Anehnya Cinta
BAB 35
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 November 2012
Pertemuaan Afini dengan Yus telah menggegarkan satu ofis. Yus, sering kali mengamalkan sikap autokrasinya dan tidak disenangi oleh Afini. Apa lagi, berlakulah perbalahan kecil tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perang dunia. Siapa sangka, dua insan yang sering bermasam muka ini akhirnya terpaksa mendirikan rumah tangga.
Penilaian Purata:
(42 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
38495

Bacaan






35

Haruman yang begitu enak menusuk ke rongga hidung Afini. Perutnya terus berasa lapar. Sudah lama keharuman makanan seperti ini tidak memenuhi ruang rumah ini. Kebiasaannnya setelah Yus menghantar Afini pulang, dia akan terus menghilangkan diri. Tetapi tidak hari ini. Setelah pulang ke rumah, Yus terus membersihkan diri dan menunaikan solat sebelum memulakan tugas sebagai chef tidak bertauliah. Sesekali terdengar sudip dan senduk berlaga dengan kuali serta periuk.

“Wanginya...” Tanpa sedar mulut Afini melahirkan apa yang dihidunya.

Dia pantas bangkit dari katil dan berkira-kira untuk keluar menjenguk Yus di dapur. Tetapi rasa janggal untuk berdua-duaan dengan lelaki itu membantutkan pengiraan Afini itu.

Semenjak pergaduhan yang tercetus antara Afini dan Yus, tidak pernah sekali pun dia membantu Yus di dapur sementelah lelaki itu sendiri tidak pernah lagi menyediakan makan malam untuk mereka.

Ke hulu ke hilir Afini berjalan. Hampir penuh langkahnya memenuhi segenap ruang biliknya itu. Rasa lapar yang amat sangat menyebabkan Afini berkelakuan seperti itu.

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Hampir gugur jantungnya mendengar ketukan di muka pintu. Dia segera membuka daun pintu biliknya.

“Afini. I dah siap masak,” ujar Yus. “You nak makan?”

“Tak apalah. I tak lapar,” dalih Afini. Walaupun perutnya sudah berdondang sayang, kerana ego, dia tebalkan hati.

‘“Bodohnya kau Afini! Kau tahu tak yang kau sekarang ni tengah kebulur!’ marah hati Afini. ‘Apa aku nak buat ni?’

“Afini, kalau you dah kenyang, apa kata you temankan I aje. Boleh?”

Lambat Afini mengangguk.

Kedudukan Afini kini bertentangan dengan Yus. Terhidang di hadapan Afini pelbagai jenis lauk. Sambal udang, ayam masak lemak cili api, telur masin, ulam dan sambal belacan. Kecut liurnya melihat keenakan makanan yang bakal dirasai tekaknya sebentar nanti.

“Cukup?” Yus menyuakan sepinggan nasi kepada Afini.

‘Sikitnya!’ getus hati Afini. Ini semua bahana kelancangan mulutnya sebentar tadi. ‘Dah kenyang konon!’

“Cukup...” Afini mengambil pinggan yang dihulur.

Yus mencenduk ayam masak lemak cilik api dan sambal udang ke pinggan isterinya itu. “Rasalah... dah lama kita tak makan sama-sama.” Terdengar riang saat Yus menuturkan bicaranya.

Tanpa membuang masa, Afini membaca bismillah dan jari jemarinya cepat sahaja menjamah apa yang ada. Terasa keenakan yang sudah lama tidak dirasai ketika lidah menjadi juri rasa terhadap kunyahan makanan.

“Sedap?” tanya Yus.

“Sedap. Pandai you masak.” Ikhlas, Afini memuji.

“Kalau sedap, makanlah lebih sikit.”

Bagaikan orang mengantuk yang disorongkan bantal, Afini mengangguk. Sesenduk lagi nasi ditambah ke pinggannya.

Tanpa sedar, Yus tersenyum melihat tingkah isterinya itu.

Afini terpandangkan senyuman Yus itu. Sungguh! Dia merindui senyuman itu. Senyuman yang mampu menggoda dan mencairkan hati mana-mana insan sekaumnya. “Kenapa you senyum?”

“Tak ada apa-apa. Dah lama I tak tengok you makan. Dah lama kita tak makan semeja. I rindu.”

‘Rindu? Benarkah Yus merinduiku? Andai benar mengapa harus disakiti dan dilukai diri ini?’ Kesedihan berbentuk persoalan terluah jua di jiwa.

“Afini… you tak rindu saat dulu?”

“Saat dulu? Saat apa?” Afini berpura-pura tidak memahami.

Yus mengeluh. Dia merenung Afini.

‘Oh Tuhan! Kenapa harus pandangan itu dihalakan kepadaku? Kenapa?’

“Afini, I tahu you masih marahkan I. Tapi, boleh tak untuk sekali ini sahaja, you maafkan I,” pinta Yus sekali lagi.

“Afini…”

Belum sempat Yus menyambung kata-katanya, Afini terlebih dahulu memotong.

“Yus. I tak nak dengar apa-apa lagi pasal perkara tu. Sama ada I dah maafkan you atau tidak, hanya Allah sahaja yang tahu. Lagipun kenapa harus I nak marahkan you? I bukan sesiapa di hati you,” lancar Afini menuturkan kata-kata itu.

“Afini… I…”

“I dah habis makan. Terima kasih masakkan untuk I.” Sekali Afini memotong percakapan Yus dan saat Afini ingin mengatur langkah ke arah singki…

“Afini, I nak tanya. Besok sudi tak you keluar dengan I?”

Perlahan, Afini mengalihkan pandangannya ke wajah Yus. Kali ini dia membiarkan sahaja riak wajah dan pandangan matanya memberikan jawapan. Dia yakin Yus memahaminya.

Hari ini Afini mengenakan baju kurung berwarna ungu. Pakaian sama yang disarungkan ke tubuhnya saat pertama kali menjejakkan kaki ke kondominium ini. Kurung ini juga menjadi salam perkenalan antara Afini dan bapa mentuanya. Rambutnya ditocang satu. Dia tersenyum puas melihat penampilannya di cermin.

Semenjak memulakan perjalanan, Yus tidak banyak bercakap. Lagaknya seperti seorang yang berada dalam keresahan. Bagai ada yang sedang disembunyikan daripada Afini.

“Yus, kita nak pergi mana?”

“Afini, you akan maafkan I tak, kalau hari ni I akan buat you lebih kecewa?” tanya Yus tanpa memandang Afini.

‘Lebih kecewa?’ Minda Afini mengulangi patah kata itu. Serta merta dadanya berdebar-debar. Otaknya pula sudah memikirkan kemungkinan yang bukan-bukan. Ke manakah arah Yus sebenarnya? Apakah yang ingin dilakukan oleh lelaki itu kepadanya? Apakah mungkin sesuatu yang buruk bakal berlaku kepadanya? Andai tidak, mengapa harus Yus mempertikaikan kekecewaan yang bakal dirinya lalui! Kekecewaan yang bagaimanakah sebenarnya?

Hampir sahaja air mata Afini menitis akibat rasa takut yang kian menyelinap ke dalam dirinya. “Apa maksud you?”

Yus hanya diam.

Afini kian takut. “I tanya you! Apa maksud you!” Tanpa sedar, dia meninggikan suara.

“Kejap lagi kita sampai. Apa pun yang berlaku, I nak you tahu, yang I tak berniat untuk menyakiti you. Maafkan I, Afini.”

Debaran kian kuat bergendang di dada Afini. Terasa sakit dadanya menahan rasa takut dan gementar yang kian meningkat. Cuba ditahannya air mata dari gugur, namun dirinya tidak berdaya. Dia mengalihkan pandangannya ke luar tingkap untuk meredakan apa yang sedang bergolak di dalam jiwanya.

Pacuan empat roda ini sedang memasuki kawasan kampung. Tiada satu pun rumah mewah yang didirikan di sekeliling. Yang ada hanyalah beberapa buah rumah kampung. Kawasan yang menghijau kian sunyi saat Yus membelok ke sebuah lorong yang lebih kecil. Saat ini tubuh Afini terasa sejuk. Mukanya pula ibarat mayat yang ditoreh wajahnya.

Yus memberhentikan keretanya di hadapan sebuah rumah. Enjin kereta dimatikan. Dia memandang ke arah Afini. Dicapainya jari jemari isterinya itu dan digenggamnya erat. “Afini, kita dah sampai.”

Afini menoleh ke arah Yus. “Kita dah sampai?”

Yus mengangguk.

Afini mengalihkan semula pandangannya ke hadapan. Terlihat jelas sebuah rumah papan setingkat yang sudah uzur.

‘Rumah siapa ini?’ Hati Afini tertanya-tanya.

“Jom turun,” kata Yus yang sudah pun keluar dari perut keretanya.

“Kita nak buat apa dekat sini? Kita nak jumpa siapa?” tanya Afini bersama air mata yang sudah mengalir.

Yus menghampiri Afini. Dikesat titisan permata itu dan dipegangnya lembut pipi isterinya itu.

“I nak you tahu. Apa pun yang berlaku, you mesti kuatkan diri you. Dan you kena ingat, I sentiasa ada di sisi you.” Seraya menuturkan kata-kata itu Yus menarik lembut tangan Afini untuk mengekorinya.

Biarpun saat ini kaki Afini terasa begitu lemah dan longlai, dia tetap mengekori langkah Yus.

Yus mengetuk daun pintu yang tertutup rapat sambil memberi salam. Terdengar suara kanak-kanak menghampiri pintu di hadapan mereka dan dibukanya cepat.

“Ya. Abang nak cari siapa?” soal kanak-kanak perempuan yang berusia sepuluh tahun. Adiknya di sisi, tersenyum.

Afini menatap kakan-kanak perempuan di hadapannya itu. Serta merta tubuhnya bagaikan tidak mampu untuk berdiri teguh lagi. Dia terduduk di lantai tanpa sempat Yus menyambut tubuhnya.

“Afini, you okey tak ni?” tanya Yus cemas. Dia mencangkung di hadapan isterinya yang kelihatan lemah.

“Betul ke apa yang I nampak ni? Betul ke Yus?” tanya Afini dengan suara sebak.

“Kakak jatuhlah.” Si adik menjerit. Dia berlari masuk ke dalam rumah.

Si kakak pula mendapatkan Afini. “Akak... Akak tak apa-apa ke?” Cemas wajah kanak-kanak yang sudah pun memegang tangan Afini itu.

“Nenek cepatlah.” Terdengar jeritan si adik yang masih belum muncul.

Tidak lama kemudian, muncul seorang wanita yang sudah beruban kepalanya.

“Astaghfirullahal azim. Ya Allah. Kenapa ni, cu?” Wanita tua itu pula menerpa ke arah Afini.

“Tulah nenek, adik dah cakap ada orang jatuh. Nenek tak percaya,” omelannya masih belum berhenti.

“Mari masuk,” pelawa wanita tua itu setelah Afini berdiri, tetapi masih dipapah oleh Yus.

Sungguh! Afini bagaikan hilang kekuatan saat mengetahui apa yang bakal dihadapinya sebentar nanti. Dengan dipapah Yus, dia melangkah masuk ke dalam rumah.

Afini dan Yus dipersilakan duduk di atas lantai yang hanya beralaskan tikar usang. Wanita tua itu berlalu ke dapur.

Afini meliarkan padangan ke segenap ruang rumah itu. Tiada apa yang menghiasinya, kecuali sebuah meja kecil dan almari. Di dinding pula tergantung kalimah Allah S.W.T, Nabi Muhammad S.A.W.

Air mata Afini tumpah saat matanya melihatframe gambar yang di dalamnya terpapar imej seorang lelaki yang sedang tersenyum didampingi seorang wanita muda berserta dua orang puterinya.

‘Ya Allah... aku kenal. Aku kenal lelaki dalam gambar itu.’ Air mata Afini kian lebat mengalir.

Yus yang menyedari, mengambil semula jari jemari isterinya itu dan digengenggamnya erat untuk menyuntik sedikit kekuatan buat isterinya itu. “Sabar, Afini.”

“Kenapa mesti you bawak I ke sini? Kenapa Yus?” rintih Afini.

“Sebab... you mesti tahu hakikat sebenar. Bukankah ini yang you mahukan?”

Memang! Memang ini yang dia mahukan. Tetapi mengapa dia begitu lemah saat berhadapan dengan kenyataan itu? Bukankah sepatutnya dia harus mengamuk dan memaki hamun wanita yang selama ini merampas kebahagiaan dirinya dan emaknya? Di manakah wanita itu? Di mana?!

“Mana mak?” soal Afini kepada dua orang budak perempuan yang masih memandang hairan ke arahnya itu.

“Ibu ada dalam bilik. Kakak nak jumpa ibu ke?”

Afini mengangguk.

“Nenek, kakak nak jumpa ibu.” Si adik berlari ke dapur mendapatkan neneknya di dapur.

Seminit kemudian, wanita tua itu kembali membawa dua cawan minuman dan dihidangkan kepada tetamunya. “Cucu ni siapa?”

“Saya Yus dan ini isteri saya, Afini.”

Yus dan Afini menghulurkan tangan untuk bersalaman. Disambut senang oleh wanita yang masih tidak dapat menghidu tujuan kehadiran mereka.

“Nenek, kakak nak jumpa ibu.” Si kakak pula memberitahu kemahuan Afini.

“Ooo… cucu berdua ni kenal anak nenek ya? Sekejap ya.”

Belum sempat Afini dan Yus menjawab, wanita tua itu sudah bangkit dan menghampiri sebuah bilik. Hampir lima minit kemudian, wanita itu keluar semula. Kali ini dia tidak berseorangan. Ditolaknya kerusi roda perlahan dan diberhentikan betul-betul di hadapan Afini dan Yus.

Dada Afini dilanda gelombang tsunami dan air matanya pula mengalir deras.

Yus memeluk tubuh Afini yang dirasakan begitu lemah.

“Kenapa kakak menangis?” soal si adik dan si kakak pula menghulurkan sapu tangan lusuhnya kepada Afini.

“Cu, nenek tak tahu apa hubungan cucu dengan anak nenek. Tapi… mesti ada sebabkan cucu datang ke sini?”

Afini memalingkan wajahnya menghadap wanita tua yang sudah pun duduk bersimpuh di lantai. Kemudian matanya memandang tepat ke arah wanita yang sedang duduk di atas kerusi roda itu. Dia meneliti keadaan wanita itu. Wanita itu begitu lemah. Badannya kurus, mukanya cengkung dan rambutnya walaupun tersisir rapi, namun masih belum mampu melindungi kekusutannya. Andai sebelum ini, dia sering membayangkan yang dirinya akan naik hantu bila bertemu dengan wanita itu, tapi kenapa dia harus mengalirkan air mata kesedihan apabila berhadapan dengan wanita lemah itu? Wanita lemah yang dulunya dengan bangga merampas kasih sayang ayahnya! Wanita lemah yang satu ketika dahulu mampu mencoretkan kisah duka dalam hidupnya dan emak! Wanita lemah yang satu saat dahulu mampu menjadi ‘suria’ yang menerangi hidup ayahnya! Di manakah ‘suria’ itu? Di mana Siti Jannah?!

“Kenapa mak cik jadi macam ni?” tanya Afini tiba-tiba.

Terlihat genangan air mata di tubir mata wanita tua itu sebelum dia bersuara. “Semenjak arwah suami dia meninggal. Semenjak tu, Jannah hilang pedoman diri. Dia hilang tempat bergantung. Penyakitnya bertambah teruk. Kalau dulu doktor ada jugak bagi harapan yang dia mungkin boleh berjalan semula, tapi sekarang… mustahil.” Kian laju linangan air mata yang mengalir di mata tua itu.

“Maksud nenek? Mak cik lumpuh selepas arwah suami dia meninggal?” tanya Afini lagi.

“Tak. Jannah jadi macam ni sebab… sebab dia kena pukul.”

Perlahan ayat itu kedengaran di telinga Afini. “Kena pukul?” Afini terkejut. Adakah arwah ayahnya yang memukul isteri mudanya ini? Kesedihan dan kebencian silih berganti menjenguk tangkai hatinya. Yus masih membisu walaupun Afini tahu yang Yus sendiri jua tidak sabar untuk mengetahui perihal sebenar.

Keluhan terpacul di bibir wanita tua yang masih menangisi nasib malang anaknya. “Maaf. Kalau boleh nenek nak tahu apa kaitan cucu berdua ni dengan Jannah?”

Air mata Afini gugur lagi. Dia mengalihkan pandangannya kepada Yus. Melihat anggukan yang diberi Yus, menyuntik semangatnya untuk bercerita.

“Sebenarnya… saya…”

Kesakitan akibat debaran di dada menyukarkan untuk Afini meneruskan kata-katanya. Yus kian mengeratkan jalinan jari jemarinya. Afini menarik nafas perlahan.

“Nek, sebenarnya isteri saya ni anak tiri Mak Cik Jannah.”

Membulat mata Afini memandang Yus. Dia tidak menyangka akhirnya kata-kata yang berlegar di mindanya diluahkan Yus.

Wanita tua itu terkejut. “Jadi… inilah Afini, anak arwah Ayub?”

Afini mengangguk laju selaju air mata yang mengalir.

Tanpa disangka-sangka, wanita tua itu menghampiri dan memeluk erat tubuh Afini. Dicium pipi dan kepala Afini berkali-kali. Seolah-olah rindu benar gayanya. Terbang tinggi kemarahan Afini yang tadinya tinggal bayang. Kesedihan terus menyelubungi dirinya.

“Dah lama nenek nak jumpa Afini. Dulu masa arwah masih hidup, dia janji nak temukan Afini dengan kami. Tapi, sayang… arwah pergi dulu.”

Afini mengesat air mata yang mengalir. “Nek, Afini nak tahu. Adakah arwah ayah yang memukul mak cik?”

Wanita yang masih berlinangan air mata ini tetap jua tidak bersuara. Dibetulkan duduknya semula.

“Nek, Afini perlu tahu.” Afini kian mendesak.

“Tak. Ayah tak pernah pukul ibu. Tapi mak cik jahat tu yang pukul ibu sampai ibu tak boleh berjalan lagi.” Suara si kakak.

Si nenek memeluk cucunya. Kian lebat linangan air matanya. Si adik pula menghampiri ibunya yang masih mematung dan diciumnya wanita lumpuh itu.

“Adik sayang ibu,” kata adik, manja.

Biarpun dia tahu si ibu tidak mampu bersuara, namun diluahkan jua apa yang sedang dirasainya.

Kesedihan yang terpamer di hadapan Afini ini kian meruntun hatinya.

Yus memeluk bahu isterinya itu. “Sabar, sayang.”

Walaupun perlahan, tapi Afini yakin perkataan ‘sayang’ digunakan untuk memujuk dirinya. Andai saat lain, hati Afini akan berdebar ketika mulut Yus menuturkan panggilan itu, namun tidak saat ini. Saat hati dan jiwanya dipenuhi dengan kesedihan.

“Afini. Sebenarnya ada sesuatu yang Afini perlu tahu.”

Kesemua mata tertumpu pada si tua. Hanya si lumpuh sahaja yang masih membiarkan matanya memandang ke lantai.

“Sebenarnya, arwah merupakan seorang lelaki yang baik. Terlalu baik. Kalau tidak disebabkan arwah, mungkin kami anak beranak sudah tiada lagi.”

“Sudah tiada lagi? Maksud nenek?” soal Afini.

“Sebelum bertemu dengan arwah ayah kamu, Jannah pernah berkahwin dengan seseorang. Seseorang yang berharta dan berpangkat. Sebelum berkahwin dengan lelaki tu, dia mengaku yang kononya dia duda. Perkahwinan diaturkan di Thailand. Alasan yang lelaki tak guna tu berikan sebab keluarga dia golongan orang berada. Manalah boleh menerima kami yang miskin hina ini. Jadi, terpaksalah Jannah menyembunyikan statusnya sebagai isteri kepada lelaki tak guna tu.” Dia menalan liur.

“Setelah Jannah melahirkan Zulaika, barulah kami tahu yang sebenarnya lelaki itu masih beristeri. Bermula saat itulah, kami anak beranak terpaksa melarikan diri dari diburu oleh wanita kejam itu!”

“Wanita kejam?” Terdengar getaran dalam persoalan Yus.

“Ha’ah. Mak cik tu jahat. Nenek cakap mak cik jahat tu suruh orang pukul ibu. Sampai ibu dah tak boleh berjalan. Masa tu kakak kecik lagi. Nasib baik ayah tolong ibu,” cerita Zulaika.

“Adik nak ibu sembuh. Nak ibu senyum macam dulu.”

Berpelukan kedua adik beradik itu sambil menangisi nasib mereka. Dirapati pula ibu mereka dan dipeluk tubuh kering itu. Tersentuh lagi hati Afini.

“Siapa nama perempuan tu nek?” Yus masih mahukan kepastian walaupun dia sudah tahu siapakah gerangannya.

“Namanya Kamiilah.”

Terlihat genangan air mata di tubir mata Yus. Kali ini giliran Afini pula meraih kembali jari jemari yang terlerai. Digenggam erat jari jemari suaminya itu. Memberikan sedikit kekuatan.

“Kamiilah menghantar orang untuk mencari kami sekeluarga. Sewaktu kedatangan kali pertama, ayah Zulaika turut serta. Di hadapan Kamiilah, lelaki tak guna tu menjatuhkan talak tiga. Waktu tu Jannah hampir menjadi gila. Bayangkanlah, si Zulaika waktu itu masih kecil dan perlukan kasih sayang seorang ayah. Tidak cukup dengan itu, semua kemewahan yang diberikan sebelum ini ditarik balik oleh perempuan kejam tu. Dihalau kami sekeluarga macam menghalau anjing. Satu sen dan sehelai pakaian pun tidak dibenarkan untuk dibawa bersama. Kamiilah mengancam, kalau sekali lagi dia nampak Jannah dan Zulaika, dia takkan teragak-agak membunuh kami semua.”

Air mata tua itu tumpah lagi.

Yus pula kian menggeletar tubuhnya, menahan kesedihan dan kebencian.

“Lepas tu, apa yang berlaku? Macam mana arwah ayah boleh terlibat dengan semua ni?” tanya Afini.

“Waktu tu… orang-orang Kamiilah berjaya mengesan kami sekeluarga. Tanpa belas kasihan, lelaki-lelaki yang semuanya berbadan besar memukul dan mencederakan nenek dan Jannah. Tapi nenek berjaya lari dan membawa Zulaika bersama. Waktu tulah nenek terjumpa dengan ayah kamu bersama sekumpulan orang kampung. Nenek menjerit meminta tolong. Ayah kamu dan beberapa orang kampung berkejar ke tempat Jannah dipukul. Tapi…” Terhenti lagi penceritaan wanita tua itu. Tangisannya kian bergema.

“Nenek janganlah nangis,” pujuk cucunya.

“Kalau nenek tak boleh nak ceritakan semuanya, saya faham.” Afini cuba memujuk hati si tua yang dirundum kesedihan yang menggila.

“Tak… Afini kena tahu mengapa perkahwinan antara Jannah dan arwah terjalin. Nenek tak nak Afini menyalahkan arwah ayah.” Disentuh pipi Afini lembut sebelum wanita tua itu menyambung semula ceritanya.

“Waktu ayah kamu dan orang kampung sampai, Jannah sudah nyawa-nyawa ikan. Ayah kamu mendukung Jannah dan dikejarkan ke hospital. Jannah disahkan lumpuh dan tidak mampu untuk berjalan. Waktu tu kami sekeluarga hilang punca pendapatan. Semenjak saat itulah, ayah kamu jatuh simpati terhadap apa yang berlaku ke atas kami sekeluarga. Keputusan diambil untuk menikahi Jannah.

Nenek menolak dengan alasan Jannah lumpuh dan ayah kamu sudah pun berkahwin. Tapi, ayah kamu nekad juga untuk memperisterikan Jannah dan cuba membela nasib kami sekeluarga. Sekali lagi Kamiilah berjaya mengesan tempat tinggal kami. Tapi nasib kami baik, sebab waktu tu arwah ayah kamu ada di rumah. Kamiilah akhirnya berjanji untuk melepaskan kami dengan syarat Jannah perlu membayar sejumlah wang.”

“Sejumlah wang?!” tanya Yus dengan nada kasar.Marah benar Yus dengan sikap wanita yang melahirkannya itu.

“Ya. Wang yang digunakan oleh suaminya sewaktu hidup bersama dengan Jannah mesti dipulangkan. Kalau tidak nyawa Jannah dan Zulaika akan melayang. Arwah ayah kamu berjanji untuk memenuhi tuntutan itu dengan syarat, Kamiilah mesti melepaskan Jannah terus.”

Barulah kini Afini mengerti mengapa duit KWSP arwah ayahnya habis licin digunakan. Tidak cukup dengan itu, tanah pusaka milik emaknya juga turut tergadai.

“Tak guna!” Tanpa disangka-sangka, Yus menjerit.

Mereka terkejut. Terlihat ketakutan di mata kanak-kanak perempuan yang sudah pun memeluk lengan nenek mereka.

“Sabar, Yus.” Afini melembutkan suaranya.

“Jadi, perempuan tak gunalah tulah dalang di sebalik semua ni?!” Kasar Yus menyoal.

“Nenek tak salahkan Kamiilah seratus peratus. Perkara dah berlalu. Tapi kesannya sehingga kini masih kami rasai. Kami jadi takut untuk ke tempat terbuka. Terpaksa menyorok di tempat terpencil macam ni. Kami takut dikesan semula. Setelah arwah ayah kamu meninggal, Kamiilah mungkir janji. Dia kembali memburu kami sekeluarga. Tekanan demi tekanan menyebabkan Jannah jadi makin terjejas kesihatannya. Cucu-cucu nenek tidak dapat bersekolah. Takut andai diculik oleh orang-orang Kamiilah. Nenek pula hanya dapat bekerja mengambil upah mengopek ikan bilis. Dapatlah sikit wang untuk buat makan sekeluarga.”

Hati Afini yang kian tersentuh. Dia tidak menyangka sebegitu susahnya hidup mereka. Selama ini, dia membayangkan wanita berkerusi roda di hadapannya ini merupakan wanita kejam yang bermewah dengan harta emaknya dan arwah ayahnya. Tetapi ternyata sangkaannya meleset. Bukan sahaja kehidupan mereka sekeluarga diselubungi kemiskinan, tetapi hidup mereka jua sentiasa berada di dalam ketakutan.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku