Bukan Cinderella
Bab 30
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 Ogos 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
379

Bacaan






    Sudah berapa hari Julia tidak berjaya mendapat tapak kedai di Oxford Street, buat masa sekarang sudah penuh. Ada juga tempat lain, tetapi kami tidak selesa dengan kawasannya selain sewa yang mahal. Aku simpati dengannya dan berusaha membangkitkan semangatnya agar tidak mudah pudar. Dia juga rasa bersalah kerana menyebabkan aku kehilangan pekerjaan. Aku meyakinkannya tentang keadaanku yang baik-baik saja.

    Aku memakai baju gaun panjang tangan dengan corak garis melintang yang mencecah paha serta kot panas warna krim. Cuaca sejuk masih menghuni kota London dengan salji mula menebal di bahagian utara. Untuk menghalang kesejukan aku menambah skaf pada leherku berwarna krim gelap sebelum keluar untuk makan malam. Kaizil sudah menunggu di luar sana. 

    Temujanji makan malam yang aku berusaha tolak akhirnya cuma tinggal alasan. Sehinggalah malam ini Kaizil berjaya mendesakku keluar. 

    Kaki Kaizil kian baik cuma masih memakai knee braces yang tersembunyi dalam seluar panjang. 

    “Macam mana fisioterapi kaki awak? Ok ke?” aku bertanya sewaktu masuk dalam kereta.

    “Ya, bulan depan fisioterapi yang terakhir,” jawab Kaizil sambil tersenyum memandang aku dari atas hingga ke kasut. “Cantiknya awak.” pujinya.

    Kemudian kami kembali berdiam, fikiranku menerawang ke jalan-jalan yang Porsche itu lewati, memikirkan kedai Julia.

    “Awak ada masalah?” tanya Kaizil bila aku diam sahaja.

    Aku menggeleng dan berusaha untuk tersenyum. 

    “Awak kedekut betul dengan saya,” komen Kaizil tiba-tiba. Aku pantas berpaling melihatnya. 

    “Kenapa cakap begitu?” tanyaku kembali.

    “Jangankan kegembiraan, kesedihan pun awak tak mahu kongsi dengan saya, mungkin Cain lebih dulu tahu dari saya pasal hidup awak,” dia mula merajuk. 

    Aku tidak menjawab, sebenarnya aku cuba tidak mahu meraih simpatinya malahan dari sesiapapun. Sudah terlalu lama hidup berdikari aku hampir tak peduli tentang sikap kedekut ku yang disalah anggap oleh Kaizil.

    Kaizil tiba-tiba mengangkat jari kelingkingnya padaku. Sambil matanya tetap ke arah jalan di hadapan dia berkata. “Pegang jari saya ni kuat-kuat, ceritakan semuanya. Saya tahu awak kurang selesa bercerita masalah dengan saya, jadi.. anggap jari paling kecil mewakili diri saya yang paling rapat dengan awak,” Kaizil menyucuk tanganku dengan jari kelingkingnya itu bila aku enggan menyambut..

    Terasa lucu dengan tingkahnya, aku pun mengenggam jari kelingkingnya dengan kuat meletakkan keyakinan kepada jari itu yang ku mohon agar selalu setia bersamaku. 

    “Kedai kami sudah ditutup,” beritahuku perlahan. Kemudian aku menceritakan semuanya termasuk pengurus Camden Town, Encik Peter Hugh yang jahat.  Aku betul-betul bercerita sambil melihat tanganku yang mengenggam jari kelingking wakil Kaizil. 

    “Julia suka berniaga, aku tahu dia yang paling sedih. Camden Town tempat yang strategik untuk berniaga cuma mungkin bukan rezeki kami di sana,” ceritaku lagi dan tak sedar airmataku menitis di atas tangan Kaizil. Aku menyapu pipi dengan tangan sebelah sebelum terharu bila jari kelingking dalam genggaman ku itu bergerak dan memanggil jari-jari yang lain. Lantas teman-teman si jari kelingking menyatukannnya dengan jari-jemariku lalu menyatu dalam debar yang meresahkan aku. Perlahan aku melihat Kaizil yang hanya memandang ke arah jalan tetapi mengangguk dan semakin mengeratkan genggamannya. 

    Tidak lama kemudian, Porsche yang Kaizil pandu memasuki tempat parkir di sebuah hotel. Empire Pyramid Hotel yang berstatus 5 bintang kepunyaan jutawan dari Arab Saudi tersergam indah di depan mataku. Aku mendongak menyaksikan kehebatan rekabentuk hotel yang terkenal di kalangan orang ternama itu.

    “Saya lebih suka makan pizza dari tempat begini,” rungutku semasa kami berdua beriringan masuk ke dalam hotel.

    Kaizil hanya tersenyum ketika pintu lif terbuka. Dia mangajakku melalui sebuah ruangan khas. Aku dapat mendengar suara kanak-kanak perempuan menjerit kuat dari dalam. Ketika pintu dibuka.

    “Halyn!!!” Rory menjerit dan berlari mendapatkanku.

    “Rory...?”

    Kami berpelukan, aku menangis. Terkejut melihat Rory ada di situ. Richard dan Nick pun ada dan tidak sabar lalu memelukku. Mereka sangat gembira melihat aku datang. Aku tak menyangka Kaizil membawa aku makan malam dengan keluarga Bennington. 

    Bettina Bennington dan suaminya Tuan Carlo menjemput aku dan Kaizil duduk di meja makan yang panjang bersama-sama mereka. Terdapat meja lain yang terdiri daripada pekerja-pekerja High Style. Ferry Hung dan Alexis menyapaku gembira dari hujung meja. 

    “Terima kasih Kaizil, kejutan kita menjadi nampaknya,” ujar Bettina dan tersenyum padaku sebelum berkata. “Kamu apa khabar Halyn? Gembira dapat bertemu awak lagi. Saya sengaja merahsiakannya dari awak. Ini semua helah mereka bertiga,” Bettina menjeling anak-anaknya yang tersengih. Rory memelukku lebih erat. 

    “Hari ini ulang tahun Nick,” kataku dan berpaling pada Nick yang mengenyit matanya padaku.

    “Mereka rindukan awak Halyn,” kata Tuan Carlo.

    “Richard meminta ayahnya menjemput Kaizil Harlan jika pasukannya menang lagi. Terima kasih Kaizil kerana menunaikan hasrat Richard,” Bettina mengangkat tangan pada Kaizil yang mengangguk di sebelahku. “Saya tak tahu Richard berpakat dengan Kaizil agar membawa kamu sekali, patutlah Nick halang saya dari menelefon kamu semalam, rupa-rupanya ada kejutan,” tambah Bettina lagi dan tersenyum lebar.

    Aku tersenyum bahagia dan sangat menghargai keluarga Bennington yang tidak melupakan kewujudanku dalam hidup mereka. Aku lantas menoleh pada Kaizil yang mengangkat bahu dan duduk di sebelahku. Richard yang berhadapan dengan Kaizil berwajah teruja kerana dapat bertemu dengan pemain bola sepak idolannya. 

    Aku juga menemui pekerja High Style yang seronok melihatku. Anak Alexis sedang bermain dengan Rory. Richard banyak bercerita dengan Kaizil tentang bola sepak. Tuan Carlo memang menyokong penuh hasrat Richard untuk menjadi pemain bola sepak. Tetapi Richard berhasrat mahu menjadi peguam.

    Bettina menemuiku ketika aku sedang berbual dengan Ferry Hung dan beberapa pereka lain. 

    “Saya kesal kerana telah melepaskan seorang pereka berbakat seperti awak, saya sudah melihat hasil rekaan kamu dari Alexis. Sangat mengkagumkan Halyn, kamu sudah cuba memasarkannya lebih luas?” tanya Bettina.

    “Belum lagi, saya menjualnya dengan kawan saya secara kecilan,” jawabku jujur. 

    “Rekaan baik seperti itu seharusnya mendapat publisiti meluas.” 

    Bettina memang terlalu dedikasi dalam hal-hal pemasaran, aku masih menunggu apa yang hendak disampaikannya.

    “Saya hendak tawarkan awak pekerjaan sebagai pereka di syarikat High Style, kamu akan bekerja di pejabat sebagai seorang pereka bersama Ferry Hung dan yang lain. Bolehlah Rory selalu bertemu awak di sana.”

    Aku tersentak gembira kerana hikmah menangisi kedai Sync2 telah tiba. Tawaran itu sangat hebat dan peluangnya besar. Tetapi, seperti Julia aku berharap menghasilkan rekaan dengan namaku sendiri Halyn Yong. Bekerja dengan Bettina Bennington bermaksud rekaanku akan memakai jenama High Style Junior yang terkenal dengan harga yang mahal.

    “Tapi jenama High Style terlalu besar untuk saya, saya suka menjual hasil rekaan saya kepada golongan yang berpendapatan sederhana,” aku menyuarakan pendirianku.

    “Saya beri awak peluang untuk fikirkan, awak boleh datang ke pejabat jika awak setuju dengan tawaran saya ini. Sebagaimana perjanjian dengan Ferry Hung, saya akan memberikan awak kontrak selama setahun di bawah jenama High Style. Jika awak berjaya, saya akan menjadikan awak seorang pereka dengan jenama sendiri. Awak boleh tanya pada Ferry Hung, dia juga sedang dalam peringkat itu. Saya juga faham, seorang pereka sudah tentu ingin menggunakan nama mereka sendiri,” jelas Bettina. 

    “Terima kasih Mrs. B, saya sangat menghargai tawaran itu, saya akan beritahu Mrs. B dalam masa terdekat,” jawabku lalu memeluk Mrs. B. Tak pernah wujud secebis benci atau dendam terhadap Mrs. B pasal kisah laluku. Wanita ini, dari dulu hingga sekarang pandangannya tetap optimis.

    Aku menghampiri Kaizil yang sedang mengajar Richard  teknik tendangan kiri.

    “Gembira nampaknya,” ujar Kaizil sambil memaut bahuku. 

    Aku tersenyum, para tetamu Bettina sedang menunggu sesi memotong kek dari Nick yang sedang berlangsung. Sebelum pulang, Kaizil sempat diminta bergambar dengan pekerja-pekerja High Style. Aku menghabiskan waktu-waktu berakhir dengan Rory dan kedua abangnya.

    “Saya akan rindukan awak lagi Halyn,” kata Rory comel.

    Aku memeluknya erat dan berbisik, “kita akan jumpa lagi Princess Rory.”

    “Awak sepadan dengan Kaizil,” pandai-pandai saja Richard memadankan kami berdua.

    Kaizil tidak menghantar aku pulang sebaliknya dia memandu menuju ke Hyde park. Kemudian memberhentikan keretanya di suatu tempat sebelum membawa aku keluar berjalan-jalan.

    “Kenapa tak rehat saja kat rumah?” 

    “Buat apa duduk di rumah, awak tak suka temankan saya di sana,” jawab Kaizil.

    “Bukan tak suka...”

    “Jadi kau suka...”

    Aku menyiku tangannya. Kaizil lantas memautkan jemarinya ke dalam jemariku dan untuk ke sekian kalinya aku membiarkan dia berbuat begitu. Adakah untuk memastikan yang aku juga telah jatuh cinta padanya dan memberinya laluan hijau dalam perhubungan pasang surut kami? 

    “Mrs. B tawarkan saya jadi pereka dalam syarikatnya,” ujarku dalam gelap dan dingin. Hanya lampu-lampu tiang yang berbaris-baris di tepi-tepi laluan menyinari taman nan luas itu.

    “Permulaan yang bagus, dapatlah awak belajar dari Bettina. Saya sokong awak Halyn,” kata Kaizil yang terus membawaku berjalan sepanjang tepi tasik yang sunyi. 

    “Patut ke saya terima tawarannya?” kabus berwap keluar dari mulutku dalam kedinginan malam itu.  

    “Apa saja keputusan yang awak buat, tentu semuanya baik, saya percayakan awak,” kata Kaizil. 

    “Ini apa?” aku mengangkat tangan kami yang masih berpegangan. Lupakan sejenak topik menjadi pereka.

    “Sebagai tanda.”

    “Tanda apa?” 

    “Tanda Halyn dah jadi teman wanita saya,” jawab Kaizil.

    “Eh, saya belum iyakan lagi,” aku melepaskan tanganku dari genggamannya.  Kaizil senyum senget tidak mahu mengaku kalah. Dia memejamkan matanya sambil menarik nafas panjang. “Awak tetap akan terima saya tak kiralah apa alasan awak untuk menolak saya. Dalam kata lain... saya benar-benar cintakan awak Halyn,” kata Kaizil dengan jelas dan sangat mudah difahami jika hati tidak berbelah bahagi.

    Aku pula yang terdiam. Menoleh ke kiri dan ke kanan cuba untuk tidak menatap wajah Kaizil yang memang selalu membuat aku tertawan. Dia bukan seseorang yang sangat kacak, tetapi alur wajahnya sangat memikat, sentiasa tenang dan fokus melambangkan jiwa lelakinya yang besar.

    "Terima kasih.." bicaraku tersangkut di situ. Aku hanya memandang Kaizil yang bersandar enak pada pohon yang disimbahi lampu taman yang suram. Cuaca benar-benar sejuk aku memeluk diriku sendiri dalam jaket tebal.

    "Awak sedar tak ada jurang yang sangat besar di antara kita berdua.. Jurang yang mungkin tidak disenangi barangkali keluarga awak, saya gadis yang hidup sebatang kara.." 

    Kaizil memandang ke arah lain sebelum dia menjawab. 

    "Saya dah cukup dewasa untuk memilih suri hati saya, saya tak pandang awak begitu, saya mahu mengikat awak dengan perasaan cinta saya sepenuhnya. Kita fikirkan hal itu lain kali," jelasnya dengan riak wajah yang sayu.

    Aku tidak ada jawapan pasti. Kami berdua perlu saling mengenali hatibudi masing-masing jadi aku tidak menolak bila dia memelukku sekali lagi ketika aku merasa benar-benar kedinginan dan terasa begitu hangat dalam jaket mahalnya yang berbau harum. Berdua bersamanya di taman yang sunyi pada cuaca sejuk memang perkara-perkara bodoh yang selalu dilakukan oleh pasangan bercinta yang belum rasmi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku