Pelabuhan Cinta Arya
BAB 46
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 20 Ogos 2017
Seorang Lelaki Yang Di Buru Cinta Walau Sudah Beristeri.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
80

Bacaan






         

               Zaqhwan memandu keretanya perlahan-lahan. Diawasinya jajaran rumah-rumah di kiri dan kanan Lorong Bunga Melati. Sebenarnya dia tidaklah begitu pasti lokasi rumah Lek Sam kerana tidak pernah ke sana. Menurut Emboknya tadi, rumah Lek Sam hampir setentang dengan surau dan di hadapan rumahnya tergantung kain rentang usang yang bertulis 'Lek Sam PengedarTempe Jawa Asli'.

               Zaqhwan sudah menemui rumah Lek Sam. Dia memerhati persekitaran rumah itu dari dalam kereta. Anak matanya yang dilindungi cermin mata hitam liar memerhati sekeliling. Suasana sunyi sepi. Motorsikal dan kereta lama Lek Sam dilihat ada di garaj namun tiada tanda-tanda Nuk ataupun Arya berada di situ. Zaqhwan menghela nafas. Kelibat Lek Sam, Mbak Yu Ros atau anak-anak mereka juga tidak kelihatan.

               Di dalam kereta yang masih hidup enjinnya, Zaqhwan hanyut lagi. Fikirannya masih berpusat kepada Arya. Benarkah Arya sebenarnya Nuk, budak perempuan yang berparut di wajah itu? Bagaimana perempuan itu boleh berubah tiga ratus enam puluh darjah, dari segi rupa mahupun peribadinya?

               Dikala sedang asyik melayan perasaannya, muncul seorang lelaki yang hampir seusia ayahnya di muka pintu rumah. Lelaki yang hanya berkain pelikat dan berbaju pagoda putih nipis itu meninjau-ninjau keluar. Zaqhwan tersenyum, dia masih mengenali orang itu.

               Zaqhwan mematikan enjin, keluar dari perut kereta sambil menanggalkan cermin mata hitamnya. Dia berjalan menghampiri Lek Sam. Zaqhwan memberi salam sambil menghulurkan tangan.

     “Nama Pak cik ni Lek Sam kan. Tauke tempe di kawasan ni?”

     “Iya, kenapa encik?, tapi saya bukan tauke, saya buat kecil-kecilan aja. Encik nak buat tempahan ke?”, ujar Lek Sam merendah diri sambil menawarkan khidmat bisnesnya. 

     “Ha ha ha…tidaklah Pak cik. Saya datang ke sini nak jumpa Nuk. Saya ni kawan lama dia.”

     “Nuk? Kenapa encik nak jumpa dia?”, tanya Lek Sam sambil mempelawa Zaqhwan masuk ke rumah. Mereka duduk setentang di atas sofa lama berwarna kuning langsat.

     “Nama saya Zaqhwan. Dulu masa kecil saya duduk di kampung ni. Saya dengan Nuk kawan baik. Dah lama tak jumpa dia. Embah Lanang dan Embok Suriati tu datuk dan nenek sayalah.”

     Lek Sam cuba mengingati. Fikirannya pantas menyoroti kenangan dalam satu tempoh masa yang telah lama berlalu. “Ohhh…ingat-ingat. Zaqhwan yang dulu hebat main bola di kampung ni kan?”

     “Itu dulu Pak cik. Sekarang ni dah bersara. Dah berumur.”

     “Mak dan ayah kamu tu dulu pegawai imigresen kat Port Klang kan?”

     “Ya, Pak cik.”

     “Ooo…ya ingat-ingat. Mereka apa khabar?”

     “Sihat je Pak cik.”

     “Mak ayah encik duduk mana sekarang?”

     “KL”, ujar Zaqhwan pendek sambil membetulkan duduknya.

     “Encik?”

     “Samalah, saya pun duduk KL. Saya di Damansara Height, mak ayah di Keramat.”

     “Hebat encik sekarang ya. Encik ni kerja apa?”, Lek Sam semakin ramah bertanya membuatkan Zaqhwan tidak senang duduk.

     “Kerja kerani biasa-biasa je. Err…Pak cik tak payah berencik-enciklah. Panggil saya Zaqhwan je sudahlah.”

     “Ha ha…ya, ya, yelah.”

     “Mbak Yu Ros mana?”, tanya Zaqhwan, bimbang juga dia dengan perempuan itu jika tiba-tiba saja anginnya tak kena. Dia pernah dikejar perempuan itu.

     “Ohh…anak sulung Pak cik bawa dia ke Melaka, pergi berubat.”

     “Ermm…Nuk ada balik ke sini tak Pak cik? Lama saya tak jumpa dia.”

     “Zaqhwan duduk dululah ya. Nanti kita sambung berbual…ha ha, Pak cik nak buatkan kopi. Maklumlah Pak cik ni tak ada anak perempuan. Semuanya lelaki, dah ada yang kawin dan duduk asing-asing pulak tu. Sejak Mbak Yu sakit, beginilah, banyak kerja kena buat sendiri. Dulu kalau ada Nuk ada jugak dia nolong.”

     “Eh, tak apalah Pak cik. Saya dah minum di rumah tadi.” Zaqhwan sedar, Lek Sam seperti tidak mahu menjawab, malah melengah-lengahkan pertanyaannya bagaikan sudah mengetahui tujuan kedatangannya.

     “Adat melayu, tetamu kena dijamu walau secawan air kosong”, ujar Lek Sam.

     “Susahkan Pak cik je.”

     “Ehh…jangan cakap begitu, tetamu tu pembawa rezeki tau?” omel Lek Sam sambil melangkah ke dapur.

     “Ohhh…” Mata Zaqhwan melingas ke seluruh ceruk rumah, namun hampa, langsung tidak nampak kelibat atau tanda-tanda kehadiran Arya atau Nuk.

               Tidak lama kemudian Lek Sam muncul dengan dua cawan kopi dan sepinggan biskut. Dia mempelawa Zaqhwan membasahkan tekak. Lek Sam memulakan bicara.

     “Zaqhwan tau, sebelum isteri saya sakit si Nuk tu rapat sangat dengan dia. Banyak yang dia belajar, buat tempe, buat sambal goreng, buat lontong, macam-macam lagilah. Lepas sakit mak ciknya tu makin teruk, dia pun turut jadi murung. Mujur dia sempat belajar masak nasi, lauk dan tumis sayur sikit-sikit dari isteri Pak cik. Dialah yang bantu uruskan kerja-kerja di dapur.”

     “Ya, dia pernah hantar lontong dan sambal goreng ke rumah Embah.” Zaqhwan menokok.

     “Nuk tu ikut perangai ayahnya. Lasak tapi pendiam dan rajin. Kalau disuruh tak pernah membantah. Dia sanggup hantar bekalan tempe sampai ke kedai runcit di Port Klang. Kalau suruh anak-anak Pakcik yang lain, haram tak mau, malu kata mereka, nanti digelar orang Pak Mat Tempe. Pernah sekali tu Nuk hampir dilanggar lori. Ada seorang lelaki muda selamatkan dia. Nasib baik dia cedera sikit aja. Basikalnya hancur. Pak cik tak tau sebab masa tu Pak cik tak ada di rumah, Pak cik ke Klang cari barang-barang buat tempe.”,terang Lek Sam ramah.

     “Saya tau cerita tu.”

     “Satu lagi yang Pak cik heran perangai Nuk yang suka bawa balik kucing yang dia jumpa di tepi jalan. Penuh rumah ni dengan kucing kamu tau. Macam-macam jenis kucing ada. Yang kudung kaki, yang buta, yang sakit, kecil, besar semua dia bawa balik. Dia cukup sayangkan kucing. Kadang-kadang dengan kucing-kucing itulah dia meluahkan perasaan. Sampaikan ada orang kampung yang samakan dia dengan kucing-kucing buangan tu. Syukur, sejak ada Nuk dan kucing-kucingnya tu, rezeki Pak cik tak pernah kurang, malah semakin bertambah. Rumah ni pun jadi tambah meriah.”

     “Ya,…memang betul Pak cik.”

     “Mujur, rezeki dia dapat juga dia masuk universiti. Semua atas usaha dia sendiri.”

     “Nuk pernah tinggal di Siam kan Pak cik?”

     “Ya, ayahnya tu kawin dengan orang selatanThai. Nuk dan kakaknya lahir di Kedah. Kemudian mereka pindah ke Pattani. Nuk tu anak yatim piatu. Mak, ayah dan kakaknya mati serentak ditembak oleh kumpulan yang tidak diketahui di sana.

     “Ya, Allah!, betul ke Pak cik?. Nuk tak pernah ceritakan pada saya pun.”

     “Tidak ramai yang tahu tentang kisah keluarga Nuk. Dia tidak akan menceritakan kepada sesiapa. Hanya di kalangan keluarga kami sahaja yang tahu. Pak cik rasa Nuk lebih menderita kerana kematian keluarganya depan matanya sendiri.”

     "Subhanallah", Zaqhwan terkedu.

     “Lepas tu dia dipelihara oleh abang Pak cik di Pulau Pinang. Tapi dia tak serasi di sana, Nuk dihantarnya ke mari.” Sambung Lek Sam.

     “Apa nama sebenar Nuk?”

     “Pak cik tak ingat sangat apa nama sebenar dia. Err…Eriya, Aryah, macam tu lah. Ada panjang lagi nama dia tu.”

     “Aryah…ya, Nuk memang Arya. Arya Natasha” bisik Zaqhwan di dalam hati. Dia sudah dapat menangkap petunjuk yang sudah semakin jelas.

     “Iya lah, sampai je kat sini terus gelar dia dengan nama Nuk. Tapi isteri Pak cik tak panggil dia Nuk, dia panggil Edok. Edok tu dalam bahasa jawa maksudnya perempuan. Maklumlah kami tak ada anak perempuan, semuanya lelaki. Tu yang isteri Pak cik suka panggil Edok.”

     “Siapa nama bapanya?”, tanya Zaqhwan semakin tidak sabar.

     “Masa di Kedah orang panggil ayahnya Lebai Lah atau Lah Kitab, sebab dia suka baca kitab-kitab agama.”

     “Lebai Lah?”, terpacul suara Zaqhwan seolah-olah berbisik, masih ada secebis keraguan difikirannya.

     “Nama betulnya, er, erm…Abdullah Kamal, begitulah kalau tak silap.”

          Sah! Memang comfirm, memang tidak salah lagi Nuk atau Edok adalah Arya. Dia sudah menjumpai jejak gadis yang sedang dicari-cari, gadis yang digilai.

     “Kamu pun tahu Zaqhwan, Nuk selalu dihina dan diejek masa dia kecik-kecik dulu. Tapi sekarang Nuk dah berubah. Kami pun terkejut bila dia balik dari Thailand dan Korea lima enam tahun lepas.Tiba-tiba sahaja rupa parasnya dah berubah terus. Dah tak buruk lagi, dah cantik. Mak ciknya sampai hari ni masih tak kenal dengan Nuk…ha ha ha.”

     “Macam mana boleh jadi macam tu?”

     “Dia ada keluarga angkat yang tinggal di Bangkok. Namanya Dr. Sunee dan anak gadisnya bernama Mae Ra. Dari dulu mereka selalu datang ke sini, bawa Nuk ke Thailand, Korea atau negara orang putih sana bila musim cuti. Merekalah yang bantu usahakan buat pembedahan wajah Nuk. Mereka pun suka lontong dan sambal goreng yang Nuk buat tau.”

     “Ohhh…”, keluh Zaqhwan. Kebuntuan dan kacau-bilau yang melanda jiwa dan perasaannya selama ini semakin reda. Dia berasa lega.

     “Baru-baru ni Nuk ada datang ke sini, ziarah Pak cik dan Mbak Yu Ros. Dia kata dia nak berhijrah ke Thailand. Katanya mungkin dia akan berada di sana dalam jangka masa yang lama. Dia kata dia akan bekerja di sana.”

     “Berhijrah ke Thailand?”

     “Ya,…”

     “Dia buat kerja apa di sana?”

     “Entahlah, tapi katanya buat kerja sukarela.”

     “Buat kerja sukarela?” Zaqhwan buntu semula. Arya memang suka berteka-teki dan tidak mahu berterus terang. Kerja apa yang dilakukan Arya di Thailand? Kerja baik atau kerja kotor? Namun jauh disudut hatinya percaya jika Arya adalah Nuk, pasti tugas yang dilakukan itu adalah tugas yang baik dan mulia.

     “Err…si Nuk tu dah bersuami atau dah berpunya?”, lekas-lekas Zaqhwan mengajukan pertanyaan.

     “Belum lagi. Itu yang Pak cik bimbang. Umurnya makin lama makin meningkat. Dia selalu sibuk dengan kerja. Ada dua tiga kali seorang lelaki keturunan Siam menghantarnya ke rumah ni. Kata Arya teman rapatnya di Pattani.” Terang Lek Sam. Zaqhwan terdiam. Dia teringat seorang lelaki bertubuh sasa yang menjemput Arya di jeti Kuala Perlis dahulu. Gambar lelaki itu juga ada di dalam PC Arya. Mungkin lelaki itu yang dimaksudkan oleh Lek Sam.

     “Ohh ya, ada satu lagi, baru Pak cik teringat. Tunggu dulu ya.” Kata-kata Lek Sam mematikan lamunan Zaqhwan.

               Lek Sam bergegas masuk ke biliknya dan seketika kemudian keluar semula bersama beberapa buah kotak pelbagai saiz, kecil dan besar, berisi di dalam sebuah beg yang agak besar. Zaqhwan terkejut, dia kenal benar kotak barang-barang itu. Ada diantaranya adalah barang-barang hadiah yang pernah diberikan kepada Arya.

     “Ini, Nuk pesan, kalau ada seorang lelaki datang mencarinya, dia suruh serahkan semula barang-barang ini semua. Dia minta Pak cik sampailkan ucapan terima kasih sebab Zaqhwan banyak membantunya, memberi keyakinan dan semangat masa dia keseorangan, kesunyian dan masa dia tak ada kawan dulu.”

     “Ohhh…Arya, mengapa kau tergamak melakukan ini semua.” Zaqhwan mengeluh sendirian, perlahan, sambil tangannya memegang sebentuk cincin yang diambil dan dibuka dari tampuknya. Cincin yang dulu pernah disarungkan ke jari manis Arya, ketika mereka berdua sama-sama tergantung di bawah payung harapan, terawang-awang di angkasa impian, dibelai oleh angin rindu. Cincin tanda cinta mereka. Kini cincin dan lain-lain hadiah yang pernah diberikan kepada Arya itu dipulangkan kepadanya semula. Semuanya tidak diusik langsung!.

               Dibukanya pula sebuah bungkusan lama yang diyakini bukan hadiah pemberiannya sepanjang perkenalan mereka. Di dalamnya adalah sehelai baju t-shirt berwarna hitam yang sudah agak lama tapi masih baik dan belum berusik. Di dada baju yang bersaiz agak kecil dari tubuhnya tertera tulisan bercetak Best Friend Forever. Dia tidak tahu kenapa Arya memberikan baju itu kepadanya.

               Lebih mengharukan perasaannya bila dia menjumpai sekeping kad yang ditemui terselit di tepi beg tersebut. Benar-benar menjentik hatinya. Air matanya hampir menitis. Dia kenal benar kad ucapan yang pernah diberikan kepada Nuk dulu. Dia sungguh bangga, Nuk sudah mengecapi kejayaan, jauh melangkaui dari apa yang dijangkakan dulu. Nuk kini sedang berusaha memburu apa yang diingininya, apa yang diimpikannya.

               Kini Zaqhwan sudah mendapat jawapan yang dicari-cari. Nuk atau Edok adalah Arya. Dia amat yakin kini Arya sudah berlepas ke Bangkok, meninggalkan dirinya keseorangan. Meninggalkan cinta mereka berdua. Namun disebalik rasa kesal dan kecewa yang ditelan, tersemai rasa gembira dan bangga terhadap Nuk yang bukan sahaja dapat mengatasi kelemahan dan ketidakyakinan terhadap diri sendiri malah lebih dari apa yang diharapkan. Segala apa yang sedang dikecapi oleh Nuk ketika ini benar-benar membanggakannya. Fahamlah dia sekarang mengapa Arya begitu teruja dan bersemangat mempelajari dan mendalami pelbagai bidang kemahiran diri.

               Zaqhwan akur. Dia mengaku kalah. Dia mengaku bersalah. Dia perlu kembali semula ke pangkuan Aqilah dan anak-anaknya, memohon maaf kepada mereka dan menjernihkan semula hubungan dengan Siti Aqilah. Dia menyedari kesilapannya.  Dia akui, dia suka mengejar impian namun gagal menilainya dengan mata hati.

               Baginya Arya atau Nuk akan diabadikan di dalam lipatan sejarah hidupnya. Dia tidak mahu memburu bayangan Arya lagi. Arya bukan jodoh untuknya dan Arya bukanlah gadis sembarangan. Tidak ada apa-apa lagi yang perlu di harapkan dan diimpikan. Semuanya adalah pengajaran. Semuanya akan dijadikan sebagai panduan hidup.

               Setelah puas berbual Zaqhwan memohon diri mahu pulang. Kisah Arya telah diketahui. Zaqhwan sedar, dia adalah sebahagian dari watak yang hadir dalam hidup gadis itu. Walau apa pun, dia tetap puas dan gembira kerana disamping berhadapan dengan kekecewaan, dia sebenarnya telah memperoleh ‘kejayaan’. Satu dorongan kecil darinya merupakan satu perubahan besar dalam hidup Nuk. Apa yang berlaku selebihnya adalah atas daya usaha dan takdir hidup Nuk sendiri.

     “Ohhh...Nuk, kau sanggup menjejaki aku untuk mengenang kembali kisah silam kita berdua.  Tapi sayang, aku tidak sedar, aku tidak dapat membaca siapa dirimu yang sebenar. Nuk, langkahmu sudah semakin jauh dan semakin teguh, malah sudah jauh melewati tanggapan dan jangkaanku.” Zaqhwan bermonolog.

               Sewaktu kakinya ingin melangkah keluar pintu, matanya tertumpu ke satu sudut ruang yang menarik minatnya. Diamatinya betul-betul susunan frame gambar berbagai bentuk dan saiz yang disusun rapat di atas sebuah meja besar. Jumlahnya tidak kurang dari tiga puluh buah frame yang memaparkan lukisan tangan yang cantik dan indah di atas kanvas.

     “Eh, gambar apa tu Pak cik? banyak sungguh.”

     “Ohh…itulah lukisan tangan karya si Nuk. Memang banyak.”

     “Lukisan Nuk? Boleh saya tengok?”

     “Marilah, apa salahnya. Nuk letak sini pun minta anak Pak cik, si Sanusi yang kerja di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian tu tolong jualkan. Kalau ada buka pameran atau galeri lukisan si Nusi tu bawaklah. Dah banyak yang terjual tau.”

               Zaqhwan membelek satu persatu. Dalam hatinya dia memuji, Arya memang seorang yang hebat dan berbakat. Dia sungguh tidak menyangka. Dia kagum dengan lukisan-lukisan yang dilakar. Begitu cantik dan hidup. Lukisan tentang alam, emosi manusia dan kehidupan. Lukisan itu benar-benar lahir dari hati dan perasaan si pelukisnya. Lukisan yang seolah-olah memaparkan gambaran perjalanan hidup Nuk sendiri.

     “Itulah hasil air tangannya. Dia kata duit hasil lukisannya itu nanti akan dimasukkan ke dalam tabung persatuannya. Entahlah Pak cik pun tak faham.”

     “Boleh saya beli Pak cik”, ujar Zaqhwan. Dia tahu wang hasil lukisan itu akan dimasukkan ke dalam akaun pertubuhan. Dia perlu membantu Arya.

     “Tentu boleh. Tapi dengan Zaqhwan, tak payah bayarlah. Nanti Pak cik tolong bayarkan.”

     “Ehh…tak usah Pak cik. Harga lukisan ni boleh tahan jugak. Tengok harganya tu, RM 300.00, 550.00. Ada yang berharga RM800.00. Memang berpatutan dengan kualitinya. Lagi pun saya nak ambil dua buah lukisan”, ujar Zaqhwan walau dia tahu nilai lukisan Arya baginya lebih dari itu.

               Zaqhwan menilik satu persatu. Dia memilih gambar seorang kanak-kanak perempuan yang sedang duduk di sebuah bangku di tepi pelabuhan. Kanak-kanak itu memakai hud, melindungi wajahnya sambil merenung jauh ke laut lepas. Diribaannya terdapat seekor kucing hitam berbulu nipis. Tiga ekor kucing lagi berada di bawah bangku tempat duduk gadis kecil itu, juga sedang memandang ke laut lepas. Beberapa buah kapal kontena melatari sudut lukisan. Baginya, lukisan itu memberi makna yang amat mendalam. Nuk melayani perasaan sambil ditemani teman-teman baiknya. Suasana yang pernah dilihatnya suatu masa dahulu.

               Diambilnya lagi sebuah lukisan yang cukup memberi kesan kepadanya. Lukisan yang kelihatan masih agak baru dihasilkan. Lukisan itu adalah lukisan tentang pemandangan dari atas sebuah bukit. Beberapa orang para glider sedang meluncur bebas sambil menikmati pemandangan alam dari udara. Zaqhwan bercadang mahu menggantung kedua-dua lukisan itu di pejabatnya. Hanya dia seorang yang tahu maksud yang terkandung dan tersirat di dalam gambar lukisan itu.

                                                                                                                                    

 

        



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku