Babad Nuberia
Prolog
Genre: Fantasi
Kategori: Novel
Paparan sejak 27 Ogos 2017
Penilaian Purata:
245

Bacaan






 

"Viagar, apa yang sedang berlaku?" tanya gadis berkulit kuning langsat kepada seorang lelaki pertengahan umur yang membuntutinya. Memuncungkan mulut sambil mengacungkan tangan kiri ke arah sekelompok orang di pinggir muka pasar.

"Patik siasat dahulu, tuan puteri. Sila tunggu di sini barang seketika," Viagar mengisyaratkan sesuatu kepada lima orang pengikutnya. Mengerling di hujung mata, memiringkan kepala.

"Tak perlu!" kasar nada gadis belasan tahun itu, "kau dan juakmu tunggu di sini. Sulfi, kamu ikut kita."

"Tapi tuan puteri... " Viagar cuba membantah.

"Awas kamu!" matanya bulat mencerlung ke arah panglima tentera yang ditugaskan oleh ayahandanya sebagai pengawal peribadinya. Viagar tunduk tidak berani membantah anak raja tersebut. Sebagai seorang tentera arahan pihak atasan wajib dipatuhi.

"Ayuh Sulfi, ikut kita ke sana."

"Baik kanda Ikal," remaja lelaki yang sedari tadi tersenyum sumbing melihat ulah Puteri Ikal Mayang Mengurai pantas mengekori. 

Semakin hampir, kelihatan di tengah-tengah kelompok orang ramai itu, seorang tua berambut uban panjang lepas ke pinggang. Berjambang juga panjang, kusut dan beruban, putih bersinar bagaikan perak dibias cahaya mentari pagi. Bertenggek di atas sebatang banir, tampak seperti seorang pengemis. Comot dan compang-camping tidak terurus penampilannya.

Pakaiannya ringkas, nipis dan lusuh. Sehelai jubah kusam bertampal di merata-rata bahagian. Sambil tangan kirinya memegang kemas sebatang tongkat dari akar kayu yang lurus di hujung  tapi bersimpul-simpul di pangkal membentur bagaikan kepala ular, tangan kanannya menggapai-gapai di udara.  Mulutnya berkumat-kamit riuh membebel. Suaranya tenggelam timbul di pendengaran kedua remaja bangsawan tersebut.

Hanya kelompok yang mengelilinginya memberikan perhatian terhadapnya. Manusia lain di pasar seakan-akan tidak peduli langsung. Hampir kesemuanya remaja belasan tahun, lelaki dan perempuan. Terdapat dua tiga orang lelaki dewasa, juga beberapa orang kanak-kanak kecil. Mendengar kisah dongeng dari orang tua selekeh itu merupakan hiburan yang mendatangkan keterujaan. Membuatkan pendengarnya tenggelam dalam angan-angan peribadi.

Viagar dan lima pengikutnya mengekori dari jauh kedua remaja itu. Mata mereka meliar mengawasi persekitaran, bimbang terjadi sesuatu yang tidak diingini. Akhirnya Puteri Ikal dan Sulfi hilang di celahan kumpulan orang ramai. Sulfi lincah mencelah membuka jalan buat Puteri Ikal. Kedua-duanya merapat sehingga ke barisan paling hadapan khalayak.

Lima orang pengawal kemudian berpecah menyusup masuk ke kawasan pasar. Menempatkan diri di tempat yang difikirkan strategik, sedaya mungkin untuk tidak mengundang amarah anak raja tersebut mahupun Viagar si panglima. Hanya Viagar tetap berdiri memerhati dari jauh. 

Orang tua berambut panjang tersebut berdehem beberapa kali, meludah kahak ke sisi kirinya. Hampir sahaja mengenai Sulfi yang baru duduk bertinggung. Puteri Ikal mencerlungkan matanya, namun tidak dipedulikan orang tua tersebut.

"Sambunglah kembali kisah tadi," jerit seorang budak lelaki di depannya. Tersengih lebar duduk mencangkung di barisan paling hadapan.

"Ya, kami belum puas membayangkan kisah dalam dongenganmu," sahut seorang lagi budak lelaki di belakang Sulfi. Dalam kotak fikirannya, terkhayal tentang wira yang hebat penuh kesaktian. Tentang puteri raja yang rupawan. Malah, tentang penjahat yang tidak berhati perut.

Orang tua itu tetap membisu, menyelak jubahnya langsung mencapai labu kecil sebesar dua penumbuk orang dewasa yang disisip pada ikat pinggang. Mencabut kayu penutup, kemudian dengan kasar meneguk air sejuk dari muncung labu tersebut.

Mulutnya tiba-tiba mencebik, dijuihkan ke arah mangkuk tembaga yang berlekuk-lekuk dasarnya dan sumbing di beberapa tempat pada tepinya. Dalam mangkuk itu terdapat beberapa keping syiling gangsa sebesar kuku ibu jari tangan. 

Kumpulan manusia yang mengelilinginya mula membantah melahirkan rasa tidak puas hati. Bunyi puluhan orang yang menyumpah seranah, memaki hamun serentak bercampur baur bagaikan bunyi sekawan ayam berebut hampas padi. Beberapa orang dewasa yang turut serta berhimpun mendengar penglipur lara tua bercerita beransur menuju ke bahagian dalam pasar.

Orang tua mencapai mangkuknya di atas tanah, dikocak-kocakkannya mangkuk seumpama menampi padi. Digenggamnya syiling gangsa lalu di masukkan ke dalam kocek jubah lalu bersuara dengan perlahan, "tekakku sudah kering, teringin disirami serbat yang manis. Perutku sudah lapar, berlagu teringin daging bakar."

Tangannya menepuk-nepuk perutnya yang kempis. Jarang dirinya berpeluang makan sehingga kenyang, namun hari ini rezekinya cukup baik. Enam keping gangsa. Cukup untuk tiga hari, dua kali kenyang sehari. Terbayang keenakan daging kambing bakar dan kemanisan serbat yang dijual di pasar.

"Terima kasih atas sumbangan kalian semua, tapi aku sudah letih. Sudah enam dongeng kuperdengarkan pada kalian. Setimpal dengan kepingan-kepingan syiling."

Suasana makin riuh, tapi orang tua memekakkan telinga lalu melangkah pergi, terbongkok-bongkok bertongkat. Sesekali tangannya menumbuk-numbuk pangkal pinggangnya

"Itu sahaja?" Puteri Ikal dan Sulfi saling berpandangan. Sulfi menjungkit bahunya tanda tidak tahu. Kemudian kedua-duanya ketawa berdekah-dekah. Geli hati memikirkan tentang susah payah yang dilalui untuk mendengar kisah dongeng.

"Nanti boleh kau jemput dia ke teratakmu? Sulfi," Puteri Ikal tersenyum memandang wajah sepupunya Sulfi. "Kita teringin sekali mendengar kisah-kisah dongeng dan sejarah dahulu-kala"

"Baiklah kanda, kita pun teringin juga. Baru sahaja bertinggung, terus tutup panggung," jawab Sulfi diiringi tawa kedua-duanya. Sulfi bangkit berdiri sambil menoleh kiri dan kanan mencari kelibat pengawal-pengawal pengiring Puteri Ikal, kemudian menunjukkan keberadaan Viagar kepada sepupunya.

Khalayak ramai tadi sudahpun bersurai. Puteri Ikal memanggil Viagar serta para pengawalnya, bergerak menuju ke arah deretan bangunan yang berhampiran dengan pasar. Kemudian hilang ditelan celahan deretan bangunan-bangunan empat tingkat yang dibina rapat-rapat. Bangunan-bangunan yang dibina dengan batu-bata hitam legap yang dipotong dari gunung-ganang. Mengikut cerita orang-orang tua, seluruh kota ini dibina di atas sebuah kota purba.

Sulfi menghala ke dalam kawasan pasar, menjejak orang tua si penglipur lara. Namun dia terpukau dengan dengan kesibukan di dalam pasar. Pasar merupakan kawasan yang paling sibuk di kota ini. Ribuan manusia dari segenap pelusuk negeri datang berurus niaga setiap hari. Bermula terbit mentari sehinggalah terbenam kembali di ufuk barat, pasar itu tidak pernah sunyi dari suara manusia.

Sulfi melangkah perlahan sambil melihat-melihat bermacam barangan yang didagangkan. Mengikut perkiraannya, pasar itu tidak kurang dari sebatu persegi luasnya. Di dalamnya terdapat empat kawasan yang berbeza, terpisah tapi bersambung antara satu sama lain. Satu bahagian untuk barangan makanan, satu bahagian untuk pakaian, satu bahagian untuk haiwan ternakan dan satu bahagian untuk berjualan barangan basah dan rempah ratus.

Di tepi sebelah kanan pasar merupakan kompleks bangunan purba yang dibina dari batu gunung. Setiap keping blok batu hitam legap itu berukuran sedepa lebar, tinggi dan panjangnya. Walaupun sudah berusia ratusan tahun, bangunan-bangunan itu masih kukuh dan berfungsi sebagai penempatan rakyat biasa yang jumlahnya tidak kurang dari tiga ribu orang.

Setinggi empat tingkat di atas permukaan bumi serta dua tingkat lagi di bawah tanah. Pernah sekali Puteri Ikal tersesat bersama para pengawalnya di tingkat bawah tanah yang bersimpang-siur. Setelah berjaya ditemui, pengawal peribadinya yang seramai empat orang kesemuanya dihukum sebat. Semenjak itu Panglima Viagar ditugaskan mengawal pergerakan Puteri Ikal. Nasib Sulfi baik kerana dia tidak turut serta.

Selepas puas berjalan-jalan, Sulfi menyambung kembali pencariannya. Hari sudah melewati waktu tengahari. Mentari sudah gelincir, condong ke barat.

Akhirnya dia menemui orang tua penglipur lara di kaki lima pasar, berhampiran tembok kota. Di bahagian paling terpencil di kawasan yang menempatkan jualan makanan. Tanpa berlengah Sulfi melangkah menghampiri orang tua yang sedang makan sambil termenung itu.

"Salam wahai orang tua penglipur lara," Sulfi menyapa dengan sopan tidak mahu menyinggung perasaan orang tua tersebut. Bimbang dia enggan mengikutnya pulang. Sulfi berdiri tegak menunggu dengan penuh harapan.

Orang tua penglipur lara, tetap merenung tembok kota sambil mencicip daging kambing bakar yang dibeli di pasar. "Salam," ucapnya kembali, sepatah tanpa berpaling ke arah Sulfi. Dia memutuskan untuk tidak bercerita lagi pada hari ini. Cukuplah sepanjang pagi tadi dia berbelit lidah menutur kata sehingga kehausan.

"Ada orang mahu mendengar dongeng yang dikisahkanmu hai orang tua." Sulfi menyambung lagi, "lima puluh keping perak. Adakah setimpal nilai dongengmu?"

Lenguh berdiri, Sulfi bertinggung di sisi orang tua tersebut lantas meletakkan uncang kepingan syiling perak ke dalam mangkuk tembaga di depan orang tua tersebut. Masih juga merenung tembok, orang tua penglipur lara bagaikan tidak mendengar usul Sulfi, bagaikan tidak nampak uncang yang mengandungi lima puluh keping syiling perak. Tangannya mencarik-carik daging kambing bakar kemudian mengunyahnya perlahan-lahan. Sulfi mati akal, namun tetap bersabar menanti jawapan.

Sejurus menyuapkan cobekan terakhir daging kambing bakar ke mulutnya, orang tua tersebut bersuara lalu berpaling ke arah Sulfi yang bertinggung di sisinya, "lima puluh keping perak terlalu banyak untuk  kisah..." matanya membulat terbuntang. Mulutnya terlopong terkejut melihat wajah Sulfi. Dan air mata berderai di pipi. 




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku