Sudut Dimensi
Sudut Dimensi
Genre: Alternatif
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 16 September 2017
Penilaian Purata:
207

Bacaan






"Merdeka"

"Merdeka"

"Merdeka"

"Hisssshhhh.. awal pagi sudah membingit orang tua gila tu. Huh!" Adam mengomel. 

Bantalnya ditarik menutup kepalanya. Lebih tepat lagi, telinganya. Jarum jam sudah menunjukkan angka enam. Adam masih bergumpal dengan selimutnya. Semalam Adam tidur lewat. Main game semalaman membuatkan Adam lupa untuk menjaga kesihatan diri. 

"Merdeka"

Sekali lagi suara itu melaungkan "Merdeka" yang mengganggu tidur Adam. Adam membuka selimutnya dengan kasar. Bantal dibuang ke lantai. 

"Apa aku nak buat dengan orang gila ni?"

"Apaaa?? Eeee!" Adam menanya diri sendiri. Tekanan menguasai diri. Tangannya memegang kepala. Rambutnya kusut-masai sekusut hatinya. 

"Merdeka" suara itu semakin menjauh. Adam menghembus nafas, lega sedikit. Otaknya mencerna untuk tidur kembali. Automatik badannya terbaring dan terus menutup matanya. Tidak lama kemudian, kedengaran daun pintu diketuk. Adam menggerakkan tubuhnya sedikit. Resah menguasai.

"Adam tak bangun solat, nak?" Suara lembut ibu dari luar. Aduh..ibuku sayang. Saat inilah juga tidurku enak digoyah-goyah, keluh Adam.

 "Baik, ibu" jawab lembut Adam. Kepalanya digaru-garu. Namun, mata masih terpejam. Hatinya berbolak-balik hendak tidur sekejap atau bangun dahulu. Atau selepas solat tidurlah balik, rancang Adam. Selimut yang empuk itu dipegang. Wahh sejuknya, nyaman tidur ni. Lagi Adam berkata-kata dalam hati. 

"Merdeka" 

"Merdekaaaa" Lagi panjang dilaungkan dengan gembira. Adam bangun. 

Hatinya sangat membara. Marah. Kenapakah juga hari ini malang baginya, getus hatinya yang ditekan-tekan sakit.

 "Awasss" suara Adam sambil menyubuk jendela ke luar. Mencari-cari kelibat orang tua gila itu. Ya, aku tahu hari ini hari Merdeka. Tapi, bukan sesuka hati kau nak laung sini sana. 

Huh! Adam turun dari katil. Dia menyelongkar laci-lacinya. Semua barang bertaburan di atas lantai. Almari pakaian turut dibongkar. Bawah katil diteropong. Bawah meja dimasuki. Benda yang dicari adalah bakul plastik berwarna hitam ditemui di atas almari pakaian.

 "Haa! Dah jumpa!" Kata riang Adam sambil menjinjit bakul itu. Adam keluar melalui pintu dapur belakang lalu menuju ke hadapan rumah. Tangannya gelojoh membuka ikatan bakul plastik itu. Benda berwarna merah dan berbentuk silinder dikeluarkan. Matanya liar mencari kelibat orang tua gila itu. Orang tua gila itu masih berdiri dekat tong sampah yang kadang duduk sekejap-sekejap. Adam berlari ke dapur dengan laju. Pacuannya seperti Usain Bolt. Adam kembali dengan wajah keriangan yang tidak terkata. Benda bentuk silinder itu digenggam erat. Adam menjenguk sembunyi di mana orang tua gila itu berada. 

"Assalamualaikum" Salam dari belakang mengejutkan Adam. Adam berpaling cepat. Wajahnya pucat. Salah terang-terang yang telah ketahuan. 

"Apa erti merdeka bagi kamu?" Tanya orang tua yang memakai jubah putih itu. Wajahnya bersih dan tenang. 

"Apa buruk nama merdeka yang kamu dengar? Hati kamu sangat marah. Bencikah kamu akan merdeka?" Tanya orang tua itu lagi. 

Adam kehairanan. Wajahnya macam pernah nampak. Ya, hatinya mengiyakan pernah.

"Beginikah kamu melayani merdeka? Atau lebih tepat, merasai merdeka?" Bertalu-talu pertanyaan orang tua itu.

"Pak cik. Heiii pak cik! Dengar sini. Saya boleh penjarakan pak cik sebab pak cik ceroboh rumah saya tau tak! Saya tidak kenal pak cik. Entah dari mana datang, masuk-masuk sini tanpa izin tuan rumah. Pergi! Pergi sekarang! Kalau tidak, saya telefon polis. Datang-datang ceramah pasal merdeka. Entah apa-apa" marah Adam. 

Adam menjeling orang tua itu lalu tidak mempedulikannya lagi. Matanya mencerlung orang tua gila yang sedang duduk mencangkung dekat tong sampah. Adam mengetik mancis lalu membakar pencucuh api bentuk silinder itu. Mercun! Ya, mercun itu dibuang ke arah orang tua gila itu. Buatnya orang tua gila itu terpekik-pekik ketakutan. Dia terkinja-kinja macam kera kena belacan. Adam cuma mengetawakannya tanpa rasa belas kasihan. Hatinya puas mengenakan orang tua gila itu. 

Adam berpaling ke belakang. Hidungnya bertembung hidung orang tua berjubah putih itu. Adam terundur ke belakang. Orang tua itu maju setapak. Adam melihat pergerakannya. Jantungnya mulai berdegup laju. Takut menguar rasa. Orang tua itu maju lagi setapak. Langkahannya semakin cepat namun tidak mendekati Adam. Adam menutup wajahnya. Tangannya menggapai udara. Adam cuba menghalau orang tua itu pergi jauh. Namun, selimutnya menutup wajah Adam yang membuatkan dirinya seperti dihimpit.

 "Aarghh" luah Adam lalu bangun. Adam meruap wajahnya lalu menghembuskan nafas kelegaan. Tubuhnya dibaringkan perlahan-lahan sambil matanya dipejamkan. Seketika itu, matanya dibuka memandang siling biliknya. Kipas siling berpusing ligat menyejukkan lagi suasana bilik. Adam menutup matanya semula. Biji matanya sakit. Kepalanya juga berasa pening. Adam cuba menenteramkan diri.

 Dari jauh, sayup-sayup suara orang tua gila itu kedengaran. Semakin lama semakin hampir. Laungan merdeka itu tetap segar di bibirnya. 

"Merdeka" Semangat dan lantang suaranya. Namun tidak bagi Adam yang masih ingin dibuai keenakan tidur. Hatinya panas menggelagak. Adam turun dari katil lalu menyubuk dari jendelanya.

"Awasss" Kata Adam bersendirian. Bibirnya diketap. Matanya memandang seluruh biliknya. Dia teringat lastik yang baru sahaja dia buat. Adam cuba mengingat-ingat di mana letaknya sambil menyelongkar laci-laci di meja belajar. Setelah dapat, Adam keluar dari bilik menuju ke dapur. Pintu dapur dikuak dengan kasar. Gelojoh gelagatnya dengan langkahan besar-besar. Adam menundukkan diri sambil tangannya mencapai batu kecil. Mulutnya diketap rapat-rapat. Tangannya menarik lastik dan batu disisip pada pemegang dengan cermat mengarah mangsanya. 

Tong! Bunyi batu mengena kontena sampah. Adam mengeluh kasar. Kakinya menendang tanah. Geram bertamu. Adam mengubah posisinya. Tangannya mula menarik lastik.

"Assalamualaikum" Suara orang tua memberi salam. Adam terkejut sehingga terlompat. Batu yang dipegang terlepas.

 "Apakah erti merdeka bagimu?" Tanyanya tiba-tiba. Adam terpinga-pinga. Nafasnya tidak keruan. Adam merasakan seperti mengalami keadaan ini. Di hadapannya kini berdiri seorang tua yang berjubah putih. Wajahnya tenang dan lembut. Adam memegang kepalanya.

Mengapa merdeka disebut? Kenapa merdeka berada dalam ingatannya kini? Kenapa merdeka itu mengganggu rasanya? Adam bingung. Apa yang terjadi, fikir Adam. Soalan bertalu-talu itu menyucuk jiwanya. Fikirannya kusut. Dadanya sesak seperti ada batu yang menimbun.

"Apa burukkah nama merdeka yang kamu dengar? Hati kamu sangat marah. Bencikah kamu akan merdeka?" Tanya orang tua itu. 

Adam memandang orang tua itu dengan tajam. Adam menilik wajah tenangnya itu. Wajah yang macam pernah nampak. Sakit hatinya mula bertimpa-timpa.

 "Beginikah kamu melayani merdeka? Atau lebih tepat, merasai merdeka?" Tanya lagi. Adam mengetap bibirnya. Apa lagi, apa lagi..monolog Adam.

"Aaaahhh pak cik. Heiii pak cik! Dengar sini. Saya boleh penjarakan pak cik sebab pak cik ceroboh rumah saya, tau tak! Saya tidak kenal pak cik. Entah dari mana datang, masuk-masuk sini tanpa izin tuan rumah. Pergi! Pergi sekarang! Pergi! Kalau tidak, saya telefon polis. Datang-datang ceramah pasal merdeka pula" sergah Adam. Adam berpaling mencari susuk tubuh mangsa lastiknya itu. 

"Entah apa-apa" kata Adam lagi sambil berpaling ke belakang semula. Adam mahu melihat jika orang tua itu masih di belakangnya. Namun, hidung mereka bertembung membuatkan Adam terkejut lagi sekali. Adam terundur ke belakang. Orang tua itu melangkah setapak. Adam melihat tingkah orang tua itu. Degup jantungnya laju. Sakit. Adam dihurung ketakutan. 

Apakah ini pernah berlaku? Adam berfikir. Dengan cepat, Adam menggelengkan kepalanya. 

"Tidak! Tidak! Tidakkk" Suara Adam memenuhi bilik. Adam terbangun namun masih berbaring. Adam menendang selimutnya sehingga jatuh ke lantai. Adam mengeluh kasar. Apalah mimpi begitu, keluh Adam lagi. Adam meniarap. Kepalanya ditutup dengan bantal. Sakit hatinya kerana tidurnya terganggu. Namun, bak kata pepatah "kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari". Tidurnya diulit lagi dengan laungan semangat merdeka oleh orang tua gila itu. 

"Aaaarghh! Tidak habis-habis orang tua gila ni" Marah Adam berapi-api. Adam bangun lalu menyubuk melalui tingkapnya. 

"Awasss" amaran Adam sendiri. Adam keluar dari bilik. Rambutnya kusut-masai. Dia pergi ke dapur. Mencari pisau dalam hajatnya namun tidak ditemui. Adam terjumpa parang. Parang itu digenggam hulunya lalu diacuh ke hadapan. 

Hmm, ni padan sangat! Kata hati Adam. Adam membuka pintu dapur. Adam terhenti seketika. Dia melihat daun pintu yang terbuka. Dia melihat kakinya. Perlahan-lahan langkahannya dicipta. Hairan. Macam..? Namun, Adam membiarkan persoalannya begitu sahaja. Adam tetap teruskan juga hajatnya. Adam cepat-cepat melangkah. 

"Assalamualaikum" Suara memberi salam. Adam terkejut lalu terus berpaling ke arah suara itu. Tangannya menggenggam erat hulu parang. 

"Apakah erti merdeka bagimu?" Tanyanya. Orang tua berjubah putih sedang melihat dirinya. Adam diam. Nafasnya cuba dikawal. Adam benar-benar merasakan seperti mengalami keadaan ini. Dia melihat wajah yang tenang dan lembut itu. Adam memegang dahinya, tertunduk.

 "Kamu nak kata.." Adam mulai bersuara.

"Kamu nak kata, begini. Apa burukkah nama merdeka yang kamu dengar? Ha.." Adam terhenti dek orang tua itu memotong.

"Hati kamu sangat marah. Bencikah kamu akan merdeka?" Celahannya. Adam mengangkat kepalanya lalu memandang orang tua itu dengan tajam.

"Beginikah kamu melayani merdeka?" Balas Adam. Adam menduga.

"Atau lebih tepat, merasai merdeka?" Balas orang tua itu pula. Adam mengetap bibirnya. Matanya melirik wajah orang tua itu. Adam melihat orang tua yang di hadapannya kini adalah orang tua gila itu pula. Hatinya tiba-tiba membara.

"Aaaahhh" Adam berteriak sekuat hatinya. Parang dilibaskan. Adam tidak melihat apa yang terkena libasannya. Adam tidak peduli apa yang akan terjadi. Hatinya berapikan kemarahan. 

Setelah beberapa ketika, Adam berhenti kepenatan. Dia terduduk lalu membaringkan diri. Parang dilepaskan. Nafasnya mengah. Adam melihat langit yang biru seperti lautan. Fikirannya mulai beransur-ansur tenang. Gelora dadanya beralun lembut. Adam mendiamkan diri. Matanya dipejamkan. Tiba-tiba, hatinya dihinggap sedih. 

Langit yang cerah. Biru. Menenangkan. Mengapa semua ini terjadi? Jika langit pernah gelap sebab hendak hujan. Manusia pula selalu mengeluh mengapa hujan saat ini. Tapi hujan masih tetap turun walaupun rasa tidak dihargai. Hujan tetap turun jika manusia semakin mengeluh dan membenci sebab tidak dapat bergerak ke mana-mana dengan lancar. 

Namun, matahari pula datang menyinari alam. Air pun berkerlipan indah seperti berlian. Tapi, manusia tidak pernah puas. Panasnya mentari disebut-sebut bukan pula dipuji. Apatah lagi untuk disyukuri. Keluhan sama dengan hal hujan. Langit tidak pernah pergi namun tetap menyaksikan hujan yang turun, matahari yang bercahaya. Langit tetap memayungi manusia. Sedikit pujian hanya jika bulan sedang mengembang mahupun siang yang berbayu lembut, bisik Adam. Adam cuba merasai keadaan itu, menelusuri setiap landasan kedamaian. 

"Merdeka itu seperti langit juga. Payung kemegahan kita kerana berjaya menjadi sebuah negara yang dipimpin oleh anak watan sendiri. Merdeka itu tidak pernah luput dari ingatan kita kerana kita akan ingat setiap 31 haribulan Ogos pada setiap tahun yang mendatang. Namun, merdeka itu bukan tersemat di hati kita yang paling dalam di mana ia terukir di sana. Merdeka itu kamulah wahai anak Adam. Anak-anak muda yang punya jiwa kuat dan tangkas namun hakikatnya telah terkubur sama di pusara yang terkorban kerana betapa hari-hari perlu menjadi pahat yang hanya bergerak apabila ditukul. Kamu pejuang masa kini. Jika kamu tidak berjaya menjadi seorang yang berprofession, menjadilah anak watan yang berkeperibadian mulia di sisi agama, bangsa, masyarakat dan keluarga.  Tiada gagal dalam hidup selagi kaki boleh melangkah untuk mencipta kejayaan yang diingini. Kejayaan itu umum. Suatu perkataan yang luas. Jadikanlah kemerdekaan itu suatu yang bermakna selama 11 bulan 30 hari dan apabila tibanya 31 haribulan Ogos itu adalah menjadi keraian kita. Merdeka itu kamu. Bangun solat subuh kerana-Nya. Dan terus bangun sehingga malam berlabuh, tidurlah, sesuai dengan melakukan pekerjaanmu diselingi dengan waktu-waktu solat yang telah ditetapkan. Merdeka itu hasil pejuang zaman Tunku Abdul Rahman. Itu contoh kamu. Sejarah yang termaktub dan diingati. Sekarang kamu adalah pejuang zaman teknologi. Masa yang akan dipersoalkan betapa semakin menganjak usiamu, banyak benda yang mungkin engkau kesali setelah mencapai akalmu. Merdekalah. Kawal diri. Bukan dikawal diri" Kata orang tua berjubah putih itu panjang lebar. 

Dia tetap berdiri megah melihat ke hadapan. Kemudian, dia menunduk melihat Adam yang mendiamkan diri sambil melihatnya. Orang tua itu mengukir senyuman kepada Adam. Demi melihat senyuman itu, indahnya perasaan yang senang. Adam menutupkan matanya perlahan-lahan. 

"Astaghfirullahadhzim" Pendek tapi cukup menyedarkan Adam ke alam realiti. Adam berbaring terlentang di lantai. Bantal dan selimutnya bertempiaran. Adam berulang-kali mengucapkan istighfar namun masih berbaring di lantai bilik. 

Kemudian, Adam menutupkan kembali matanya mencari sudut ketenangan dan segugus kesabaran. Adam menarik nafas sedalam-dalamnya lalu dihembuskan perlahan-lahan. Berulang-kali diselingi dengan ucapan istighfar.

 Adam sedar dia telah menjejaskan tubuh badannya sendiri. Lazimnya manusia itu harus tidur apabila tirai malam berlabuh dan bangun pada waktu solat subuh. Namun, apa yang Adam buat adalah Adam bangun sepanjang malam untuk bermain game. Apabila tubuh badannya harus tidur namun Adam bangun, menyebabkan tubuh badan Adam berasa lemah, pening dan cepat marah.

 "Merdeka" Laungan itu kembali. Adam mulai mengukir senyuman.

 "Wahai pak cik, terima kasih kerana cuba membangunkan aku dari mimpi-mimpi itu. Launganmu itu menyedarkan aku bahawa aku harus menghargai merdeka ini bukan setakat mengingatinya namun mengamalkan merdeka itu dalam diri. Kawal diri. Bukan dikawal diri."



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku