INTAN
INTAN
Genre: Keluarga
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 17 September 2017
Salim baru sahaja kehilangan ayah. Ayahnya meninggal. Dia membantu mengemas rumah. Namun, apa yang dijumpainya dalam sebuah almari lama adalah amat mengejutkannya. Di situ terdapat sebuah buku catatan yang menyimpan sebuah rahsia. Sebuah cerpen bertema MERDEKA untuk penyertaan PERTANDINGAN MENULIS KARYA MERDEKA
Penilaian Purata:
361

Bacaan






Salim baru saja kehilangan seorang ayah. Ayahnya telah pergi menemui Tuhan, setelah sakit selama dua tahun. Salim sedih. Namun, apakan daya Salim tidak berupaya menolak takdir. Ibunya, juga begitu.

Dia tidak menyangka kepulangannya ke kampung diakhiri dengan peristiwa sedih. Cuti antara semester selama dua minggu, membawa kakinya ke kampung. Ayahnya telah lama uzur dan akhirnya menerima rawatan ‘chemotheraphy’, rawatan laser untuk mematikan sel barah di Hospital Besar Kuala Lumpur.

“Salim! nanti tolong bersihkan almari usang di dalam bilik, “Suara ibunya mengejutkan lamunan Salim.

“Baik Mak!”

Rumah yang dibina dengan tulang empat kerat ayahnya, masih kukuh. Kayu-kayu dari hutan di pinggir Gunung Jerai menjadi asas rumah yang tersergam hebat. Ayah Salim, Megat adalah seorang tukang rumah yang mahir. Megat juga adalah seorang pemburu yang handal. Kijang, rusa, pelanduk kerapkali ditewaskan dan menjadi hidangan mereka sekeluarga.

*** 

Usai solat Zohor, Salim naik ke tingkat atas rumah. Ia kelihatan usang kerana banyak ruang menjadi tempat  barang-barang serta buku-buku lama diletakkan. 

Sudah lama bahagian di tingkat atas itu terbiar kerana selain rumah ibu, Pak Megat telah menambah binaan di bahagian bawah. Semua disediakan. Dari bilik tidur hinggalah ke bilik air dan tandas. Kawasan rumah yang dipagari pokok buah-buahan masih luas. Di sebelah belakang rumah  adalah kawasan kebun kopi dan diselang-seli dengan tanaman pokok buah-buahan.

Mata Salim terarah pada sebuah almari kayu, berwarna hitam berkilat. Sejak Salim masih di sekolah rendah, almari tersebut kekal di situ. Salim pernah melihat Pak Megat mengambil keris dari almari tersebut. Senapang patah juga pernah disimpan di dalam almari itu. Dulu, kartus peluru penabur, serta kotak-kotak berisi peluru juga tersimpan di dalam almari itu.

Almari dihampiri dan dibuka. Tiada kunci yang terpasang padanya. Hanya lembaran kain kuning mengikat kemas pemegang pintu almari.

Susunan buku-buku lama bertulisan jawi juga terdapat di dalamnya. Salim meniliti buku-buku itu. ‘Nyawa di hujong Pedang’, ‘Hikayat Inderaputera’,’Pulanglah Perantau’, ‘Tulang-tulang Berserakan’ dan pelbagai lagi.

‘Mungkin buku milik kakak ni,’ fikir Salim.

Buku-buku bertulisan tangan serta kitab-kitab kuning turut tersusun rapi di dalamnya. Terdapat juga bungkusan-bungkusan barang yang disimpan dalam kain yang diikat pada hujungnya.

‘Mungkin pinggan mangkuk’, getus damiri Salim. Dia mencapai susunan buku dan kitab-kitab. Salim tergerak hati untuk membuku sebuah buku. Kulitnya telah kusam. Lembar buku ada yang sudah dimakan kasai. Lubang di sana sini. Ia bertulisan jawi. Salim boleh membaca dan menulis Jawi dengan baik

‘Tanggal 18 Disember 1941.Askar-askar Jepun mendarat di Kota Bharu, Kelantan. Kita belum tahu nasib kita, Intan.’

‘Dua puluh lima buah kapal Jepun sudah mula belayar ke tanahair kita.’ Butiran catatan pada lembar buku nota itu ditatapnya dengan penuh minat. Tulisan jawi yang cukup kemas dan cantik memang menarik perhatiannya.

‘21 Januari 1941. Aku belum dapat memilikimu Intan, zaman perang. Aku perlu berjuang untuk watan’. Terdapat sekeping potret seorang perempuan berbaju kebaya terselit dalam buku nota tersebut. Salim kaget. Dia gagal mengecam wajah perempuan itu kerana potret di bahagian muka perempuan itu sudah rosak.

Dia terus membaca tulisan tersebut dengan teliti.


‘Dalam mata yang bersih merayap cahaya jernih

aku sama menagih kemerdekaan kekasih, 

dalam dada yang mesra tenang telaga cinta

aku janji setia membela tanah pusaka.’


‘Aku perlu masuk askar,’ Salim terus membaca tulisan tersebut dengan teliti.

‘Aku mahu jadi seperti pejuang terdahulu. Aku mahu jadi seperti Osman Enggok, Jantan Abd Dahaman, Ismail Tahar, Ibrahim Sidik, Buyung Mohd Yasin serta ramai lagi.’

“Dah kemaskan almari tu?” Suara ibunya mengejutkan tumpuan Salim. Tulisan pada buku catatn itu mengandungi perkataan ‘Intan’ terdapat di sana-sini. Hati Salim terdetik untuk menanyakan kepada ibunya.

“Dah mak,” ujar Salim. Buku catatan itu kemudiannya disembunyikan dalam sebuah beg sandang yang sentiasa dibawa bersama. Di dalamnya ada ‘android tablet’, ‘power bank’ dan pengecas. Bagi Salim, buku catatan itu amat berharga.

*** 

Sambil berbaring di dalam bilik. Salim teringat buku catatan yang telah disimpannya. Dia teringin untuk membacanya. Beg sandang dibuka, buku catatan dikeluarkan dan ditatap dengan rakus.

‘Tanggal 20 Ogos 1957’, Mata Salim terbeliak membaca catatan itu.

‘Sepuluh hari sebelum perisytiharan kemerdekaan.’ hatinya terdetik ‘macam judul filem.’

‘Tanggal 20 Ogos 1957. Platun 12, Company D5, Malay Regiment. Kami ditugaskan untuk berwaspada.Pasukan Bintang Tiga akan membuat kacau menjelang perisytiharan merdeka. Kami ditugaskan di estet Waterfall.’ Salim membaca dengan teruja.Laras bahasa dalam catatan itu termasuk ejaannya, menggunakan bahasa Melayu seperti filem-filem Allahyarham P.Ramlee.

‘Tiga puluh lima orang bandit sudah kena tangkap. Satu kejayaan besar,” Salim membaca lagi.

‘Tanggal 30 Ogos 1957. Padang Kelab Selangor. Upacara menurunkan ‘Union Jack’. Berakhirnya ketuanan Inggeris. Malaya pasti merdeka,’ Bulu roma tegak berdiri apabila membaca catatan ini. Salim dapat membayangkan bagaimana perasaan teruja penulis yang membuat catatan berkenaan.

‘Tanggal 31 Ogos 1957. Stadium Merdeka. Hujan begitu lebat turun sa-hingga jam 6.30 pagi. Kami, anggota keselamatan yang datang dari pelusok tanahair, bermalam di sekolah-sekolah. Pada malam 30 Ogos, tepat jam 12.00 tengahmalam, ‘Union Jack’ digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu oleh Pasokan Tentera Laut.’

‘Tanggal 31 Ogos 1957. Jam 8.00 pagi. Hujan semakin reda. Semua raja-raja Melayu, rakyat jelata. Dif-dif kenamaan dari England menunggu. Pesurohjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu turut berada di pentas. Rakyat jelata masih berdiri.’

‘Tunku Abdul Rahman menerima watikah pemahsyuran kemerdekaan dari wakil Baginda Queen Elizabeth,’ terkial-kial Salim mengeja perkataan yang dijawikan dari perkataan Inggeris. ‘Putera Henry, wakil Baginda Queen bersama permaisurinya.’

‘Kami menanti dengan penuh debar. Tuanku terima watikah dari Putera Henry kemudian memberi ucapan dalam Bahasa Inggeris, sebelum membaca pemahsyuran kemerdekaan.’

Pada helaian buku catatan seterusnya terdapat potongan akhbar. Akhbar ‘Berita Harian’. Gambar Tunku mengangkat kedua-dua tangannya. ‘MERDEKA! Tepat  pada tengah malam seluroh rakyat bertempek ‘Malaya sudah merdeka!’.

Salim terus meniliti kandungan petikan akhbar dan tulisan pada helaian buku itu. ‘Pekek oleh Bapa Merdeka disambut di seluruh negeri’. 

Helaian seterusnya terdapat catatan berupa bait-bait sajak. 

‘Intan. Jika kamu ada di sini sekarang. Kamu pasti tidak akan lupa apa yang berlaku. Nanti apabila segalanya sudah selesai. Aku akan kembali ke kampung. Kita akan bernikah. Insya Allah.’

‘Sajak pula,’ getus damiri Salim. Bait-bait sajak diteliti. Tulisan cukup kemas. Salim membaca di bahagian akhir sajak tertulis nama seseorang,’Affini Adham-1955’. Mata Salim meniliti bait-bait sajak tersebut.


‘Malaya Pasti Merdeka 

Keseluruhan dari keadaan dan kenyataan

keseluruhan dari kesanggupan dan kebenaran

keseluruhan dari kemungkinan dan kepastian

perpaduan - pendirian - pengorbanan dan perjuangan

-telah benar-benar membangunkan kepercayaan

-telah benar-benar menimbulkan harapan

"Bahawa kemerdekaan yang sekian lama kita perjuangkan

telah dekat - mendekati kita

telah tegas dan nyata 

terbayang di hadapan mata

Malaya! Pasti merdeka".


Kita pasti merdeka!

Kita adalah manusia berbangsa dan bernegara!

Kita bukan boneka!

Kita pasti merdeka

di atas "hak pertuanan" kita

selaras dengan kemerdekaan di mana-mana

sebagai manusia-manusia lain yang berbangsa dan punya negara

Malaya pasti merdeka - 

di atas keseluruhan - hak-hak kenegaraannya.’


Sungguh asyik Salim meneliti kandungan buku catatan tersebut. Dia seolah-olah tenggelam dalam zaman sebelum dan ketika saat kemerdekaan tanahair. Bait-bait sajak diteliti lagi, pada halaman berikutnya, semuanya bertulisan jawi.


‘Pada Tanah Yang Indah -A. Samad Said 1956’

Dalam mata yang bersih merayap cahaya jernih

aku sama menagih kemerdekaan kekasih, 

dalam dada yang mesra tenang telaga cinta

aku janji setia membela tanah pusaka.


Kira ribut mendurja mengancam tanah yang indah

setapak tiada kurela untuk melutut kecewa,

biar peluru selaksa mendendam liar mangsanya

untuk kekasih pusaka hatiku tetap rela.


Dalam lari berlari berbaja kasih di hati

azam besi berumbi: melebur penjajah di bumi!

Dalam rindu berpadu, hitam dendam terpendam

aku terlalu merindu fajar cemerlang menjelang.


Hati ini seluruh kasihkan kekasih sepenuh

beri janji yang teguh hingga badanku luluh!


“Salim!”

“Salim!”suara ibu memanggil mengejutkannya. Dia cepat-cepat menyimpan buku catatan tersebut ke dalam beg sandang. Salim bergegas mendapatkan ibunya di tingkat bawah.

*** 

Ibu sedang sibuk menghidangkan makan tengahari. Di atas meja penuh lauk-pauk tersedia. Aroma kari ikan sembilang menangkap deria bau Salim. Ada sambal petai, ulam jantung pisang, kerabu pucuk beka dan pelbagai lagi, termasuk sepiring ikan pekasam. Sungguh membuka selera.

“Apa yang dibuat tadi, lama di atas rumah?” soalan ibu mengejutkan Salim. Air minum dituang perlahan-lahan ke dalam gelas. Salim membiarkan soalan tidak dijawab.

“Mak!” Mata Salim terbeliak melihat tulisan pada dinding bahagian dalam dapur rumah. Tulisan dari kapur tulis. Kedudukan papan dinding agak tinggi dan menghadap ke arah tangga untuk ke tingkat atas. Huruf-huruf jawi yang tertera pada papan dinding itu sama seperti yang dilihatnya pada buku catatan.

“Apa kena ni?” ujar Mak Embun.

“Tulisan siapa ni mak?”

“Cuba baca!”

“24 Rabi’ul awal 1329 –bawa turun semai masuk … fa ya ta qaf qaf atau fa?” bacaannya tersangkut. Huruf akhir tidak jelas.

“Petak,” ujar Mak Embun.

“Petak? Oh bendang lah ni,” ujar Salim.

“Anak semai elok,” Salim dapat membacanya dengan jelas.Mak Embun tersenyum melihat kesungguhan Salim.

“Mak, nak tanya ni. Siapa perempuan yang bernama Intan, yang mak kenal dalam kampung kita ni?” pertanyaan Salim mengejutkan Mak Embun.

“Intan?”

“Ya … nama perempuan itu adalah Intan, mak,” tutur Salim.

“Dah lama, mak tak dengar nama itu. Simpan buku tu elok-elok Salim. Mak dah lama cari buku tu tapi tak jumpa. Puas dah mak punggah almari tak jumpa. Satu lagi buku catatan latihan arwah ayah hang masa masuk askar pun dah hilang. Banyak catatan dalam buku tu,” ujar Mak Embun. Salim tidak perlu bertanya lagi. Kini, dia tahu siapa sebenarnya gadis dalam potret tersebut.

“Mak. Arwah ayah banyak menyimpan rahsia. Salim tidak menyangka bahawa ayah adalah salah seorang askar yang terlibat dalam usaha penangkapan pengganas di Rawang. Kemudian ayah juga turut sama melaungkan kata-kata keramat pada 31 Ogos 1957.”

Buku catatan itu kini, bukan lagi rahsia yang perlu disorok. Hatinya menguntum senyum bila teringat catatan untuk seorang ‘Intan’, yang setia menunggu ‘kekasih’ yang berjuang membela tanahair untuk sebuah kemerdekaan. Teringat juga catatan melalui bait-bait sajak itu.’Malaya pasti merdeka.’ Timbul semangat baru dalam dirinya.





Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku