Bukan Cinderella
Bab 41
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 Ogos 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
127

Bacaan






Nasib baik cerita pergaduhan itu tidak masuk dalam tabloid. Langsung tak ada ketika aku membaca tabloid kegemaran Julia di kedai Sync2.

“Aku suka kalau ada paparazi tangkap gambar kami bergaduh, biar Amanda malu, biar semua orang tahu yang dia tu jahat!” Julia mengomel sambil membuat kopi dari mesin.

Aku mendengar saja dia mengomel, biar dia lepaskan perasaan tak puas hatinya pada aku. 

Julia menyambung rungutannya yang sudah berlangsung setengah jam. “Kalau ikutkan hati aku memang nak lanyak muka dia kat situ semalam. Dia ingat aku ni lembik macam kau!”

Tak pasal-pasal aku digelar lembik oleh Julia. Aku menggaru kepala.

“Dia dah lebamkan dahi kau pun, kau masih nak diam lagi!” Julia betul-betul masih marah, dia memang tak puas belasah Amanda rupanya.

“Kalau aku jumpa dia lagi, habislah dia aku kerjakan!”

“Dah puas mengomel?” 

Julia menghenyak punggung di sebelahku. Aku menyorong sandwich di hadapannya. “Jom kita sarapan, lupakan Amanda, fikir pasal Sync 2 lagi baik, untung juta-juta dolar kemungkinan besar kau dapat.”

Julia menghembus nafas geram tapi mengambil sandwich tadi dan mengunyahnya perlahan. Sekejap lagi redalah perasaannya. 

“Aku minta kau jangan mengalah dengan Amanda. Teruskan aje hubungan kau dengan Kaizil, jangan peduli pasal Amanda, dia tu kemaruk duit.”

“Kenapa pulak aku nak berbaik dengan Kaizil, kami dah putus,” aku menyahut. Geram juga bila Julia menyambung topik nak berbahas tentang Amanda dan Kaizil.

“Kau mesti dengar cerita aku sebelum putus dengan Kaizil.”

Hah! Aku ternganga, cerita apa yang begitu hebat sekali yang boleh memujuk aku untuk bersama Kaizil. Dia pun dah tak peduli sangat tentang hubungan kami berdua, dari matanya aku tahu dia dah tawar hati.

“Cerita apa?”

“Aku telefon Kaizil, tanya dia pasal malam Amanda berbaik dengan kau. Memang dugaan aku betul.”

Mataku terbuka besar.

“Sebelum tu aku cerita dulu pasal kenapa Kaizil tahu apa saja aktiviti kau.. kau jangan marah ya..” 

Julia betul-betul buat aku bingung, ada apa dia dengan Kaizil tapi aku memang pelik kenapa Kaizil selalu tahu aktivitiku. Mungkinkah Julia yang...

“Aku yang selalu beritahu Kaizil tentang kau.”

“Kau!” Aku terkejut, baki sandwich tadi aku letak dalam bekas. “Kau yang beritahu dia, patutlah aku hairan kenapa dia selalu tahu aku buat apa.”

“Sebab aku nampak dia betul-betul sukakan kau, sekurang-kurangnya aku tahu ada orang yang ambil berat pasal kau selain aku..”

“Untuk apa?”

“Kau perlukan lelaki macam Kaizil.”

“Apalagi yang kau beritahu dia..” aku tak sabar nak korek semua rahsia mereka berdua.

“Aku yang beritahu dia kalau kau keluar dengan Cain atau balik dengan Cain, dia cemburu dengan Cain sebab tu dia geram betul dan kejar kereta Cain hari tu hihi..” Julia tersengih dengan sengihnya yang buat aku nak sumbat je baki sandwich di hadapanku.

 “Aku juga yang beritahu dia pasal rekaan kau, cita-cita kau nak jadi pereka baju kanak-kanak dan malam tu dia ke hotel untuk mengawasi kau.”

Aku mendengus sambil menggaru pipi, selama ini aku saja yang tak tahu dan sekarang pun masih tak tahu.

Julia meneguk kopinya kemudian berpusing menghadap padaku. “Kau nak tahu pasal malam tu, kenapa kau ada di katil Kaizil atau kau nak tanya sendiri dengan dia?”

“Tak, aku tak mahu tahu,” aku merajuk tak puas hati. “Ok, baiklah.. beritahu aku cepat,” kataku selepas beberapa saat berfikir.

Mata kami bertentangan sebelum aku teringat tentang...

“Jus oren?” aku nak tahu itukah puncanya aku terperangkap dengan permainan simpati Amanda dan Julia mengangguk. Perlahan aku merintih, merasakan kebodohanku yang akhirnya terdedah.

“Amanda yang letak ubat tidur dalam jus oren tu, dia cuba rosakkan kau malam tu, rancangannya mengupah seorang lelaki di bilik hotel untuk rosakkan kau dan mencemar reputasi dara kau yang begitu dibencinya..”

Julia mengangguk-angguk bangga dengan hasil siasatannya.

“Aku memang bodoh sebab tak pernah nak jangkakan apa-apa," luahku kecewa.

Julia mengerling dengan senyuman sinis.

“Kemudian Kaizil bawa kau balik rumah dan... dia kata dia tak buat apa-apa pun pada kau, dia tidur di luar, itulah cerita sebenarnya,” cerita Julia yang begitu meyakinkan.

“Habis tu, kenapa dia tak jelaskan apa-apa pun pada aku, kenapa dia beritahu kau pulak, dia memang tak fikir aku ni penting lagi pada dia..” aku geram dan memang tak puas hati bila Julia lebih dulu tahu semuanya.

“Sebab kau marah sangat katanya, aku dah beritahu dia jelaskan apa yang berlaku semuanya pada malam itu pada kau tapi Kaizil pesan, dia mahu rahsiakan dulu hal itu dari kau sehingga tiba waktu tenang dan kamu boleh bercerita dengan baik. Dia betul Halyn, biarlah semuanya tenang dan kamu berdua berbincang dari hati ke hati. Aku percaya, dia bukannya tak mahu beritahu kau, Kaizil mungkin lebih memahami kau dari pandangan seorang lelaki yang sangat menyayangi kau. Cuma aku yang tak sabar nak beritahu kau supaya kau tak buat keputusan melulu...” jelas Julia panjang lebar. Tidak sempat aku menjawab dia menambah lagi. “Mungkin juga sebab kamu berdua sibuk, yalah yang seorang pereka baju, yang seorang lagi pemain bola tahap dunia. Halyn pergilah cari masa jumpa dia, betulkan semuanya, kau dah jumpa orang yang betul yang akan menjaga kau dengan baik.”

“Mudahnya kau cakap pasal ‘menjaga aku dengan baik’ aku boleh jaga diri sendirilah..” aku menafikan keras pendapatnya.

“Ish! Keras kepala betul.” Julia menjegilkan matanya kepadaku mungkin berharap aku akan menurut katanya.

“Buat apalah kau jadi orang tengah antara kami selama ni, kalau kau tak sebar rutin harian aku pada Kaizil tentu dia tak tahu apa-apa pasal aku atau mungkin takkan berminat dengan aku, bolehlah juga aku teruskan hubungan dengan Cain,” aku cuba menyalahkan Julia kerana menjadi orang tengah yang akhirnya membuatkan aku menerima Kaizil, aku tak peduli lagi tentang perasaan cinta yang aku pendam sekarang. Perasaan itu mungkin tak wujud kalau Julia tak masuk campur. Aku menarik nafas panjang.

Julia mencebik dengan bola matanya berputar-putar mengejekku. “Eleh, kalau kau tak sukakan Kaizil tentu awal-awal lagi kau dah tolak dia, jangan cakap asal Thorpe Park, aku tahu tau..”

Giliranku pula menjegilkan mata, ketawa Julia meledak. 

“Kau tahu?”

“Akukan perantara hahaha, dia cakap kau memang penakut. Huh, masa aku ajak tak mahu bila Kaizil ajak kau ikut..”

“Aku tak tahu dia bawa aku ke sana!” aku memukul tangan Julia yang senyum sumbing memerliku.

“Apa yang kau dapat selain jadi perantara. Jangan kata tak ada, Kaizil dah bayar rumah sewa aku setahun...” aku pasti tentu ada tawaran lumayan untuk Julia yang menjadi perantara kami.

Mulutnya muncung ke kiri dan ke kanan sebelum menjawab. “Sync 2.”

“Sync 2?” 

“Aku sewa kedai ni murah.”

“Kenapa?” Kaizil ada pelaburan dalam The Mall Green Wood?

“Pemilik lot kedai ini ialah Kaizil. Dia suruh aku cari tapak kedai di Oxford Street nanti, dia akan beli lot kedai tu dan sewakan pada aku dengan harga murah, sudah tentulah aku setuju.”

“Apa?” aku tercengang dengan perjanjian mereka. Julia dah tak waras ke? Bukan, Kaizil yang tak waras! Aku mengerang grr, tiba-tiba aku menjadi mangsa tersepit yang tak tahu hendak menyebelahi siapa kelak nanti.

“Sebenarnya dia cuma nak tolong aku, dia simpati pada aku masa kau cerita pasal kedai kita di Camden Town. Apa salahnya, dia mahu aku jadi kawan rapatnya macam mana aku dengan kau berkawan..oh dia memang baik, aku harap James pun begitu.”

“Sebab tulah kau sungguh-sungguh bela dia dan berusaha nak satukan kami!” tempelakku.

“Aku sayangkan kau Halyn, aku mahu kau bahagia dengan Kaizil, lupakan tentang kemiskinan kau, terimalah Kaizil.”

“Jadi, macam mana sekarang, kami dah putus... kau tak takut dia naikkan harga sewa kedai ni?”

“Selepas dia selamatkan maruah kau? Kau nak lupakan dia macam tu je, oh Halyn, carilah dia, ucapkan terima kasih, bukankah itu yang sepatutnya.”

Aku tak pasti Julia bersungguh-sungguh mahu aku dan Kaizil bersatu kerana bantuan besar Kaizil untuk Sync 2 atau kerana dia nak aku bahagia. Tetapi Julia berjaya mengungkit budi Kaizil yang seharusnya aku kenang untuk seumur hidup. Aku menyembamkan muka ke kaunter, rasa bersalah tiba-tiba muncul dan kembali berkuasa di dalam tubuhku. Jahatnya aku! Macam mana aku nak jumpa Kaizil dan betulkan semuanya?

“Dia pernah cerita pada aku pasal kejadian di hotel tempat kau kerja sebulan tu, kau ingat lagi?” ungkap Julia yang membuatkan aku bertambah terkejut. 

“Apa dia?”

“Dia tinggalkan Amanda lepas dia jumpa kau di hotel tu.”

Aku membulatkan mata.

“Dengar teori aku ni dan aku tahu teori aku betul. Hubungan Kaizil dan Amanda tak lama. Dia jatuh hati pada kau pada saat dia rupanya memang tak cintakan Amanda. Mungkin dia cuma mencari teman hiburan sebelum menyedari yang dia sukakan, betul-betul sukakan seseorang. Dia beritahu, lepas kisah di hotel pertembungan kamu dia terus putuskan hubungannya dengan Amanda.”

“Aku tetap sakit hati pasal dia bertaruh..” bila mengingatkan rakaman video itu aku rasa nak marah semula, tapi Julia dengan pengalaman cintanya yang tak seberapa terus menyerang dan memusnahkan kebencianku pada Kaizil.

“Dia bertaruh je bukan nak rosakkan kau..” bengkeng Julia lagi. Semua kata-katanya mempengaruhi perasaanku yang kembali berharap akan ada lagi cinta untuk kami berdua.

“Macam mana ni Julia... apa aku nak buat?”

“Pergilah jumpa Kaizil, mengaku aje kau salah, faham!” memang perangai mak tiri betul Julia ni. 




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku