Anehnya Cinta
BAB 20
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 06 November 2012
Pertemuaan Afini dengan Yus telah menggegarkan satu ofis. Yus, sering kali mengamalkan sikap autokrasinya dan tidak disenangi oleh Afini. Apa lagi, berlakulah perbalahan kecil tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perang dunia. Siapa sangka, dua insan yang sering bermasam muka ini akhirnya terpaksa mendirikan rumah tangga.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
9800

Bacaan






20

 

Hari ini genap sebulan usia perkahwinan Afini dan Yus. Dalam tempoh sebulan ini, banyak perkara baru yang dia pelajari terutamanya mengenai diri Yus dan dunianya. Kini mereka tinggal di kondominium Yus.

Pertama kali dia menjejakkan kaki ke rumah ini adalah sebagai insan yang tedesak dan menemui jalan buntu. Sewaktu itu jugalah dia bertemu dengan bapa mentuanya buat kali pertama dan yang paling tidak dapat dilupakan, dia terpaksa menandatangani surat perjanjian yang disediakan oleh Yus sehingga menjerumuskan dirinya ke dalam permainan ciptaan lelaki itu.

Sikap Yus? Terus terang dia merasakan yang dirinya sukar untuk memahami lelaki itu. Ada kalanya Yus bersikap kasar. Namun, ada ketikanya pula Yus begitu prihatin dan bersikap penyayang. Sehingga kadangkala dia menjadi lupa status diri Yus. Cara pandangan mata dan sikap romantik Yus sering kali menduga imannya. Tetapi dia bersyukur kerana Yus tidak pernah lagi mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya sewaktu kali pertama dia terpaksa tidur sebilik dengan lelaki itu.

Yang lebih menggembirakan hatinya, Yus bersetuju sewaktu dia meminta untuk diberikan bilik berasingan. Cuma mereka terpaksa tidur sebilik andai bapa Yus dan emaknya datang ke kondominium itu.

Sudah hampir setengah jam Ainal menghadirkan dirinya di bilik Zakaria dan sepanjang tempoh itulah Ainal mencanang tentang perihal Afini. Namun rasa tidak puas hati kian bermukim di hati Ainal apabila sahabat di hadapannya itu hanya membisukan mulutnya. Zakaria bagaikan patung. Sedikit respons pun tidak ditunjukkan Zakaria.

“Kau ni kenapa Zakaria?” soal Ainal tidak berpuas hati dengan sikap sahabatnya semenjak kebelakangan ini.

“Aku okey.”

“Okey kepala otak kau! Aku bukan main lagi cerita dengan kau bagai nak rak. Tapi kau buat bodoh aje.”

“Aku dengarlah kau cakap… yang kenduri rumah Yus dengan Afini tu bukan main meriah lagi. Biasalah tu, hantaran dah 15 ribu. Kalau tak meriah lagi, tak tahulah aku.”

“Tulah, aku dah cakap dengan kau yang Afini tu kahwin dengan Yus sebab dia nakkan duit si Yus tu. Kalau tak, takkanlah dia sanggup nak hidup dengan mamat gay tu,” cerita Ainal.

“Hmm…” Hanya itu sahaja yang keluar dari mulut Zakaria.

Ainal tidak suka respons yang diberikan sahabatnya itu. Lain benar sikap Zakaria daripada biasa. “Kalau betullah Afini tu bukan mata duitan, takkan dia nak minta hantaran sampai RM 15 ribu. Betul tak?” Dia masih cuba menarik perhatian sahabatnya itu untuk turut serta dalam mengumpul dosa.

“Lantaklah! Dia nak kahwin dengan gay ke? Apa ke? Tak ada kena mengena dengan aku!” Suara Zakaria tinggi.

Ainal terkejut dengan reaksi Zakaria. Bukan reaksi seperti ini yang dijangkakannya. “Kau ni kenapa? Tiba-tiba nak naik angin pulak. Entah-entah kau ada hati dekat Afini?”

Zakaria menghembuskan nafas berat.

Ainal merenung Zakaria seketika. “Betullah kau sukakan Afini? Patutlah masa kenduri kahwin Afini dengan Yus kau tak datang. Sejak bila kau sukakan perempuan tu?”

“Sejak aku kenal siapa dia!”

“Maksud kau?” soal Ainal tidak dapat menduga akan maksud kata-kata sahabatnya itu.

“Dia lain. Kau tahu tak kenapa aku selalu kutuk dia dulu?” mendatar suara Zakaria.

Ainal menggeleng.

“Sebab… aku cemburu! Cemburu bila aku tahu yang dia ada hubungan dengan si mamat gay tu! Aku ingat lepas aku kutuk dia, hati aku akan lega. Tapi tak! Hati aku makin sakit. Bertambah sakit bila aku dapat tahu yang dia akan berkahwin dengan Yus. Aku tak boleh terima, apatah lagi nak tengok dia orang bersanding.” Zakaria berterus-terang.

“Kenapa kau tak pernah beritahu aku?” soal Ainal.

“Untuk apa? Untuk kau gelakkan aku sebab sukakan Afini tu?” tempelak Zakaria.

Ainal rasa terpukul dengan kata-kata yang dituturkan oleh Zakaria. Memang dia tidak dapat menafikan yang dia sering mentertawakan Afini sementelah mengetahui perihal wanita itu bersama Yus.

“Afini tak sama langsung seperti apa yang kau canangkan dekat budak-budak ofis kita. Dia lain… pertama kali dalam hidup aku, aku bertemu dengan wanita yang mempertahankan kebenaran. Kau bayangkan kita yang lelaki ni selalu kutuk belakang kalau kita tak sukakan sesuatu perkara. Tapi dia tak! Kalau dia rasa benda tu betul dan boleh dipertahankan, sedaya upaya dia akan berusaha. Lagi satu… dia mudah memaafkan orang. Tapi tipulah aku cakap, kalau aku sukakan dia hanya kerana sikap dia tu. Setiap kali aku pandang wajah dia, aku rasa… aku nak sentuh pipi dia, aku nak belai wajah dia dan aku nak bahagiakan dia. Tapi itu semua mustahil! Dia dah jadi isteri orang,” kata Zakaria penuh sayu.

Ainal pula masih tidak percaya yang sahabat baiknya itu dalam diam amat mendambakan insan yang sering dihinanya.

Afini yang sedari tadi mendengar perbualan dua sahabat itu, memalingkan tubuhnya untuk segera beredar sebelum kehadirannya di hadapan bilik tersebut dikesan. Tetapi saat dia memalingkan tubuhnya, terlihat jelas dipenglihatannya akan riak wajah bengis Yus yang berkedudukan sangat rapat dengan tubuhnya itu.

Adakah Yus mendengar segala bicara dua sahabat yang berada di dalam bilik yang terbuka sedikit daun pintunya itu? Yus kelihatan sangat marah. Wajahnya tika ini ibarat harimau yang ingin menerkam mangsanya dan Afini tahu siapakah mangsa-mangsanya itu! Ainal dan Zakaria!

Namun sebelum Yus bertindak di luar kewarasan, Afini segera memegang lembut tangan suaminya itu dan menggeleng berserta pandangan sayu. Harapannya agar Yus menghentikan niatnya itu. Dia faham benar akan sikap Yus, di saat syaitan menguasai lelaki itu hanya kelembutan yang dapat menyedarkannya.

Jam sudah mengenjak ke pukul 11.00 malam. Afini berada di bilik tidur, memikirkan semula kata-kata Ainal dan Zakaria sewaktu di pejabat tadi. Kata-kata Ainal mengenai dirinya tidak benar sama sekali. Andai Ainal mengatakan dirinya seorang mata duitan, mengapa perlu dia menolak saat bapa mentuanya ingin memberikan RM 24 ribu sebagai wang hantaran.

Menurut Dato Haalim, jumlah itu diberikan sempena usianya yang ke 24 tahun. Tetapi dengan sopan, dia meminta pihaknya menolak. Dia tidak mahu orang mengatakan yang dia mengahwini Yus semata-mata kerana kemewahan lelaki itu. Lagi pula, Afini bukanlah terlalu jahil untuk membeza apa yang wajib dan apa yang tidak dalam sesebuah perkahwinan. Dalam Islam sendiri, sebenarnya tidak terdapat pun hantaran kahwin. Apa yang ada dan diwajibkan ke atas pihak lelaki adalah mas kahwin ataupun mahar. Malahan wang hantaran ini bukanlah budaya yang dianjurkan Islam tetapi ianya dicedok dari barat.

Afini turut meminta Yus memujuk bapa mentuanya untuk membatalkan niatnya sewaktu dia beria-ia ingin mengadakan majlis perkahwinan mereka di hotel bertaraf lima bintang. Tujuan dia berbuat begitu tetap sama sebagaimana dia menolak pemberian RM 24 ribu daripada pihak Yus sebagai wang hantarannya.

Terdengar pintu utama dibuka. Afini yakin Yus baru pulang. Semenjak duduk sebumbung dengan lelaki itu, Yus kerap kali pulang lewat. Pada fikirannya, mungkin Yus terlebih dahulu bertemu dengan ‘buah hatinya’ untuk melepaskan rindu. Dia tidak ambil peduli tentang hubungan sulit Yus dengan Jeff.

Sebelum berkahwin pun, dia sudah jangkakan perkara ini akan berlaku. Tetapi dia bersyukur kerana Yus masih tahu menghormati dirinya dengan tidak membawa pulang ‘kekasih hatinya’ itu dan tidak menjadikan kondominium ini sebagai tempat mereka bermadu asmara.

Selang beberapa minit, pintu bilik Afini pula diketuk dari luar. Dia segera mengesat linangan air mata. Matanya sudah bengkak kerana terlalu banyak menangis. Langkah diatur untuk menghampiri daun pintu dan saat pintu dibuka, terlihat wajah Yus memandang sayu ke arahnya.

“I nak bincang sikit dengan you,” tutur Yus lembut.

Afini suka nada Yus bercakap dengannya saat ini. ‘Alangkah baiknya andai lelaki di hadapannya ini adalah lelaki sejati yang boleh dipeluk dan didakap.’ Dia mengekori langkah Yus ke meja makan.

“Dah makan?” soal Yus persis seorang ayah menyoal anaknya.

Afini menggeleng.

“Kenapa tak makan? Tak lapar?” soal Yus lagi sambil tangannya meletakkan nasi ayam yang dibungkusnya di dalam pinggan dan dihidangkan kepada Afini. “Makan, nanti sakit susah,” tutur Yus masih berlembut.

Sikap prihatin Yus menyebabkan Afini semakin lupa bahawa dirinya bukanlah insan yang dicintai oleh lelaki di hadapannya ini.

“Afini… makanlah,” pujuk Yus lagi.

Mendengar nada suara Yus, hati Afini terpujuk. Dia segera menyuap nasi ayam ke mulutnya.

Yus memandang wajah mulus Afini. Ingin sahaja dia memeluk erat insan yang amat disayanginya untuk meredakan kesedihan yang menggunung sehingga menyebabkan mata isterinya itu kelihatan bengkak. Pandangan matanya beralih pandang ke bibir merah milik Afini. Di saat ini, nafsu lelaki miliknya kian memuncak.

“Hmm… tadi you kata nak bincang. Pasal apa?”

Persoalan yang diutarakan Afini menyedarkan Yus untuk segera mengawal dirinya agar tidak melakukan apa yang dikehendaki oleh nafsunya tika ini. “Tak… I nak bincang… pasal Ainal dan Zakaria.”

“I dah agak you nak bincangkan pasal tu. Dahlah... lupakan aje apa yang you dengar. Mulut tempayan kita boleh tutup tapi kalau mulut orang, kita tak boleh nak kawal.”

“Habis, you nak biar macam tu aje? Dia orang fitnah you!” Suara Yus tinggi.

“Fitnah? You rasa apa yang dia orang cakapkan tu fitnah?”

“Kenapa you cakap macam tu pulak? Dia orang tak kenal you. Dia orang tak tahu you macam mana.”

“Betul. Dia orang tak kenal I… tapi tak ada beza pun sama ada dia orang kenal atau tak. Sebab memang kenyataannya I sanggup kahwin dengan you semata-mata kerana duit. Jadi apa yang dia orang katakan tu ada kebenarannya,” sayu suara Afini.

“Afini…” Hanya kata-kata itu sahaja yang mampu keluar dari mulut Yus.

“You dah lupa ke? Dulu you pernah cakap yang I jual maruah I untuk kahwin dengan you sebab duit RM 20 ribu tu. You dah lupa?”

Mana mungkin Yus boleh melupakan perkara itu. Saat diri dikawal api kemarahan dan kebencian terhadap wanita yang bernama Nur Kamiilah, tempiasnya pula terkena kepada Afini sementelah Afini yang berada di sampingnya tika itu. Penyesalan bertubi-tubi hadir dalam dirinya selepas apa yang diungkapkan pada wanita yang amat dicintainya ini. “I minta maaf,” tutur Yus ikhlas.

“Tak apa. I tahu you cakap semua tu sebab you tengah marah atau mungkin sebab you tak kenal siapa I. Jadi situasinya sama dengan apa yang berlaku sekarang. Ainal dan Zakaria tak kenal dan tak tahu pun I ni macam mana sebenarnya. Jadi lebih baik kita lupakan sahaja dan maafkan orang yang terlalu cetek pengetahuannya.”

‘Mengapa mudah benar insan di hadapanku ini memaafi insan lain? Tidakkah dia berasa terseksa dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan?” Hati Yus tertanya-tanya tentang sikap Afini.

“Tapi I tak boleh nak biarkan sahaja perkara ni. I dah ambil keputusan untuk memecat Ainal dan Zakaria! Sebab tulah I nak minta you sediakan surat pemecatan untuk mereka berdua.”

What?” Tanpa sedar Afini sudah menjerit.

Tidak disangkanya sejauh itu tindakan yang ingin dilakukan oleh Yus. Memecat Ainal dan Zakaria bermakna kedua mereka akan hilang punca pendapatan. Apakah yang akan terjadi sekiranya Ainal dibuang kerja? Bagaimanakah dia ingin menampung kehidupannya bersama isteri yang tidak bekerja? Anaknya masih kecil dan sudah tentulah perbelanjaan untuk membeli susu serta keperluan lainnya memerlukan kos yang tinggi.

Zakaria pula? Walaupun dia masih bujang, tetapi sudah pasti jualah dia mempunyai ibu bapa yang ingin disara. Itu tidak termasuk dengan kereta Honda yang dipakainya memerlukan sejumlah wang untuk dibayar, rumah dan kerpeluan lainnya juga memerlukan nilai yang sama… wang!

“Yus, I tak rasa apa yang you fikirkan itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ni. Syarikat perlukan dia orang.” Afini cuba melembutkan hati Yus.

“I boleh cari sepuluh orang yang lebih berkualiti daripada dua ‘orang mangkuk’ tu.”

Setelah merasakan apa yang diutarakan sebentar tadi masih tidak dapat menghentikan niat Yus, Afini pantas berterus terang tentang apa yang sedang berada di mindanya saat ini. “Yus… cuba you bayangkan kalau you buang Ainal. Macam mana dia nak tampung kehidupannya? Apatah lagi isterinya tidak bekerja dan anaknya pula masih kecil. Zakaria pula, dia mesti ada ibu bapa yang nak disara. Kalau dia kehilangan kerja, macam mana dia nak jalankan tanggungjawab dia sebagai seorang anak.”

Yus terdiam. Dia tidak menyangka setulus itu hati insan yang memandang simpati ke arahnya saat ini. Tidak terfikir langsung olehnya yang Afini akan berfikir seperti itu. Setelah dirinya dihina dan difitnah, mengapa wanita ini masih memikirkan tentang masa depan kedua lelaki jahanam itu. “I tak fahamlah you ni! Dia orang buat jahat pada you pun, you masih nak fikirkan tentang dia orang lagi!”

Afini hanya mendiamkan diri mendengar kata-kata Yus.

“Entah-entah you pun dah maafkan apa yang arwah ayah you dah buat pada you dan mak you!” Sinis sekali nada suara Yus.

Afini hanya diam.

“Baiklah, kalau you tak nak I buang dua orang lelaki jahanam tu, I nak tanya you satu soalan? I nak you jawab dengan jujur!”

Afini terus memandang ke arah Yus dan mengangguk.

“Hmm… Ijust nak tahu. Tentang… you dengan arwah ayah you. Maksud I, adakah you dah maafkan arwah dengan apa yang dia dah lakukan pada you dan mak you?”

Mengapakah soalan ini yang diutarakan? Tidak adakah soalan lain lagi yang boleh difikirkan oleh lelaki ini? Mengapa ingin dibuka balutan yang menampal duka di hati Afini terhadap apa yang telah dilakukan oleh arwah kepada dirinya dan emaknya itu?

Setelah melihat Afini hanya berdiam diri, akhirnnya Yus bersuara. “Maaf… kalau you tak dapat nak jawab, tak apa.” Perasaan bersalah menjalar di segenap ruang hati milik Yus tatkala melihat insan yang dicintainya ini sudah bergenang air matanya akibat persoalan yang diutarakannya sebentar tadi.

“Tak apa. Tak perlu minta maaf. You tak salah,” kata Afini seraya menarik dalam nafasnya sebelum menyambung semula bicara.

“Tipulah kalau I katakan yang I dah lupakan semua pengkhianatan arwah ayah pada I dan mak. Derita akibat perbuatan ayah sampai sekarang ada kesannya. I terpaksa berkahwin dengan you… itu akibat yang paling jelas. Setiap kali I fikirkan balik, mesti I akan menangis… sakit, terseksa itu semua pasti akan hadir tiap kali terfikirkan perbuatan arwah ayah. Tapi, sejahat dan sekejam mana pun perbuatan dia, dia tetap ayah I! Lelaki yang membolehkan kehadiran I di muka bumi ini. Lelaki yang selayaknya mewalikan I. Dia tetap ayah I! Jadi tak mungkin jugakan kalau orang lain I boleh maafkan. Kenapa… tak ayah I sendiri?”

“Maksud you… You dah maafkan dia?”

“Betul! I dah maafkan segala kesilapan arwah ayah terhadap apa yang telah dilakukannya kepada kami dua beranak!”

Membulat mata Yus mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Afini. Dia tidak menyangka hati wanita itu begitu lemah sehingga sanggup memaafkan lelaki sekejam arwah ayahnya.

“Lemah! Lemah betul you, Afini!” marah Yus.

Afini hanya tersenyum. “You silap. Sebenarnya perkara yang paling sukar untuk dilakukan adalah memaafkan! Hanya orang yang tabah sahaja dapat melakukannya. Berbeza dengan kebencian… semua orang mudah membenci, kerana itu perkara yang paling senang kita lakukan. Jadi agak-agak you siapa di antara dua golongan ini yang lemah?”

Yus rasa terpukul dengan kata-kata Afini itu, namun kerana keegoan dia menidakkan kebenaran kata-kata insan yang masih mengukirkan senyuman ke arahnya. “Kenapa you mudah untuk memaafkan orang? Walaupun apa yang dilakukan terhadap you begitu kejam?”

“Sebab nama I… Nur Afini! Bukannya Mohd. Yusuf!”

Bersama kata-kata itu pandangan mata mereka bertaut.

 



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku