Anehnya Cinta
BAB 31
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 November 2012
Pertemuaan Afini dengan Yus telah menggegarkan satu ofis. Yus, sering kali mengamalkan sikap autokrasinya dan tidak disenangi oleh Afini. Apa lagi, berlakulah perbalahan kecil tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perang dunia. Siapa sangka, dua insan yang sering bermasam muka ini akhirnya terpaksa mendirikan rumah tangga.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
7060

Bacaan






31

Semenjak berlakunya perang dunia di antara Yus dan Datin Nur Kamiilah, Yus kembali berubah menjadi seorang pemarah dan bengis. Tiada lagi kata-kata manis bernada romantik yang keluar dari bibir lelaki kacak itu. Sehingga kini, Yus masih tidak tahu Afinilah dalang di sebalik pertemuannya dengan wanita yang amat dibencinya itu.

Afini sendiri tidak dapat menduga apakah yang akan terjadi kepada dirinya seandainya Yus mengetahui perihal sebenar. Sekali lagi nafas dihelakan berat, seberat otaknya saat ini memikirkan perihal Yus dan dirinya.

Keadaan Afini sudah kembali ke asal. Setiap pagi dia akan memandu kereta Wiranya untuk ke pejabat dan saat dia pulang ke rumah, Yus masih belum menampakkan bayangnya. Pulangnya pula pasti melewati pukul 3.00 pagi. Tetapi apa yang benar-benar merunsingkan Afini adalah mengenai kehilangan Yus. Masuk hari ini, sudah dua hari Yus tidak pulang ke rumah. Rasa risau yang menguasai diri, mendesak Afini untuk menghubungi Yus berkali-kali. Namun, tiada satu pun panggilannya dijawab.

‘Ke mana Yus menghilang?’ Bersama soalan yang berbaur kerisauan di hati, Afini mengatur langkah untuk duduk di pangkin kayu yang berada di hadapan rumah emaknya.

Afini mengambil keputusan untuk bertemu dengan insan kesayangannya itu. Sekurang-kurangnya tidaklah dia berasa keseorangan dalam menghadapi kemelut perasaan yang kian meruncing.

Emaknya tidak tahu apa yang berlaku di antara dia dan Yus. Saat emaknya bertanyakan perihal menantu kesayangannya itu, dia terpaksa berbohong mengatakan Yus sibuk.

‘Mana dia pergi ni?’ Kerisauan kian bermaharajalela di hati Afini. Dia sendiri berasa hairan dengan sikap Yus sejak kebelakangan ini. Andai dahulu pergaduhan sebesar mana pun di antara Yus dan mamanya, tidak Afini hiraukan. Malahan hatinya riang setiap kali melihat Yus menderita. Tapi itu dulu! Sekarang semuanya telah berubah. Keluhan kian berat dihelakan. Walaupun matanya disajikan dengan pemandangan yang damai saat ini, tetapi ia tidak mampu untuk mententeramkan jiwanya yang sedang keresahan.

“Apa aku nak buat ni?”

Afini memandang iPhonenya. Sekali lagi dia mendail nombor insan yang telah menghadirkan ketidaktenteraman di jiwanya itu. Seperti sebelumnya, hanya kehampaan yang ditemui. Terasa hendak menangis saat ini. Entah mengapa dia benar-benar risau akan keadaan suaminya itu. Dia takut sesuatu yang buruk telah menimpa diri Yus.

‘Kau takut akan kehilangannya!’ Afini tersentak mendengar kata-kata itu! Kata-kata yang lahir dari hati kecilnya.

"Tak! Tak mungkin aku takut kehilangannya! Aku cuma risaukan dia… sebab… sebab dia bos aku. Kalau apa-apa terjadi pada dia, siapa yang akan ambil alih syarikat. Papa dah tua!" Sengaja mulut Afini memberi alasan untuk menyangkal sangkaan hatinya.

Namun alasan itu masih belum cukup kuat untuk menghalau jauh debaran yang kian rancak bermain di dada. Afini mula bangkit tatkala merasakan dirinya sudah tidak lagi betah berseorang di pangkin itu.

Tiba-tiba iPhonenya berbunyi nyaring. Cepat sahaja Afini melihat skrin siapakah gerangannya. Serta merta senyuman terukir di bibirnya apabila nama Yus terpampang di skrin.

“Assalamualaikum... You dekat mana? Kenapa dah dua hari you tak balik? You tak apa-apa ke?” Bertalu-talu Afini bertanyakan soalan.

“Hmm… I okey. Nanti malam I balik. You dekat mana?”

Begitu banyak soalan yang Afini tanyakan, namun hanya itu sahaja jawapan Yus. Terasa geram hatinya dengan tingkah Yus.

“I… dekat rumah emak. I cubacall you nak minta izin datang sini. Tapi satu panggilan pun you tak jawab,” sayu suara Afini.

“I baru bangun tidur.”

Afini pantas melihat jam di tangan. Sudah pukul 5.00 petang. Malas untuk bertanya banyak, Afini hanya mendiamkan diri.

“Okeylah, Afini. Nanti malam I balik. Kalau you nak tidur rumah emak you, I izinkan.” Yus terus memutuskan talian.

Hati Afini sedikit lega apabila mendengar suara Yus. Maknanya Yus sihat. Dia mengambil keputusan untuk balik.Dia ingin menyediakan hidangan makan malam untuk Yus. Dia ingin masakkan hidangan yang sedap untuk suaminya itu.

“Afini...”

Langkah Afini terhenti tatkala terdengar namanya dipanggil oleh seseorang. Seseorang yang pernah menghadirkan rindu di hatinya. Seseorang yang pernah menghadirkan cinta dan kasih di jiwanya. “Zack...”

Mata mereka bertemu. Lama keadaan itu membeku sehingga Afini akhirnya mengalihkan pandangannya ke bawah.

“Dah lama kita tak duduk bedua-duaan seperti sekarang. Yalah... kalau dulu masa kecil-kecil, pangkin nilah yang menjadi rumah kedua kita bertiga. I, you dan Siti. Tapi sekarang semuanya dah berubah,” kata Zack setelah dia dan Afini mengambil tempat di pangkin.

“Hmm… memang banyak benda yang dah berubah,” kata Afini, perlahan.

“Terutamanya you.”

Afini pantas menoleh ke arah Zack. “I? Bukan you ke yang berubah setelah you menjalinkan hubungan dengan Has?” perli Afini. Sejak kehadiran Has dalam hidup Zack, dunia persahabatan mereka bertiga tiada lagi indahnya.

“I minta maaf Afini.”

“Untuk apa? You tak salah. You tak pernah buat salah dekat I.”

Zack menarik nafas dalam-dalam sebelum bersuara. “I banyak buat salah kat you. Terlalu banyak. I sakitkan hati you. Sebenarnya dah lama I nak minta maaf dekat you. Sebab… sebab…” Kata-kata Zack terhenti di situ. Sekali lagi dia menarik nafas. “Sebab I tolak you sewaktu you ucapkan kata cinta pada I.”

Serta merta dada Afini berombak. Terimbau kembali peristiwa petang itu. Ya! Peristiwa yang membuatkan dia lebih mengenali siapa Zack! Petang itu, dia sudah merancang untuk berdua-dua dengan Zack seperti saat ini. Dalam ketenangan dan kelembutan bayu petang, dia memberanikan diri untuk meluahkan rasa cintanya kepada lelaki itu walaupun dia tahu yang tindakannya itu ibarat perigi mencari timba.

Sungguh! Afini tidak menyangka yang Zack akan menolak dirinya. Apatah lagi alasan yang diberikan kerana dia sudah jatuh cinta pada insan lagi. Lebih memilukan hatinya pilihan hati lelaki itu adalah Has. Kenapa harus Has yang menjadi pesaingnya?!

Sehingga saat ini, Afini seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan itu. Bukan kerana rasa cemburu atau cinta. Tetapi kerana kasihkan sahabatnya itu jualah, dia sentiasa berdoa agar Allah memutuskan dan membuang jauh rasa cinta yang utuh di hati Zack pada insan yang tidak layak untuk menerima semaian cintanya. Baginya, lelaki sebaik Zack tidak layak untuk insan seperti Has.

“Afini… I tahu betapa terlukanya you pada waktu itu. Tapi I tak nak tipu you. You sahabat terbaik yang pernah I miliki dan I tak nak kehilangan persahabatan ini.”

Afini masih membisu. Takut andai dirinya bersuara, Zack akan menyedari kelainan dalam nadanya nanti.

“Afini…” Sekali lagi nama Afini dipanggil lembut. Zack memang begitu, tidak pernah sekali pun dia meninggikan suara tatkala menyebut nama sahabat baiknya itu.

Suatu ketika dahulu Zack sentiasa mendahulukan diri Afini. Namun setelah dia mengambil keputusan untuk bersama Has, jelas sekali sahabatnya ini dipinggirkan.

“You masih mencintai Has?” Hadir getaran dalam bicara Afini.

“I… masih mencintai dan akan terus mencintai Has.”

Sudah Afini jangkakan itulah jawapan yang akan diberikan oleh lelaki yang telah pun menundukkan wajahnya.

“You tak rasa ke yang hubungan you ni…” Tidak sanggup rasanya untuk Afini meneruskan kata-katanya itu. Dia takut hati Zack akan terluka.

“I tahu apa yang you nak cuba sampaikan. Bila saat I memutuskan untuk bersama dengan Has, I telah nekadkan di hati yang I takkan tinggalkan dia sehinggalah dia yang memutuskan untuk mengakhiri perhubungan kami.”

Apa lagi yang mampu Afini katakan andai itulah pendirian sahabatnya ini. Tetapi andai benar apa yang dikatakan oleh Zack, mengapa terlihat jelas dipandangannya kesedihan sedang menyelubungi wajah Zack saat dia mengakhiri bicaranya? Apakah sebenarnya yang telah terjadi? Mungkinkah berlaku konflik di dalam perhubungan cinta antara Zack dan Has?

“Semua dah siap.” Afini tersenyum puas melihat beberapa jenis lauk pauk terhidang kemas di atas meja makan. Niat asal untuk memasak hidangan makan malam terbantut kerana kekangan waktu akibat berbual panjang dengan Zack sewaktu di rumah emaknya tadi. Akhirnya terpaksa jua dia menyediakan lauk ‘tunjuk’ yang dibelinya di sebuah restoran. “Harap-harap Yus sukalah.”

Sekali lagi dia mengerling ke arah jam yang berada di dinding. “Dah nak dekat pukul 9.00. Mana pulak mamat ni. Janji nak balik malam ni,” bebel Afini sendirian serta sudah mulai berkira-kira untuk menghubungi Yus.

Afini mengambil semula iPhone yang diletakkannya di atas meja makan. “Hmm… nanti kalau akucall apa, pulak dia cakap,” katanya sendirian.

“Ah! Buat apa nakcall. Dah tua bangka macam tu, pandailah dia balik nanti. Baik aku solat Isyak dulu.” Keputusan telah Afini ambil dan kaki telah diatur untuk melangkah ke biliknya bagi menunaikan tuntutan agama.

Selepas menunaikan suruhan-NYA, dia menadah tangan membaca doa. “Ya Allah... kau ampunkanlah segala dosaku, dosa arwah ayahku serta ibuku, dosa suamiku dan seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah tiada. Kau bukalah pintu hati suamiku untuk bertaubat pada-MU ya Allah. Kau tutuplah pintu hatinya untuk terus menyintai kaum sejenis. Kau bukalah pintu hatinya untuk mengikuti jalan yang lurus dan kau buka jualah hatinya untuk memaafi segala kesalahan yang telah dilakukan oleh mamanya.

Kau selitkanlah rasa kasih sayang di dalam hati Yus agar dia dapat menyayangi ibu kandungnya sendiri dan agar mereka dapat berkasih sayang selaku ibu dan anak. Amin...” Seusai berdoa, dia meraupkan kedua tapak tangannya ke muka dengan harapan doanya akan diperkenankan oleh Tuhan yang Maha Menetukan segala-galanya.

Ketukan di muka pintu mengejutkan Afini. Cepat sahaja dia menanggalkan telekung yang membaluti tubuhnya itu. Langkahnya laju menuju ke pintu utama. Tombol pintu dibuka.

‘Dah tahu nak balik, kenapalah tak bawak kunci.’ Bebelan itu hanya tercetus di hati sedangkan bibirnya Afini sudah pun mengukirkan senyuman.

Namun sewaktu daun pintu dibuka, senyuman Afini termati serta merta. Dia terkejut melihat insan yang sedang berdiri di luar muka pintu. Bukan Yus tetapi lelaki yang sering menjadi punca tercetusnya api cemburu di hatinya.

“Jeff...” Perlahan Afini memanggil nama itu sedangkan hatinya bergaul rasa saat itu. Rasa cemburu dan risau bercampur menjadi satu. Cemburu kerana dia merasakan Jeff ‘madunya’ dan risau tatkala memikirkan kemungkinan kehadiran ‘madunya’ ini adalah untuk memaklumkan sesuatu perkhabaran buruk mengenai Yus.

“Maaf Afini. I tak ada niat nak ganggu you. I cari Yus.”

“Yus tak ada,” jawab Afini, jujur.

“I tahu. Tadi I adacall Yus. Dia yang minta I datang dulu. Dia suruh I tunggu dia dekat sini.”

“Hmm… tapi sekarang ni I…” Belum sempat Afini mengakhiri kata-katanya, telefon Jeff berbunyi.

Jeff pantas menjawab panggilan itu.

“Yus, kau dekat mana? Aku baru sampai ni. Kau lambat lagi ke? Okey, kalau macam tu aku tunggu kau dekat rumah. Cepat sikit.”

Afini hanya memerhatikan sahaja Jeff berbicara dengan sang pemanggil yang diyakininya Yus. Jeff tampak sedih. Apakah yang sedang berlaku sebenarnya? Berlaku sesuatukah antara Jeff dan Yus? Seingatnya, sepanjang tempoh perkahwinannya dengan Yus, inilah kali pertama ‘madunya’ ini menjejakkan kakinya ke kondominium ini.

“I minta maaf Jeff. I bukan tak nak bagi you masuk. Tapi…”

“I faham. Tak apa, I tunggu dekat luar aje. Yus pun dah nak sampai.” Jeff tersenyum.

Afini tidak tahu ikhlaskah senyuman itu? Tetapi tidak penting pun untuk dia memikirkan perihal keikhlasan ‘madunya’ itu.

Hampir sepuluh minit menemani Jeff berbual di muka pintu, kelibat Yus kelihatan. Berlari anak Yus mendapatkan mereka. Tidak! Bukan istilah ‘mereka’ yang patut Afini gunakan. Jelas dipenglihatan Afini kini, Yus mendapatkan Jeff dan bukannya dirinya.

“Kau okey ke?” tanya Yus.

Jeff pula apa lagi, mulalah menunjukkan wajah sayu. Menyampah Afini melihat tingkah pasangan ‘kekasih’ itu!

“Jom masuk dulu. Kita cerita dekat dalam.” Seraya menuturkan kata-kata itu, Yus memegang lengan Jeff.

Langsung tidak dipandangnya wajah Afini, apatah lagi untuk menghiraukan kehadiran isterinya itu di muka pintu.

Jeff mengambil tempat di sofa yang berada di ruang tamu. Yus sudah pun menghilangkan diri ke biliknya.

“Jemput minum,” pelawa Afini sambil menghulurkan secawan kopi kepada ‘madunya’ itu dan secawan lagi diletakkan di sebelahnnya.

“You tak minum?”

Afini sekadar menggeleng. Tiada senyuman terukir di bibirnya.

Jeff dapat menghidu ketidaksenangan Afini dengan kehadirannya. “I minta maaf kalau I mengganggu you dan Yus. I cuma tak tahu mana nak pergi lagi? Hanya Yus yang faham diri I.”

‘Memanglah dia faham! Sebab diakan ‘suami’ kau!’ Hati Afini benar-benar sakit. Andai diikutkan kemarahan yang sedang bermaharajalela tika ini, mahu sahaja dia menendang keluar lelaki yang masih memandang sayu ke arahnya ini.

“Kau tak payah minta maaf! Ni bukannya rumah dia! Ini rumah aku! Bila-bila masa aje kau boleh datang sini!”

Terkejut Afini mendengar kata-kata kesat yang keluar dari mulut suaminya itu.

“Kau ni Yus… tak baiklah bergurau dengan Afini macam tu.” Jeff cuba untuk mengendurkan ketegangan yang sudah mula menampakkan bayangnya saat ini.

“Aku tak bergurau! Aku serius! Kau boleh datang sini bila-bila masa sahaja! Dah, jomlah.”

Yus sudah pun menarik tangan Jeff ke biliknya.

Sehingga saat ini mata Yus masih tidak mahu menjamah seraut wajah Afini. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana sedih dan pilunya hati Afini saat ini. Dua hari dia merindui suaminya itu. Bila sudah berada di hadapan mata, untuk menoleh ke arahnya pun Yus tidak sudi. Hatinya bertambah pedih bagai dihiris sembilu saat melihatkan Yus dan ‘kekasihnya’ itu kian menghampiri kamar yang akan menjadi tempat untuk mereka bermadu asmara.

“Tak nak makan dulu?” Entah dari mana datangnya kekuatan untuk Afini bersuara. Harapannya cuma satu, agar Yus sudi untuk menoleh ke arahnya. Cukuplah untuk sekali sahaja, agar dia tahu dirinya masih ada ruang di hati lelaki itu.

“Tak payah! Aku tak ingin.”

Sedih hati Afini mendengar kata-kata kesat Yus. Air mata cuba ditahan dari mengalir. Sampai hati Yus bercakap kasar dengannya di hadapan Jeff. Dia tahu bahawa perkahwinan yang mereka dirikan hanyalah berpaksikan keterpaksaan dan penipuan untuk menutup keaiban yang dicipta oleh Yus dan Jeff. Afini melangkah masuk ke biliknya. Tangisan yang cuba ditahan akhirnya pecah.

“Kenapa kau layan Afini macam tu?!” marah Jeff dengan tingkah sahabatnya itu. Dia duduk di sofa berhadapan dengan Yus yang duduk di birai katil.

Yus mengeluh. “Aku… aku nampak dia curang dengan aku!” Akhirnya barulah dia bersuara.

Jeff menggeleng. Dia faham benar dengan sikap sahabatnya itu. Banyak kali Yus menuduh Afini berlaku curang, tetapi bila bukti dituntut tidak pula Yus memberinya. “Kau ada bukti?”

“Kau nak bukti? Ni, kau tengok ni!” Yus sudah pun menyuakan iPhonenya kepada Jeff.

Di skrin, terpampang gambar Afini sedang duduk bersebelahan dengan seorang lelaki di atas pangkin kayu. Seingatnya dia pernah berjumpa malahan berbual dengan lelaki ini. Tapi di mana? “Lelaki ni…”

“Zack! Jantan tak guna tu! Sial!” Belum sempat Jeff meneka nama insan yang menimbulkan kemarahan dalam diri sahabatnya ini, Yus terlebih dahulu menyebutnya.

“Ooo… Zack. Aku dah ingat. Dialah yang kita jumpa masa dekat restoran tempoh hari. Waktu kenduri kahwin kau dan Afini pun dia ada datangkan?”

Yus meraup wajahnya berkali-kali. “Mana kau ambil gambar ni?”

“Dekat rumah mak mentua aku. Aku ingat nak buatsurprise dekat Afini. Itu yang aku datang mengejut dekat rumah mak mentua aku. Elok aje aku sampai dekat perkarangan rumah mak mentua aku, aku nampak Afini tengah berbual dengan Zack. Bukan main seronok lagi aku nampak dia orang bermesra sampai kereta aku pun si Afini tu boleh tak perasan. Dasar perempuan gatal!”

“Mulut kau ni lancang betul! Mesra apa? Aku tengok dia orang duduk jauh. Tak ada pegang tangan pun dan tak nampak mesra pun. Lagi satu, takkan kau tak perasan yang muka Zack ni macam orang tengah sedih. Zack ada masalah kot. Kan ke kau beritahu aku yang dia orang ni berkawan sejak dari kecil lagi. Tak mustahilkan dia cari Afini sebab nak luahkan masalah dia? Macam aku dengan kau.”

Yus terdiam. Ada benarnya kata-kata sahabatnya itu.

“Lagi satu, kalau Zack dengan Afini ada hubungan sulit, buat apa dia orang nak bermesra dekat pangkin tu. Dahlah depan rumah mak dia. Baik dia orang cari hotel. Yus… aku kenal perangai kau. Kau ni memang suka bertindak melulu. Ingat! Walaupun Afini tu mudah memaafkan orang, itu tak bermakna yang kau boleh sakiti hati dia sesuka hati. Macam yang kau buat tadi. Lagi satu kau pernah beritahu aku yang Afini sukakan Zack. Betul?”

Yus hanya mengangguk.

“Kau pernah terfikir tak kenapa Afini boleh jatuh hati dekat Zack? Apa kelebihan yang dimiliki Zack? Kalau diikutkan dari paras rupa, memang aku tak nafikan yang kau jauh lebih kacak dan tampan. Tapi tak semua perempuan menilai seseorang lelaki berdasarkan paras rupa dan harta. Apatah lagi perempuan yang polos macam isteri kau tu.” Jeff menepuk perlahan bahu Yus.

Terpancar kekesalan di wajah Yus. Dia baru sedar kekhilafan yang dilakukan sebentar tadi.

“Kau sayangkan dia?”

“Kalau aku tak sayang dia, aku takkan jadi macam ni. Aku hampir gila bila nampak dia berdua-duaan dengan Zack. Aku sendiri tak dapat bayangkan macam mana hidup aku, kalau Afini pergi jauh dari sisi aku.”

“Kalau macam tu. Kenapa kau tak berterus terang dekat Afini yang kau ni sebenarnya bukan gay. Kau patut luahkan rasa cinta kau pada isteri kau tu. Jangan simpan dalam hati. Tengok sekarang, bukan kau aje yang menderita tapi Afini pun sama.”

“Aku dah cuba. Hari tu Afini puasa. Jadi aku temankan dia berbuka di luar. Aku dah rancang untuk berterus terang tentang status aku dan perasaan cinta aku pada dia. Aku dah karang ayat apa yang aku nak cakap kat dia. Tapi, semuanya musnah bila perempuan sial tu datang! Semuanya musnah!” Suara Yus tinggi.

“Aku faham perasaan benci kau pada mama kau tu. Tapi, jangan disebabkan kebencian kau tu membawa kesan buruk dalam hubungan kau dan Afini. Afini bukannya jenis perempuan yang suka menggatal. Dia terlalu baik. Contohnya tadi, dia tak benarkan aku masuk sebab kau tak ada di rumah. Dari situ pun kau boleh fikir jenis perempuan macam mana isteri kau tu.”

Kali ini pandangan mata Yus dan Jeff bersatu.

Akhirnya Yus mampu tersenyum. “Memang betul kata kau. Aku minta maaf sebab bebankan kau dengan masalah aku, sedangkan kau sendiri pun ada masalah.So, apa cerita sampai kau sanggup ‘redah’ rumah aku malam ni?”

Serta-merta wajah Jeff menjadi sayu. Andai Yus menimbulkan permasalahan dengan Afini kerana rasa curiga yang tidak berasas. Lain pula yang berlaku di antara dirinya dan kekasih hatinya, Ed. Bukan curiga tetapi kerana satu kenyataan yang amat memeritkan dan menghancur luluhkan hatinya menyebabkan dia tiada pilihan untuk meluahkan pada siapa. Maka Yuslah tempatnya untuk meluahkan rasa derita.

Bersama air mata di kelopak mata, Jeff meluahkan masalahnya. Kali ini giliran Yus pula untuk menjadi pendengar yang setia.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku