Anehnya Cinta
BAB 27
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 November 2012
Pertemuaan Afini dengan Yus telah menggegarkan satu ofis. Yus, sering kali mengamalkan sikap autokrasinya dan tidak disenangi oleh Afini. Apa lagi, berlakulah perbalahan kecil tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perang dunia. Siapa sangka, dua insan yang sering bermasam muka ini akhirnya terpaksa mendirikan rumah tangga.
Penilaian Purata:
(48 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
16908

Bacaan






27

Hari ini Afini dan Yus memutuskan untuk melawat Dato Haalim. Seingat Afini sudah hampir sebulan dia tidak bertemu dengan lelaki penyabar itu. Rasa rindu terhadap lelaki yang sudah dianggap seperti ayahnya itu, menyebabkan dia memberikan cadangan kepada Yus untuk melawat bapa mentuanya itu. Mujur sahaja Yus menyetujuinya.

“Kenapa pulak dia ada dekat sini?!” Yus mendengus sebaik sahaja keluar dari kereta.

“Siapa?” soal Afini, inginkan kepastian.

Namun, tiada jawapan yang diberikan. Pandangan Yus masih tertumpu pada kereta Mercedes berwarna hitam yang kedudukannya betul-betul bersebelahan dengan kereta miliknya.

Afini turut memandang kereta itu. Seingatnya, bapa mentuanya hanya memiliki dua buah kereta sahaja iaitu Mercedes berwarna silver dan juga sebuah Mitsuoka Galue III yang merangkul takhta sebagai kereta kesayangan bapa mentuanya.

Sewaktu melangkah masuk, Yus dengan cepat menggenggam jari jemari Afini.

Begitulah kebiasaannya, lakonan dan sandiwara pasti akan mengaburi mata lelaki yang sudah pun tersenyum ke arah mereka. Tetapi hari ini bapa mentuanya itu tidak keseorangan. Dia ditemani seorang lelaki yang turut memberikan ekspresi wajah yang sama. Namun Afini tidak senang dengan senyuman yang dilemparkan oleh lelaki itu. Nampak tidak ikhlas. Dia mula berfikir, mungkinkah lelaki itu yang dimaksudkan oleh Yus sebentar tadi? Dan kenapakah agaknya Yus tidak menyenangi akan kehadiran lelaki itu?

“Kenapa menantu papa ni tak beritahu nak datang? Kalau papa tahu Afini nak datang, mesti papa masak makanan yangbest-best.”

“Tak payah susah-susahlah papa. Afini datang sini bukannya nak makan, tapi nak jumpa papa. Rindu…” kata Afini sambil tersenyum.

Melebar senyuman di wajah tua itu. Sememangnya itu jualah rasa hati Dato Haalim pada anak menantunya.

Selepas menyalami Dato Haalim dan Dato Azlil, Yus membawa Afini untuk mengambil tempat berhadapan dengan papanya serta sahabat papanya itu.

Seperti tadi, Afini masih berasa tidak selesa dengan cara pandangan lelaki yang duduk bersebelahan dengan bapa mentuanya itu.

Yus yang menyedari keadaan Afini, meraih semula jari jemari isterinya itu dan digenggamnya erat.

Beberapa minit kemudian, Mak Timah menatang sepinggan cekodok pisang dan empat cawan teh panas.

Belum sempat Afini ingin bertanya khabar, Mak Timah sudah pun berlalu ke dapur.

“Mak Timah kamu tu nak mengemas barang-barang dia. Kejap lagi anak dia bongsu dia nak datang ambil dia. Katanya nak bawak Mak Timah bercuti ke Langkawi,” terang Dato Haalim agar menantunya itu tidak terasa hati dengan sikap kelam kabut Mak Timah sebentar tadi.

“Kamu tengok tu, Yus. Mak Timah yang dah tua-tua tu pun dibawa bercuti ke sana ke mari. Kamu ni muda lagi. Kenapa tak bawa Afini berbulan madu? Dahlah Afini ni asal orang susah. Masa majlis kahwin pun, kamu buat dekat rumah aje. Mana ada orang yang berpengaruh macam papa kamu ni buat majlis dekat rumah. Paling ‘cikai’ pun orang buat dekat hotel bertaraf tiga bintang.”

Tersentap Afini mendengar kata-kata sindiran yang dituturkan oleh lelaki yang bermulut lancang itu. Sungguh! Dia tidak menyangka lelaki setua itu mampu mengeluarkan kata-kata seperti itu. Berbeza benar sikap Dato Azlil dengan bapa mentuanya itu.

Dato Haalim membetul-betulkan cermin matanya. Dapat Afini lihat riak ketidaksenangan di wajah bapa mentuanya itu tika ini. Yus apatah lagi! Afini pasti, hati Yus kini menjadi kayu pembakar sebagai pemangkin api yang sedang marak membakar jiwanya.

“Memang saya orang susah. Tapi sekurang-kurangnya saya tak pernah mengemis untuk meneruskan kehidupan. Pasal berbulan madu, saya yang minta Yus tunda dulu sebab nak mencari waktu yang sesuai. Sekarang ni, kami agak sibuk dengan urusan syarikat. Mengenai majlis perkahwinan tu, saya yang minta papa dan Yus buat di rumah ni aje. Saya tahu papa orang berpengaruh. Tapi bagi saya tak ada beza pun dekat mana kita adakan majlis perkahwinan. Apa yang penting kerukunan dan kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga. Saya bahagia mendapat suami seperti Yus.” Lancar Afini memberikan ceramah percuma kepada lelaki yang sedang memandang tepat ke arahnya.

Dato Haalim sudah pun tersenyum.

Yus pula pantas menoleh ke arah Afini. Dia masih tidak menyangka yang Afini akan melahirkan kata-kata akhir itu di dalam bicaranya sebentar tadi.

“Hmm… uncle bukan apa. Uncle nak Afini faham yang status Afini tak sama dengan Yus dan Dato.”

“Apanya yang tak sama? Kau ni pun… aku tak pernah pandang kedudukan Afini. Bagi aku, Afini menantu yang baik dan dia ikhlas menerima Yus sebagai suami. Itu yang penting. Lagipun cuba kau tengok zaman sekarang ni. Berapa banyak yang buat majlis perkahwinan bagai nak ‘rak’ tapi tup-tup tak sampai setahun dan bercerai. Kalau boleh aku tak nak nasib anak menantu aku jadi macam tu.”

Dato Azlil terdiam seribu bahasa.

“Uncle... kalau boleh lepas ni tak payahlah uncle nak serabutkan fikiran uncle fikirkan tentang saya dan Afini. Tak perlu risau. Saya bahagia dengan pilihan saya. saya tak pandang harta dia. Keikhlasan dia menerima saya dah cukup membahagiakan saya. saya rasa, lebih baik uncle fikirkan anak-anak dan isteri uncle.” Andai tadi, Yus hanya mendiamkan diri dan menjadi pemerhati, kini bom terakhir diletupkannya.

Jelas wajah Dato Azlil bertukar kemerah-merahan akibat rasa geram bercampur malu dengan kata-kata Yus itu.

Afini duduk sendirian di tepi kolam ikan. Tenang hatinya melihat apa yang terbentang di hadapan matanya. Ikan-ikan yang pelbagai corak itu sentiasa menggamit hatinya untuk menjadi penonton bagi menyaksikan ciptaan Allah yang bebas berenang ke hulu dan ke hilir. Lenggokan badan dan ekornya begitu mengasyikkan.

Yus berjalan menghampiri Afini.

“Uncle dah balik?” soal Afini setelah Yus mengambil tempat di sebelahnya.

“Belum. Bila entah nak berambus!” marah Yus.

“Tak baik cakap macam tu. Walaupun mulut dia macam tu, tapi you kena hormat dia sebagai orang tua. Diakan lebih tua daripada kita. Kawan baik papa lagi.”

“Sebab I masih ingat yang dia tu kawan baik papalah, I ‘basuh’ ala kadar aje mulut dia tadi. Kalau tak, memang habislah I ‘basuh’ cukup-cukup sampai dia terus berambus.”

Afini hanya tersenyum melihat sikap Yus. Persis seorang kanak-kanak yang marah apabila dirinya dibebeli.

“You boleh senyum lagi? You tak rasa terhina ke dengan kata-kata uncle tadi?”

“Tipulah kalau I tak terasa. Biarlah apa pun orang nak cakap. Allah itu Maha berkuasa dalam menterbalikkan sesuatu. Tak mustahil suatu hari nanti dia akan berada di tempat I dan waktu itu, barulah dia akan menghargai setiap patah perkataan yang dituturkan.” Afini masih membuang pandang ke arah kolam.

Yus pula memandang Afini. Lain benar cara pandangannya. “Kenapa you pandang I macam tu?”

“Sebab… I nak tahu macam mana you boleh bersikap macam ni?”

“Bersikap macam mana?” Afini sudah mengerutkan keningnya.

“Yalah… bila orang sakitkan hati you, you boleh buat tak tahu aje. Dahlah tu… senang pulak you maafkan orang.”

Sekali lagi Afini tersenyum. Seingatnya sudah dua kali soalan yang serupa dipersoalkan kepadanya.

“Kan I dah pernah beritahu you… sebab nama I, Nur Afini dan bukannya Mohd. Yusuf. Hmm… tapi I nak tahu, dah lama ke papa kawan dengan uncle?”

“Lama jugak. Selain daripada papa, tak ada orang nak rapat dengan Uncle Azlil tu. Mulut mengalahkan perempuan! Disebabkan dialah, I terpaksa berkahwin dengan you!”

‘Terpaksa berkahwin dengan aku? Bukankah aku yang terpaksa berkahwin dengan dia?’

“Kalau tak disebabkan mulut dia yang jahat tu, semua ni takkan berlaku!” Suara Yus sedikit tinggi.

“Maksud you?” soal Afini untuk kepastian.

“Dia yang sebarkan fitnah, kononnya I bercinta dengan lelaki! Habis mengamuk papa bila dapat tahu. Jalan terbaik yang I terpaksa ambil untuk selamatkan keadaan… I terpaksa bernikah dengan you.”

“Fitnah? Bukannya you memang bercinta dengan lelaki ke? Lagi satu, mungkin you terlupa satu perkara. Bukan you yang terpaksa bernikah dengan I, tapi I yang terpaksa bersuamikan you!”

Yus serba salah dengan kenyataan yang diutarakannya sebentar tadi. Kini otaknya yang tersumbat sudah terbuka ruang memorinya untuk mengingati akan satu kenyataan bahawa Afinilah yang menjadi mangsa sebenarnya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku