Bukan Cinderella
Bab 17
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 Ogos 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
293

Bacaan







Minggu ini minggu yang sangat sibuk. Cerita pasal lelaki itu aku tolak ketepi dulu. 

    Julia dan aku kini menguruskan kedai baju yang saham terbesarnya milik Julia. Sebagai pemegang saham sebanyak 20 peratus aku bersetuju membantu Julia. Kami menamakan kedai itu Sync2, maksudnya mengikut teori kami, sebuah jalinan yang dekat dengan pelanggan. Sebaik barang jualan kami sampai pagi ini, aku dan Julia memulakan kerja. Mengangkat kotak, membuka kotak, menggantung pemyangkut baju, menyusun baju di atas rak, mengewap baju-baju untuk dipamerkan. 

    Sebelum menyusun semuanya dengan rapi, aku membersihkan kawasan kedai kami sehingga bersih, mengecat sebahagian dindingnya agar nampak lebih terang dan kepalaku sedang memikirkan mahu mencari bingkai gambar atau poster Taylor Swift sebagai hiasan. Hidupku sekarang tak ubah macam buruh kasar. Kedai itu cuma sebesar bilikku, tapi aku tak larat pun melakukannya sendirian. 

    “Hei...” satu suara menegur aku dari belakang. Ketika aku sedang mengecat bahagian dinding atas sekali. Ada tangan berurat sedang memegang tangga tempat aku duduk.

    Bila aku melihat ke bawah seorang lelaki berambut hitam tersenyum. 

    “Boleh saya tolong awak?” dia menawarkan pertolongan tanpa diminta. “Cat awak tak rata bahagian atas tu,” dia menunjuk dinding bahagian kiri.

    “Oh...” aku ternganga melihat hasil kerjaku. Catnya bertindih dan tidak rata. Sana-sini nampak kecacatannya. Memang agak mengecewakan bagi amatur seperti aku.

    Aku turun dari tangga dan melihat ke dinding buat kali kedua. Uh... menyedihkan.

    “Biar saya tolong awak,” kata lelaki itu dan terus mengambil berus cat dari tanganku.

    Dia mula merapikan setiap lapisan cat yang aku buat tadi. 

    “Awak siapa?” tanya ku yang baru tersedar kami belum berkenalan.

    “Saya William Cain, panggil Cain,” sahutnya menoleh padaku sebentar dan kembali menyambung kerjanya.

    “Hai Cain,” sapaku lalu beralih membuat tugas lain sementara menunggu Julia yang pergi membeli makanan tengahari. Sesekali aku mengerling ke arah Cain yang teliti dengan kerjanya. Orangnya sederhana tinggi, mungkin lebih kurang tinggi Kaizil... huh. Hidungnya mancung dan bermata coklat. Dia akan kelihatan lebih kacak jika dia menguruskan rambutnya dengan rapi, tidak kusut masai seperti orang yang sudah lama tidak mandi. Aku menduga Cain mungkin kacukan Inggeris-Cina. Aku tidak hairan tentang itu. Kawan sekolahku dulu terutamanya budak lelaki banyak berbangsa Cina tetapi warganegara Britain.

    Ketika malam menjelang baharulah tugasku selesai. Kedai Sync2 sekarang berubah lebih ceria dan penuh citarasa. Susun atur yang dibuat oleh Julia sangat menarik dan menyelesakan pengguna. Esok, hari pembukaan kedai, aku dan Julia menjemput rakan dan kenalan. Istimewa pembukaan esok ada potongan 50 peratus untuk baju terpilih. Jiran-jiran sebelah rumahku beriya-iya hendak datang esok bila aku memberitahu tentang kedai Sync2.

*****

    Sebaik episod baharuku sebagai pekerja kedai baju bermula, kerjaku di kafe pun berakhir. Aku sebenarnya sudah mula menyukai kerja di kafe tetapi setelah berfikir, tentu ada peluang lain untuk aku dan Julia. Aku dibayar gaji seperti biasa oleh Julia selain keuntungan dua puluh peratus mengikut sahamku. Begitulah perjanjian kami berdua walaupun aku taklah berkira sangat tentang soal untungku. Apa yang perlu kami berdua pastikan kedai baju itu akan bertahan lama dan mencari peluang yang lebih besar.

    Julia masih bekerja, cuma aku yang menjaga kedai itu. Julia akan datang pada sebelah petang atau jika dia bercuti. Aku pula akan datang ke situ dengan bas, Tube atau kereta Julia. Kemudahan tinggal di London memang lengkap. Tanpa kereta, aku boleh bergerak ke sana-sini.

    “Hai... awak sendiri hari ni?” Cain tiba-tiba muncul pagi itu.

    Aku berpusing dari kerja melipatku. “Oh hai.. tak, sekejap lagi Julia datang, hari ni kan hari minggu,” aku memandang Cain yang berpakaian kasual, dengan jaket kelabu  gelap, t-shirt, dan jeans. Apa sahaja yang dipakainya selalu sesuai pada tubuhnya. Kecuali rambutnya yang berhambur itu.

    “Awak belum buka kedai?” tanyaku.

    “Sekejap lagi, saya tunggu Albert, dia kata nak belanja sarapan pagi hari nanti,” katanya sopan dengan senyuman yang sangat manis.

    Aku mengangguk dan cuba memaniskan senyumku yang ku harap tidak disalah anggap oleh Cain.

    “Awak mahu nonton wayang malam esok? Ada promosi bintang-bintang filem Hollywood esok di pawagam Odeon, Leceister Square,” kata Cain yang ketara benar nadanya mahu membawa aku keluar. 

    “Filem apa?”

    “Penyiasatan, Mr. Justice. Pelakonnya Hensen Olyphant.”

    “Hensen Olyphant?” aku mula teruja. “Ada promosi di sana esok?”

    Cain mengangguk laju, sabar menunggu persetujuanku.

    “Saya nak pergi,” kataku gugup.

    “Okey, esok saya beritahu pukul berapa, Albert dah tunggu saya di luar,” ujar Cain senang hati.

    “Okey,” aku tidak lagi menumpukan perhatian pada Cain sebaliknya memikirkan Hensen Olyphant. Abang kandungku yang sudah masuk 14 tahun tidak ku temui. Benarkah dia datang ke London? Aku mesti cari maklumat dalam internet tentang filem terbarunya dan kalau boleh menyiasat di mana di hotel mana dia menginap.

    Telefon bimbitku berdering, tanpa melihat nama pemanggil aku segera menjawab. Cain sudahpun pergi.

    “Halyn...” suara Kaizil kedengaran gembira dari talian.

    Aku memutarkan bola mataku ke atas. Tanda jengkel.

    “Awak nak balas dendam lagi ke?” aku takkan melupakan Thorpe Park itu, tetapi aku tahu taman tema itulah yang membuatkan kami berdua lebih senang berkomunikasi.

    “Tak, cuma nak tahu awak sudah makan? Kalau belum kita...”

    “Dah,” laju sahaja aku menjawab.

    “Err...saya tak sibuk esok, boleh kita jumpa?”

    “Malangnya, saya sibuk esok, ada janji.”

    “Ada janji? Dengan siapa?”

    “Lelaki.”

    “Di mana?”

    “Leceister Square.”

    Dengan menyebut Dataran Leceister aku yakin Kaizil tahu ke manakah tujuanku esok, tak perlu jelaskan lebih teliti. Semua orang di London tahu tentang Dataran Leceister.

    “Tak mengapa, masih ada hari lain,” suaranya kedengaran mendatar.

    “Okey Kaizil, ada pelanggan datang ni,” lalu aku menamatkan panggilan itu dan melayan seorang pelanggan yang datang di awal-awal pagi mencari skaf.

    Julia datang lewat tengahari. Sejurus Julia melayan pelanggan pada lewat petang, aku duduk di kaunter sambil melukis baju rekaanku yang hampir siap.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku