Misteri Kampung Suara
Misteri Kampung Suara
Genre: Seram/Misteri
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 14 Ogos 2017
Misteri sebuah Madrasah Lama
Penilaian Purata:
347

Bacaan






 

              1980an. Dikisahkan oleh orang dulu-dulu. 

 

               Rahman memandu Mazda 323 nya dengan cermat.  Lebih perlahan dari suara sahabat baiknya Marzuki yang dikurniakan dengan suara yang lantang dan bermulut lancang.  Dia lebih gemar mendengar dan mengangguk sahaja.  Mencelah bila perlu.

               Perjalanan telah jauh direntasi.  Dari Kuala Lumpur hingga ke Raub mereka masih melalui jalan sempit yang berliku dan berlereng.  Kawasan jalan yang berbukit dan mempunyai selekoh tajam ditambah pula jalan yang sedikit rosak dan berlubang menyukarkan pemanduan. Kadang-kadang mereka bertembung dan berselisih dengan lori yang sarat dengan muatan kayu balak.  Jalan Raub -Lipis - Gua Musang memang mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. 

               Mereka baharu sahaja pulang dari menziarahi rakan karib yang  telah pergi lebih dahulu menghadap Ilahi pada pagi tadi akibat sakit jantung.  Malam itu mereka bertolak balik ke rumah setelah urusan pengebumian dan kenduri tahlil selesai.

               Rahman menurunkan Marzuki di kampungnya yang terletak di Padang Tengku. Rahman perlu meneruskan perjalanan ke rumahnya yang terletak di Kuala Krai.  Dia menolak pelawaan Marzuki yang mengajaknya tidur di rumahnya kerana hari sudah larut malam dan langit kelihatan amat gelap, tanda-tanda hujan akan turun.  Rahman memberikan alasan bahawa dia ada kerja mustahak yang akan dilakukan keesokan harinya. Sebenarnya dia tidak biasa tidur di rumah orang.

               Perjalanan diteruskan.  Jalan yang semakin sunyi dan gelap membuatkan Rahman beberapa kali menguap.  Kelopak matanya terasa semakin berat.  Punat volume radio kereta dipulas sedikit kuat.  Lagu-lagu dendangan Ahmad Jais dan Syarifah Aini menemani perjalanannya.  Untuk menghilangkan mengantuk, Dia mengeluarkan sebatang rokok dari poket bajunya.  Hujung rokok dicucuh api. Setelah beberapa kali menyedut keenakan nikotin, matanya terasa segar semula.  Dia cuba mengingati kenangan-kenangan lalu ketika dia bertugas di dalam pasukan tentera bersama-sama Marzuki dan arwah Jamil.

               Perjalanan masih jauh.  Mungkin jam empat pagi baru dia tiba di rumahnya.  Hujan mulai turun.  Pada awalnya renyai dan akhirnya semakin lebat.  Bimbang air hujan yang kuat menerpa masuk ke dalam kereta, dia terpaksa menaikkan sedikit tingkap kereta.  Air cond keretanya rosak. Keadaan itu menambahkan resah di dada Rahman.

               Hujan lebat menjejaskan penglihatan.  Viper yang bergerak laju tidak mampu membantu mencerahkan pandangan. Rahman  mengelap cermin kereta yang diruapi kabus dengan tuala kecil. Guruh yang berdentum dan kilat yang memancar menambahkan lagi resah dihatinya. 

               Kereta dipandu perlahan.  Dia menyalakan lampu signal kecemasan agar kenderaan lain dapat mengawasi keretanya walau dia tahu sudah lebih setengah jam dia tidak berselisih dengan sebarang kenderaan!.

               Jarum jam di dashboard menunjukkan hampir 1.00 pagi.  Matanya meliar, melihat keadaan sekeliling di kiri dan kanannya yang tidak kelihatan apa-apa.  Hanya diselubungi suasana gelap dan objek bayang-bayang pokok hutan tebal yang sepi dan menggerunkan. 

               Dia tidak biasa melalui jalan itu.  Itu adalah perjalanan kali pertamanya  ke Kuala Lumpur sejak dia memiliki kereta.   Sebelum ini dia hanya menaiki bas ekspress untuk ke Ibu kota.  Dia berdoa di dalam hati moga dihindar dari segala ancaman, bencana dan mala petaka.  Janganlah ada makhluk lain seperti Pak Belang, Gajah atau saki baki komunis menerkam atau menghalang laluannya.

               Keletihan dan kepayahan memandu di dalam hujan membuatkan dia ingin berhenti, menghilangkan penat lelah dan mengantuk.  Jika ada rumah, pondok atau apa sahaja yang membolehkannya menumpang teduh, dia akan singgah.  Menempuhi hujan lebat dan sejuk begitu dia terasa sangat ingin membuang air kecil.

               Di satu simpang jalan dia terlihat sebuah papan tanda uzur bertulisan arab.  Segera dia membelokkan stereng keretanya memasuki  lorong kecil kira-kira sejauh 200 meter.  Akibat hujan yang masih belum reda, dia tidak nampak dengan jelas apakah ayat papan tanda tersebut.  Dia berhasrat mahu melepaskan penat lelah dan menunggu hujan berhenti.

               Rahman memberhentikan keretanya di hadapan sebuah bangunan yang agak usang. Bukan surau , bukan juga sebuah masjid kerana tiada kubah.  Kelihatannya seperti sebuah madrasah lama dua tingkat.  Berdinding papan dan bertingkap lebar yang bertutup rapat.  Dari sinar lampu anjung yang menyala pudar dia dapat melihat dua corong di atas bumbung seperti trompet besar.  Dia tahu itu adalah pembesar suara.  Tentunya ia sebuah tempat ibadat orang islam atau madrasah.

               Dilihatnya lampu di dalam madrasah masih terpasang, malap tidak begitu cerah.  Mungkin kawasan kampung itu masih belum mendapat bekalan elektrik sepenuhnya atau mungkin juga diakibatkan oleh cuaca buruk, menyebabkan pengaliran bekalan elektrik kurang baik. 

               Hati Rahman berdetik, sudah jam 1.00 pagi, mengapa masih ada jemaah di dalam madrasah?.  Ah, mungkin ada lagi jemaah atau pentadbir  madrasah yang masih beristiqomah menjalani ibadat-ibadat sunat.  Itu adalah lebih baik baginya.  Ada juga orang yang menemaninya.

               Rahman mengeluarkan sehelai tuala dari dalam beg dan menuju ke bilik air. Dikuaknya daun pintu bilik air, kelihatan sawang bergayutan di sana sini seperti sangat jarang dibersihkan. 

              Dia melepaskan hajatnya. Kemudian dia terfikir mahu mandi pula bagi menyegarkan tubuh dan menghilangkan mengantuk.  Dilihatnya sekeliling bilik air, ah!  tiada disediakan kain basahan, macam mana mahu mandi?.  Dia meneruskan juga niatnya  dengan hanya menggunakan seluar dalam sahaja.  Air di dalam tempayan besar terasa dingin mencengkam tubuh.

               Sedang dia leka menjirus air ke tubuh, pintu bilik air di ketuk orang. Rahman terperanjat.  Siapa pula yang mengetuk pintu bilik air.  Tidak bolehkah menunggunya hingga dia habis mandi dulu.

               Rahman menguak daun pintu sedikit.  Hairan, tiada siapa yang berada di hadapan pintu.  Dia menutupnya semula.  Selesai mandi dia menanggalkan seluar dalamnya yang basah.  Diperah dan dicampakkan di satu sudut.  Kemudian dia menelek sebuah cermin kecil yang agak unik yang belum pernah dilihatnya sebelum ini.  Cermin muka zaman dulu.  Wajahnya dicermin kelihatan samar kerana daki dan tahi lalat yang bertompok di permukaan cermin.  Tiba-tiba dia tersentak.  Ada sesuatu yang menghairankannya.  Segera dia meletakkan kembali cermin itu ditempat asal.  Dia teringat pesan orang tua-tua, jangan menelek wajah ketika waktu sudah larut malam.

               Hujan masih belum mahu berhenti.  Tapi tidaklah selebat tadi.  Rahman mengambil wuduk.  Tidaklah salah untuknya turut sama melakukan ibadat di situ.  Niatnya mahu melakukan solat jamak ta’khir  sambil mengenali ‘jemaah hebat’ yang masih berada di dalam madrasah.

               Ketika dia melangkah menaiki anak tangga, satu objek seperti seekor burung yang agak besar terbang mendahului dan melepasi dirinya.  Objek itu seperti menghentam dinding madrasah lalu jatuh berserakan seperti butiran kacang hijau.  Rahman terperanjat, menghentikan langkah dan matanya memeriksa perkara yang berlaku, tidak jauh darinya.  Namun ternyata tidak ada sebarang benda atau objek yang berada di atas lantai.

               Dia tidak menghiraukan perkara itu.  Sebagai seorang bekas tentera dia tidak gerun berhadapan dengan situasi seperti itu.  Dia lebih takut berhadapan dengan keadaan realiti yang ada di hadapan matanya. 

               Niatnya baik.  Dia memberanikan diri melangkah masuk.  Suasana di dalam madrasah dirasakan begitu unik dan asing.  Semuanya berbentuk lama dan usang.  Ada mimbar, rekhal kayu, gulungan tikar mengkuang malah ukiran binaan bangunan juga tidak sama dengan apa yang pernah dilihatnya.  Di hadapannya hanya terbentang kain putih yang panjang yang dijadikan sebagai sejadah disetiap barisan saf.

               Dua orang lelaki sedang tekun berwirid.  Dengung wiridnya tidak jelas kedengaran.  Tunduk bongkok menghadap kearah kiblat.  Keadaan tubuh mereka kurus tinggi hampir sama sahaja.  Mereka berbaju melayu warna putih lusuh bercorak petak besar dan memakai kain songket berbunga halus.  Kopiah tinggi bertenggek di atas kepala masing-masing.  Seorang duduk di hujung sebelah kanannya dan seorang lagi duduk bersila di hadapannya.  Dia mengandaikan tentulah mereka itu bilal dan iman atau tenaga pengajar di situ yang sedang beramal.  Mungkin juga mereka sedang menunggu waktu, mahu melakukan solat sunat Tahajud dan Qiamullail.

               Selesai solat dan berdoa, Rahman menghampiri jemaah di hadapannya.  Dia menghulurkan tangan mahu bersalaman. Namun alangkah terperanjatnya dia bila dilihat manusia di hadapannya itu lain dari manusia biasa.  Hampir sahaja dia menjerit.  Lelaki itu berwajah putih pucat namun perkara yang paling tidak dapat diterima akalnya ialah lelaki itu tidak mempunyai mulut.  Daging bibir atas dan bawah bercantum rata!.  Dia merenung tajam ke arah Rahman menyebabkan Rahman menarik balik tangan yang dihulur.

               Rahman bergerak menghampiri seorang lagi lelaki di hujung sebelah kanannya. Cuba mahu bertanya apakah yang terjadi terhadap lelaki yang tida mempunyai mulut itu.  Belum sempat dia menghampiri, perlahan lelaki di hadapannya itu menoleh ke arahnya.  Sekali lagi Rahman terkejut.  Bulu tengkuknya mengeremang.  Lututnya longgar.  Dia hampir pitam.  Ya Allah!, Rahman beristighfar sambil mengurut dadanya.  Manusia itu juga sama.  Dia tidak mempunyai mulut!.

               Lekas-lekas dia beredar, berlari mahu menuruni anak tangga.  Ya Allah! ada seorang lagi yang sedang duduk di anak tangga seperti sedang menantinya. Hati Rahman kecut.  Dia tidak mahu menegur lagi.  Sudah pasti makhluk itu juga berwajah sama!.

               Dari beranda dia terus terjun ke bawah.  Meredah hujan, berlari mendapatkan keretanya.  Dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi, cepat-cepat dia menghidupkan enjin dan berlalu dari situ.  Rahman mengucap panjang.  Makhluk apakah itu?.  Tidak pernah dilihat dan tidak pernah diceritakan orang.

               Di jalan besar baru dia perasan, dia tidak sempat menyarung kasutnya tadi. Ahh... biarlah.  Dia juga perasan wajah yang dilihat di dalam cermin ketika di dalam bilik air bukanlah wajahnya kerana bahagian mulut tidak kelihatan!. 

               Tidak lama kemudian keretanya terasa berat pula.  Dia merasakan ada sesuatu yang tak kena.  Celaka! dia menyumpah di dalam hati.  Dia memberanikan diri memandang cermin pandang belakang. Serta-merta badannya menggigil.  Jantungnya berdegup kencang bagai sukar bernafas.  Wajahnya pucat lesi.  Ya Allah! dua makhluk yang tidak bermulut itu sudah berada di dalam keretanya, mengekorinya.  Dan kemudian hampir sahaja dia melompat bila dilihatnya ada seorang lagi di sisi sebelahnya.  Kali ini lebih menakutkan kerana ketiga-tiga mereka tidak mempunyai wajah langsung.  Putih licin seperti sebutir telur yang dikupas.

               Allahhuakbar! Allahhuakbar! Allahhuakbar!, Rahman menjerit sekuat hati, tidak berhenti-henti sambil kaki kanannya kuat menekan pedal minyak.  Dia sudah seperti orang kerasukan.  Setelah agak jauh meninggalkan kawasan itu dan ketiga-tiga makhluk itu hilang, ghaib entah kemana, hatinya terasa lega. Dia tidak mahu singgah di mana-mana tempat lagi.  Peristiwa awal pagi itu menjadi igauan ngeri baginya.  

               Rahman beristighfar.  Rumah atau tempat apakah yang sudah disinggahi itu?.

               Beberapa minggu selepas kejadian, Rahman cuba mencungkil kisah madrasah usang yang terletak di sempadan Pahang-Kelantan itu.  Menurut cerita seorang lelaki tua yang berasal dari Merapoh menyatakan bahawa memang ada cerita yang didengari dari orang dulu-dulu tentang makhluk yang tidak diketahui yang tinggal di kawasan itu. Menurutnya tiada sebuah kampung pun yang wujud di kawasan itu.  Semuanya adalah hutan belukar. Kadang kala di waktu senja akan kedengaran suara seperti orang yang sedang beratib, seperti sedang merayu memohon sesuatu.  Amalan mereka sama atau tidak dengan manusia, juga tidak diketahui.  Orang dulu-dulu menggelarnya Kampung Suara dan kisah makhluk tanpa mulut dan tanpa wajah itu  telah lama lenyap di telan zaman.


 

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang segala rahsia apa yang ada di langit dan di bumi.  Sesungguhnya Dia mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada”

 

Surah Faatir

Ayat 38     



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku