Makna-Makna Merdeka
Makna-Makna Merdeka
Genre: Umum
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 13 September 2017
Danish, mahasiswa universiti memanfaatkan masa cuti umum sempena bulan kemerdekaan di kampungnya. Walaupun begitu, tugasan yang diberikan oleh pensyarah berkaitan kemerdekaan, membuatkan Danish berfikir, merasai dan menghayati akan makna hari yang bersejarah dengan meluas, melalui apa yang diperhatikan di sekitarnya pada zaman kompetitif ini.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
43

Bacaan






Pagi itu matahari memancar hening. Namun begitu, tetap cerah dan ceria. Langit kebiruan ditemani oleh tompokan-tompokan awan yang memutih bak gumpalan kapas-kapas yang bersih. Pagi itu juga suasana gemilangnya terasa. Hampir semua rakyat dapat merasai semangat yang sama. Kegembiraan, kemegahan dan kemenangan. Cetusan dari dalam nurani yang bangga dengan negaranya sendiri. Kerana pada hari itu, hari ulangtahun kemerdekaan datang lagi. Sekali lagi, untuk kali yang ke-60. 

Pagi khamis yang dilalui bukan seperti hari-hari biasa. Kerana tarikhnya yang sangat istimewa: iaitu 31 Ogos, tahun 2017. Danish, seorang mahasiswa jurusan media massa, hanya sekadar menghabiskan masa cutinya dikampung. Tidak putus-putus rakan sealirannya mengajak untuk pergi bercuti mahupun melakukan aktiviti riadah, atau menjalani aktiviti bermanfaat yang lain. Namun, dia menolak dengan alasan kukuhnya sendiri.

“Danish, cuti ni panjat bukit jom.” Kata rakannya yang gemar bersosial.

“Semangat betul kau. Aku tak join kot. Aku balik kampung. Aku dah ada tiket.” Jawab Danish.

“Tak habis-habis. Dah agak dah jawapan kau. Okaylah, enjoy your holiday.” Rakannya itu sudah kenal sikap Danish. Setiap kali ada cuti panjang. Pasti akan dihabiskan untuk pulang ke kampung.

“Danish, nak follow kitorang pergi dataran merdeka tak masa sambutan merdeka nanti.” Tanya rakannya yang lain pula, mengajak. “At least dapat idea sikit macam mana nak siapkan assignment yang Dr. Ungku bagi.” Sambung rakannya lagi. 

Namun, jawapan yang diberikan Danish tetap sama. “Seems good. Tapi aku nak siapkan dekat kampung je kot. Aku siapkan assignment aku dekat sana.” 

“Cuti empat hari kot. Lama tu. Cuti merdeka dengan Raya Haji.” Kata rakannya, cuba memujuk. Namun, dia hanya mampu bertolak ansur. “Okay, sharelah sikit kalau kau ada idea lebih. Kau balik bila?” 

“Malam esok.” Jawab Danish ringkas. Dia ingin pulang, pada malam sehari sebelum tarikh dan hari bersejarah, iaitu merdeka. Sekalipun cuti, ada tugasan yang perlu mereka selesaikan. Iaitu menulis jurnal secara ilmiah berkaitan kemerdekaan.  

        Di rumah ibu bapanya, Danish terduduk diruang tamu sambil memikirkan aksara-aksara yang bakal di susunnya menjadi ayat-ayat yang bermakna. Minatnya yang mendalam dalam bidang penulisan telah memungkinkannya untuk mengarang dengan baik. Sekalipun sukar, dia punyai cara untuk mengatasinya. Adakalanya berjaya, dan adakalanya tidak. Dia punya cita-cita untuk menjadi pengarang dan mampu menghasilkan buku-buku yang bermanfaat untuk dibaca, atau sekurang-kurangnya mempunyai buah fikiran yang dapat menyumbangkan kemajuan kepada negaranya sendiri. Setiap penulisannya lebih terarah kepada berbentuk jurnal; berserta kajian dan pemerhatian.

       Terkebil-kebil matanya menatap skrin laptop. Berfikir mencari jawapan terhadap pertanyaan yang wujud dalam dirinya. Sebahagian teks telah dinukilkan. Selebihnya masih lagi diselidiki dengan teliti di dalam fikiran dan pemerhatiannya sendiri. Berulang-ulang kali dia membaca ayat yang telah ditulis: 

“Hari yang sekali lagi menjadi wakil saksi akan sejarah gemilang yang telah terbentuk, hasil dari susah payah, keperitan dan jerih usaha yang tidak kenal putus asa, oleh para pemimpin dalam menuntut kemerdekaan untuk tanah air sendiri. Bukan kecil langkah yang telah mereka ambil. Terutamanya oleh tokoh ‘Bapa Kemerdekaan’, Tunku Abdul Rahman. Untuk mendapatkan kemerdekaan adalah impian dan cita-citanya yang sangat mendalam. Harapan ini dia semai, dan kerananya dia tidak akan berputus asa. Lambat laun, pasti akan tercapai juga. Yakinnya dalam hati. Sangat tinggi. Beliau tidak melakukannya secara individu. Malah, para pemimpin yang mewakili setiap kaum di tanah Malaya pada ketika itu bersatu hati berganding bahu untuk menuntutnya. Pengorbanan rakyat juga sangat luarbiasa. Mereka sangup bergolok gadai harta benda dan menyerahkan segala emas dan permata kepada Tunku. Supaya para pemimpin dapat menanggung kos pergi dan balik ke London. Bagi mengadakan perbincangan damai untuk memerdekakan tanah air yang sangat beliau cintai. Rakyat pada ketika itu bagaikan tidak peduli akan keadaan ekonomi yang serba kekurangan dan kesempitan, sebahagiannya. Tidak mengapa, kerana mereka juga meyakini. Keadaan akan jadi jauh lebih baik, jika kemerdekaan dapat dituntut. Demi kebahagiaan anak cucu mereka pada masa depan, mereka sanggup berkorban! Pada detik itu, mereka sudah jemu dan meronta-ronta hidup dalam pemerintahan kuasa asing, yang melesukan kegemilangan hidup mereka sendiri. Kerana itu mereka tidak peduli. Akhirnya, berkat usaha, laungan kemerdekaan dapat juga dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman. Cita-citanya telah tercapai. Hanyasanya ‘baton’ itu telah bertukar tangan, untuk generasi akan datang bersungguh-sungguh dalam ‘lariannya’ pula. Mencorak dengan warna dan kemahiran tersendiri, melakar kelangsungan sebuah negara. Tujuan dan harapan untuk terus melihat sebuah negara yang mampu melakar kejayaan demi kejayaan. Sekalipun sangat sukar untuk membuktikannya. Cabaran, rintangan dan halangan sentiasa menjadi peneman yang perit lagi melukakan.

Itu kisah semangat dan makna merdeka untuk enam puluh tahun yang lalu. Oleh para pemimpin dan rakyat pada zaman itu...”

       Kedengaran bunyi motorsikal bapanya memasuki halaman rumah yang sedikit luas. Rumah taman itu sangat tersusun, berbaris-baris. Ruang halaman luar yang berbumbung hanya mampu memuatkan sebuah kenderaan dan beberapa motorsikal. Kawasan perumahan yang mempunyai kejiranan yang sangat rapat antara satu sama lain. Dibina saling bersebelahan. Sekalipun digelar ‘kampung’, namun kemajuan yang telah diberikan –hasil inisiatif kerajaan- sangat jelas kelihatan. Terutamanya, dalam bahagian komunikasi. Sambungan internet juga memuaskan. Tidak putus-putus Danish menerima mesej dari aplikasi whatsapp, melalui telefon pintarnya. Masing-masing menceritakan aktiviti mereka sepanjang cuti. Ada yang berswafoto di puncak bukit, mencabar kemampuan diri. Ada yang berswafoto di dalam Stadium Bukit Jalil pada malam kelmarin, meraikan kejayaan para atlet negara menjuarai secara keseluruhan, mengatasi semua negara Asia Tenggara yang terlibat, sekaligus menyambut ambang merdeka. Kesemua rakannya sangat gembira. Riak wajah jelas kelihatan. 

       “Yes, dapat cuti lagi sehari!” Teks salah seorang rakannya di ulang baca. Mengingatkan Danish pada malam semalam. Malam ambang merdeka. Di mana, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah bermurah hati untuk memberikan cuti tambahan. Demi meraikan kejuaraan para atlet dalam Sukan SEA.

       “Alhamdulillah, akhirnya… guys, jom plan cuti tambahan ni nak pergi ke mana…” teks salah seorang lagi rakan Danish. 

       “Untunglah kau. Suka betul.” Danish membaca teksnya sendiri.

       “Ala… aku dah beli tiket hari ahad… nak tukar!” Keluh rakan Danish yang lain pula dalam whatsapp

       Danish hanya tersenyum membaca. Setiap komunikasi mereka di dalam telefon pintar itu kerap kali menghiburkan. Matanya memandang kembali ke arah laptop. Assignment yang masih lagi tergantung bait-bait aksaranya. Terasa sukar untuk dia siapkan. Dibandingkan keadaan yang berlaku dalam tulisannya di laptop, dan komunikasi bersama rakan-rakan di whatsapp. Dua keadaan yang sangat jauh berbeza. Jauh lebih beruntung, bebas dan selesa. Jika dibandingkan keadaan enam puluh tahun yang dulu. 

      “Inikah merdeka?” kata Danish dalam hati. Jiwanya bertanya sendiri.

       Tidak lama, Rahman masuk ke rumah. Melihat anaknya yang sedang menatap komputer riba, terdiam seperti banyak berfikir.

      “Cuti-cuti pun ada kerja juga nak buat?” soal ayah dengan sengaja. 

       “Adalah sikit.” Kata Danish ringkas.

       Akhbar di tangan Rahman dilepaskan di atas meja di ruang tamu, berhampiran Danish. Lalu beredar. Bapanya itu baru balik dari kedai di pekan, membeli sedikit barang dapur untuk di masak oleh ibu. Nama akhbar terpampang jelas di hadapannya. ‘Berita Harian’. Lalu dia teringat sesuatu.

      “Berita Harian ada ‘print’kan ‘paper’ khas. Cetakan pada 31 Ogos 1957.” Getus hatinya. Cepat-cepat naskah istimewa itu dicari. Mungkin akhbar bertarikh pada tarikh yang penuh bersejarah dan keramat itu dapat membantunya menyiapkan Assignment. Setelah dijumpai –terselit pada celahan kertas-kertas akhbar-, dia menarik keluar dengan cermat, bagaikan harta yang sangat berharga. Mana tidaknya, di dalam akbar cetak semula itu, terkandung sejarah gemilang yang amat bernilai dan bermakna. Diambil lalu ditatapnya. Akbar besar yang terlipat dua itu diluruskan. Pertama sekali apa yang terlihat ialah foto Almarhum Tunku Abdul Rahman, sedang mengangkat kedua-dua belah tangannya di dalam keramaian. Wajahnya mempamerkan senyuman dan kelihatan hiba dalam masa yang sama. 

       Tajuk besar akhbar lama itu dibaca. Mata Danish fokus pada setiap perkataan yang tercetak di situ. Bahasa yang digunakan adalah Bahasa Melayu lama.

‘MERDEKA!

Tepat pada tengah malam seluroh raayat bertempek ‘Malaya sudah merdeka’!’

       Entah mengapa, membaca tajuk utama dan ‘besar’ ini, hati Danish menahan sebak. Hampir sahaja airmatanya menitis. Tidak dia tahu mengapa. Adakah kerana empatinya merasai kesusahan pada masa itu, atau berbangga, kerana negaranya mampu merdeka, berbekalkan jiwa yang cekal dan semangat yang tidak mudah putus asa untuk menggapainya. Lalu dibaca lagi laporan pengisytiharan itu:

“SA-BUAH negara baharu telah lahir pada tengah malam—Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan berdaulat.

Temasha itu telah di-umumkan kapada dunia dengan satu patah perkataan, yang di-pekek oleh sa-juta orang – Merdeka!

Bakal Perdana Menteri, Tengku Abdul Rahman, “Bapa Kemerdekaan,” telah memulakan pekekan itu dengan suara yang penoh dengan perasaan.”

Bacaan Danish terhenti. Lalu hatinya berkata sendiri, “Mungkin tidak sebahagia ini hidup aku, ataupun orang lain, kalau sejarah seperti ini tidak tercipta!” memikirkan hal itu, hatinya bersyukur sendiri.

***

  Sehari selepas hari merdeka, Zakri, abang sulong Danish pula pulang ke kampung. Membawa bersama isteri dan dua orang anaknya.

Keadaan ini membuatkan ibu dan ayah Danish bertambah gembira. Apa tidaknya dapat meluangkan masa bersama cucu yang sangat disayangi. Sekalipun mereka agak ‘aktif’. 

Sejak hari itu, keadaan rumah menjadi riuh rendah. Membuatkan Danish adakalanya hilang fokus untuk menyiapkan tugasan. Adakalanya ingin saja dia memarahi anak-anak buahnya yang dua orang itu. Mujur dia masih mampu bersabar. Mujur juga bukan anaknya sendiri.

Danish hanya melihat saja cara Zakri mendidik anak-anak. Mereka berdua cukup beruntung. Kebanyakan waktu mereka terisi dengan hiburan kanak-kanak yang disimpan di dalam tab. Peranti elektronik yang sama fungsinya seperti telefon pintar, namun dengan saiz yang sedikit besar. Dengan kaedah ini, ‘keaktifan’ mereka dapat dikawal.

Melihat keadaan itu, atuk bersuara, “untunglah cucu-cucu zaman sekarang. Ada tab. Zaman atuk dulu-dulu, nak tengok TV pun susah. Nak dengar radio pun takut-takut.” Seloroh Bapa Danish. Kedua-dua anak Zakri tidak berkata apa, hanya tersenyum. 

***

    Kehangatan menyambut hari merdeka masih lagi dirasa, setelah dua hari meraikannya. Sepanjang itu juga, tidak henti-henti Danish berusaha menyiapkan tugasannya.

Begitu juga keadaan di kaca televisyen. Rancangan-rancangan berkaitan kemerdekaan dipertontonkan kepada umum. Kehangatan meraikan kemenangan dalam Sukan SEA masih juga terasa. Kejayaan para atlet memenangi ratusan emas adalah luarbiasa gemilangnya. Mungkin inilah antara makna merdeka buat mereka: berusaha sehabis daya, untuk menjadi juara, demi negara.  Tambahan pula, sambutan Hari Raya Haji dapat dijalankan dengan bebas, tanpa sekatan mahupun syarat-syarat yang ketat. Betapa kebebasan beragama dapat dilaksanakan dengan harmoni.

Melihat akan kemeriahan ini membuatkan Hakimi tertanya-tanya. Anak sulong abangnya itu, yang berumur lapan tahun mempersoalkan hari yang bersejarah saat ini.

“Kenapa meriah sangat hari merdeka ni? Ada apa hari merdeka?” soalnya sambil tersengih memandang Danish. Raut wajahnya menunjukkan sifat ingin tahu yang mendalam. Dan, dalam masa yang sama tidak mengerti.

Soalan itu membuatkan Danish terdiam dan berfikir panjang. Dia tersentak. Kalau boleh panjang lebar nak dijawab. Namun, dia mencari satu ayat yang lebih ringkas, supaya dapat difahami oleh kanak-kanak seperti Hakimi.

Mungkin kau tak akan soal, kalau kau sendiri yang merasai kesusahan semasa sebelum merdeka dahulu. Mungkin juga kau tak akan bertanya, jika dapat kau rasa betapa deritanya hati, hidup pada ‘zaman’ itu.” Hati Danish bersuara sendiri. Menyedari akan sesuatu nilai yang berharga disebalik persoalan Hakimi yang tak mengerti.

Soalan itu belum lagi Danish jawab. Dalam fikirannya masih lagi memikirkan tugasannya. Untuk beberapa detik itu, Danish masih lagi terdiam. Jawapannya telah ada dalam minda, terlebih dahulu disusun dengan cermat, supaya erti sebenar kemerdekaan itu tidak tersasar. Pandangan matanya hanya ditumpukan ke arah skrin televisyen. Belum pun sempat Danish menyuarakan jawapan, Hakimi terus saja meluru ke luar rumah. Bermain dengan girang. Bebas, sebebas perasaan gembiranya. 




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku