Pelabuhan Cinta Arya
BAB 29
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Ogos 2017
Seorang Lelaki Yang Di Buru Cinta Walau Sudah Beristeri.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
106

Bacaan






               Sering, bila berada di tempat kerja Zaqhwan berasa agak kurang selesa. Sejak seminggu dua ini dia merasakan semacam ada satu kelainan suasana yang merimaskan. Semuanya gara-gara dia dan Arya diarahkan menghadiri seminar di Pulau Pinang. 

               Dia dapat mengesan, di kalangan rakan-rakannya tersimpan perasaan cemburu dan irihati terhadap dirinya. Dia sedar, kini dia dan Arya menjadi tajuk perbualan. Kata-kata sindiran dan usikan sering diterimanya. Zaqhwan mengakui perkara ini berlaku setelah dia rapat dan mesra dengan Arya. Kadang-kadang mereka rehat dan lunch bersama. Perubahan hubungan yang ketara sebelum dan selepas mereka berdua pergi ke Pulau Pinang.

               Zaqhwan teringat di satu masa, ketika encik Wan Zairil tiada di pejabat kerana ada urusan kerja di luar negara. Seperti sesumpah, warna rakan-rakannya bertukar rupa. Dia dapat merasakan, seperti lazimnya, di dalam hatinya berkata “sebentar lagi ‘ular-ular anakonda’ akan berkeliaran untuk mencari makanan.”  

               Tepat seperti sangkaannya, sekejap sahaja suasana di dalam pejabat berubah, ibarat perahu hanyut kerana kemudinya patah.

               Tidak berapa lama kemudian dia dihampiri oleh Din Korok, Faezell dan Ram Singh. Zaqhwan tersenyum sendirian. Hatinya berkata, “Ah, bila kucing tiada, tikus keluar menari-nari.”

               Ketiga-tiga mereka mengelilingi dirinya seumpama mahu mengelilingi unggun api yang sedang marak untuk berdiang. Mereka seperti mahu membuat hajat masing-masing.

      “Kau tengok, rajin betul kawan kita ni. Bos tak ada pun tak reti nak jolly.” Fazell memulakan usikan.

     “Betullah, kawan kita ni semakin hari semakin ceria, tak macam dulu lagilah!” sindir Ram Singh pula.

     “Iyalah, dulu macam orang sakit. Macam zombi pun ada.” Tokok Din Korok.

     “Kenapa pulak jadi macam tu?” Faezell pura-pura bertanya. Mahu memulakan provokasi.

     “Ehemm…kau jangan buat tak tau pulak, kawan kita ni kan dah ada buah hati idaman Malaya.  Dah pergi honeymoon pun.”

     “Ishh…korang ni, apa yang korang merepek ni? Salah ke aku pergi forum dengan Arya atas arahan bos”, Zaqhwan sedikit panas. Mereka sudah melampau.

     “Ha ha ha...iyalah, kalau dah pergi berdua tu faham-faham je lah. Kalau helang bertemu ayam, lambat laun akan disambar juga.”

     “Eh, korang ni dah over ni. Ini dah melampau sangat dah ni”, marah Zaqhwan.

     “Hei kawan, jangan nak soroklah, kau ni memang pandai makan, dan pandai basuh pinggan.” Ram Singh cuba berperibahasa, mahu tumpang sekaki. Dik Korok dan Faezell ketawa berdekah-dekah.

     “Hei Ram, salah tu. Pandai makan, pandai simpanlah!.” marah Faezell. Ram Singh tersenyum.

     “Alah, aku tau. Aku nak buat pembaharuanlah”, ujar Ram Singh memberi alasan.

     “Kita ni berkering air liur je, didengar ada, dipakainya tidak”, perli Din Korok bila teringatkan nasihat mereka kepada Zaqhwan dulu langsung tidak dipedulikan. Sindiran mereka semakin menjadi-jadi.

     “Kalau aku kan, aku lebih sanggup menghadap singa yang liar dari terpijak ular di dalam lumpur”, Din Korok menyindir lagi. Kali ini lebih tajam. Zaqhwan hanya membisu. Dia tahu kata-kata itu ditujukan kepada Arya. Dia pernah menganggap Arya lebih jelik dari itu.

     “Wah, bukan main puitis lagi peribahasa engkau ni. Ni makam dalam ni. Mana engkau dapat?”, tanya Faezell tersengih.

     “Ahh, nenek aku kasi lah!” ujar Din Korok bergurau. 

     “Cuba korang dengar puisi aku ni pulak...err…

dalam kilat ada kilau, dalam biru ada hijau, 

dalam lalat ada langau, dalam lembu ada kerbau, 

dalam parang ada pisau, dalam serak ada sengau, 

dalam sihat ada sasau, dalam tenang ada kacau, 

dalam gelak ada gurau, dalam resah ada risau, 

dalam pikat ada pukau, dalam mimpi ada igau, 

dalam angan ada angau, dalam aku…ada engkau.” 

               Faezell menghabiskan puisinya sambil ketawa mengejek. Din Korok dan Ram Singh yang dari tadi begitu teruja mendengar turut ketawa. Zaqhwan hanya tersenyum tawar.

     “Ya, dalam hati siapa tahu?” tokok Ram Singh.

     “Bukan begitu Singh, terbakar rumah nampak asap, terbakar hati siapa yang tahu. Ha..ha..ha”, Din Korok dan Ram Singh ketawa.

     “Hebat, berseni sungguh puisi engkau ni Zell. Ha ha ha…lalat, langau, lembu, kerbau semua engkau sapu”, ujar Ram Singh. Ketawanya masih belum reda.

     “Iyalah aku tujukan khas untuk sahabat kita yang sedang dilamun asmara ni.”

     “Mana kau dapat puisi tu Zell?”, tanya Din Korok.

     “Ah, puisi turun temurunlah. Puisi pusaka nenek moyang kami. Tak ada lagi dalam Kamus Dewan Bahasa tau!”, ujar Faezell seperti membalas gurauan Din Korok tadi.

     “Aku faham korang semua tak suka aku rapat dengan Arya kan? Ini semua pasal malam tu kan? Korang dah siasat betul-betul ke? Korang dah tanya dia hal sebenar ke? Hei, gentleman la sikit bro”, sindir Zaqhwan yang dari tadi hanya membisu.

     “Oho...Nak cover Arya ya? Ini mesti kes dah terkena bius cinta si Arya tu.”

     “Iyalah, orang dah dilamun cinta, mana kenal kaca dan permata.”

     “Hey!, apa yang korang borak ni? Siap berpantun seloka lagi. Satu company dengar. Karang bos datang, baru korang semua berterabur lari”, tegur Linda dari belakang.

     “Eleh kau tu pun sama. Entah-entah lagi advanced.” Balas Faezell.

     “Tak apa kerja aku dah siap”, ujar Linda. 

     “Korang mesti cerita pasal abang hensem kita ni kan?” Tanya Linda sambil melirik ke arah Zaqhwan.

     “Kau dah tak boleh goda dia tau. Dia tu dah berpunya.” Din Korok mula menyucuk.  Linda mula mencuka.

     "Betul kata Din tu.  Sekarang kau dah ada saingan kuat", ujar Ram Singh, menambahkan lagi sakit hati Linda.  Dia bergegas pergi.

     "Hei Linda, takkan dah nak pergi kot.  Cerita belum habis lagi ni", tokok Faezell pula.

     "Huh, menyampah", Linda mendengus geram.     

     “Aku tau korang semua cemburu”, balas Zaqhwan.

    “Bukan, kami tak mau tengok jiwa engkau sengsara nanti bila dah terperangkap dengan jerangkap samar Arya tu.” Ha ha ha...Din Korok ketawa sambil diikuti oleh Faezell dan Ram Singh.

     "Ya, bila dah terjerat nanti baru sibuk nak cari kami", tokok Faezell.

     “Ah, aku tak cari korang pun. Kamu semua tak kenal siapa Arya yang sebenarnya.  Hingga ke hari ini aku sendiri pun masih tidak mengenali siapa The surprise girl  itu”, bisik Zaqhwan setelah tersedar dari lamunan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku