Pelabuhan Cinta Arya
BAB 40
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Ogos 2017
Seorang Lelaki Yang Di Buru Cinta Walau Sudah Beristeri.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
206

Bacaan







               Dari tempat kerjanya Zaqhwan bergegas memandu kereta ke hospital pakar KPJ Damansara. Panggilan telefon dari Adiff pada pagi itu mengejutkannya. Dia yang baru beberapa minit masuk bertugas setelah menerima cuti sakit terpaksa pula berkejar ke hospital untuk melawat Aqilah yang telah dimasukkan ke bilik pembedahan. Kelmarin dia baharu sahaja menerima rawatan kerana diserang oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali di Teluk Gong. Kini isterinya pula dikhabarkan mengalami pendarahan dan sedang menjalani pembedahan. Syeera dan Zamyll terpaksa diletakkan di dalam jagaan Adiff.

               Dari semalam Aqilah sudah kelihatan sakit namun dari riak wajah dan pergerakannya, Aqilah tidak menunjukkan yang dia mengalami apa-apa masalah berkenaan sakitnya. Sedaya upaya ditahannya sehingga kedaannya semakin serius dan tidak dapat dikawal lagi.

               Di hospital ibu dan bapanya sudah menunggu. Ibubapa mertuanya sudah dikhabarkan dan sedang dalam perjalanan ke hospital. Menurut kedua orang tuanya itu Aqilah terpaksa dibedah untuk membuang ketumbuhan yang telah lama bersarang di rahimnya. Kedua ibubapa Zaqhwan juga memberitahu Embah dan Embok akan datang melawat keesokan hari. Nampaknya ibubapa, kedua ibubapa mertua, datuk dan neneknya akan datang berhimpun di rumahnya.

               Petang hari kedua, Zaqhwan melawat Aqilah di wad. Semalam dia datang melawat juga tapi keadaan Aqilah masih lemah. Ibubapa Zaqhwan, mertua, datuk dan nenek serta ahli keluarga yang lain masih berada di rumahnya dan akan datang melawat lewat sedikit. 

               Aqilah yang baru tersedar melemparkan senyuman tawar. Zaqhwan yang duduk di sisi membalas senyuman. Mereka saling bertanya khabar dan kemudian perbualan berlanjutan kepada hal kesihatan anak-anak dan kaum keluarga. Zaqhwan menyatakan ramai ahli keluarga telah berkumpul di rumah mereka. Dikhabarkan juga kepada Aqilah suasana di rumah mereka sungguh meriah seperti ada keramaian layaknya, tidak seperti sebelum ini yang kelihatan sunyi dan suram.

     “Macam mana Qila rasa sekarang?”

     “Alhamdulillah, rasa okey sedikit.”

     “Abang dah tanya doktor?”

     “Tanya apa?”, soal Zaqhwan kehairanan.

     “Bila Qila boleh balik rumah.”

     “Alah Qila, sabarlah dulu.  Biar Qila benar-benar okey baru boleh balik.”

     “Bukan apa bang, saya risaukan bisnes saya tu.”

     “Ooo...sebab tu lah Qila tak mau buat operation tu ya. Janganlah bimbang sangat. Lupakanlah sekejap. Si Adiff tu kan ada. Pandailah dia menguruskannya.”

     “Takut lama-lama nanti customer Qila lari.”

     “Kalau dia orang lari, Qila pujuklah.  Kan Qila pandai memujuk.  Cuma...Qila tak pandai pujuk abang ja ha ha ha.

     “Hishh, abang ni ke situ pulak. Abang masih marahkan Qila lagi?”

     “Tidak. Abang tak pernah marahkan Qila, cuma…cuma…”

     “Cuma apa Bang?”

     “Geram aje.”

     “Hi hi hi…geram, geram apanya?”

     “Iyalah, dulu waktu Abang suruh buat operate cepat-cepat Qila tak nak.  Qila biar sampai jadi macam ni. Abang pun sengsara tau.”

     “Hi hi”, Aqilah membalas dengan ketawa kecil.

     “Err...lagi satu, dulu masa Abang nak masuk bilik Syeera, nak kejut Qila, Qila sanggup tutup dan kunci pintu. Terasa benar Qila dah tak sukakan Abang.”

     “Hah, kunci pintu?. Eh..., saya tak kunci pintulah Bang!”

     “Habis, Abang nak buka pintu tak boleh, nak ketuk takut kejutkan Syeera.”

    “Astaghfirullah halazim…saya tak pernah kunci pintu. Pintu tu rosak. Memang tak boleh dibuka dari luar.”

     “Hah, betul ke Qila?, Abang tak tau pun!”

     “Ya bang. Pintu tu dah lama rosak. Sheera selalu main. Kan ada anak kunci di atas meja tepi pintu tu.”

     “Mana Abang tau. Abang tak nampak, gelap.” ujar Zaqhwan. Dia merasa kesal. Hubungan mereka suami isteri hampir berakhir disebabkan oleh perasaan salah sangka. Disebabkan pintu dan anak kuncinya, hubungan mereka suami isteri hampir musnah. Berbulan-bulan mereka bermasam muka, tidak bertegur sapa. Tiada hubungan mesra.

     "Ohh, rupa-rupanya pasal pintu bilik Syeera yang menyebabkan kita berbalah selama ni. Ha ha hi hi hi." Zaqhwan dan Aqilah ketawa serentak.

     “Qila, Abang minta maaf. Selama ni Abang dah salah faham”, sambung Zaqhwan setelah ketawa mereka berdua reda.

     “Qila pun bersalah jugak. Tak layan Abang dengan baik.”

     “Abang dah lupakan semua tu.”

     “Kenapa Abang tak berterus terang dengan Qila?. Maafkan Qila Bang. Qila merasa berdosa sangat pada Abang.”

     “Abang dah lama maafkan Qila, Abang pun bersalah juga. Abang terlalu banyak berfikir, terlalu banyak mentafsir perkara negatif dan berburuk sangka.”

     “Err…Bang, lepas ni jangan buat lagi tau.”

     “Buat apa Qila?”

     “Silent mode kat rumah. Sakit hati Qila tau.”

     “Ha ha ha…iyalah, Abang dah lupakan.  Abang hanya nak menguji Qila. Ternyata Qila seorang yang sabar.”

     "Ish...pandai je Abang ni."  

     "Abang, Qila nak tanya satu boleh?", tanya Aqilah setelah beberapa ketika.

     "Apa dia?"

     “Macam mana dengan perempuan dalam gambar tu?”

     “Qila, Abang dengan dia hanya kawan sepejabat aje lah. Qila nak Abang silent mode lagi ya?”

     “Jangan Bang. Tapi, Qila masih belum puas hati. Abang macam ada benda yang disorokkan.”

     “Sudah Qila. Jangan fikir yang bukan-bukan. Qila pun tahu macam mana tugas Abangkan?. Sentiasa perlu berhubung dengan semua orang. Lagipun Qila kan masih belum sembuh. Banyakkan berehat. Dah jangan fikir yang bukan-bukan.”

     “Abang jangan tipu tau, kalau Abang tipu, Qila tak percayakan Abang lagi.”

     “Okey, kalau Qila tak percaya nanti Abang perkenalkan Arya pada Qila.”

     “Ooo…Arya namanya.  Sedap namanya, secantik orangnya.”

     “Okey, esok abang suruh dia datang lawat Qila.”

               Perbualan pasangan suami isteri itu berlarutan sehinggalah kaum keluarga mereka tiba. Kini suasana umpama keramaian bertukar di wad hospital pula.



_______________________________________________________________________________

 

 

               Petang itu Arya memandu kereta menuju ke hospital pakar KPJ Petaling Jaya. Hasratnya mahu melawat Siti Aqilah yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan. Kunjungannya itu juga adalah disebabkan pelawaan Zaqhwan untuk memperkenalkan dirinya kepada Aqilah.  Waktu sebegitu adalah waktu terbaik untuknya mengenali Aqilah.

               Secara kebetulan, tidak jauh dari tempatnya meletak kereta, dia terlihat kereta Zaqhwan yang baru sahaja tiba. Dilihatnya sepasang warga emas turun dari kereta Zaqhwan. Lelaki tua dan isterinya itu memang amat dikenalinya. Hati Arya berbelah bahagi. Dia tidak mahu menunggu lama. Hasrat untuk melawat Aqilah dibatalkan. Nanti dia akan memikirkan alasan munasabah untuk diberikan kepada Zaqhwan.

                 Arya menghidupkan enjin keretanya dan berlalu pergi.  Perasaannya bercampur baur.

 

 

 

            


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku