Anehnya Cinta
BAB 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 November 2012
Pertemuaan Afini dengan Yus telah menggegarkan satu ofis. Yus, sering kali mengamalkan sikap autokrasinya dan tidak disenangi oleh Afini. Apa lagi, berlakulah perbalahan kecil tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perang dunia. Siapa sangka, dua insan yang sering bermasam muka ini akhirnya terpaksa mendirikan rumah tangga.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
8090

Bacaan







7

Waiter itu menghadiahkan senyuman setelah hidangan yang dipesan oleh dua lelaki di hadapannya ini diletakkan elok di atas meja. Jeff membalas senyuman lelaki muda itu sebelum mengalihkan semula pandangan matanya ke arah sahabatnya.

“Malam ni tak ada program ke?” soal Jeff tatkala melihat Yus hanya mendiamkan diri semenjak mengambil tempat di hadapannya.

“Kau ni apa hal? Senyap aje dari tadi.”

Yus mengeluh.

“Eh! Yus, kau ni kenapa? Adaproblem ke? Tadi kau yang beria-ia nak ajak aku minum dekat sini. Lepas tu, kau jadi patung cendana pulak,” bebel Jeff tatkala melihat Yus masih mendiamkan diri.

“Aku pening kepalalah.” Akhirnya Yus berterus terang.

“Kau pening pasal papa kau ke?”

“Itu salah satunya…”

“Salah satunya? Okey, kalauproblem tu bukan datangnya daripada papa kau, daripada siapa pulak?”

Yus memandang ke arah Jeff. Lantas…

“Afini!”

“Afini? Kenapa dengan dia?” soal Jeff ingin tahu.

“Semalam aku balik lambat. Aku lalu depan bilik dia. Aku nampak dia menangis. Maksud aku… aku hairanlah.”

“Hairan?” Jeff pantas bertanya.

“Yalah... setahu aku dia tu bukan jenis perempuan yang lembik. Sikit-sikit nak menangis. Tapi malam semalam aku tengok dia menangis macam orang yang betul-betul tengah sedih. Macam dia ada masalah yang terlalu besar.”

“Hmm… dia ada masalah dengan pakwe dia tak?” teka Jeff.

Yus tidak menjawab soalan itu kerana memberi laluan kepadawaiter untuk menghidangkan minuman.

“Tak, aku tak rasa pasal pakwe. Sebab kalau betullah pasal pakwe, kenapa semalam dia tak nak ambilhalf day aje. Padahal tengah hari tu dia dah lambat masuk ofis lepaslunch? Lagi satu, Afini yang aku kenal takkan menangis pasal benda remeh macam tu.”

“Benda remeh kau kata? Kau tau tak cinta ni boleh buat orang merana. Orang boleh jadi gila dan lebih teruk lagi ada yang sanggup bunuh diri sebab cinta! Itu yang kau kata benda remeh.”

“Aku tak kisahlah… pasal pakwe ke? Apa ke! Tapi yang aku bengang sekarang, hari ni boleh pulak dia ambil cuti. Padahal kerja dia berlambak dekat ofis tu!” marah Yus.

“Kau ni kenapa Yus? Tadi aku nampak bukan main lagi kau risaukan Afini. Sekarang ni, aku baru aje cakap yang dia mungkin ada masalah dengan pakwe dia, kau dah naik angin pulak. Ke kau ada hati dekat dia?” perli Jeff berserta senyuman mengusik.

“Aku suka dekat perempuan pendek tu?! Tolong sikit. Dahlah mulut dia tu kalau melawan mengalahkan bertih jagung. Tak ada maknanya aku nak suka dekat perempuan yang macam tu!” balas Yus dengan penuh yakin.

“Okey... Kalau susah sangat, kau berhentikan dia aje. Maksud aku… kalau dia dah ambil cuti sesuka hati,lunch dua-tiga jam mengalahkan bos… apa lagi yang kau boleh harapkan daripada pekerja macam dia tu?”

Entah mengapa cadangan daripada Jeff mengundang debaran di hati Yus. Memecat Afini? Memang benar mulutnya banyak kali memberi amaran kepada Afini untuk memecatnya andai wanita itu masih tidak mampu memperbaiki kualiti kerja. Tetapi entah mengapa, hatinya begitu berat sekali untuk menendang gadis itu keluar dari syarikatnya.

Afini berlari anak ke arah pintu tatkala mendengar ada orang memberi salam dari arah luar.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam...” balas Afini seraya membuka pintu.

“Eh, Siti! Lah... kenapa tak beritahu yang kau nak datang.”

“Saja nak buatsurprise untuk kau.”

“Banyaklah kau punyasurprise,” kata Affini.

Siti melangkah masuk ke dalam rumah Afini. “Sorrylah Afini, malam-malam aku datang sini. Mak kau mana?”

“Ada dalam bilik dia, dah tidur,” jawab Afini.

“Malam ni aku nak tidur rumah kau boleh?”

“Mestilah boleh. Kau ni macam tak biasa aje tidur rumah aku. Bukan ke dulu rumah aku ni jadi rumah kedua kau. Dah lupa ke?” soal Afini berserta rasa gembira kerana sahabatnya itu akan menemani lenanya malam ini.

Afini pantas membawa Siti ke bilik. Setelah Siti membersihkan badan, Affini menemani sahabatnya itu menikmati makan malam.

“Kenapa kau tak datang kerja tadi?” soal Siti setelah mengambil tempat di katil.

Afini yang pada mulanya sudah merebahkan tubuh, kini bangkit duduk dan Siti mengambil tempat di sebelahannya. “Kenapa? Ada orang mengamuk ke aku tak datang tadi?”

“Tak adalah mengamuk. Tapi Encik Yus sibuk tanya aku kenapa kau tak datang. Lepas tu kau tahulahkan mulut dia tu…” Siti tidak menyudahkan ayatnya.

“Hmm… aku tahu. Kalau aku jadi Encik Yus pun, aku akan bengang kalau dapat pekerja yang bermasalah macam aku.” Suara Affini, lemah.

“Kau tak jawab lagi soalan aku. Kenapa kau tak datang kerja hari ni?”

“Aku… aku cuba dapatkan pinjaman dari bank.”

“Untuk apa?” soal Siti masih kurang jelas.

“Untuk bayar tunggakan ansuran pinjaman yang arwah ayah aku tak bayar tu.”

Siti mengangguk. Dia mengusap-usap belakang Afini bagi menenangkan hati kawannya itu.

“Aku tak tahu nak buat apa dah. Semua bank aku pergi, tapi satu pun tak menjanjikan apa-apa. Alasan mereka sebab aku barustart kerja tempat baru, tak sampai sebulan pun aku kerja… Gaji pertama pun aku belum sempat rasa lagi. Aku tahu kenapa dia orang tolak permohonan pinjaman aku, sebab dia orang tak yakin.”

Kini Afini sudah tidak mampu untuk menahan tangisannya lagi. Biarlah Siti tahu betapa tertekannya dia saat ini.

“Sabar ya, Afini. Boleh aku tahu berapa jumlah yang kau perlukan?”

“Hampir RM 20 ribu.”

What?” Terkejut Siti mendengar jumlah itu.

“Banyakkan. Mulanya aku ingat tujuh bulan aje tunggakan yang arwah ayah aku tak bayar. Tapi rupa-rupanya sebelum ni pun arwah pernah sangkut-sangkut bayar. Jadi jumlah tunggakan tu sembilan bulan. Sebelum hari Jumaat ni aku perlu sediakan RM20 ribu. Jumlah tu dah termasuk dengan kadar bunga dan caj lain-lain yang dikenakan oleh pihak bank. Bukan sikit ansuran bulanan yang perlu aku bayar lepas aku dapatsettlekan tunggakan ni. Aku sendiri tak faham. Kenapalah mak aku boleh termakan dengan pujuk rayu arwah ayah aku tu! Habis tanah pusaka mak aku yang luas ni,”
kata Afini bersama tangisan.

“Sabar Afini… aku tak sangka seteruk ni masalah kau,” tutur Siti bersama linangan air mata juga. Dia pantas memeluk erat tubuh Afini untuk menyuntik sedikit kekuatan ke dalam diri sahabatnya itu.

“Aku boleh sabar, tapi mak aku… dia baru aje makin pulih lepas aku berulang-alik bawak dia berubat dengan Ustaz Daud. Kalau mak aku tahu masalah ni… Aku takut mak aku akan jadi macam dulu.”

Suasana menjadi sepi seketika.

“Kau ada tiga hari sahaja lagi. Apa rancangan kau sekarang?”

Hanya gelengan yang mampu Afini berikan. Biarlah Allah SWT yang menentukan takdir dirinya. Hanya doa dan harapan kepada Yang Maha Esa dan Yang Maha Berkuasa Allah yang menjadi kekuatan Afini saat ini.

 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku