Pelabuhan Cinta Arya
BAB 38
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Ogos 2017
Seorang Lelaki Yang Di Buru Cinta Walau Sudah Beristeri.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
214

Bacaan






               

               “Are you ready Zaqh!”, Arya menguatkan sedikit suaranya bagai seorang pengarah sukan lasak.  Zaqhwan masih membatu.  Badannya terasa seram sejuk.

               Arya yang sudah lengkap dengan glove khas, cermin mata pelindung uv dan safety helmet, segera mendapatkan Zaqhwan dan menyarungkan topi berbentuk sama ke kepala Zaqhwan. Wajah Zaqhwan bertambah pucat. Jika ditoreh dengan pisau pun tak berdarah. Arya mengenakan abah-abah ke tubuhnya dan kemudian mengemaskan kekunci ikatan di bahu Zaqhwan yang sudah terduduk lemah di hadapannya. Dipastikan semuanya sempurna dan selamat.

               En.Megat hanya memerhatikan sahaja apa yang dilakukan oleh Arya. Dari pemerhatian dan penilaiannya dia tahu Arya memang arif tentang pemakaian alat tersebut. Dia yakin Arya boleh mengendalikan payung luncur udara itu dengan baik.

     “Awak sudah bersedia Zaqh.” tanya Arya manja sambil mengenakan pelindung mata khas. Payung sudah sedia berada di belakang mereka, terbentang di atas tanah. Zaqhwan kelihatan masih menggigil. Kelihatan beberapa orang paraglider sudah melayang-layang terbang riang di udara.

     “Please Arya, saya takut. awak terbang soranglah, please.” Zaqhwan merayu. Perasaan cemas di dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Dia tertanya-tanya bagaimana Arya boleh melakukan semua itu. Adakah Arya mampu menerbangkan payung terjun yang lebar itu?. Dari mana dia belajar?. Jika Arya gagal, mereka berdua akan mati katak bersama. 

               Bayangan maut berlegar-legar di kepalanya. Dia tidak tahu mengapa dia sanggup melakukannya. Akhirnya dia mengakui, semuanya kerana Arya. Demi Arya dia sanggup melakukan apa-apa saja. Semuanya kerana perasaan cintanya terhadap gadis itu. Apa yang Arya buat dia terpaksa lakukan bersama. Walaupun melakukan perkara gila seperti itu.

     “Zaqh, awak ni macam budak kecik lah. Kalau awak takut, saya akan buat terjunan akrobatikyang lebih ekstrem. Awak nak?” Arya mengejek serta mengacah.

     “Oh tidak. Jangan Arya. Jangan buat perangai gila!”, ujar Zaqhwan dengan suara yang bergetar. Arya hanya tertawa kecil.  Beberapa ketika kemudian dia memejamkan mata, menunggu detik berlepas dengan penuh debaran. Suasana sunyi seketika. Dirasakan kakinya sudah tidak merasa apa-apa lagi.

     “Eh, Arya kita dah terbang ke?”, degup jantung Zaqhwan bertambah kencang.

     “Belum lagi, kita tunggu tiupan angin yang sesuai dulu.”

    “Eeei…alamak, Ya Allah!” Seketika kemudian kelihatan Zaqhwan menadah tangan seolah-olah sedang memohon doa dengan mata yang masih terpejam. Arya hanya tersenyum melihat gelagat Zaqhwan yang benar-benar melucukan hatinya.

               Beberapa minit berlalu, tidak lama kemudian, Arya mendapat lampu hijau dari encik Megat.

     "Okey, Zaqh, ready, one, two, threeee, Arya menyentak tali kawalan, payung yang terdampar di belakang segera mengembang, semakin lama semakin tegak meninggi ditiup angin. Dia melangkah ke hadapan. Lima enam langkah menuruni cerun, tubuh Arya dan Zaqhwan sudah terangkat. Payung terbang semakin meninggi, bergerak menyongsong angin.

     “Zaqh, buka mata awak, kita dah ada di ruang udara sekarang.” Zaqhwan membuka kelopak matanya perlahan-lahan.

     “Wah, cantik betul pemandangan di sini”, ujar Zaqhwan beberapa ketika kemudian. Perasaan gementarnya sudah semakin hilang. Angin sejuk menerpa ke tubuh mereka.

     “Awak takut lagi?”

     “Sudah kurang sedikit.”

     “Kan saya dah kata tadi, kalau nak hilangkan gayat kita kena terbang.”

     “Betullah Arya, macam mana awak ada keberanian sebegini?” Zaqhwan tahu jiwanya tidak sekental Arya. Dari mana Arya memperoleh kekuatan seperti itu?

     “Macam yang saya katakan dulu, ada seseorang yang mendorong saya menjadi berani.”

     “Boleh saya tahu siapa?”

    “Hemm…awaklah.”

     “Ha ha ha, awak memang suka bergurau kan?. Sumpah, kalau awak ajak saya meluncur sekali lagi saya tak akan ikut. Taubat!, inilah yang pertama dan yang terakhir”, ujar Zaqhwan. Arya hanya tersenyum geli hati. Dalam hatinya tertanya-tanya bagaimana Arya boleh berkata begitu sedangkan dia tidak seberani Arya.  

               Suasana hening seketika. Zaqhwan dan Arya menikmati keindahan panorama sekeliling melalui udara. Zaqhwan yang sudah mulai selesa dan emosinya yang sudah semakin stabil mengeluarkan sesuatu dari poket seluar jeansnya.

     “Arya saya nak hadiahkan awak sesuatu. Dah lama saya simpan tapi baru sekarang saya berani mahu memberikannya kepada awak.” Zaqhwan mengeluarkan sebuah kotak kecil berwarna merah hati. Dibukanya perlahan-lahan. Di dalamnya tersimpan sebentuk cincin emas yang cantik. Nampak berkilau bila dipanah cahaya matahari.

     “Ha ini dia. Mari sini tangan awak", pinta Zaqhwan lembut. Biar saya sarungkan cincin ini ke jari awak”, ujar Zaqhwan riang. Arya sedikit terkejut.

     “Eh Zaqh, untuk apa ni?”

     “Ini untuk awak.”

     “Tapi untuk apa?” 

     “Ikhlas dari saya.”

     “Ermm...”

     “Marilah cepat jari awak tu. Jangan banyak tanya lagi.”

     “Hei, awak pun nak bergurau juga ya?. Awak nak saya lepaskan sebelah tali payung ni, dan biarkan kita jatuh bersama-sama?”

     “Oh, tak mengapa, mari saya pegang tali yang sebelah lagi tu, ujar Zaqhwan.”

     “Awak memang nampak bersungguh-sungguh. Kalau ya pun, tunggulah kita mendarat!”

     “Saya mahu biarlah ia berlaku di udara ni. Lebih rare dan unik.”

     “Macam mana kalau cincin itu jatuh?”

     “Kalau jatuh, nanti kita cari sama-sama ha ha ha”, Zaqhwan tertawa riang.

     “Zaqh, awak nampak begitu bersungguh.”

     “Of courselah. Okey dah, awak jangan banyak alasan lagi, mari hulurkan tali itu pada saya”, pinta Zaqhwan dengan nada sedikit kuat.

               Arya menyerahkan tali pengendali payung di sebelah kiri kepada Zaqhwan, kemudian menghulurkan tangannya kepada Zaqhwan. Zaqhwan segera menyarungkan cincin tersebut di jari manis Arya perlahan-lahan dan berhati-hati. Kemudian Arya menyambut semula tali pengendali payung luncur. Suasana kelihatan begitu romantis.

     "Terima kasih Zaqh", ucap Arya perlahan.

     "Sama-sama. Simpan baik-baik ya", pinta Zaqhwan.  Di dalam hatinya berkata "simpanlah ia seperti kau menyimpan aku di dalam hatimu."

     "Arya, kita ambik gambar selfie dulu ya", pinta Zaqhwan sambil menghalakan handphonenya ke arah mereka berdua.  Arya memberikan pose dengan aksi dan senyuman yang menawan. Beberapa keping gambar diambil.   

     “Zaqh, saya nak tanya tentang kita berdua boleh?”, tanya Arya setelah beberapa ketika.

     “Okey, tapi jangan tanya yang bukan-bukan di atas ni. Kita belum jejak ke permukaan tanah lagi tau.”

               Arya mendekatkan sedikit wajahnya ke cuping telinga Zaqhwan. “Ianya tentang hubungan kita ni.”

     “Ya, kenapa?”

     “Err...erm...adakah awak ada menyimpan perasaan terhadap saya?” Tanya Arya teragak-agak. Zaqhwan sudah faham namun dia ingin lebih kepastian.

     “Maksud Arya?”

     “Ermm, mencintai saya.” bisik Arya lembut. Lidah Zaqhwan kelu. Arya memang berani. Berani meluahkan perasaan terhadapnya.

     “Err...Ya. Saya menyimpan perasaan pada awak sejak mula kita bertemu. Demi Tuhan, jika ditakdirkan saya bertemu jodoh sekali lagi, awaklah orangnya Arya. Saya percaya tak ada lelaki yang mahu menolaknya.”

     “Kalau saya tidak seperti sekarang, buruk dan hodoh, adakah awak akan terima juga?”

     “Kalau awak Arya, saya terima, cuma awak ditakdirkan agak lewat hadir dalam hidup saya.”

     “Betulkah Zaqh?”, suara Arya bergetar, menahan sesuatu.”

     “Sungguh Arya.”

     "Ohh...Zaqh, sesungguhnya aku pernah hadir dalam hidupmu dulu", ujar Arya perlahan dan sayu. Tidak dapat didengari dengan jelas oleh Zaqhwan. Zaqhwan menoleh kearahnya, meminta kepastian. Arya hanya membalas dengan senyuman. Kata-katanya itu terus berlalu, melayang bersama tiupan angin. 

     “Tapi adakah awak menyimpan perasaan yang sama terhadap saya, Arya?”

     “Ya, sudah tentu, sejak dulu lagi saya selalu ingin bertemu awak, walaupun sekejap di dalam mimpi”, ujar Arya perlahan.

     “Oh Arya benarkah?” Zaqhwan rasa dunianya begitu indah. Ingin sahaja dia melompat gembira. Kata-kata Arya menyebabkan dia tidak mahu payung terjun terlalu cepat mendarat. Harapannya biarlah angin terus menerbangkan payung itu tinggi-tingi. Zaqhwan membayangkan jika mereka berdua mendarat pun biarlah mendarat di sebuah pulau impian yang tiada seorang penjelajah pun pernah menjejakkan kakinya ke situ.

               Hati Zaqhwan kembang berseri. Dia tidak menyangka rahsia cinta mereka berdua terbongkar di udara. Jika diikutkan hati mahu sahaja dia melaung sekuat hati tentang sebuah kata-kata keramat…

     “Aryaaa! aku cinta padamuuuu!…” Biar semua orang yang ada di situ tahu. Biar Arya, pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan beburung, bukit bukau, gunung ganang, lembah, sungai, laut, awan dan langit yang membiru menjadi saksi cintanya pada Arya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku