Bukan Cinderella
Bab 18
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 Ogos 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
429

Bacaan







Aku hampir berlari ke arah Cain yang sedang menunggu aku di bawah sebatang pohon yang daunnya telah menutup tanah tempat ia bernaung. Ramai orang telah berkumpul di situ. Dataran Leceister adalah tempat terkenal bintang-bintang filem dari Amerika dan UK mempromosikan filem terbaru mereka. Kali ini, tiba giliran seseorang yang sangat aku tunggu-tunggu.

    Julia menjaga kedai hari ini selepas aku memberitahunya betapa terdesaknya aku hendak ke sana. Dia juga tahu tentang Hensen Olyphant. Sudah tentu aku datang bukan kerana mahu bertemujanji dengan Cain, tetapi Hensen.

    “Orang dah ramai, kejap lagi pelakonnya datang, aku dengar pengacara di sana tu umumkan sebentar tadi,” beritahu Cain sejurus aku menghampirinya. Dia menunjukkan kedudukan pengacara majlis yang sedang berdiri di atas sebuah pentas. 

    Permaidani merah menyambut bintang filem menghala lurus ke arah pentas. Aku jarang datang ke sini untuk melihat artis, ini kali kedua aku datang, kali pertama sewaktu filem Harry Potter & The Deathly Hollow. Itu pun banyak sangat orang, aku hanya dapat melihat dari jauh.

    “Awak selalu tengok wayang?” aku bertanya pada Cain yang hari ini kelihatan agak kemas.

    “Selalu juga, tapi kalau nak cari autograf artis rasanya belum pernah,” jawab Cain sambil tersenyum lagi.

    Aku suka senyumannya.

    “Marilah, pelakonnya sudah masuk karpet merah,” kata Cain.

    Kami berdua berjalan mencelah ke dalam kesesakan orang-orang yang ternanti-nanti kekacakkan dan kejelitaan pelakon dari Amerika. Suara sorakan para peminat melaungkan nama pelakon Aaron Moose dan tepukan mula menaikkan semangatku. Akibat dari ketinggianku yang agak terhad aku terpaksa berjengket untuk melihat laluan karpet merah dengan jelas.

    Cain kemudian menarikku ke tempat yang lebih jelas pemandangannya. Aku berdiri di sebelah seorang jurugambar yang asyik mengetik kameranya. Beberapa orang lagi pelakon wanita berjalan dengan anggun melintasi para peminat sambil melambai-lambaikan tangan seperti seorang puteri. Pelakon-pelakon itu singgah sebentar memberi autograf kepada peminat mereka yang berebut-rebut kerana tidak semua akan mendapat tandatangan.

    Pengacara majlis kemudian menjerit lagi nama Hensen Olyphant.

    Jantungku berdegup, berdebar menanti kelibat pemilik nama Hensen itu. Dapatkah dia mengenaliku lagi setelah bertahun tidak bertemu. Sedarkah abang-abangku itu yang mereka ada seorang adik perempuan yang kini tinggal sebatang kara.

    Kemudian Hensen berjalan dari arah kanan sambil tersenyum. Hensen sudah berusia 27 tahun, wajahnya semakin matang. Aku masih ingat bagaimana akrabnya kami berdua dahulu. Dia seorang abang yang baik, walaupun selalu membuli aku tetapi dia juga penyayang. Aku hampir tidak mengingati bagaimana rupanya. Aku dan ibu meninggalkan rumah pada waktu mereka semua sedang tidur 14 tahun yang lalu. Ayahku mengancam akan membunuh ibuku jika dia membawa kedua anak lelakinya. Tiba-tiba hari mengimbau kenangan sedih itu membuatkan airmataku mengalir tanpa ku sedar.

    Hensen semakin menghampiri tempat aku berdiri, melintas dengan bergaya dan singgah sebentar untuk memberi autograf. Aku hanya dapat melihat, tidak mampu menyebut namanya, tidak mampu memanggilnya, hanya berharap dia mengenaliku. 

    Tetapi tidak, Hensen sekadar berlalu.

    Aku menyapu air mata dingin di pipiku. Cain tentu bingung kalau melihat aku menangis. Otakku sekarang sedang ligat berfikir, mencari cara bagaimana hendak bertemu Hensen Olyphant. Perlukah aku ke hotel tempat dia menginap. Berapa harikah dia berada di London? Wasiat ibu supaya aku mencari abang-abangku masih jelas ku ingat.

    Entah berapa lama menyaksikan karpet merah itu akhirnya aku dan Cain menonton wayang. Kisah tentang pegawai polis yang adil dilakonkan oleh Hensen Olyphant. Aku dan Cain tidak banyak bercakap sepanjang menonton filem itu. Habis sahaja filem itu ditayangkan, para pelakonnya naik ke atas pentas kecil dalam pawagam itu untuk sesi fotografi.

    “Hebatkan filemnya,” kata Cain sebaik kami keluar dari pawagam.

    “Betul, aku suka aksinya dan cara dia menyiasat,” sahutku turut memuji-muji, memori di kepalaku dipenuhi dengan wajah Hensen Olyphant.

    “Awak nak ke mana selepas ni?” tanya Cain kemudian.

    “Beli barang, kemudian balik semula ke Camden, tengok kedai, Julia tentu bosan sendirian di sana,” aku berbohong, sebenarnya aku bercadang ingin melakukan sesuatu yang gila.

    “Awak tak mahu pergi makan?” tanya Cain lagi.

    “Tak mengapa saya masih kenyang makan popcorn tadi, hihi..” aku menolak dengan baik kerana aku tahu Cain tidak tahu kalau aku ini seorang muslim.

    “Oo... saya fikir nak belanja awak makan tadi, jadi saya hantar awak ke Camden Town,” pelawa Cain.

    “Lain kali saja, saya hendak pergi beli sesuatu di sana,” tunjukku membuta arah.

    Cain yang pelik dengan tingkahku perlahan mengangguk bersetuju dan mengatakan dia gembira dapat menonton wayang bersama aku. Kemudian dia meminta diri untuk balik semula ke Camden Town kerana ibunya telah menelefon dari tadi samada dia sudah selesai tengok wayang atau belum. Keluarga Cain juga ada sebuah kedai makan di Camden Town. Kedai makan yang menghidangkan masakan China.

    Sejurus memastikan Cain menghilang betul-betul dari pandangan, aku pun kembali ke pawagam tadi untuk mencari Hensen. Aku mempercepatkan langkahku kerana bimbang jika pelakon-pelakonnya sudah pergi. 

    Ketika sampai di situ, para pengawal keselamatan yang memakai kot-kot hitam dan berbadan besar berjaga di sekitar Hensen dan pelakon yang lain. Peminat-peminat mereka masih ramai berharap hendak mendapatkan autograf. Aku bukan hendakkan itu, aku mahu menemui Hensen. Kereta-kereta yang menghantar pelakon-pelakon tadi telah siap sedia untuk mengambil pulang.

    “Macam mana ni?” bisikku risau. Aku berlari tak tentu arah mengejar Hensen.

    “Hensen! Hensen!” teriakku yang langsung tidak dipedulikan oleh sesiapa pun. Dua orang gadis di hadapanku juga berteriak sama memanggil namanya.

    Aku berpusing ke arah lain, mahu menceroboh ke dalam kawasan larangan. Tetapi, itu tindakan bodoh! Sudah tentu aku akan ditangkap. “Hensen! Hensen!” panggilku lagi dengan surat wasiat ibuku ku genggam kuat di dalam poket jaket. Aku mahu memberikannya pada Hensen. Tetapi, bagaimana?

    Tiba-tiba aku mendapat idea!

    Aku pantas berlari ke kereta mewah hitam berkilat itu dan berhati-hati menghampiri. Tidak ada sesiapa berjaga di situ. Nekad ku hari ini sama nekadnya sewaktu aku datang ke dewan tempohari sekaligus terbayang mata tajam Kaizil memandangku. Hatiku berteriak mengatakan tidak, tetapi otakku memberitahu ‘buka pintu kereta, buka pintunya’ tanganku menggapai pemegang pintu kereta hitam itu.

    Tiba-tiba tanganku dicekup dan begitu pantas ia dipusingkan ke belakang, menyakitkan tetapi pengawal berkot hitam tadi langsung tidak mempedulikan kesakitan tanganku yang dipulas. “Tolong..” rayuku. “Saya nak jumpa Hensen, sekejap saja..tolonglah..” aku masih merayu. “Hensen! Hensen!!!!” jeritku ketika mereka membawa aku masuk dalam kereta polis yang bersiap sedia sejak pagi tadi. 

    Aku cuba meronta sambil menjerit. 

    “HENSEN!!!” 

    Hensen menoleh mendengar panggilanku, dia memandangku, tetapi cuma dua saat sebelum dia terus masuk ke dalam kereta hitam yang mahu aku jadikan tempat bersembunyi tadi.

    “Hensennnn!! Saya Halyn...” sia-sia.

    Jeritan yang sia-sia. Kesudahannya aku dibawa ke balai polis. Benar-benar tindakan bodoh. Penyesalan yang datang kemudian. Tak semena-mena aku menangis, airmata yang mengalir ke pipi ku sapu perlahan. Harapan untuk menemui saudaraku  mungkin tidak berpeluang lagi malah berakhir dengan sia-sia.

    “Kamu nak mencuri dalam kereta hitam itu tadi?” tanya pengawai polis yang duduk di sebelah ketika aku dibawa ke balai polis.

    Aku malas hendak menjawab.

    Sehingga tiba di pejabat polis pun aku ditanya perkara yang sama.

    “Sudah tentulah saya bukan pencuri, saya nak jumpa Hensen Olyphant!” jawabku marah dan cuba mempertahankan diriku sendiri walaupun aku tahu polis itu tidak akan mempercayainya.

    “Tak ada apa-apa dalam bajunya..” beritahu pegawai polis wanita yang memeriksa seluruh badanku sekejap tadi. Mungkin mencari pil dadah.

    “Tak ada rekod jenayah,” beritahu seorang lagi pegawai polis yang bernama James pada baju seragamnya pula.

    “Cuma peminat fanatik.”

    Aku mendengar sahaja mereka bercerita tentang kes yang aku timbulkan sejam tadi. Ketika itu aku melihat dua orang lelaki di bawa masuk dalam keadaan bergari. Kedua-duanya seperti baru habis bergaduh, baju dan muka mereka terdapat banyak kesan darah.

    “Kenapa awak nak masuk dalam kereta tu?” tanya pegawai polis yang menyoalku sejak dari mula aku tiba tadi.

    “Tolonglah...” aku mahu mencuba meminta bantuannya. “Tolonglah, bawa saya berjumpa dengan Hensen Olyphant, saya perlu jumpa dia, dia abang saya. Kami berdua lahir di Boston, US, saya ada bukti,” aku merayu.

    “Kalau awak tak tutup mulut, saya tulis rekod awak sebagai penagih dadah yang cuba menganggu orang lain!” bentak pegawai itu dan mahu mencatat. “Awak nak saya daftarkan awak dalam hospital sakit jiwa ke?”

    Aku pantas terdiam sambil menggelengkan kepala, memang tak ada gunanya bercakap apa-apa tentang Hensen atau Olyphant! Sekalipun dengan DNA mereka tetap tak akan percaya.

    “Kami terpaksa tahan awak untuk malam ini,” kata pegawai polis itu lalu mengarahkan seseorang membawaku ke lokap.

    “Apa? Tak....tak..”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku