Marionette Merah
Bab 3
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Ogos 2017
Mereka askar yang sempurna. Dilatih untuk membunuh sesiapa sahaja yang menentang pemerintahan diktator kejam yang bernama Jeneral Lutfi.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
146

Bacaan






BOOM!
    
Satu letupan kuat terdengar tidak jauh dari tempat mereka berada. Runtuhan menyusuli dengan pantas. Koridor yang menjadi tempat berpinjak bergegar ganas. Ramzan cepat-cepat berpaut pada dinding.
    
Sebaik gegaran berakhir, Ramzan kembali memandang marionette tersebut. Ketakutan terpamer di wajah si marionette, mengundang seribu persoalan di minda Ramzan.
    
Marionette yang mereka kenali ialah askar elit Perdana Menteri Malaysia yang ke-44, Jeneral Lutfi. Sasaran mereka ialah sesiapa sahaja yang menjadi pengkritik kerajaan pimpinan jeneral dari neraka itu. Anak-anak kecil, orang tua, orang-orang yang lemah, semuanya mampu dibunuh tanpa sedikit pun rasa belas kasihan.
    
Ramzan mengacukan pistol tepat ke wajah si marionette.
    
Inilah satu-satu peluang yang dia miliki untuk membalas dendam kepada anjing setia Jeneral Lutfi. Setakat membunuh beberapa orang pengawal makmal tentera apalah sangat jika dibandingkan dengan askar elit ini.
    
Ketika Ramzan sudah bersedia untuk melepaskan tembakan, tiba-tiba dia terdengar suara adik perempuannya yang dilarikan marionette tiga tahun yang lalu.
    
“Abang! Abang! Abang!” Suara itu memanggilnya.
    
Ramzan tergamam.
    
Safiya? Adakah Safiya berada di makmal ini?
    
Kepala Ramzan berpusing-pusing, mencari-cari punca suara itu. Mungkinkah Safiya dikurung di mana-mana bilik di sini?
    
Melihat pemuda di hadapannya bagaikan sudah hilang dalam dunianya sendiri, si gadis marionette mengambil kesempatan dengan meluru ke arah Ramzan lalu merampas pistol di tangan lelaki itu. Ramzan tersentak. Pistol kini diacukan ke arahnya.
    
“Jangan bergerak!” Amaran diberi dengan tangan yang menggeletar.
    
Pemuda itu terundur.
    
Wajah teragak-agak gadis itu ditatap.
    
Perlahan, Ramzan menggerakkan tangan kiri ke belakang untuk mengambil pistol ekstra yang tersimpan di dalam pouch. ‘Naif sungguh! ’ Hatinya mendesis.
    
Tanpa disangka-sangka, gadis marionette itu melepaskan 5 das tembakan melepasi tubuhnya. Terbeliak mata Ramzan, kaget dengan tindakan gadis tersebut. Bunyi tubuh jatuh di atas lantai koridor mencecah cuping telinganya.
    
Ramzan segera berpaling. Tiga orang askar terbaring berlumuran darah dengan senjata masing-masing di tangan.
    
Pandangan dihalakan kepada gadis itu kembali. Apa yang terjadi benar-benar di luar jangkaan Ramzan. Tidak pernah terlintas di fikirannya akan melihat seorang marionette membunuh askar Jeneral Lutfi.
    
“Sa…saya…” Terketar si gadis mengucapkan. Dia tidak berniat mahu membunuh sesiapa. Hanya bertindak mengikut naluri untuk terus hidup.
    
Ramzan tidak pasti apa yang merasuknya ketika itu. Dia segera mencapai tangan si gadis lalu membawanya lari dari koridor tersebut.
    
Si gadis yang masih terkejut dengan tindakannya sendiri mengikut sahaja Ramzan dari satu koridor ke koridor yang lain. Pemuda rambut coklat itu sudah menghafal setiap ceruk makmal tentera seksyen 19. Blueprint yang berjaya didapatkan hasil daripada menggodam sistem keselamatan negara ternyata sangat membantu.
    
Mereka berdua membelok ke koridor kanan. Seorang pegawai penyelidik yang baru keluar dari bilik pelupusan melontarkan amaran tatkala menyaksikan dua orang itu berlari melintasinya. “Penceroboh! Berhenti di sana!” Dia lantas menekan butang kawalan mudah alih, mengaktifkan speaker di makmal tentera.

“PENCEROBOH DIKESAN DI BAHAGIAN A4. PENCEROBOH DIKESAN DI BAHAGIAN A4.”

“Celaka!” Ramzan menyumpah. Keberadaannya di makmal itu sudah dihidu. Dia harus keluar dari makmal tentera ini dengan kadar yang segera. Sistem keselamatan akan kembali pulih dalam masa beberapa minit saja lagi.

Letupan kecil yang dibuatnya di fius utama Bahagian A12 lebih kurang 10 minit lalu menyebabkan hampir kesemua askar di dalam makmal tentera dikerah ke bahagian itu. Kerosakkan fius utama menghentikan bekalan elektrik sehingga menyebabkan bangunan itu gelap-gelita dan terpaksa bergantung dengan lampu kecemasan yang malap. Ia turut menghentikan pergerakan pintu automatik hingga menyebabkan ia terbuka sepanjang masa serta menggagalkan fungsi kamera litar tertutup. Generator hanya dapat diaktifkan selepas 15 minit. Ramzan telah menggodam panel kawalan generator makmal dan menukarkan tetapan sedia ada.

Biarpun begitu, ada sesuatu yang dia tidak faham. Apa yang menyebabkan letupan besar sehingga menyebabkan makmal itu bergegar dengan kuat beberapa minit yang lalu? Malah letupan itu kedengaran seperti berlaku tidak jauh dari Bahagian A6, tempat dia menemukan marionette di sebelahnya ini.

Dalam dia sibuk mencari jawapan, terdengar derapan tapak kaki dari koridor yang menganjur ke kanan di hadapan mereka. Ramzan mengacu pistol, bersedia untuk menembak. Sebaik sahaja kelibat askar yang pertama muncul di koridor, Ramzan melepaskan dua das tembakan ke kepala si askar untuk menjatuhkannya.

“Hoi, jangan tengok saja! Tolong aku kalau nak hidup!” Ramzan memberi arahan kepada marionette di sebelahnya.

“Baik!”

Lima das tembakan dilepaskan mereka berdua sebelum sempat askar-askar yang seterusnya menarik picu senapang mereka.

Ramzan dan marionette tersebut melintasi mayat-mayat tentera yang bergelimpangan lalu membelok ke kanan. Di hujung koridor, dua orang askar melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah mereka. Namun baju kalis peluru yang dipakai menyelamatkan nyawa pemuda itu daripada melayang. Dengan cekap, Ramzan dan si gadis marionette menembak tepat mengenai kepala musuh di hadapan.

Larian mereka berdua semakin pantas. Ramzan mengeluarkan sebuah alat kawalan daripada jaketnya. Punat alat kawalan itu ditekan. Pintu keluar makmal tentera seksyen 19 meletup serta-merta.

Ramzan membelok ke kiri. Pintu keluar automatik yang sememangnya sudah terbuka sebaik fius utama diletupkan, dilalui tanpa sebarang masalah. Satu lagi pintu tebal yang hanya dapat dibuka dari dalam sudah tinggal serpihan setelah diletupkan sebentar tadi, bersama dengan badan 3 orang askar yang berkawal di situ.
    
Mereka berdua akhirnya berjaya keluar dari makmal tentera. Ramzan menarik tangan si marionette, membawanya memanjat pagar besi tinggi yang memisahkan bangunan makmal tentera dengan kawasan hutan.
    
Beberapa orang askar yang berkawal di menara melepaskan tembakan ke arah mereka. Satu tembakan mengenai lengan kiri Ramzan tatkala dia melompat dari atas pagar ke arah hutan. Pemuda itu mengerang kesakitan namun tetap melangkah ke hadapan.
    
Gelap malam membanjiri suasana, membataskan penglihatan masing-masing. Kaki mereka pantas memijak akar-akar pokok yang menghampari lantai hutan. Ranting-ranting tajam di kiri dan kanan diredah kasar.
    
Mereka berlari dan terus berlari, jauh meninggalkan makmal tentera.
    
Tidak lama kemudian, beberapa letupan yang bisa memecah gegendang telinga terdengar di udara, meragut kesunyian malam.
    
Larian mereka terhenti. Makmal tentera itu dijilat api yang menjulang tinggi. Ramzan menelan liur. Mindanya dipagut keliru. Di bahagian mana letupan itu berlaku? Bagaimana makmal tentera itu bisa terbakar?
    
“Di mana kita nak pergi sekarang?” Gadis itu menyoal cemas, mematikan lamunan Ramzan.
    
“Kita berpisah di sini. Pergilah ke mana-mana yang kau nak pergi,” ujarnya. Belum sempat dia meneruskan larian, gadis itu telebih dahulu memaut lengan kanannya.
    
“Tolong jangan tinggalkan saya sendiri. Bawalah saya sekali,” rayu si gadis, mengharapkan simpati Ramzan.
    
“Aku tak nak ada apa-apa kaitan dengan marionette. Pergi!” Ramzan menghalau. Dia tidak boleh berada di hutan itu lama-lama. Api daripada makmal tentera yang terbakar itu bisa sahaja merebak ke hutan.
    
“Tidak! Jangan tinggalkan saya!” Makin erat pautan tangan si gadis.  
    
“Kalau macam tu kau pergilah cari marionette lain. Kau kan anjing Jeneral Lutfi?” Kasar Ramzan membentak.  
    
Si marionette terpempan. Sampai hati pemuda itu menggelarnya sebagai anjing. Hina sangatkah dirinya sehingga diherdik sedemikian rupa?
    
Tanpa disedari, air matanya menitik. Perlahan-lahan dia melepaskan lengan Ramzan. Ternyata lelaki itu tidak senang dengan kehadirannya. Barangkali juga lelaki itu membawanya keluar kerana terhutang nyawa kepadanya.
    
“Terima kasih…” ucap si gadis. Dengan hati yang sebak, dia melangkah menjauhi Ramzan.
    
Ramzan mendengus kasar. Bunyinya tidak masuk akal tapi entah mengapa dia rasa tidak sedap hati membiarkan gadis itu bersendirian. Kelakuan marionette itu tidak seperti marionette yang lain. Kewujudannya seperti suatu kesilapan di pihak tentera. Adakah dia marionette yang gagal dibentuk oleh Jeneral Lutfi?
    
Satu keluhan kencang dilepaskan dari dada. Mungkin Memoria bisa mencari kelemahan marionette jika dia membawa gadis itu kepada mereka. Itupun jika gadis itu benar-benar hasil yang gagal, bukannya seorang pelakon dalam sandiwara yang dicipta Jeneral Lutfi untuk mendapatkan maklumat musuh-musuhnya.
    
Tanpa berlengah, Ramzan mengejar si gadis yang kian menjauh. Lengan gadis itu dicengkam kuat.
    
“Ikut aku!” Ramzan mengarahkan.
    
Senyuman terukir di bibir si gadis tatkala melihat Ramzan di sisi. Dia mengangguk gembira.
    
Akhirnya, dia tidak lagi berseorangan.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku