Anehnya Cinta
BAB 18
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 November 2012
Pertemuaan Afini dengan Yus telah menggegarkan satu ofis. Yus, sering kali mengamalkan sikap autokrasinya dan tidak disenangi oleh Afini. Apa lagi, berlakulah perbalahan kecil tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perang dunia. Siapa sangka, dua insan yang sering bermasam muka ini akhirnya terpaksa mendirikan rumah tangga.
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
8792

Bacaan






18

 

Pintu bilik yang terkuak sedikit dilebarkan bukaannya. Imah melangkah masuk ke dalam bilik anak tunggalnya itu. Afini yang sedang terbaring, bangkit dan menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Segaris senyuman dihadiahkan buat emak yang kian menghampiri dirinya.

“Afini, kenapa mata tu bengkak aje mak tengok?”

Pertanyaan emaknya menimbulkan debaran di hati Afini. “Tak ada apa-apalah mak. Tak cukup tidur aje ni,” balas Afini. Senyuman yang termati, 'dihidupkan' semula.

“Betul ke ni? Ke rindu dekat Yus?” usik Imah. “Tak payah nak rindu-rindu. Yus dah tunggu Afini dekat depan tu.”

“Dia datang?!” jerit Afini tanpa sedar. Dia menarik muka. Dia tidak bersedia untuk berjumpa dengan Yus lagi.

“Eh! Afini ni kenapa? Macam tak suka aje Yus datang?”

“Hmm… taklah mak. Bukan apa, semalam dia kata tak sempat nak singgah sini. Tup… tup… muncul pulak,” bohong Afini.

“Si Yus dah datang pun. Apa tercegat lagi, pergilah salam suami kamu tu,” bebel Imah.

Afini bangkit dan mengatur lemah langkahnya. Tetapi belum pun sempat dia melangkah jauh…

“Lagi satu, mak tak suka Afini bahasa Yus tu ‘dia’! Panggil ‘abang’, tanda hormat. Kamu tu isteri dia!” tegur Imah.

Afini hanya mengangguk.

Huluran tangan disambut tanda menghormati darjatnya sebagai suami. Mata masih tidak diarahkan pada Yus. Masih terasa bisa akibat bicara yang dilemparkan oleh suaminya itu semalam. “Kenapa datang?!” tanya Afini dengan kasar. Dia mahu Yus tahu yang dia tidak pernah mengalu-alukan kehadiran lelaki itu saat ini, disaat hatinya masih terluka.

“Nak jumpa you,” jawab Yus selamba, seperti orang tidak bersalah.

“Kenapa tak call dulu?” Afini masih menundukkan wajahnya.

“Kalau Icall, you angkat ke?” perli Yus.

Mendengar perlian itu, Afini pantas memandang tajam wajah suaminya yang turut memandangnya. Entah mengapa, kali ini pandangan Yus tidak seperti biasa. Yus memandangnya dengan pandangan lembut, seolah-olah ada sesal di wajah lelaki itu. Mungkinkah Yus menyesal dengan apa yang dilakukannya terhadapnya semalam? Namun persoalan itu tidak mampu difikirkan lama, di saat emaknya datang menghampiri mereka.

Cepat sahaja Yus menarik jari jemari Afini ke dalam genggaman tangannya. Sandiwara bermula.

“Kenapa Yus tak beritahu yang Yus nak datang sini? Kalau mak tahu menantu mak ni nak datang, awal-awal lagi mak suruh Afini masak. Boleh kita makan tengah hari sama-sama.”

“Tak apalah, mak. Lagipun Yus datang sini sebab papa jemput mak dengan Afini untuk makan tengah hari sama-sama hari ini. Papa kata ada hal nak dibincangkan.”

“Hal apa?” soal Imah

Afini hanya diam.

“Yus pun tak berapa pasti,” kata Yus, jujur.

“Hmm… kalau macam tu mak bersiap dululah.” Imah memberi kata persetujuan. Dia melangkah menuju ke biliknya.

Melihat kelibat emaknya itu kian menghilang, Afini melepaskan genggaman tangan Yus yang masih erat bertaut. Tanpa bicara, dia terus mengatur langkah.

Yus hanya memandang dengan pandangan sayu.

Kedatangan Afini dan emaknya disambut gembira oleh Dato Haalim. Masuk kali ini sudah tiga kali, Afini melangkah ke banglo dua tingkat milik insan yang bergelar Dato ini. Banglo yang berkonsepkanmodern kampong living ini sentiasa memberi kedamaian kepada Afini tatkala ke sini. Walaupun banglo ini berlokasi di tengah-tengah bandar, namun sesiapa sahaja yang bertandang ke sini pasti dapat melupakan hiruk-pikuk di luar sana.

Afini masih membuang pandangannya ke arah kolam ciptaan manusia yang dihuni oleh beberapa ekor ikan koi.

“You tengok apa tu?”

Hampir gugur jantung Afini disapa lelaki yang langsung tidak tahu untuk mengungkapkan kata salam itu.

“Tengok buaya!” jawab Afini geram.

Yus tersenyum. “Tak tahu pula I yang buaya zaman sekarang ni saiz dia kecil-kecil.”

Afini hanya diam. Malas untuk melayani kerenah Yus sementelah emaknya dan bapa mentuanya berada di dalam sedang membincangkan sesuatu. Dia hanya akan melakonkan watak sebagai isteri solehah di hadapan mereka.

“Sedap makanan tadi?” tanya Yus.

Afini hanya diam.

“Papa masak khas untuk menantu kesayangannya dia.” Yus masih tidak berputus asa untuk mengajak Afini bercakap. Dia merenung Afini seketika sebelum mengeluh. “Afini… I… I nak cakap pasal semalam.”

Afini masih lagi berdiam diri.

Yus menjadi kian lelah. “I nak minta maaf dengan apa yang telah I lakukan pada you. I harap… you dapat maafkan I.” Akhirnya apa yang ingin dikatakan, dapat diluahkan.

Mendengar kata maaf itu, timbul pula simpati di hati Afini. “Hmm… lupakanlah.”

Suasana kembali sepi setelah Afini menuturkan kata-kata itu.

“You tahu jenis-jenis ikan Koi?”

“Bukan satu jenis aje ke?” soal Afini mula berminat dengan topik baru yang diutarakan oleh Yus.

“Taklah... Untuk pengetahuan you, dalam kolam ni ada empat jenis ikan koi dan kesemuanya berpasangan.”

“Empat jenis?!” soal Afini bagai tidak percaya kerana pada pengamatannya kesemua ikan Koi yang berada di dalam kolam ini kelihatan hampir serupa.

“Kalau you nak tahu. Ikan Koi yang berwarna putih hampir keseluruhannya dan terdapat tompok merah di atas kepala tu namanya Tancho Kohaku. Ikan dekat belakangnya, yang bercorak putih, merah, hitam dan kebiru-biruan tu namanya Goshiki.”

Afini pantas sahaja melihat ke arah ikan yang dimaksudkan oleh Yus. Memang benar, terlihat jelas pelbagai corak berwarna putih, merah, hitam dan kebiru-biruan pada ikan jenis Goshiki itu.

“Yang ada corak merah, putih dan hitam tu namanya apa?” soal Afini lagi, kian berminat.

“Itu namanya Kanogoi dan ikan koi yang badan dan kepalanya bercorak putih dan merah tu namanya Kin Sagura,” seronok Yus melayani pertanyaan demi pertanyaan daripada isterinya itu.

“Betul ke? Ke you tipu I?” soal Afini, mulai ragu-ragu dengan penerangan yang diberikan.

“Buat apa I nak tipu you. I beritahu you ni supaya otak you tu bijak sikit. Bukan apa… lepas ni you tahulah nak bezakan mana satu buaya dan mana satu ikan Koi,” perli Yus bersama senyuman.

Kali ini hati Afini sedikit pun tidak terasa dengan perlian itu. Dia kagum terhadap lelaki di hadapannya ini. Yus bukan sahaja kacak, malahan dia juga mempunyai ilmu yang tinggi dalam pelbagai perkara. Tapi sayang… kalaulah dia ‘normal’ seperti lelaki lain, pasti kesempurnaan itu kian terserlah.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku