Setia Untukku
BAB 5
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 01 September 2017
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
273

Bacaan







HAZREEN baru sahaja selesai menunaikan solat Maghrib. Telekung dan sejadah yang baru digunakan disidai di hujung katil. Dia bergerak ke meja solek. Sambil menyikat rambut sempat lagi dia meneliti wajahnya di cermin. Sudah ada kedut-kedut halus diwajah menandakan dia sudah semakin tua. Itu yang buat Hazreen risau. Dia tidak mahu kelihatan tua sebelum waktunya. Kalau boleh dia mahu awet muda seperti Nora Danish.

Cepat benar rasanya masa berlalu. Sedar-sedar saja dia kini sudah berusia 25 tahun.Sudah suku abad rupanya dia hidup di dunia ini. Namun masih tiada apa yang mampu dia banggakan. Pekerjaan pun tak pernah tetap. Baru nak bekerja lama sesikit ada sahaja masalah yang timbul. Tidak lama lagi pasti dia akan dibuang kerja gara-gara terlalu kerap mengambil cuti kecemasan. Memang susah menjadi manusia yang terlajak prihatin ni. Jumpa anak kucing depan rumah pun dia boleh minta cuti kecemasan. Sudahnya cutilah selama-lamanya. Mujurlah ada Irsyad yang sanggup menanggung biawak hidup seperti dia.

“Jauh berangan?” tegur satu suara dari belakang membuatkan Hazreen segera menoleh ke pintu.

Ashril dengan santai berdiri sambil bersandar di pintu memerhatikan Hazreen. Entah sejak bila lelaki itu berada di situ, Hazreen sendiri tidak tahu. Silap diajuga kerana lupa menutup pintu. Dia lupa dalam rumah ini ada seorang lelaki yang kedatangannya tidak diundang. Menyibuk saja bersidai di depan pintu itu.

“Muka kau tu, kalau belek macam mana pun, takkan mau jadi cantik.” Tiba-tiba Ashril bersuara lagi. Kali ini benar-benar menyakitkan cuping telinga Hazreen. Pedih.

“Kau nak apa, hah?” soal Hazreen dengan kasar.

“Aku nak tidur,” beritahu Ashril.

So?” Hazreen angkat kening sedikit.

“Keluarkan semua barang-barang kau dalam bilik ni,” arah Ashril dengan selamba.

“Kenapa pulak? Ini bilik aku, okey!” balas Hazreen.

“Itu bilik tetamu, bukan bilik kau. Aku ni tetamu dalam rumah ni, bukan kau. Lainlah kalau kau nak kongsi bilik dengan aku. Aku okey aje.” Ashril tersenyum.

Hazreen terus bangun dari kerusi dan berjalan ke arah Ashril. Mereka saling berpandangan dengan tajam. Sesekali renungan tajam Ashril itu boleh menggetarkan jantung. Dan sesekali seperti mahu mencucuknya dengan pisau. Biar tiada lagi mata yang tidak sopan merenung dia tanpa keizinan.

“Memang ini bilik tetamu tapi kalau aku ada di rumah ni, bilik ni automatik akan jadi bilik aku,” tegas Hazreen dengan yakin.

“Oh,automatik ya? Itu kau yang cakap. Mulai sekarang kalau aku ada di rumah ni,bilik ni automatik pulak akan jadi bilik aku,” balas Ashril pula.

Terbeliak biji mata Hazreen mendengarnya. Boleh pulak macam tu? Nampaknya Ashril sudah mula mahu tunjuk kuasa dalam rumah ini. Lelaki ini memang tak sedar diri,padahal dia hanya menumpang di sini.

“Bilik aku!” Hazreen terus mempertahankan haknya. Mana boleh suka hati saja mahu diberi pada lelaki perasan bagus itu!

“Bilik aku!” balas Ashril pula tidak mahu mengalah.

“Kenapa kau suka sangat cari pasal dengan aku?”

“Aku tak cari pasal dengan kau. Aku cuma suruh kau keluarkan barang-barang kau dari bilik ni. Aku nak tidur dalam bilik ni. Faham ke tidak?”

“Habis tu aku nak tidur di mana?”

“Suka hati kaulah nak tidur di mana-mana pun. Ada aku kisah? Tu, ruang tamu tu kan luas. Kau tidur kat situ ajelah.”

Sekali lagi terbeliak biji mata Hazreen. Mana berani dia nak tidur di ruang tamu.Tambah pula jika bersendirian. Sepatutnya Ashrillah yang tidur di ruang tamu.Dia kan lelaki. Tidak menjadi masalah tidur di mana-mana pun.

“Banyak cantik muka kau! Jangan harap aku nak bagi bilik ni pada kau. Pandai-pandailah kau cari tempat tidur malam ni.”

Baru sahaja Ashril mahu menjawab kata-kata Hazreen tiba-tiba terdengar suara Irsyad memanggil.

“Reen! Ril! Mari makan!” jerit Irsyad dari ruang dapur membuatkan kedua mereka terdiam sejenak.

“Tepi sikit, aku nak lalu.” Hazreen menyuruh Ashril ke tepi.

“Lalu ajelah. Takkan tak muat kot.” Ashril buat tak tahu sahaja.

“Yang kau menyendeng kat pintu ni, kenapa? Orang nak lalu pun susah. Tersentuh nanti batal air wuduk aku,” tempelak Hazreen.

“Batal air wuduk aje. Tak mati pun,” balas Ashril.

Hazreen mendengus. Memang tak ada kesedaran diri punya manusia. Dia meloloskan diri dengan cermat. Sementara Ashril masih dengan wajah selambanya mengekori Hazreen di belakang menuju ke ruang dapur.

 

 

“APA yang bising-bising kat depan tu tadi?” tanya Irsyad sebaik sahaja Hazreen dan Ashril melabuhkan punggung di meja makan. Sementara Azirah sibuk menceduk nasi ke dalam pinggan anak-anaknya.

Boleh pulak mamat gila kuasa ni duduk betul-betul depan aku. Macam dah tak ada tempat lain nak duduk. Buat hilang selera makan aku saja, bisik hati Hazreen.

“Tak ada apa-apalah, bang. Cuma ada sekor kucing sesat tengah sibuk cari tempat tidur,” jawab Hazreen dengan selamba.

Ashril yang sedang minum air terbatuk mendengar kata-kata Hazreen. Matanya terus berlari memandang Hazreen dengan tajam.

“Kucing sesat?” Dahi Irsyad berkerut.

“Haah tapi Reen dah halau dah,” jawab Hazreen tanpa mengendahkan jelingan tajam Ashril.

“Tadi Hana nampak mak su dengan Acik Ril berebutkan bilik tidur.” Tiba-tiba Raihana menyampuk.

Hazreen dan Ashril serentak menoleh ke arah Raihana yang sedang duduk di sebelah Ashril. Anak saudaranya itu hanya tersengih ke arah mereka berdua sambil menunjukkan simbol peace dengan jarinya.

Irsyad mengeleng-geleng kepala. Seperti biasa bila Hazreen dan Ashril datang serentak ke rumah ini pasti Hazreen terpaksa dihalau ke bilik Raihana. Memandangkan cuma ada empat bilik sahaja dalam rumah ini. Bilik utama adalah bilik Irsyad dan Azirah. Dua bilik lagi untuk anak-anak mereka. Maka bilik tetamu yang satu itu menjadi rebutan antara Hazreen dan Ashril.

“Malam ni Reen tidur bilik Hana. Bilik Reen tu bagi Ashril guna,” ujar Irsyad.

Kini Hazreen pula yang tersedak. Baru saja nasi mahu masuk ke dalam perut, kini terasa seperti nasi itu tersekat di dada. Terasa susah nak bernafas.

“Mana boleh macam tu, bang. Itu kan memang bilik Reen sejak dulu lagi,” bantah Hazreen.

“Habis tu Ashril nak tidur di mana? Bilik Idan dengan Faiz dah penuh. Lagipun bilik Hana tu cuma ada Hana sorang aje. Apa salahnya kalau Reen kongsi bilik dengan Hana? Sementara aje.”

Hazreen terdiam. Permintaan Irsyad itu benar-benar buat dia tewas di tangan Ashril. Dia perasan Ashril sedang tersenyum sinis ke arahnya. Sakit betul hati Hazreen dibuatnya.

“Tak apalah kalau Reen tak nak tukar bilik. Apa kata kalau Hana yang tidur bilik maksu? Bilik Hana tu bagi Acik Ril guna.” Tiba-tiba Azirah mencelah apabila melihat wajah cemerut Hazreen. Mungkin ingin menjernihkan keadaan.

“Boleh.Hana okey aje,” sahut Raihana dengan senang hati.

“Budak-budak lagi berakal dari yang dah tua,” bebel Ashril perlahan tapi masih boleh didengar oleh Hazreen.

Hazreen mengetap bibir. Jelingan maut dilemparkan buat Ashril.

“Dah,dah, makan. Tak baik bertekak depan rezeki,” pintas Azirah ala-ala suci.

“Tak apalah. Biar Reen pindah bilik Hana.”

Akhirnya Hazreen mengaku kalah setelah terpukul dengan sindirian Ashril. Geram kerana terpaksa mengalah dengan Ashril. Selebihnya dia tidak mahu kelihatan terlalu mementingkan diri sendiri di hadapan semua orang. Biarlah Ashril menang kali ini. Tidak luak pun kecantikkannya gara-gara tewas dalam perebutan kali ini. 



Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
BAB 1 | BAB 2 | BAB 3 | BAB 4 | BAB 5 | BAB 6 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku