Bukan Cinderella
Bab 16
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 Ogos 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
298

Bacaan






    Ketika aku baharu keluar dari rumah hendak pergi bekerja tiba-tiba Kaizil sudahpun berdiri sambil bersandar pada sebuah trak merah hati dengan senyuman ringkasnya. 

    “Hei...” tegurku berpura-pura ramah termasuk berpura-pura tidak tahu kerana tidak membalas pesanannya di telefon pagi ini. “Kenapa?”

    “Saya nak bawa awak pergi sarapan,” katanya.

    “Tapi, saya nak pergi kerja,” jawabku masih ingin mengelak. Walaupun sudah pernah bercerita dengan lebih rapat aku dapat merasakan kejanggalan hati setiap kali berhadapan dengan Kaizil. Entah mengapa aku selalu merasakan itu pada perasaanku.

    “Saya dah minta cuti untuk awak, Lolli Chang..” dia tersenyum sambil mengangkat bahu.

    Aku mengangkat kening. Tidak faham.

    “Saya pinjam awak hari ni dari kafe tu..”

    “Tak... kenapa awak buat macam tu, saya..” sudahlah Halyn, tak guna cerita masalah pengaturan kewangan dengan Kaizil nanti dia ingat aku minta simpati pula.

    Aku masuk semula ke dalam rumah dan menukar pakaian seragamku. Lantas memakai baju panjang berwarna biru muda yang baharu ku beli semasa di Oxford Street, dengan jeans biru dan sweater berwarna putih. Tak lupa skaf kegemaranku yang menghias bahagian leherku untuk menghalang kesejukan. Kemudian aku keluar, berjalan ke arah Kaizil yang tidak sabar dan terus menarik lenganku lalu membuka pintu truck Chevrolet merah gelap berkilat. Dalam keresahan, tak suka dan perasaan yang bercampur baur aku ikut sahaja.

    Selepas dua pertemuan nampaknya Kaizil semakin memanjang lebarkan hubungan kami dan aku tidak pasti kerana apa.

    “Kita pergi sarapan dulu,” Kaizil menghidupkan enjin kereta.

    Dia membawa aku bersarapan di sebuah restoran Arab yang terkenal dengan kebabnya. Sambil menunggu kami berbual.

    “Awak tak gila ke?” tanyaku sambil memerhatikan orang sekeliling yang tidak mengenaliku. Kaizil hari itu memakai kacamata hitam, bejaket coklat melapisi t-shirt putih. Aku fikir cerita kami berdua sudah dilupakan oleh orang luar.

    “Kenapa awak cakap begitu?” soalnya.

    Aku membetulkan skaf di leherku.

    “Saya tak faham kenapa awak tiba-tiba begini pada saya,” lebih baik aku luahkan perasaan tidak mengertiku yang bermain-main di fikiran tiga hari ini.

    “Ok, saya cakap sekarang.”

    Aku memfokuskan pandanganku kepada Kaizil. Kami bertentang mata.

    “Wah.... Mata awak, err.. cantik.”

    “Jadi? Apa?” aku tidak sabar mahu tahu tak peduli dengan pujiannya.

    Kaizil menghembus nafas sebelum menjawab. “Saya mahu menebus kesalahan saya pada awak.”

    “Kaizil, awak tak perlu buat begini, saya dah maafkan awak.”

    “Penting bagi saya Halyn, dengan mencipta memori yang lebih baik dengan awak saya pasti kita akan cepat melupakan memori yang buruk,” jelasnya.

    Hidangan yang tiba di meja menghentikan perbicaraan kami seketika. Sangat menyelerakan. Kemudian Kaizil menyambung.

    “Jika awak masih bekerja dengan Bettina Bennington mungkin saya akan tahu keadaan awak tidak sesukar mana, tetapi melihat awak susah payah bekerja di hotel itu, di kafe membuat saya semakin serba-salah...” jelasnya lebih lanjut.

    Rupa-rupanya dia memang bersimpati pada aku. Mungkin selepas aku beritahu dia yang aku tinggal sendirian tanpa ibu, ayah dan adik-beradik dia lebih mengasihaniku.

    “Terima kasih, tapi saya ok, saya baik-baik je biarpun bekerja di kafe tu, saya gembira.” 

    “Beri saya peluang untuk gembirakan awak hari ini, saya nak bawa awak ke suatu tempat,” kata Kaizil dengan pandangan mata yang bercahaya.

    “Ke mana? Tempatnya okay? Saya tak pergi ke tempat-tempat seperti bar, minta maaf,” aku mengatakannya awal-awal. Aku bukan Amanda Hugh yang suka bersosial.

    “Awak ada teman lelaki?” tanya Kaizil

    “Tak ada.”

    “Baguslah.”

    Dia menyebut baguslah seolah-olah dia bermaksud tidak orang yang cemburu nanti.

    “Pernah ada teman lelaki?”

    “Tak.”

    “Wah.... itu sangat mengejutkan saya.”

    Aku tersenyum senget sebelum berhasil menenangkan diriku dan berkata yang lembut sahaja nadanya pada Kaizil. “Macam mana dengan teman wanita awak? Dia tahu awak keluar dengan saya? Awak tak rasa bersalah?” tiga soalan sekaligus cukup untuk Kaizil seperti tercekik tulang kambing. Dia mengeras dan tak tentu pasal matanya tidak mahu memandangku lagi.

    Seminit berlalu, dia akhirnya menggeleng lemah. “Kami sudah putus..” perlahan sahaja dia menyebut ‘sudah putus’

    “Begitu cepat?” tanyaku kejam.

    Kaizil hanya menyeringai padaku tidak mahu menjawab. Aku tahu, lelaki popular memang begitu teman wanitanya bertukar ganti.

    "Selepas ni, saya mungkin akan terbaca gosip terbaru Kaizil dengan model dari Sepanyol, hahaha.." aku ketawa di balik jelingan tajam Kaizil.

    "Saya bukannya lelaki mata keranjang," nafinya lalu meneguk kopi.

    "Betul ke?" aku mengusik lagi.

    "Tak percaya, tengok saja nanti.."

    Selepas makan kami menyambung perjalanan di sekitar London. Mendung dan agak dingin. Pemandangannya indah dan menakjubkan.

    “Awak tak main bola?” aku bertanya ketika kami menikmati burger dari warung tepi jalan.

    “Tak, minggu depan,” jawabnya.

    “Awak tahu saya seorang muslim?” tanyaku. Permulaan hubungan kami banyak soalan yang saling kami timbulkan.

    “Ya, saya baca di laman web Bettina Bennington.. Saya pun muslim.”

    Aku terkejut pantas menoleh pada Kaizil yang makan dengan tenang. 

    “Betul?”

    “Betul lah..” dia ketawa. “Kenapa pula nak main-main,” tambahnya.

    Aku ternganga tetapi kembali tenang. Sekurang-kurangnya kami berdua tidak ada masalah dengan makanan halal. 

    Perjalanan kami bersambung selepas makan tengahari. Kereta yang dipandu Kaizil melintasi kawasan Buckingham Palace. Walaupun kami banyak bercerita dan bersoal jawab tetapi kejanggalan tetap wujud bila berada dalam kereta. Kaizil lebih banyak berdiam ketika memandu. Aku juga turut diam. Aku memerhatikan dalaman kereta mewah itu yang benar-benar selesa. Untungnya jadi orang kaya. Bilalah aku kaya, lantas membawa ingatanku pada Julia yang mahu melantik aku sebagai pengurus besar nanti. Aku tersenyum gelihati.

    “Apa yang lucu?” tiba-tiba Kaizil bertanya. Aku tak tahu macam mana dia perasan, dari tadi matanya cuma melihat jalan raya.

    “Tak ada apa-apa.”

    Beberapa minit perjalanan kemudian kereta yang Kaizil pandu memasuki kawasan yang sangat asing bagiku. Aku mengerling Kaizil yang sedang mencari tempat parkir. 

    “Kita di mana ni?” aku bertanya ketika dia sudah mematikan enjin kereta.

    “Thorpe Park.”

    “Thorpe Park?” aku seperti pernah mendengarnya. Aku membuka pintu kereta dan turun. Tak semena-mena aku melihat poster besar dengan tulisan berdarah Fright Night “Thorpe Parkk?” aku hampir menjerit. Bukan teruja tetapi takut. Bukankah ini taman tema yang diceritakan oleh Julia sebagai taman tema yang menyeramkan. Bukankah malam ini, malam Halloween!

    Laju sahaja aku membuka semula pintu kereta dan melompat masuk di dalamnya.

    “Kenapa?” Kaizil membuka pintu kereta, dia berdiri di sebelahku. 

    “Kenapa bawa saya ke sini?” tanyaku merintih.

    “Untuk lepaskan tekanan.”

    “Tak mahu,” aku enggan turun.

    “Saya dah tempah tiket. Halyn...”

    Aku menggelengkan kepala. Sedangkan tengok cerita hantu aku takut, ini pula nak masuk ke tempat ni. Grrr...

    “Ini taman tema untuk keluargalah, Thorpe Park Rides, Fright Night bermula malam. Bukannya kita nak sambut Halloween, tapi tentu seronok tengok orang England sambut Halloween di sini,” kata Kaizil

    “Awak sengaja bawa saya ke sini!” aku cuba menuduhnya mahu mengambil kesempatan pada aku. Tetapi bila difikirkan semula dia mungkin tidak berniat begitu.  Kaizil mungkin mahu membuatkan aku gembira.

    “Fikir positif Halyn, tempat ni tempat untuk orang-orang yang mahu membuang rasa takut. Jangan fikir yang pelik-pelik.”

    Kaizil menyuruh aku turun dari kereta. Dengan berat hati aku cuba beranikan diri, betul juga katanya. Aku harus berani.. Siapa tahu lepas ni mungkin aku boleh tengok cerita hantu. Grrr... sedangkan lepas menonton filem Conjuring aku tidak dapat tidur dengan lena selama dua minggu inikan pula melihatnya benar-benar di depan mata.

    “Inilah masanya...”

    “Masa apa?” Aku tidak dapat menahan diriku dari mendengar sahaja jadi aku mencelah.

    “Awak boleh pukul saya. Pukul saya kalau awak takut, saya takkan melawan. Inilah masanya awak balas dendam,” ujarnya

    Aku ketawa. Cadangan yang baik. 

    Sejurus berada di dalam taman tema itu perasaanku mula seronok, ramai juga pengunjung. Aku dapat melihat Rollercoaster yang tinggi, pengunjung berjalan kaki, bersimpang-siur ke sana ke mari  untuk ke setiap tempat permainan.

    “Hah!” aku tercungap melihat permainan bernama Samurai. Ia berpusing-pusing 360 darjah dalam ketinggian berpuluh-puluh meter. Suara-suara orang menjerit dari atas permainan itu membuatkan Kaizil tergelak lucu sedangkan darahku berderau seram.

    “Kita naik Detonator,” Kaizil membawa ke sebelah sana dengan kepalaku masih tertoleh melihat Samurai tadi.

    Kami berdua ikut beratur, telingaku menangkap suara-suara orang lain yang menyebut ‘woww!’ ‘ooohhh’. Permainan itu biasa ku lihat di kaca tv. Permainan menduga seberapa berani anda melawan rasa fobia dengan ketinggian. Sebuah tiang yang tingginya mungkin lebih kurang 30 meter atau lebih atau... aku pun tak pasti, yang pastinya aku rasa berdebar dan masih takut. Aku dapat mendengar orang menjerit bila ‘benda’ tu jatuh dari ketinggian dengan kelajuan yang dahsyat. 

    “Ergh...” aku merintih di belakang Kaizil ketika tiba giliran kami.

    Kami duduk bersebelahan dan mendengar arahan memasang tali pinggang keselamatan. Aku sedang membayangkan tubuhku terpelanting jauh atau terhempas. Aduh! Kemudian benda itu bergerak naik ke atas. Aku menutup mata sebelum tersentak bila seseorang menyentuh tanganku.

    Aku berpaling ke kiri. “Halyn boleh!” kata Kaizil kuat.

    Belum sempat aku menjawab tiba-tiba ia jatuh dengan pantas, aku belum bersedia dan hanya menjerit kuat. Semangatku terbang melayang, terasa mukaku pucat tidak berdarah. Aku memegang tempat pemegangnya dengan kuat. Bagai histeria aku membayangkan aku terjatuh dari bangunan tinggi dan terhempas di bawah. 

    Kemudiannya semuanya kembali normal, aku sudah berada di bawah dengan pandangan berpinar.

    “Memang hebat...wah!!” Kaizil berpuas hati. Dia menolong aku membuka pemegang tempat duduk lalu bertanya. “Awak tak apa-apa?”

    Aku hanya mampu menggeleng.

    “Lepas ni kita main Nemesis Inferno.”

    “Hah, apa benda pula tu, habislah aku...” aku merintih sayu. 

    Kaizil hanya ketawa sambil menepuk bahuku.

    Kami berjalan beriringan menuju ke tempat yang disebutkannya. Sesekali dia berhenti bila ada pengunjung yang menyedari kehadiran Kaizil Harlan. Mereka minta autograf dan bergambar dengannya. Aku cepat-cepat menjauhkan diri dan membiarkan dia melayan peminatnnya, mengelak dari situasi begitu merupakan keadaan terbaik untuk Kaizil. Dengan gosip yang pernah menimpa kami dan dilihat pula berdua di dalam taman tema itu tentu meningkatkan semangat paparazi untuk memburukkan namanya. Hampir sepuluh minit juga dia sibuk melayan kehendak peminatnya sebelum dia kembali menghampiri aku yang berseorangan di tepi tiang. 

    "Maaf.." ucapnya baik.

    Aku tersenyum saja.

    "Mari kita cari tempat tu..'"

    Agak lama juga kami mencari kawasan permainan tersebut, ia di kelilingi tumbuhan dan pokok. Berada di dalamnya seolah-olah anda sedang menunggang dalam hutan. Seperti tadi, di sini pun mesti beratur mengikut giliran.

    “Astaga,” aku mengucap melihat landasannya yang berbelit-belit. Kepalaku pening padahal aku belum lagi naik. 

    Mulutku hanya ternganga melihat sekeliling. Suara-suara teriakan kedengaran di sana-sini. Memang betul lah tempat itu tempat melepaskan tekanan. Kemudian barisan yang aku ikut itu bergerak menandakan giliran seterusnya. Tetapi aku tidak berganjak dan menyebabkan barisan itu tersekat dalam sepuluh saat.

    Perlahan aku melangkah bukan ke hadapan tetapi menghindar ke tepi pagar memberi ruang orang lain bergerak.

    Aku berpegang pada pagar ketika Kaizil menarikku naik. 

    “Ok, pegang tangan saya,” dia menghulurkan tangannya.

    Aku masih merintih, dua tiga lelaki ketawa melihat gelagatku.

    “Ini cuma pengalaman Halyn, saya tahu awak berani, tarik nafas panjang...” Kaizil mendesak.

    Mahu atau tidak aku terpaksa juga naik. Kami mendapat tempat duduk di belakang sekali. Bila telah duduk dan memasang semua langkah keselamatan aku menarik nafas panjang dan meyakinkan diriku sendiri.

    “Pegang tangan saya, saya ada di sebelah awak ok..”

    Aku mengangguk. Kemudian ia pun bermula dengan perlahan dan...tidak!!!!! Aku menjerit sekuat hati bila ia berpusing 360 darjah dalam landasan, jalannya berbelit-belit seperti seekor ular yang sedang berlawan dengan musuhnya. Aku menutup mata kerana ketakutan namun tetap merasakan kelajuan yang bukan seperti aku bayangkan semasa di bawah tadi. Dahsyat! “Tidak....tidak! Argh!!!!” jeritku ketakutan.

    Kemudian aku merasakan ada tangan lain dalam genggamanku. Itu Kaizil, aku tahu tetapi aku tidak mahu membuka mataku. Sekuat hati aku mengenggam tangannya dan tahu yang kami masih di laluan mengerikan itu. Jantungku bagai hendak jatuh, rambutku berterbangan oleh tiupan angin akibat dari kelajuan benda itu. Aku mendengar Kaizil hanya menjerit gembira.Seronok betul dia nampaknya.

    Entah berapa minit, ia kemudian berhenti. Apabila aku membuka mata, kami sudah berada di tempat ia bermula tadi dan orang-orang berpusu-pusu turun menuju ke bahagian keluar. 

    Kaizil memimpinku kerana aku berasa pening sekejap, pandanganku berpinar. Mungkin sebab aku menutup mata tadi. “Kita duduk di sana,” tunjuknya. Ada sebatang kayu besar di tepi jalan.

    "Awak tak apa-apa?" tanya Kaizil sambil tangannya membetulkan rambutku yang berhambur kerana permainan tadi.

    Aku duduk sambil mengurut dahiku.”Tak apa saya ok,” kataku yakin. 

    “Ada banyak lagi kita nak main,” beritahu Kaizil sambil tersengih.

    “Betul ke?” aku merintih lagi. Lebih baik aku menangis supaya Kaizil menghantar aku pulang segera. Aku rasa Kaizil mahu membalas dendam pada aku bukan nak gembirakan aku. Jaga kau!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku