Bukan Cinderella
Bab 29
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 Ogos 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
123

Bacaan







Baju gaun yang comel itu sudah pun siap, aku mengambilnya hari ini dengan kegembiraan yang terpancar jelas dari mood senyum sepanjang hari apabila jualannya sungguh tak dijangka. Habis dalam dua jam sahaja. Dua pelancong dari Korea membeli hasil rekaanku itu berserta pujian percuma. Mereka suka dengan fabriknya yang selesa untuk anak perempuan mereka. Apa yang tidak ku sangka, Alexis, setiausaha Bettina Bennington kebetulan singgah ke kedai Sync2 juga, dia membeli sepasang gaun dan baju hero. 

    “Bettina macam singa lapar beberapa minggu ni,” cerita Alexis yang sudi duduk sebentar di kedai.

    “Kenapa?” tanyaku sambil menggantung baju baru.

    “Jualan pakaian tidak memberangsangkan, merosot sehingga 20 peratus. Aku rasa sebab rekaannya tidak begitu cantik. Persaingannya kuat..” beritahu Alexis. “Tapi baju ni memang cantik Halyn, awak memang berbakat,” pujinya sebelum meminta diri hendak pulang.

    Aku cuma dapat mengulas, bahawa bukan rezekinya hendak mengaut keuntungan banyak. Siapa tahu gilirannya akan tiba bulan hadapan. Lagipun Bettina banyak rekaan lain dia takkan jauh bankrup lainlah sebagai seorang pereka tanpa nama seperti aku yang bergantung sepenuhnya pada Sync2.

***

Malangnya, sesuatu yang buruk menimpa kedai Sync2 dua hari kemudian. Ketika cuaca sejuk semakin mencengkam London, sewaktu aku membuka kedai pada hari Sabtu, dua orang lelaki menghalang aku dari berbuat demikian. Kedai kami di arahkan tutup kerana tapak itu telah disewakan kepada orang lain. Aku yang tidak tahu apa-apa hanya mengikut sahaja dan menunggu tindakan Julia. Cain hampir-hampir bergaduh dengan mereka.

    Julia bergegas datang menemuiku di kedai Cain.

    “Kenapa jadi begitu, mana lelaki yang kau cakap tu,” tanya Julia risau.

    “Dah pergi,” lalu aku menceritakan apa yang berlaku.

    “Kita pergi jumpa pengurus tempat ni,” Julia terdesak sebaik aku habis bercerita. Dia mula hilang sabar.

    Aku mengelap airmata sebak, tak tahu apa nak buat dan tak faham kenapa kedai kami diarahkan tutup. 

    “Beritahu saya nanti kalau ada apa-apa,” ujar Cain ketika menepuk bahuku.

    Aku dan Julia beredar hendak ke pejabat pengurus yang pernah kami jumpa dulu. Setibanya di sana, dengan mood Julia yang sudah membara, kami bertengkar dengan pengurus Camden Town.

    “Apa salah kami sampai tuan nak tutup kedai kami, bukannya kami tak bayar sewa!” Julia membuat perhitungan.

    “Saya dapat tahu kamu menjual pakaian tidak berdaftar,” kata Peter Hugh pengurus besar Camden Town.

    “Tak berdaftar?” Julia menjerit. “Awak tahu ke apa yang di jual kedai-kedai lain, kenapa awak cuma menyiasat apa yang kami jual. Baju itu bukan tidak berdaftar tapi direka. Kami sedang melihat pasarannya dan merancang hendak mendaftar jenamanya dalam masa terdekat.” Julia berterus-terang pada Peter Hugh yang hanya sekadar tersengih dengan sombong. Dia menyambung lagi.

    “Melanggar peraturan jualan merupakan satu kesalahan dan itu menyebabkan tapak itu ditarik serta-merta dan akan diberikan kepada penyewa baru. Saya arahkan kamu mengambil semua barangan kamu dan menutup kedai itu, terima kasih.” Peter Hugh dengan biadapnya menunjukkan kami pintu keluar dari pejabatnya.

    “Encik memang tak berhati perut, kedai itu kepunyaan orang tempatan berbanding dengan imigran. Bukankah kerajaan menggalakkan orang tempatan harusnya diutamakan,” ujarku berhemah.

    “Orang tempatan atau tidak, jika melanggar peraturan kami terpaksa lakukan ini,” jawabnya.

    “Mari kita pergi Halyn, banyak lagi tempat yang boleh kita cari!” Julia menarik aku keluar sambil menyumpah.

    “Kita tak buat salah pun, baju tak berdaftar? Mengarut!” aku merungut dan sedih mengenang susah payah kami tiga bulan ini menguruskan kedai Sync2.

    “Aku rasa mereka sengaja nak kenakan kita, mungkin ada orang cemburu dengan kedai tu,”Julia curiga dan yakin. Kemungkinannya sangat besar. Yalah bukan semua orang suka melihat orang lain berjaya.

    Aku tak habis fikir dengan layanan pengurus Camden Town itu. Terpaksalah kami keluar dan bersiap-sedia mengemas barang-barang sekaligus menutup Sync2. Mungkin ada hikmahnya di balik semua ini. 

    “Dia tak patut buat begitu,” ujar Cain kesal dan turut merasa pelik.

    “Lelaki tu memang jahat!” Julia bersuara dengan sebak. 

                Aku mengurut belakang Julia meredakan tangisnya.

    Julia memelukku setelah kami selesai memindahkan semua barang kami dalam kereta. Cain yang bersimpati dengan nasib kami berjanji akan membantu kami mencari tempat lain. Kami perlu buat plan baru untuk meneruskan perniagaan. Sync2 tak boleh tutup. 

    “Sabarlah, mungkin ada rezeki kita di tempat lain,” aku menenangkan Julia selepas kami meletakkan semua kotak yang berisi pakaian itu di rumahku. 

    Kami berdua baring telentang di atas lantai kayu di ruang tamu, masing-masing memikirkan tindakan selanjutnya. “Apalah nasib kita, baru nak naik dah jatuh,” keluh Julia, wajahnya muram.

   “Sebenarnya kita tak buat salah pun, pengurus tu yang bersungguh-sungguh nak singkirkan kita dari sana, macam ada yang tak kena..” tambah Julia lagi lantas menutup matanya dengan sebelah tangan.

    “Mungkin ada orang nak sewa tapak tu, siapa tahu keluarga dia ke yang nak sangat dan kedai kita yang jadi mangsa,” itu teori aku.

    “Kau betul..” sahut Julia.

    “Aku buatkan kau coklat panas, lepas ni kita fikir cara lain,” aku terus ke dapur. Kepala masih bingung memikirkannya. Aku sedang risau memikirkan di mana aku nak kerja, mungkin di kafe? Atau cari kerja pejabat. 

    “Esok aku ambil cuti, kita pergi Oxford Street,” ujar Julia yang telah bangun dan meneguk coklat panas.

    “Yalah, nanti aku temankan kau,” jawabku ketika bunyi lagu Oasis bernyanyi dari telefon pintar di atas meja. Kaizil di talian. 

    "Ada apa-apa yang tak kena ke?" tanya Kaizil sebaik aku menjawab.

    "Tak ada apa-apa," aku berbohong sebab tak mahu melibatkan Kaizil dalam masalah kami. Tetapi agak mencurigakan bila dia terasa seperti ada yang tak baik berlaku pada aku hari ini.

    "Betul ke?"

    "Ya. Awak dah makan?"

    "Dah."

    "Macam mana dengan kaki awak?"

    "Semakin baik, baru lepas balik dari fisioterapi dengan Dublin tadi."

    "Baguslah."

    "Saya nak ajak awak makan malam minggu depan..." kata Kaizil tiba-tiba.

    "Minggu depan, minggu depan..." aku bercakap sendirian sambil memikir samada aku nak terima pelawaannya atau tidak.

    "Minggu depan, hari Isnin. Saya jemput awak nanti di rumah."

    "Nanti saya bagi jawapan, sebab saya ada hal dengan Julia," itu cuma alasan nak menolak. Makan malam dengan Kaizil di restoran mewah, erghh, itu membimbangkan aku. Aku tak tahu nak jawab macam mana lagi.

    "Ok, saya tunggu. Nanti saya telefon lagi. Tak boleh kata tidak."

    Itulah dia, itulah Kaizil. Dia mana pernah suka dibantah-bantah. Semua ikut suka hatinya. Sudahnya aku yang memang cepat mengalah ikut sahaja kehendaknya. Oh Halyn, tolonglah berkeraslah sedikit.. tolonglah.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku