Anehnya Cinta
BAB 32
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 November 2012
Pertemuaan Afini dengan Yus telah menggegarkan satu ofis. Yus, sering kali mengamalkan sikap autokrasinya dan tidak disenangi oleh Afini. Apa lagi, berlakulah perbalahan kecil tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perang dunia. Siapa sangka, dua insan yang sering bermasam muka ini akhirnya terpaksa mendirikan rumah tangga.
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
7291

Bacaan






32

pagi ini Afini bangun awal. Dia mahu segera keluar dari rumah ini. Biarlah saat dia melangkah keluar, pasangan kekasih yang masih dibuai lena asmara itu tidak menyedari langkahnya. Itulah harapannya agar mereka tidak dapat mengesan sembab di matanya akibat tsunami air mata yang telah melanda.

Dia mengatur langkah perlahan dan begitu berhati-hati. Saat pintu biliknya sudah ditutup, segera dia mengatur langkah ke pintu utama untuk memboloskan dirinya keluar.

“Afini...”

Berderau darah Afini tatkala namanya dipanggil.

“Cepat you pergi kerja?” soal Jeff mesra.

“I ada kerja sikit yang nak disiapkan. Tu yang awal ke pejabat hari ni,” kata Afini. Namun, pandangan matanya tidak mahu dihalakan ke wajah Jeff.

“Tak nak sarapan dulu. I dah siapkan sarapan.”

Afini tidak menyangka begini cara layanan Jeff terhadap Yus. Sanggup bangun seawal pagi untuk menyediakan santapan ‘si buah hati’. “Rajin you bangun pagi-pagi. Siap buat sarapan lagi,” sinis suara Afini. Dia yakin Jeff dapat mengesan nada suaranya yang begitu sinis.

“Hmm… I tak dapat tidur malam tadi. Tu yang pagi-pagi buta lagi I dah siapkan sarapan untuk you dan Yus.”

‘Tak dapat tidur? Ya Allah... apakah yang dilakukan oleh kedua kaum Adam ini sehingga tidak tidur’ Serta merta seluruh tubuhnya terasa sejuk saat mindanya segera memikirkan kemungkinan yang bukan-bukan.

“Afini, you okey ke? Kenapa muka you nampak pucat ni? Kenapa you pakai cermin mata hitam? You okey tak?” prihatin Jeff.

‘Kenapa ‘maduku’ ini berpura-pura prihatin? Sedangkan dia tahu punca kenapa aku jadi begini. Semuanya kerana kehadirannya di rumah ini! Semuanya kerana kasih sayang dan cinta yang terjalin antara dia dan suamiku! Semuanya kerana mereka!’ Hati Afini menjerit.

Terasa sakit dadanya menahan sebak agar emosi itu tidak akan meruntuhkan kekuatan yang tinggal sisa. Dia perlukan sisa kekuatan saat ini agar benteng kelopak matanya dapat menahan empangan air mata daripada menyerah.

“I okey. Cuma sakit mata aje. Tu yang pakai cermin mata hitam ni. Jeff, I kena gerak sekarang. Dah lambat.” Afini terus melangkah pergi.

“Afini, I lupa nak beritahu you. Yus suruh pesan yang hari ni dia ada urusan sikit.Dia tak masuk ofis.”

‘Kenapa Yus tidak memberitahu dia? Kenapa harus ‘maduku’ ini yang menjadi perantaranya? Kenapa?’ Air mata Afini terus mengalir. Nasib baiklah kedudukannya membelakangi Jeff. Andai tidak, pasti ‘madunya’ itu akan mentertawakan dirinya.

Tidak mahu Jeff mengesan getar dalam bicaranya, Afini mengangguk. Dia segera melangkah keluar.

Memerah mata Afini akibat juraian air mata yang tidak henti kunjung tiba. Mujur jua saat Siti menghadirkan dirinya di bilik pejabatnya ini, May sudah keluar menikmati makan tengah hari. Andai tidak, pasti pembantunya itu akan mengetahui kepincangan yang berlaku di dalam rumah tangganya.

Siti yang mendengar tiap butir bicara yang keluar dari bibir Afini, kian membuak amarahnya.

“Habis tu, kenapa kau tak blah aje dari rumah tu malam tadi? Kalau aku yang berada di tempat kau, memang matilah gay dua ekor tu aku kerjakan!” marah Siti.

“Entahlah, Siti. Aku sendiri tak dapat nak fikir apa-apa malam tadi. Aku terkejut bukan kepalang bila… bila…” Afini tidak dapat meneruskan ayatnya. Terasa sakit yang amat sangat dadanya saat lidahnya dipaksa untuk menyebut nama lelaki yang menjadi ‘madunya’ itu. Air mata yang mengalir disekanya.

“Sabar, Afini. Aku faham betapa terseksanya kau sekarang. Tapi, kau kena kuat. Kau tak boleh nak biarkan setan dua ekor tu mainkan perasaan kau! Kau kena kuat!” Siti menggenggam jari jemari Afini.

“Aku… aku tak boleh terima bila aku nampak sendiri depan mata aku macam mana mesranya Yus dan Jeff. Selama ni, bila orang bercerita tentang dua jantan tak guna tu, aku cuba bayangkan. Tapi bila… bila dah berlaku depan mata aku, baru aku tahu macam mana pedih dan sakitnya hati ini. Aku betul-betul sengsara sekarang Siti. Tolonglah aku…”

Siti turut menangis melihat air mata Afini. Tubuh Afini dipeluknya erat. “Afini, aku faham perasaan kau. Tapi… kau sendiri tahukan bahawa perkahwinan kau hanyalah sebagai tabir untuk menutupi perhubungan songsang antara Yus dan Jeff! Kau tahukan Afini? Kau abaikan sahaja apa yang dia orang buat dekat kau. Sebab perkahwinan ini takkan kekal. Tiba masanya talak akan dijatuhkan pada kau. Apa yang penting kau kena pastikan yang hati kau bukannya milik Yus. Kau tak cintakan Yus kan?”

Serta merta Siti meleraikan pelukannya. Mata mereka bertemu. Tapi hanya seketika. Afini menunduk.

“Afini, pandang aku. Kau tak ada hati pada Yus, kan? Kau tak cintakan dia, kan?”

Afini masih tertunduk dan membisu.

“Afini…” Siti mendongakkan wajah Afini agar memandang ke arahnya.

“Aku… aku cintakan Yus.” Perlahan-lahan Afini tuturkan kata-kata keramat itu.

Membulat mata Siti. Dia terkejut. “Ya Allah, Afini. Macam mana kau boleh…” Siti tidak menghabiskan bicaranya.

Tetapi Afini mengerti apa yang ingin disampaikan oleh sahabatnya itu. “Aku tak tahu. Aku tak sedar bila masanya rasa cinta itu bercambah dalam diri aku. Apa yang aku tahu, aku jadi rindu untuk melihat wajah Yus. Aku jadi… jadi tak keruan bila tak dapat lihat bayangnya dan hati aku ni… hati aku ni jadi sakit bila melihat kemesraan yang terjalin antara Yus dan Jeff. Apa semua tu Siti? Apa semua tu kalau bukannya cinta! Aku cintakan dia… aku cintakan dia. Sebab tulah aku merana! Hati aku aku terseksa! Semuanya kerana aku cintakan Yus!”

Siti berasa simpati kepada Afini. Tidak disangkanya, Afini akan jatuh cinta dengan seorang lelaki yang memang tidak layak untuk menerima juntaian kasih dan sayang daripada sahabatnya ini.

Hari ini Afini sengaja keluar lambat dari pejabat. Niatnya satu, agar dia tidak perlu bertemu muka dengan Jeff. Dia berharap agar lelaki itu sudah balik.

Harapan hanya tinggal harapan. Sewaktu dia melangkah masuk ke dalam rumah, orang pertama yang dia nampak adalah Jeff yang sedang bersenang-senang di ruang tamu. Lagaknya seperti sudah biasa benar dengan ruang rumah itu.

“Eh… Afini. Lambat balik?” ramah, Jeff bertanya.

Afini cuba memaniskan wajahnya.

“Banyak kerja tadi. Tu yang lambat sikit balik.”

“Untung Yus dapat isteri dan pekerja macam you. Dahlah cantik, rajin pulak tu.” Jeff tersenyum.

“Yus mana?” Sengaja Afini bertanya.

“Solat. You tahulah, Yus tu kalau solat memang lama. Mengalahkan tuan haji.”

Hendak naik loya tekak Afini mendengar kata-kata pujian yang ditujukan oleh Jeff kepada ‘kekasih hatinya’ itu. Tidakkah Jeff berasa janggal mengungkapkan kata ‘solat’ sedangkan dirinya sentiasa bergelumang dengan noda? Yus pula sepanjang perkenalan Afini, sentiasa menjaga tiang agama itu. Namun, tidakkah lelaki itu terfikir kemungkinan amalannya itu akan ditolak oleh Yang Maha Esa kerana dosa yang dilakukannya? Terlalu besar dosa menyintai apatah lagi melakukan hubungan asmara dengan kaum sejenis. Tidakkah Yus sedar akan hakikat itu.

“Afini, kenapa ni? Dari pagi tadi lagi I tengok you lain macam aje.”

Afini menggeleng. “I okey. You tengah buat apa tu?”

“I tengah tengok gambar lama. You nak tengok gambar bekas isteri I?”

“Bekas isteri?” Afini terjerit kecil.

Afini tidak menyangka bahawa ‘madunya’ itu pernah mendirikan rumah tangga. Siapakah agaknya wanita malang itu? Adakah nasibnya semalang Afini?

“Sinilah. Bukan senang tau I nak tunjukkan dekat orang gambar bekas isteri I. Hanya orang tertentu sahaja yang I izinkan. Orang-orang yang I percaya.”

Hati Afini berbelah bahagi. Tidak tahu untuk mengambil keputusan yang bagaimana. Andai diikutkan hatinya, mahu sahaja dia melihat gambar bekas isteri Jeff itu. Sekurang-kurangnya dapatlah dia melihat wajah wanita malang itu. Tetapi andai diikutkan pula kewarasan akal fikirannya, pastilah ditegah tingkahnya untuk mendekati Jeff yang masih beria-ia menyuruhnya mengambil tempat di sebelahnya agar dapat ditunjukkan gambar wanita yang pernah dinikahinya itu.

“Afini. Sinilah!” Sedikit mendesak Jeff memanggil Afini.

Mahu tidak mahu terpaksa jua Afini duduk di sebelah Jeff.

“Inilah gambar bekas isteri I. Cantik tak?” Jeff menyuakan iPhone miliknya kepada Afini. Di skrin terpapar, seorang wanita yang mempunyai ketinggian dan bentuk badan ala-ala model. Rambutnya yang panjang beralun menambahkan lagi kecantikan wajahnya yang persis wanita Parsi. Tapi sayang, penampilan wanita itu mencacatkan kecantikkan tubuh badannya. Andai wanita itu menundukkan sedikit tubuhnya pasti terlihat jelas lurah di dada dan skrit pendeknya pula menampakkan kecantikan paha serta betisnya.

“Cantik. Cantik sangat,” puji Afini ikhlas.

“Lelaki dekat sebelah tu kacak tak?”

Afini mengalihkan pandangannya ke arah lelaki yang merangkul mesra pinggang bekas isteri Jeff itu. Keningnya berkerut. Dia macam pernah melihat lelaki itu. Tapi di mana? Tiba-tiba dia mengeluh.

“Kenapa Afini? Kenapa you mengeluh?”

“Tak… I rasa I pernah jumpa lelaki ni. Tapi I tak ingat di mana.”

“You pernah jumpa dia?”

Afini mengangguk, yakin.

“You kenal siapa dia?”

Afini menggeleng. Namun mindanya berputar ligat. “Hah! Baru I ingat. I pernah jumpa lelaki ni dekat Viva Home. Waktu tu I jumpa dia sedang berjalan dengan mama Yus,” katanya. “Tapi… apa kena mengena bekas isteri you dengan lelaki ni?”

Jeff mengeluh. Dia merenung wajah Afini seketika.“You tahu kenapa I bercerai dengan perempuan ni?” Lain yang Afini tanya, lain pula yang dipersoalkan kepada Afini.

“Tak tahu,” jawab Afini, polos.

“Ada dua sebab. Pertama, memang I tak pernah cintakan dia dan kedua kerana dia pun tak cintakan I.”

“Habis tu kenapa you berkahwin dengan dia? Sedangkan you tahu yang you tak cintakan dia.” Afini hampir terlupa akan status perkahwinannya dan Yus. Perkahwinan tanpa wujudnya rasa cinta dan yang ada hanyalah keterpaksaan. Layakkah wanita malang sepertinya bertanyakan soalan itu kepada Jeff?

“Perkahwinan I diaturkan oleh keluarga. I ikut ajelah. I ingat kalau I dah kahwin, I boleh berubah. Tapi… I silap. Selepas I berkahwin dengan perempuan ni, barulah I tahu yang dia sebenarnya ada hubungan sulit dengan lelaki ni. Lelaki ni anak tiri mama Yus.”

Membulat mata Afini. Kini barulah dia mengerti mengapa saat pertama kali bersua muka dengan lelaki itu, lelaki itu kelihatan begitu mesra dengan Datin Nur Kamiilah. “Maksud you, dia tu anak suami kedua Datin Nur Kamiilah?”

“Betul. Anak dengan bapak sama aje! Tak pernah puas dengan satu betina!”

Afini berasa simpati kepada Yus saat mengetahui kebenaran yang tidak pernah terlintas di fikirannya. Patutlah Yus kelihatan marah benar hari itu. Rupa-rupanya perasaan itu hadir bukan hanya kerana kebenciannya kepada mamanya sahaja. Tapi kerana kedua-dua insan yang hadir di hadapannya saat itu, telah lama menanam benih-benih dendam dan benih itu sudah bercambah mekar di hatinya.

“Afini, you okey?” sapa Jeff saat menyedari seluruh tubuh insan di sebelahnya itu menjadi kaku akibat perasaan terkejut yang masih menguasai dirinya.

“I okey. Cuma terkejut. Tak sangka…” Ayat Afini tergantung.

“Tak sangka yang jantan tu anak tiri mama Yus?”

Afini mengangguk. “Boleh I tahu satu perkara?”

“Apa dia?”

“Hmm… Datin Nur Kamiilah tu isteri nombor berapa? Maksud I pada suami dia sekarang.”

“Setahu I mama Yus isteri kedua. Sebelum ni Dato pernah berkahwin dengan seorang wanita yang juga berkedudukan orangnya. Tetapi setelah bertemu dengan mama Yus, dia telah mengambil keputusan untuk menceraikan isterinya. Kebetulan mama Yus pula mendesak papa Yus untuk menceraikannya. Selepas tu, apa yang I dengar mereka bahagia. Cuma ada satu benda yang Dato mahukan daripada mama Yus. Sampai sekarang mama Yus tak dapat berikan.”

“Apa dia?” soal Afini, laju. Benar-benar ingin tahu.

“Anak.”

“Anak? Bukan ke Dato dah ada anak dengan isteri pertama?”

“Betul. Lelaki tak guna nilah anak dia.” Jeff masih menunjuk-nunjuk gambar lelaki yang sedang tersenyum mesra di samping bekas isterinya.

“Jadi? Kenapa pulak you kata Dato mahukan anak dengan Datin Nur Kamiilah?”

“Yalah, diakan cintakan sangat dengan mama Yus. Jadi mestilah dia nak ada zuriat dengan perempuan tu!” jelas Jeff. “Apa yang I dengar, dia nak anak perempuan. Sebab tulah dalam diam dia telah berkahwin dengan seorang lagi wanita. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan. Siti Zulaika namanya.”

Siti Zulaika? Seingat Afini, dia pernah mendengar nama itu… Ya! Pak tehnya pernah menceritakan tentang budak perempuan itu kepadanya. Budak perempuan yang turut memiliki seorang adik perempuan yang berlainan bapa tetapi lahir dari satu rahim. Rahim seorang wanita yang bernama… Siti Jannah! Serta merta mata Afini berkaca dan dadanya pula berombak kacil.

“Afini. You kenapa ni?” Jeff mula risau melihat keadaan Afini.

“Siapa nama… nama perempuan tu?” soal Afini dalam getaran.

“Yang mana satu?”

“Perempuan yang berkahwin dengan Dato tanpa pengetahuan mama Yus. Siapa namanya? Siapa Jeff?”

“Kalau tak silap I namanya Jannah… Siti Jannah. Tapi Dato dah ceraikan perempuan tu sebab mama Yus suruh Dato buat pilihan sama ada ingin terus bersamanya atau melepaskan perempuan tu. Dah tentulah Dato akan pilih mama Yus. Itukan cinta teragungnya. Jadi Dato ceraikan isteri mudanya itu dan hak jagaan zuriat turut diserahkan pada Jannah. Itu juga merupakan salah satu syarat yang telah ditetapkan oleh mama Yus.”

‘Ya Allah, benarkah apa yang sedang aku dengar kini? Benarkah wanita yang diceritakan oleh Jeff merupakan wanita sama yang telah menghancurkan kebahagiaan keluargaku? Benarkah insan yang pernah tercoret kisah dukanya akibat sifat tamak Datin Nur Kamiilah merupakan insan yang telah mencoretkan kisah duka di dalam hidup aku dan emak?’ Air mata Afini mula mengalir.

“Afini, kenapa you menangis?” Jeff sudah mula merapatkan dirinya dengan Afini.

Sikap prihatinnya itu menyebabkan Afini menjarakkan semula kedudukan mereka. “I… I nak tengok gambar perempuan tu.”

“I tak ada simpan gambar dia. Kenapa Afini? Kalau you ada masalah, you boleh cerita dekat I. Mungkin I boleh tolong.” Lembut bicara Jeff, seolah-olah memujuk gayanya.

“I cuma nak pastikan sesuatu...” kata Afini.

“Pastikan apa?” Jeff memandang Afini.

“I… ada seorang mak tiri. Perempuan yang meruntuhkan kebahagiaan keluarga kami. Perempuan tu namanya… Siti Jannah.”

What? Oh no! Jadi sekarang ni you fikir perempuan yang I ceritakan ni merupakan perempuan sama yang telah menjadi mak tiri you?”

“Betul. Cerita you sama dengan apa yang pak teh I cerita. Mak tiri I seorang janda. Hasil perkahwinannya dengan suami terdahulu, dia telah dikurniakan seorang anak perempuan yang bernama Siti Zulaika. Setelah dia berkahwin dengan arwah ayah I, dia melahirkan seorang lagi anak perempuan yang bernama Siti Naailah. I yakin Jeff, dua orang perempuan ini merupakan perempuan yang sama. Perempuan yang telah menghancurkan hati emak I! Perempuan…” Kali ini tangisan Afini yang kian menggila menyebabkan bicaranya terhenti.

Jeff pula kian jatuh simpatinya kepada Afini.

Tidak Afini menyangka kebenciannya yang menggunung kepada ‘madunya’ ini siang tadi telah terbang tinggi meninggalkan dirinya. “You pernah tengok muka mak tiri you?”

“Pernah. Tapi dalam gambar aje. Bapa saudara I yang tunjukkan pada I dan mak I. Sebab tu I perlukan gambar perempuan tu supaya I dapat pastikan adakah mereka merupakan orang yang sama.”

Jeff mengeluh.

“Jeff. I minta maaf kalau I minta sesuatu yang menyusahkan diri you.”

“Bukan! You salah faham. I mengeluh sebab… sebab I tak sangka yang kisah hidup you dan Yus banyak sangat persamaan. You perasan tak… kalaupun you tak berkahwin dengan Yus, tetapi sebenarnya you dah terikat dengan dia. Persamaan itulah yang telah mengikat you dan Yus.” Dalam diam Afini mengakui kebenaran kata-kata Jeff.

Memang selama ini, Afini mengakui yang dirinya mempunyai kisah hidup yang hampir sama dengan suaminya itu. Namun malam ini kisah hidup mereka memang saling terikat, di mana wanita yang memegang tali ikatan itu adalah… Siti Jannah!

“You jangan risau. I akan usahakan sebaik mungkin untuk pertemukan you dengan mak tiri you tu. Tapi I nak tanya you satu perkara.”

Serta merta Afini mengalihkan semula pandangannya ke wajah Jeff.

“Kalau you dah bertemu dengan mak tiri you tu, you nak buat apa?”

Degupan yang tadinya sudah memperlahan rentak iramanya kini bergema semula. Sesak dada Afini memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang mungkin akan berlaku saat dia bersua muka dengan wanita yang telah mencambahkan rasa benci di dalam dirinya. Entahlah… dia sendiri tidak pasti apa tindakan yang akan dilakukan apabila berjumpa wanita itu.

Seusai solat Isyak, Afini terus merebahkan badannya ke tilam. Dia cuba memejamkan matanya untuk tidur. Namun, matanya susah untuk dilelapkan. Otaknya masih ligat berfikir. Mengimbau kembali apa yang telah berlaku pada dirinya. Bermula dengan kehadiran wanita yang bernama Siti Jannah. Disebabkan wanita itu jualah ayahnya mempergunakan emaknya untuk menggadaikan tanah pusaka yang diwarisi oleh emaknya itu sehingga menjerumuskan dirinya ke alam perkahwinan dengan Yus.

Saat merasakan baringan tidak mampu memberikan keselesaan pada dirinya, Afini bangun dan duduk bersandar di kepala katil. Rasa kecewa, sedih dan derita bergaul rasa sehingga menyebabkan dia tidak mampu untuk bertahan lagi. Air matanya megalir laju.

Ketukan di muka pintu mengejutkan Afini. Diurut sedikit dadanya sebelum mengatur langkah menghampiri daun pintu. Dia tahu siapa gerangannya di balik pintu. Saat ini hanya dia dan Yus sahaja yang menghuni ruang kondominium ini. Jeff sudah lama meminta izin untuk pulang.

“Afini…” panggil Yus lembut sebaik sahaja Afini menjenggukkan wajahnya di balik daun pintu.

“Nak apa?” soal Afini sedikit kasar. Dia tiada niat untuk bersikap kurang ajar, tetapi hatinya masih tidak dapat memaafkan cara layanan Yus padanya semalam. Mungkin Yus hendak memujuk hatinya yang masih berdarah. Tetapi Yus silap! Kali ini, dia tidak akan membenarkan hatinya dicederakan lagi! Tidak akan!

“You nak apa?!” Afini mengulangi soalan dengan menggunakan nada yang sama.

“Hmm… you okey?”

‘Aku okey ke tak, tak ada kena mengena dengan kau!’ Namun, jeritan itu hanya bergema di hatinya sahaja.

“Hmm… you nak makan? Jom kita makan sama-sama. Hari ni I masak.” kian lembut Yus berbicara.

‘Ooo… kau nak ajak aku makan? Semalam aku ajak kau makan, kau tengking aku!’ marah Afini di dalam hati.

“Tak payah! You makanlah! I tak ingin.” Setelah menuturkan kata-kata itu, Afini menutup daun pintu biliknya dengan kuat. Puas hatinya dapat memulangkan paku buah keras kepada Yus.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku