Anehnya Cinta
BAB 16
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 November 2012
Pertemuaan Afini dengan Yus telah menggegarkan satu ofis. Yus, sering kali mengamalkan sikap autokrasinya dan tidak disenangi oleh Afini. Apa lagi, berlakulah perbalahan kecil tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perang dunia. Siapa sangka, dua insan yang sering bermasam muka ini akhirnya terpaksa mendirikan rumah tangga.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
9229

Bacaan






16

Di pantry terlihat kelibat tiga orang manusia sedang menikmati sarapan pagi sebelum waktu pejabat bermula. Namun ada seorang di antara mereka terlihat berminat untuk mengumpul dana dosa di pagi hari.

“Tak sangkakan Afini tu macam tu?”

Kali ini bukan Ainal yang memegang kunci dosa. Zakaria! Ya lelaki itu telah berjaya dilatih oleh Ainal untuk menjadi pengikutnya yang paling berjaya menabur fitnah!

“Kenapa pulak?”tanya Eliz.

“Yalah. Sabtu nikan dia nak bernikah dengan mamat gay tu! Peliklah aku, muka cantik tapi sanggup kahwin dengan lelaki yang bukan lelaki!” laju Zakaria menjawab persoalan Eliz.

“Hmm… tapi aku rasa bos kita tu bukan gaylah. Kalau gay, takkanlah Cik Afini sanggup nak rosakkan masa depan dia kahwin dengan lelaki yang tak boleh bahagiakan dia.” Eliz menjawab dengan pandangan rasionalnya.

“Bukan gay? Kau tahu tak… dulu Ainal pernah beritahu aku, dua biji mata dia sendiri nampak yang Encik Yus tu bercumbuan dengan Encik Jeff. Cuba kau bayangkan kalau dah bercumbuan, lepas tu buat apa? Cubalah kau fikir sendiri!” Beria-ia Zakaria menambah saham dosanya.

“Tapi aku tak rasa Cik Afini tu perempuan tak baik. Sebab sepengenalan akulah, dia tu baik orangnya.” Eliz masih cuba menepis fitnah yang dibajai Zakaria.

“Dah, cukup! Kau nikan Zakaria, namanya orang terpelajar. Tapi otak, letak kat lutut. Kau sibuk sangat pasal Afini dengan Yus tu kenapa? Ke kau yang ada hati dengan Afini?” Omar yang tadinya hanya menjadi pemerhati, lantas bersuara meluahkan ketidaksenangan terhadap sikap Zakaria.

Zakaria terdiam.

Merah padam wajah Siti saat telinganya menjadi medan lontaran penghinaan Zakaria terhadap insan di sisinya. Semenjak dia dan Afini berdiri di sebalik pintu pantri itulah mereka mendengari tiap butir bicara yang hina dilancangkan oleh mulut longkang milik Zakaria. Siti menoleh ke arah Afini. Terlihat kesuraman dan kesedihan mewarnai wajah mulus itu. Siti mengerti mengapa sebegitu kelam sekali wajah sahabatnya itu.

Afini tidak menunggu lama. Cepat sahaja kakinya melangkah pergi meninggalkan insan keji yang sudah membisu mulutnya setelah diteguri Omar. Kaki diayun laju menghampiri bilik pejabatnya dan Siti setia mengekori.

“Kau dengar tak Afini apa yang si Zakaria tu cakap?”

Afini faham akan maksud Siti. Mestilah persoalan itu berpusatkan tentang apa yang mereka dengari sewaktu menghampiri pantri sebentar tadi.

“Dengar,” jawab Afini sepatah.

“Kalau dengar, kenapa kau tak lanyak aje muka Zakaria tu. Aku nak belasah dia, kau tak bagi. Kau tak sakit hati ke dengar semua tu?”

Afini hanya menundukkan wajah. Masih terasa kepedihan di hati.

“Kenapa kau senyap?” soal Siti tidak berpuas hati dengan sikap kebisuan Afini.

“Apa yang Zakaria cakap tu betul. Takkan aku nak pukul orang yang bercakapkan tentang kebenaran. Memang aku ni perempuan yang entah apa-apa… sanggup hancurkan masa depan, kahwin dengan Yus. Lelaki yang bukan lelaki! Semua tu betul, Siti.” Kali ini Afini tidak mampu menahan air mata daripada terus mengalir. Biarlah air matanya itu mengalir deras andai ia mampu mengurangkan kepedihan di hati.

“Afini… aku… aku tak berniat nak sakitkan hati kau,” seraya menuturkan kata-kata itu, Siti sudah menggenggam jari jemari Afini.

“Aku tahu… ini bukan kali pertama aku dengar Zakaria cakap yang bukan-bukan pasal aku. Entahlah… aku redha. Andai ini yang terpaksa aku lalui setelah apa yang aku korbankan untuk mak aku. Aku redha!” kata Afini.

Afini melihat inai yang dipakaikan di sepuluh jari jemari tangan dan kakinya. Bukan setakat jari jemari, tetapi tapak tangan dan sekitar kakinya jua penuh dengan ukiran halus yang dihasilkan daripada pewarna semula jadi itu.

Siti yang berada di sebelah Afini begitu gembira dapat menginaikan sahabatnya itu. Andai empat bulan lepas Afini menginaikan dirinya, kini tiba pula gilirannya.

“Tak sabar aku nak tengok kau bersanding esok. Mesti cantik,” kata Siti dengan gembira.

Afini terdiam. Adakah Siti sudah terlupa? Perkahwinan esok menandakan satu lagi episod hitam akan tercatat dalam diari hidup Afini. “Kau seronok sebab dapat jadi pengapit aku ke atau sebab… aku akan menderita lepas ni?”

Afini tidak berniat untuk menyindir Siti, cuma sekadar ingin memperingatkan akan penderitaan yang bakal mengekori dirinya selepas ini.

“Afini, aku minta maaf. Aku tak ada niat… maaf,” kata Siti penuh sesal. Air matanya sudah pun gugur.

“Dahlah… kau tak salah. Aku aje yang ‘emo’ sangat.” Afini cuba menceriakan kembali suasana, agar insan-insan yang berada di sekeliling mereka tidak menyedari kelam yang sedang menyelubungi hati mereka.

“Wah! Tak sangka cepat juga jodoh kau ya Afini. Taklah mak usu ni risau kau jadi anak dara tua. Tahniah,” kata mak usu Siti seraya mencium lembut dahi Afini.

“Mak usu pulak bila nak ada pengganti?” usik Afini.

“Alah, tak ada maknanya nak fikir pasal cari pengganti. Besarkan anak lagi baik.”

“Anak lain. Yalah... kalau dah ada pengganti tu bolehlah Siti dapat sepupu lagi.” Kini Siti pula mengambil tempat menyakat Mak Usunya itu.

“Dah tua-tua ni, tak ada maknanya nak tambah anak lagi. Kau ni pun agak-agaklah. Kau tu yang patut berusaha dapatkan anak. Nanti kalau kau dah tua, senang. Anak-anak dah besar.” bebel mak usu.

Afini dan Siti hanya tersenyum kerana sudah biasa dengan sikap wanita berusia itu.

Mak usu meminta izin untuk keluar kerana ada urusan yang ingin diselesaikannya.

“Kau rasa… kau boleh hadapi hari esok?” Kali ini begitu berhati-hati Siti menanyakan soalan.

“Kalau aku kata aku tak bersedia, perkahwinan tu tetap akan berlangsungkan? Tak ada bezanya pun Siti,” Balas Afini dalam kesayuan.

Entah mengapa, malam ini hati Afini benar-benar tidak mampu dipulihkannya lagi sementelah menyedari hari esok merupakan hari keramat yang amat ditakuti.

Siti hanya membisu sambil memandang wajah sahabatnya itu penuh simpati.

Sekali lafaz, Afini sudah sah menjadi isteri kepada Yus. Masih tersarung sepasang kurung moden putih berkerawang di badan Afini. Baju itu sangat cantik dan amat bermakna sementelah ia hasil tangan emaknya. Cincin platinum bertakhtakan sebutir berlian yang begitu bersinar menjadi petanda yang Afini kini sudah tidak mungkin dapat melarikan diri daripada Yus. Hanya cerai daripada lelaki itu yang boleh membebaskan dirinya. Tapi bilakah agaknya dia akan diceraikan?

Pelik! Persoalan itu pula yang berputar di minda Afini sedangkan baru dua jam lepas dia bergelar isteri. Jelas riak terharu dan kegembiraan di setiap wajah yang menghadirkan diri di masjid tadi untuk menyaksikan peristiwa keramat itu. Emak dan bapa mertuanya merupakan orang yang paling gembira tika itu.

“Afini, tunggu apa lagi? Cepat salin pakaian,” bebel Imah, tatkala melihat anaknya itu masih mematungkan diri di atas katil.

Afini hanya diam.

“Kenapa ni, sayang?” tanya Imah pabila Afini masih tidak mengambil pusing akan arahannya.

“Mak, apa perasaan mak setelah bernikah dengan ayah?”

Terlihat riak kesedihan di wajah emaknya, saat Afini menuturkan soalan itu. Salahkah dia mengutarakan soalan sedemikian? Adakah emaknya masih terluka dengan kecurangan arwah ayahnya? Masihkah emaknya tidak dapat memaafi arwah ayahnya?

“Maafkan mak, Afini. Mak dah tak ingat perasaan tu dan kalau boleh mak tak nak ingat dah. Tapi, apa yang penting anak mak ni lebih bertuah sebab dapat suami macam Yus.” Air mata Imah bergenang.

Afini pantas memeluk emaknya untuk menenangkan hati emaknya dan hatinya juga.

Duduk di atas pelamin dengan Yus menjadikan Afini kian gundah. Ingin sahaja rasanya dia berlari meninggalkan majlis ini. Tetapi ke manakah arah tujunya? Walau di hujung dunia sekalipun dia melarikan diri, dia tetap tidak boleh mengubah kenyataan yang dirinya adalah isteri Yus yang sah.

Siti yang menyedari akan perubahan riak di wajah Afini, lantas berbisik. “Afini, senyumlah sikit.”

Afini cuba mengukirkan senyum walaupun tidak ikhlas. Sedari tadi, Yus asyik menjeling beberapa kali ke arahnya. Lelaki lebih pandai melakonkan wataknya. Mana tidaknya, sedari awal berada di atas pelamin, senyuman sentiasa menghiasi wajahnya. Jeff yang menjadi pengapitnya turut tersenyum riang.

‘Riang sungguh mereka dapat mempergunakan aku…’ sayu rintihan hati Afini.

Imah dan Dato Haalim merupakan orang yang meraikan majlis ini dengan rianya. Tatkala Afini menyalami tangan tua milik lelaki yang selayaknya digelar papa, lelaki itu menyentuh perlahan kepalaku. Terukir kegembiraan di wajahnya. Bunga telur dihulurkan selepas bapa mentua Afini itu menepung tawar.

Kini tiba pula giliran Imah. Setelah menepung tawar, wanita itu mencium dahi Yus. Terlihat jelas dipenglihatan Afini, Yus berasa terharu dengan tindakan emaknya itu. Mungkin kerana ketandusan kasih seorang ibu menyebabkan Yus bereaksi seperti itu.

Selepas bersanding dan makan beradab, Afini dan Yus bergambar di pelamin bersama kawan-kawan dan saudara mara. Ainal turut serta.

“Afini cantiknya you hari ni. Bos pun apa kurangnya,” bodek Ainal yang sedang mendukung anaknya.

Afini melihat sekilas ke arah Yus yang siap mengenakan pakaian tradisional Melayu. Bertanjak, bersampin dan berkeris menjadikan Yus tampak seperti pahlawan Melayu. Dia pula mengenakan kebaya ungu, senada warnanya dengan Yus.

“Isteri you mana?” soal Yus, apabila tidak melihat kelibat isteri Ainal.

“Dia tengah makan bos. Biasalah orang perempuan ni, kalau makan memang lambat. Tak macam kita, laju,” sempat lagi Ainal mengumpat isterinya. Tidak hairanlah andai Ainal gemar mencanang tentang keburukan orang lain. Dia meminta izin untuk beredar setelah menyalami Yus dan Afini. Sempat lagi dia mengucapkan kata tahniah. Ikhlas atau tidak, dia tidah tahu.

“Afini...” panggil seseorang.

Di hadapn Afini kini, berdirinya lelaki pertama yang pernah mencuri hatinya.

“Tahniah Yus, sebab you dapat ikat Afini. Dia ni bukan sembarangan gadis. Jaga baik-baik, kalau tak kena sambar nanti,” gurau Zack.

“Jangan risau, I akan jaga Afini baik-baik. Supaya tak ada orang pun yang boleh rampas dia daripada I,” kata Yus sambil sambil merenung Afini penuh kasih.

“Has mana? Tak nampak dia pun?” soal Afini setelah menyedari Has tidak menyaingi Zack ke majlisnya.

Sorrylah… Has, ada urusan sikit. Dia kirim salam dekat you. Dia ucapkan tahniah.”

Entah mengapa kali ini Afini dapat melihat riak ketidakjujuran dalam tutur kata Zack.

Afini memandang dalam kelam malam. Malam ini tiada bulan yang menerangi bumi dan tiada bintang yang menaburi angkasa. Sebagaimana kelamnya malam ini, begitu jualah hatinya saat ini. Kepenatan akibat majlis yang berlangsung dari pagi ke malam tidak mampu menjadi penyebab lenanya.

Yus dan bapa mentuanya sudah pun meminta izin untuk pulang setelah berakhirnya acara membuka hadiah.

Sewaktu Yus melangkah keluar dari rumah Afini, terdengar usikan daripada tetamu. Mana tidaknya, walaupun Afini dan Yus sudah sah menjadi suami isteri tetapi kerana adat, Yus tidak dibenarkan bermalam di rumah Afini sehingga berlangsungnya majlis perkahwinan di pihak lelaki. Menurut kata emaknya, adat itu perlu agar seri pengantinnya terjaga semasa persandingan untuk kali kedua di kediaman Yus pada minggu hadapan.

Andai selama ini, Afini tidak menyenangi beberapa adat Melayu yang dianggap menyusahkan. Namun berbeza kali ini. Dia bukan sahaja menyenangi tetapi amat bersetuju dengan adat yang dianjurkan. Kalau boleh, dia mahukan kewujudan satu adat yang melarang terus seorang lelaki yang sudah sah bergelar suami ‘menggauli’ isterinya. Andai adat itu wujud, dialah insan yang paling gembira.

Afini mengerling ke arah jam yang terletak elok di dinding. Jam sudah melewati 2.00 pagi. Rasa mengantuk masih tidak kunjung tiba menyebabkan mindanya terus berputar memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang perlu dihadapinya.

Bahagiakah dirinya selepas ini? Apakah yang akan terjadi andai benar ditakdirkan jodohnya dengan Yus bukan sekadar sekejap cuma? Andai diceraikan Yus pula, akan adakah lelaki yang mahu menerimanya setelah gelaran janda diperolehi? Berapa lamakah mampu disembunyikannya kebenaran di sebalik perkahwinan ini daripada emaknya dan bapa mentuanya? Persoalan demi persoalan menyesakkan hati dan minda Afini tika ini.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku