Pelabuhan Cinta Arya
BAB 28
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Ogos 2017
Seorang Lelaki Yang Di Buru Cinta Walau Sudah Beristeri.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
203

Bacaan






               Forum mengenai perdagangan ekonomi serantau selesai pada petang itu. Namun fikiran yang kusut di dalam kepala Zaqhwan belum selesai, sedang membarah di dalam kepala otaknya. Persoalan-persoalan yang menghunjam fikirannya perlu dijelaskan oleh Arya. Kereta yang dipandu berdesup membelah lebuh raya PLUS menuju arah selatan.

               Di dalam kereta, fikirannya mengimbau kembali tentang lelaki cina bertubuh buncit dan kanak-kanak perempuan bernama Khairun Nisa. Persoalan yang masih belum terungkai.

               Dia menjeling ke arah Arya.  Sejak awal lagi gadis itu sudah mengenakan headphone di kepalanya. Seperti biasa Arya kelihatan anggun walau berpakaian kasual. 

               Fikirnya, mungkin Arya takut kepadanya kerana perbuatan dan ‘layanan kerasnya’ pada malam kelmarin. Dia juga tidak tahu tujuan sebenar Arya membawa masuk Nisa. Dengan kata lain menyeludup kanak-kanak perempuan itu masuk ke dalam biliknya. Mungkin ada tersembunyi sesuatu niat yang tidak baik seperti tuduhannya sebelum ini. Siapa tahu.

               Pada fikirannya, Arya seorang yang licik!. Kemungkinan Arya mengajak Nisa menemaninya di hotel pada malam itu bagi mengelakkan gangguan daripadanya pada malam itu. Itu satu-satunya tanggapan terhadap Arya yang dapat difikirkan setakat ini.

               Namun begitu tidaklah dia tahu niat dan tindakan sebenar Arya. Semuanya hanya mungkin, bukan pasti.  Hanya Arya saja yang tahu.

               Sebenarnya dia sendiri tidak tahu mengapa dia sanggup bertindak sedemikian rupa lebih-lebih lagi bila melihat keadaan Arya yang telah membangkitkan keinginan lelakinya. Selepas kejadian, sepanjang malam itu dia tidak lena tidur.  Dia asyik memikirkan tentang perkara itu.

              Malam kedua mereka tidak berjumpa, juga tidak saling berhubungan. Entah mengapa masing-masing menyepikan diri. Setelah selesai dinner bersama para peserta persidangan yang lain, mereka terus ke bilik masing-masing. Ketika majlis makan malam di dewan banquet, mereka tidak duduk semeja.

               Bagi Arya, malam itu dia sengaja membiarkan keadaan berlalu begitu sahaja. Rasa kecewa dan kesal juga masih menyelubungi dirinya. 

               Zaqhwan juga dia tidak mahu menghubungi Arya. Dia ingin melihat reaksi dan tindak balas Arya. Jika Arya berdiam diri, tidak menghubunginya, bermakna Arya sudah marah atau berkecil hati terhadapnya. 

               Telahannya tepat!. 

               Di dalam kereta Arya leka melayan lagu bagai tidak mahu melayan Zaqhwan. “Ah, Arya mahu buat ‘silent mode’ lagi”, bisik hati kecil Zaqhwan.  Satu lagi persembahan lakonan seorang primadona hebat!, hati Zaqhwan menjerit geram. Sudah beberapa kali dia mengerling ke arah gadis yang kelihatan polos itu.  Dia nekad mahu membongkar rahsia gadis yang suka membuat kejutan itu.

     “Arya”, tegur Zaqhwan. Arya tidak menyedarinya, masih leka mendengar lagu.

     “Arya!, Zaqhwan menguatkan sedikit suaranya. Arya tersentak lalu menoleh ke arah Zaqhwan. Dahinya berkerut. Dia menanggalkan headfone dan meletakkan di atas ribaannya.

     “Erm”, jawab Arya sambil menoleh ke arah Zaqhwan.

     “Maafkan saya pasal perbuatan saya pada malam kelmarin.”

     “Tak apalah. Lupakan saja.”

     “Adakah awak maafkan saya?”, ulang Zaqhwan seperti tidak puas hati dengan jawapan Arya.

     “Sudah lama saya maafkan awak.”

     “Awak marah?”, Tanya Zaqhwan lagi. Arya hanya menjeling geram.

     “Boleh saya tanya tentang Nisa?”, tanya Zaqhwan. Arya mengangguk. Dahinya berkerut, matanya mengecil.

     “Hurm..., apa yang awak nak tahu?.”

     “Adakah Arya memang dah kenal dia sebelum ini?”

     “Tidak, kenapa?, cuma saya anggap dia macam adik saya sendiri.”

     “Anggap saja?, bukannya adik sendiri atau anak sendiri?”, Zaqhwan memerli sambil menguji.

     “Kenapa Zaqh cakap macam tu?”, pertanyaan Zaqhwan mengundang kemarahan Arya sekali lagi.

     “Siapa tahu?.  Inikan Penang. Tempat Arya dulu.”

     “Hei, saya belum kahwinlah!. Awak tak percaya saya?. Saya tak ada adik beradik”, ujar Arya yang pada mulanya sedikit keras namun dihujungnya bernada sayu.

     “Habis, macam mana Arya boleh bawa dia masuk ke bilik?”

     “Awak tahu, bila saya memandangnya, saya rasa kesian sangat. Saya bimbangkan nasib dan keselamatannya. Maklumlah dia tu budak perempuan. Sekarang ni banyak kes culik dan rogol”, terang Arya sungguh-sungguh.

               Zaqhwan hanya tersenyum mengejek. Di dalam hatinya berkira-kira betul atau hanya satu lagi muslihat. Seketika kemudian hati kecilnya mengakui, “betullah agaknya, kucing pun dibela dan diberi makan, inikan pulak budak perempuan yang teraniaya.” 

     “Lepas kita balik ke hotel malam tu saya ajak seorang rakan saya pergi tengok budak tu semula.”

     “Awak pergi dengan siapa?", tanya Zaqwan seolah-olah terkejut.

     “Erm…Patrick rakan lama saya.  Saya bertembung dengannya masa di kaunter.”

     “Lelaki cina berbadan besar, berperut buncit?”

     “Ya, awak kenal dia?”, tanya Arya ingin tahu lebih lanjut.

     “Tak. Saya tak kenal dia.”

     “Macam mana Zaqh tau?. Ini mesti Zaqh mengintai gerak-geri saya.”

     “Saya bukan intai, saya ternampak dari jauh.”

     "Kami sempat selamatkan kucing-kucing tu jugak tau."

     "Oh, tak ajak saya pun"

     “Saya ingatkan Zaqh dah balik ke bilik.”

     “Siapa Patrick? sugar dady? kekasih cerahku?”, sindir Zaqhwan.

     “He he he…awak cemburu ya?, dia tu bekas pengurus logistic department di W.I.G Georgetown. Sekarang ni dia seorang pengerusi di sebuah pertubuhan NGO di Penang yang bergerak aktif menyelamat mangsa penganiayaan kanak-kanak, warga tua, OKU dan orang yang memerlukan pertolongan. Sedang elok dia ada, saya ajak dia pergi tengok Nisa.”

     “Macam mana awak terfikir nak bawak Nisa tidur di hotel?”

     “Itu semua idea Patrick.”

     “Orang yang hantar Nisa ke sini tak carikah? Mesti mereka bimbang Nisa hilang. Awak tak fikir nanti dia dikenakan tindakan oleh pentadbir sekolahnya kerana tidak balik ke asrama?” soal Zaqhwan sambil menjegilkan matanya.

     “Kami dah telefon sekolahnya tapi tak berjawab. Lepas tu kami telefon ibu Nisa di kampung. Saya minta kebenarannya bawa balik ke hotel. Biar keluarga mereka tahu apa yang telah mereka lakukan terhadap Nisa.”

     “Arya, saya hormati awak. Awak ada sikap yang positif”, ujar Zaqhwan tanpa sedar.

     “Itu adalah tanggung jawab sosial saya", terang Arya.

               Zaqhwan terdiam seketika.  Dia tahu Arya bercakap benar.  Ini dibuktikan lagi dengan sikapnya yang menolak keinginannya pada malam itu.  Dari getaran suara dan pancaran matanya, dia tahu Arya benar-benar jujur dan ikhlas. Arya bukan mudah untuk di bawa ke ranjang. Arya telah membuktikan bahawa dia telah berjaya menghadapi ujian dan dugaan berat itu.

               Zaqhwan tahu dia sudah terlalu jauh terpesong di dalam menilai budi pekerti dan tingkah laku Arya.  Sekali lagi dia memohon maaf di atas pandangan serong dan tanggapan buruknya terhadap gadis itu. Arya hanya tersenyum sambil mengangguk-angguk manja. Hinaan dan cercaannya yang berbakul-bakul sebelum ini terhapus dengan pengakuan Arya. 

               Di dalam hati Zaqhwan mengakui dia ditewaskan oleh dirinya sendiri. Api yang marak membakar hati dan perasaannya telah dipadamkan oleh curahan rasa kesal dan keinsafan.

               Zaqhwan membelok masuk ke kawasan hentian rehat dan rawat Sungai Perak menghala arah ke selatan. Dia ingin melepaskan lelah seketika. Dia tahu Arya juga mahu ‘merawat’ dirinya. Mereka makan dan minum bersama tanpa dihantui perasaan curiga.

               Zaqhwan merasa lega. Dia yakin cakap-cakap Arya boleh dipercayai.  Dia mengakui bahawa dia telah jatuh sekali lagi. Jatuh cinta kali kedua. Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dirasakan amat singkat.      



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku