Marionette Merah
Bab 4
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Ogos 2017
Mereka askar yang sempurna. Dilatih untuk membunuh sesiapa sahaja yang menentang pemerintahan diktator kejam yang bernama Jeneral Lutfi.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
101

Bacaan






Makmal Tentera Seksyen 19
    
Mata hijau tubuh belasan tahun itu tajam merenung lelaki berkot putih yang terduduk di atas lantai. Raut wajah lelaki 70-an itu memancar ketakutan yang luar biasa. Tubuhnya pula menggeletar melihat gadis berambut merah yang semakin merapati. Api yang kini menyambar komputer-komputer canggih di bilik kawalan tidak lagi menjadi ancaman. Dia hanya mahu melarikan diri daripada gadis ini.
    
“Di mana Jeneral Lutfi?” Si rambut merah menyoal sebaik berhenti di hadapan lelaki itu.
    
“A..aku tak tau. Aku tak tau di mana dia!” jawab lelaki tua tersebut. Matanya beralih kepada pedang panjang di tangan kanan si gadis. Bilah pedang yang berwarna hitam terlihat berkilau di dalam cahaya merah membara. Dia menelan liur.
    
“Sekali lagi aku tanya. Di mana Jeneral Lutfi?” Dingin nada si gadis. Matanya mencerlung memerhati si tua yang bakal menjadi mayat sebentar lagi.
    
“Tolonglah…aku..aku tak tau di mana dia. Aku…cuma penyelidik…di makmal ini.” Tergagap-gagap lelaki itu menjawab. Jantungnya berdetak pantas. Wajah tuanya pula sudah basah dengan peluh.
    
“Lutfi dan eksperimen bodohnya,” ujar si gadis seraya mengangkat pedangnya ke atas. Si lelaki tua jadi kecut perut.
    
Tanpa banyak bicara, tangan si gadis menghayun pedang ke hadapan, menceraikan tangan kanan lelaki tua itu daripada tubuhnya.
    
“Arghh!” Jerit si tua malang. Darah memancut membasahi lantai. Si gadis hanya memerhatikannya tanpa sebarang reaksi. Tiada sekelumit pun rasa belas kasihan di jiwanya untuk lelaki yang menjadikan mereka semua bahan eksperimen selama bertahun-tahun.
    
“Tolong!” Lelaki itu berteriak, mengharapkan pertolongan askar-askar di luar. Namun sayang sekali mereka sudah terlebih dahulu menemui pengakhiran masing-masing di tangan si gadis berambut merah.
    
“Tolong!” Lelaki itu memekik lagi. Darah segar terus-terusan membuak keluar daripada luka yang terhasil.
    
“Ah…banyaknya darah…” Si gadis tunduk merapati tubuh lelaki yang kini menggeliat kesakitan. Raut wajah lelaki itu tidak lagi menggambarkan statusnya sebagai salah seorang ketua penyelidik makmal tentera.
    
“Muka yang menjengkelkan…” Gadis itu menambah.
    
“Tolong…jangan bunuh aku…” rayu si tua. Suaranya putus-putus dalam kesakitan. “Kau sepatutnya…di pihak kami…A-Team…” Dengan payahnya lelaki itu memberitahu. Pandangannya berpinar-pinar akibat kehilangan terlalu banyak darah.
    
“AE1. Itu nombor aku.”
    
“A…E?” Terbeliak mata lelaki itu, tidak percaya dengan apa yang didengarinya. “Mustahil…”
    
“Ya. Tak ada gunanya kau percaya pun,” ujar si gadis seraya menikam dada mangsanya. Bilah pedang menusuk terus ke jantung si tua, memberikannya kematian yang pantas.
    
Selepas pasti lelaki itu tidak lagi bernyawa, si gadis mencabut pedangnya.
    
“AE1…” Si gadis menggumam perlahan. Segaris senyuman meniti di bibir.
    
“Pelangi, misi ketiga, selesai.”

*****
    
Jam digital pada dashboard kereta menunjukkan angka 03:18.
    
Empat puluh minit sudah berlalu sejak mereka berdua meninggalkan makmal tentera dan menaiki kenderaan milik pemuda tersebut. Pikap dua pintu model lama buatan Malaysia itu diparkir kira-kira satu kilometer dari makmal tentera Seksyen 19.     Ia kini meluncur laju di atas jalan raya yang sepi.
    
Gadis itu melirik pemandu yang duduk di sebelahnya. Sejak masuk ke dalam kereta, pemuda itu langsung tidak berkata apa-apa. Mata fokus sepenuhnya ke arah jalan. Ke mana hala tuju mereka, gadis itu sendiri tidak tahu.    
    
Si gadis mengeluh perlahan. Keluhan kecilnya menarik perhatian pemuda di sebelah.
    
“Aku Ramzan.” Pemuda itu memulakan bicara, memecahkan sunyi yang sejak tadi mencengkam suasana.
    
“Hah?”     
    
“Ramzan Almazov. Ayah aku imigran dari Rusia. Mak pula orang Malaysia.”
    
Si gadis tersenyum manis. “Nama awak sedap bunyinya.”
    
“Nama kau pula?”
    
“Saya tak tahu siapa saya. Nama pun saya tak ingat.” Gadis itu menjawab. Nadanya ceria. Dia senang hati bila Ramzan berbual dengannya.
    
“Kau Overrank A-Team. Askar elit Lutfi. Tapi di kalangan penduduk Malaysia, askar Overrank A-Team dipanggil marionette.” Ramzan memberitahu. “Kira macam, panggilan tak rasmi untuk kumpulan askar yang dibenci ramai.”
    
Ayat Ramzan mengundang persoalan di minda si gadis. “Askar elit? Macam mana awak tahu saya seorang askar elit?”
    
“Warna rambut. Orang Asia tak berambut merah.”
    
“Itu sahaja?”
    
“Lingkungan usia dalam 14 ke 20 tahun. Setakat ni kami tak pernah jumpa marionette dewasa. Di mana Lutfi dapatkan mereka, tak ada orang yang tahu.”
    
Gadis itu terdiam seketika, memikirkan sesuatu. Kemudian, dia menyoal.     “Apa yang marionette buat sampai dibenci ramai? Dan siapa Lutfi?”
    
“Lutfi ialah perdana menteri Malaysia. Dia seorang diktator yang korup dan kejam. Lutfi ada askar elit untuk jalankan tugasan yang askar biasa tak buat. Contohnya menghapuskan musuh politik dan orang-orang tertentu,” terang Ramzan.
    
“Awak bukan orang politik, kan? Kenapa awak benci Lutfi?”
    
“Tiga tahun yang lalu, marionette bawa lari adik aku. Waktu tu aku baru pulang dari tempat kerja. Rumah aku berselerak. Kemudian aku nampak adik aku dibawa pergi oleh dua orang marionette melalui pintu belakang. Aku cuba kejar mereka, tapi ada seorang lagi marionette pukul kepala aku sampai pengsan.”
    
Gadis rambut merah itu tertunduk. Rupanya itulah punca pemuda itu mengacukan pistol kepadanya ketika di makmal tentera. Dia ada dendam yang perlu dilunaskan kepada marionette.
    
“Sampai hari ini, aku tak tahu kenapa adik aku dibawa pergi.”
    
“Sebab itu ke awak menceroboh makmal tadi? Untuk cari jawapan?”
    
“Ya.”
    
“Awak dapat tak --- jawapannya?”
    
“Tak.” Ramzan menjawab kecewa. Data yang dicurinya di makmal tidak mengandungi maklumat tentang adiknya.
    
“Apa awak nak buat lepas ni?”
    
“Teruskan mencari.”
    
“Saya ikut awak, boleh?” Gadis itu menatap Ramzan, penuh makna. “Walaupun saya marionette, saya takkan cederakan sesiapa. Saya juga takkan ikut Lutfi. Jadi, tolong jangan tinggalkan saya. Saya tak nak tinggal bersendirian. Saya akan bantu awak cari adik awak.” Bersungguh-sungguh gadis itu mengatakan.    
    
Ramzan mengeluh lagi. Dalam tempoh sejam setengah, sudah bermacam perkara pelik dia lihat. Dan sekarang, dia mendengar seorang marionette menyatakan keinginan untuk menolong mencari Safiya. Sungguh tidak masuk akal!
    
“Macam yang awak cakap, saya marionette. Saya askar elit. Biarkan saya jadi pengawal peribadi awak, Ramzan. Saya akan lindungi awak!”
    
Terangkat kening Ramzan mendengar kata-kata si gadis.
    
“Aku tak perlukan pengawal peribadi.”
    
“Tak! Awak perlukannya. Contoh macam tadi waktu awak menceroboh ke makmal tentera tu. Awak perlukan orang untuk jaga belakang awak!”
    
Ramzan menoleh ke arah gadis itu sebentar sebelum memandang hadapan kembali. Destinasinya ialah markas perjumpaan Memoria. Gadis itu bakal diserahkan kepada pemimpin Memoria untuk disoal siasat. Segala rahsia mengenai Lutfi dan marionette akan bisa dibongkar dengan kehadiran gadis tersebut. Bukan Lutfi sahaja yang memiliki pasukan penyelidik.
    
Dan selepas itu, gadis itu akan…
    
Ramzan menghentikan kenderaannya.
    
“Kenapa?” soal si gadis, sedikit terkejut.
    
Dibunuh? Dihapuskan?
    
Tidak mungkin Memoria mahu menyimpan gadis itu lama-lama di pihak mereka. Terlalu berisiko.
    
“Ramzan? Awak okey?” Nada risau si gadis singgah ke telinga Ramzan. Dia segera menoleh ke arah gadis tersebut. Ada sesuatu pada gadis itu yang mengingatkannya pada Safiya.    

Wajahnya? Bukan.
    
Suaranya? Bukan.
    
Kelakuannya?
    
Ya.
    
Safiya juga seperti gadis ini. Tidak pernah mengalah untuk mendapatkan apa yang dia mahukan. Dan…
    
“Safiya tak nak tinggal sendiri. Safiya nak ikut abang pergi kerja!”
    
Ah…rupanya yang itu…Tak hairanlah aku kalah dengan kata-kata dia tadi.
    
“Fatimah.”
    
“Eh?” Gadis itu menyoal, tidak faham.
    
“Mulai sekarang, nama kau Fatimah.”
    
Fatimah. Itu ialah nama ibu Ramzan yang meninggal ketika melahirkan Safiya. Ramzan tidak ada banyak memori bersama ibunya. Namun lembut suara dan hangat pelukan ibu masih diingatinya sehingga kini.
    
Si gadis tersenyum lebar. “Awak Ramzan Almazov. Jadi saya kiranya Fatimah Almazova, kan?”
    
Ramzan memasukkan gear lalu menekan pedal minyak.
    
“Kan Ramzan? Kan?” soal Fatimah bagaikan anak kecil. Dia kelihatan teruja.
    
“Tak. Kau Fatimah Abdullah.”
    
    



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Prolog | Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku