Anehnya Cinta
BAB 34
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 November 2012
Pertemuaan Afini dengan Yus telah menggegarkan satu ofis. Yus, sering kali mengamalkan sikap autokrasinya dan tidak disenangi oleh Afini. Apa lagi, berlakulah perbalahan kecil tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perang dunia. Siapa sangka, dua insan yang sering bermasam muka ini akhirnya terpaksa mendirikan rumah tangga.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
7019

Bacaan






34

Nyaring iPhone Afini menjerit minta diangkat. Nama Zack tertera di skrin. Mindanya ligat memikirkan akan tindakan apa yang perlu diambil. Menerima panggilan itu atau membiarkan sahaja?

‘Ah! Angkat ajelah. Mana tahu ada hal penting.’ Mulut memberi kata putus dan jari jemari merealisasikan kehendak hati. “Assalamualaikum, Zack.”

“Waalaikumussalam... Afini, you sihat?” Terdengar sayu suara di hujung talian.

“Sihat,” jawab Afini sepatah.

Suasana sunyi sebentar. Tidak betah dengan keadaan itu, Afini memulakan bicara sekali lagi.

“Hmm… Zack, kenapa youcall I?”

“I ada hal penting nak cakap dengan you. I tak tahu nak luahkan pada siapa. I betul-betul perlukan you Afini.”

‘Zack perlukan aku? Betulkah Zack perlukan aku? Sudah lama Zack tidak menuturkan kata-kata seperti itu. Kata-kata itu bagaikan sudah terkubur saat lelaki itu melayari alam percintaan bersama Has. Tetapi kenapa setelah bertahun mencintai insan itu, Zack kembali memerlukan aku?’

"Afini…" lembut Zack memanggil nama insan di hujung talian.

Mendengarkan kelembutan itu, Afini tersentak dan dadanya berdebar perlahan. Sudah lama Afini tidak mendengar kelembutan seperti itu menjamahi halwa telinganya.

"Ya… I dengar. You ada masalah ke?" Sedikit gugup Afini bersuara.

"Masalah? Entahlah…" Kata-kata Has tergantung dan sepi menguasai beberapa detik.

"Kalau bukan masalah, habis tu apa?" Afini memecah suasana.

Terdengar keluhan di hujung talian.

'Zack mengeluh? Berat benarkah masalahnya?' gundah hati Afini.

"Afini… you ada masa tak? Kalau boleh I nak berjumpa dengan you."

Kali ini Afini pula yang membisukan mulutnya saat mendengarkan permintaan Zack itu. Hatinya berbelah bahagi. Antara sahabat yang memerlukan dan status isteri yang disandang.

"Afini. Kalau permintaan I tadi melampau, I minta maaf. I bagaikan lupa yang sekarang ni you dah jadi isteri orang," sayu benar tuturan Zack kali ini.

"I minta maaf Zack. I bukan tak nak jumpa you. Tapi"

"Tak apa, I faham." Belum sempat Afini menghabiskan bicaranya, Zack terlebih dahulu memotong percakapannya.

Rasa bersalah kian menghimpit diri Afini dengan sikap mudah memahami Zack itu.

"Emm… kalau macam tu, lain kali ada kesempatan kita jumpa ya. I nak ceritakan masalah I dengan you secara berdepan. Barulah mudah untuk I meluahkan bebanan perasaan ni. Okeylah Afini, I ada kerja yang nak dibuat… Assalamualaikum." Bergetar suara Zack menahan perasaan kecewa dan sedihnya. Afini menyedari perubahan suara Zack itu, namun digagahkan jua mulutnya membalas salam sahabatnya itu sebelum talian diputuskan.

'Apa aku dah buat ni? Bukankah Zack sahabat aku! Kenapa aku sanggup kecewakan dia?! Kenapa?' hatinya membentak sambil menyesali tindakannya sebentar tadi. Perlahan Afini mengeluh.

Yus mengerling jam di pergelangan tangannya. 6.30 petang. Ini bermakna sudah hampir setengan jam dia menunggu kehadiran Jeff yang belum kunjung tiba di kafe itu. Baran Yus sudah menampilkan dirinya. Berang dengan sikap sahabatnya yang kelewatan kali ini.

"Manalah mamat ni?" Agak kasar Yus bersoal sendirian sambil jari jemarinya menyeluk kocek seluar dan mengeluarkan iPhonenya. Lancar juga jari jemarinya mendail nombor handphone Jeff. Namun belum sempat talian bersambung Yus terlebih dahulu memutuskan panggilan saat terlihat kelibat Jeff melambai-lambaikan tangannya sambil berlari-lari anak menghampirinya.

Sorry, aku lambat,” termengah Jeff mengambil tempat di hadapan Yus.

“Kau tahu tak, dekat setengah jam aku bertapa dekat sini tunggu kau,” bebel Yus.

Jeff hanya tersengih.

“Kenapa kau lambat?”

“Aku ada hal sikit nak uruskan tadi. Tu yang lambat.” Jeff meletakkanenvelope besar berwarna tanah di atas meja.

“Kalau dah tahu ada hal tak payahlah nak suruh aku keluar jumpa kau. Masa telefon tadi, bunyi macam ada hal penting. Bila nak jumpa, kau pulak lambat,” bebel Yus lagi.

“Kau dengan Afini macam mana?” tanya Jeff untuk menghentikan bebelan sahabat baiknya itu.

Wajah Yus terus bertukar riak sedih. Terasa sayu hatinya dan bebal otaknya memikirkan perihal dirinya dan Afini. Tidak tahu apa lagi yang harus dilakukannya agar insan yang amat dicintainya itu dapat memaaf dan menerima dirinya kembali. Kali ini rajuk Afini terlalu lama. Terseksa jiwanya.

“Tak okey lagi?” Jeff mula berteka-teki.

Yus menggeleng. “Aku buntu. Tak tahu nak buat apa lagi. Afini merajuk gila dengan aku.”

“Kau tak cuba minta maaf dengan dia?”

“Bukan setakat minta maaf, aku sanggup rendahkan diri aku, mengaku yang akulah punca kenapa semua ini terjadi. Tapi, dia masih tak dapat nak maafkan aku.” Yus mengeluh.

“Pelik jugak. Selalunya Afini tak adalah keras hati sangat. Arwah ayahnya yang kejam tu pun dia boleh maafkan. Inikan pulak kau?”

Yus mengeluh lagi.

“Yus, kau rasa Afini ada perasaan dekat kau tak? Yalah... kalau dia tak ada perasaan dekat kau, takkan sampai sekarang dia masih terasa hati dengan kau? Mungkin dia pun mencintai kau?” teka Jeff.

“Mustahillah Afini ada hati dekat aku. Mustahil… Aku yakin sampai saat ini dia hanya mencintai Zack,” kata Yus penuh yakin.

“Dahlah... kita lupakanlah pasal Afini. Sekarang kau beritahu aku, kenapa beria-ia sangat kau nak jumpa aku? Sampai tak menyempat nak tunggu esok.” Jeff membetulkan duduknya. Dia memandang tepat ke arah Yus.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?” Yus meluahkan ketidaksenangannya.

“Yus, aku rasa, aku tahu macam mana caranya nak buat Afini maafkan kau.”

“Maksud kau? Kau tahu apa yang harus aku buat supaya Afini memaafkan aku?”

Jeff mengangguk.

Berdebar dada Yus menanti butir bicara yang akan keluar dari mulut sahabatnya itu. Apakah yang ingin dicadangkan oleh Jeff?

MALAM menampakkan bayangnya setelah matahari terbenam dari terus menyinarkan SANG suria. Andai waktu lain kesayuan malam seperti ini mampu menenangkan hatinya, namun tidak untuk kali ini. Biarpun selembut dan senyaman mana angin yang telah menjamah tubuhnya, masih tidak mampu menurunkan gelodak di jiwa dan debaran di dada.

Sungguh! Dia masih tidak tenteram menerima kunjungan irama ketidaksenangan semenjak pertemuannya dengan Jeff siang tadi. Keluhan yang entah keberapa kali terpacul di bibir saat dirinya teringat cadangan Jeff.

‘Apa aku nak buat ni?’

Yus melangkah perlahan ke arah kerusi dan melabuhkan punggungnya. Matanya sudah terhala pada sampul surat pemberian Jeff petang tadi. Perlahan tangannya mencapai sampul surat itu. Dia membuka dan mengeluarkan beberapa keping gambar di dalam sampul itu. Dia begitu terkejut saat pertama kali melihat gambar itu di hadapan Jeff.

Yus meneliti gambar yang dipegangnya. Dia kenal dengan perempuan yang sedang tersenyum sambil memeluk lengan lelaki yang amat dibencinya. Kerana lelaki itulah dia kehilangan kemanisan zaman kanak-kanaknya dan kerana lelaki itu jualah zaman remaja dan dewasanya diseliputi kebencian. Walaupun gambar lelaki yang amat dibencinya itu telah menarik perhatiannya pada awalnya, tetapi setelah mengetahui kaitan yang terjalin di antara Afini dan wanita yang sedang tersenyum bahagia di pandangan matanya saat ini telah memberikan impak kejutan yang lebih hebat.

“Apa harus aku lakukan sekarang?” Perlahan mulut Yus bersoal sendirian.

Yus memasukkan semula gambar-gambar yang dipegang. Otak masih berkira-kira untuk membuat keputusan. Lama, masih tiada kata putus yang diambil.

“Ah! Apa jadi pun jadilah! Yang penting Afini perlu tahu!”

Yus mengatur langkah keluar dari biliknya dan bilik Afini menjadi sasaran tujuan.

Selesai menunaikan solat Isyak, Afini memenjarakan dirinya di dalam bilik. Itulah kebiasaan yang sering dilakukan semenjak berlaku perselisihan faham antara dia dan Yus. Andai sebelum ini mudah benar dia memaafkan lelaki itu, tetapi berlainan kali ini. Bukan niatnya untuk menghukum Yus, tetapi biarlah kali ini Yus belajar erti kemaafan yang sebenarnya agar dia lebih menghargai setiap kemaafan yang diterimanya.

Dia teringat pula perbualan dia dan Zack di telefon petang tadi. Masalah yang dihadapi Zack amat merunsingkannya. Pening kepalanya memikirkan penyelesaian terbaik yang harus dicadangkan kepada sahabatnya itu. Andai diikutkan kelancangan mulutnya, mahu sahaja rasanya dia menyuruh Zack meninggalkan kekasih hatinya itu. Tetapi andai cadangan itu yang diberikan, apa pula reaksi Zack nanti? Adakah Zack akan fikir yang dia mencemburui Has?

‘Apa yang harus aku lakukan!’ jerit hati Afini. Dia mengeluh. Digaru-garunya kepala yang tidak terasa gatal akibat minda yang masih berusaha memikirkan cadangan yang harus diberikan kepada Zack. Namun, tingkahnya itu termati saat telinganya dapat mendengar ketukan perlahan di pintu. Dalam kemalasan, dia mengatur jua langkahnya.

“Nak apa?” soal Afini, malas.

“I ada hal sikit nak bincang dengan you,” lembut Yus bersuara sambil matanya memandang sayu ke arah Afini.

Ah! Yus memang begitu, selalu sahaja menghadirkan kelembutan dan kesayuan agar Afini berasa simpati terhadap dirinya. “Cakap ajelah dekat sini.”

“Hmm… kita bincang di ruang tamu. I tunggu you.”

Belum sempat Afini memberi keputusan, Yus berlalu pergi. Geram hati Afini.

10 minit kemudian, baru dia melangkah ke ruang tamu. Dia duduk berhadapan Yus. Di meja kopu, sudah terhidang dua cawan Milo panas

“Hmm… you dah makan?”

‘Soalan jenis apa pulak yang mamat ni tanya? Bukan ke petang tadi aku makan dengan dia? Belum tua lagi dah nyanyuk!’ omel hati Afini.

“You lupa ke? Petang tadi bukan kita makan sama-sama? You nak apa sebenarnya? Tak payah nak buang masa I.” Suara Afini sedikit kasar.

Terlihat riak serba salah di wajah lelaki yang kian aneh tingkahnya ini. Dipegang perlahan lehernya. Afini tahu seandainya Yus bertingkah seperti itu, pasti ada perkara yang memberatkan otaknya. Apa pula masalahnya kali ini? Apakah kaitan permasalahan Yus dengan Afini? Suasana bungkam menyelubungi mereka. Dia tidak lagi betah dengan situasi ini. “Kalau you tak ada apa-apa yang nak dibincangkan, I masuk bilik dulu.”

Afini bangkit dengan niat untuk kembali ke biliknya. Tetapi sepantas kilat, Yus berdiri dan mencapai jari jemarinya. Dia terkejut dengan sikap suaminya itu. Berdebar dadanya. Matanya pula masih tepat memandang ke arah Yus akibat reaksi terkejut yang masih belum reda.

“Afini… sudi tak you keluar dengan I hari Ahad ni? I nak bawa you pergi satu tempat.”

‘Nak ajak aku keluar? Pergi mana? Penting sangatkah kehadiranku untuk menemaninya? Apa sebenarnya muslihat Yus?’ Hati Afini diasak soalan demi soalan. Debaran pula menambahkan kesakitan yang sedia ada. Mata Afini masih memandang tepat ke arah Yus dan hatinya sudah meluahkan syak wasangka. Kini, hanya mulutnya sahaja yang masih tidak mampu untuk bersuara.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku