasang.

Penggera berbunyi nyaring.

“PENCEROBOH DIKESAN DI BAHAGIAN A12. SEMUA UNIT SEGERA BERGEGAS KE BAHAGIAN A12.”

Dengan kelam-kabut, pemilik suara-suara tadi berpatah ke belakang, berlari menjauhi koridor tempatnya berdiri. Helaan nafas lega terlepas dari dada. Kesempatan itu digunakan untuk mencari jalan keluar.

Langkahnya terhenti tatkala melihat seorang lelaki keluar dari pintu di sebelah kanan koridor.

Demi sahaja melihat wajahnya, lelaki itu segera mengacukan pistol.
    
“Tolong...Tolong jangan bunuh saya...” Dia merayu lalu mengangkat tangan untuk menyerah diri. “To…tolong jangan bunuh saya...” Terketar-ketar dia mengulang. Hidup dan matinya kini berada di tangan lelaki itu.
    
“Marionette!” Lelaki itu mengucapkan. Mata birunya memandang gadis di hadapan dengan penuh rasa benci.
    
Inilah masanya untuk membalas dendam demi adik perempuannya.     
    
Dia, Ramzan Almazov, akan menghapuskan marionette ini.





Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku